28 May 2009

PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK


Tarikh : 10 - 12 Julai 2009
Tempat : Kem Bina At-Taqwa, Bukit Changgang, Banting
Yuran Penyertaan : Rm 30 seorang
(termasuk pengangkutan, penginapan, makan & minum, modul, sijil)
Perasmian oleh : YB Dato' Dr Hassan Bin Ali

Anjuran :

Persatuan Kebajikan & Pendidikan Islam Selangor (PEPIAS)
dengan kerjasama
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Daerah Kuala Langat & Bangi


Sesiapa Berminat sila hubungi :

Abdul Hafiz Bin Abdul Bar
012-5133 309/013-2008 249
adfiz_peace@yahoo.com

ATAU

Sdr. Muzakkir - 0175086339
Sdri. Adib - 0136282450
Sdri. Ila - 0132267954
Sdri. Aimi - 0133077416

Penyertaan adalah terhad kepada 80 orang peserta terawal sahaja....!!!!

*Terbuka kepada remaja yang berumur 15 tahun keatas sahaja....

27 May 2009

PENYERTAAN DAN SUMBANGAN AJK DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN

Oleh: Kamarul Azami b. Mohd Zaini


Pembinaan modal insan merupakan agenda utama dan besar yang diperbincangkan diperingkat nasional. Pelbagai pandangan dan isu yang diketengahkan serta diperbahaskan dalam usaha bagi menjamin modal yang dibangunkan ini akan memacu kemajuan dan pembangunan Malaysia pada masa-masa akan datang. Tidak dapat kita nafikan ia adalah penting dan perlu diutamakan. Sehingga hari ini, pelbagai latihan, program dan kursus dijalankan bagi mencapai objektif ini. Era teknologi serta kepesatan pembangunan yang terlalu pantas menjadikan manusia perlu lebih diberikan perhatian bagi menyahut cabaran dunia baru globalisasi hari ini. Modal insan ini perlu diberikan keutamaan agar negara kita tidak ketinggalan dalam isu kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan. Namun, dalam enak melayani peredaran teknologi yang semakin berkembang, hampir-hampir kita melupakan asas-asas benar yang patut dimiliki oleh insan. Kita sibuk memberikan pelbagai pengetahuan dan kemahiran kepada mereka ini. Sibuk mengejar kemajuan dunia luar yang sangat pesat sehingga terpinggir keperluan yang menjadi tunjung warisan zaman berzaman bagi masyarakat di Malaysia. Dek kerana kepesatan dan kesibukan ini, kemajuan negara hari ini diperoleh bersama cabaran besar yang perlu digalas oleh semua rakyat. Namun adakah mereka prihatin dan menyedari keadaan ini?


Adakah mereka mula berfikir mengapa setiap hari dapat kita dengari pelbagai rungutan dari masyarakat setempat tentang keruntuhan akhlak dikalangan remaja? Bagaimana di zaman yang serba moden ini, dengan pelbagai kemudahan dan ruang keamanan, terdapat kes ragut yang bukan sahaja meragut barangan milik peribadi, malah nyawa mereka sekali? Isu kecurian, pecah rumah, pecah amanah serta penyelewangan yang berlaku hampir setiap hari dilaporkan di dalam akhbar, adakah kita semua merasakan itulah sahaja permasalahan yang berlaku (di dalam akhbar) atau banyak lagi yang tidak dapat kita selongkar atau ketahui? Persoalan ini perlu ada dilubuk pemikiran atau di dalam hati kita yang sentiasa mengharapkan keamanan dan keharmonian dalam bermasyarakat. Persoalannya, adakah kita punya rasa prihatin ini? Apakah punca semua ini berlaku? Adakah usaha-usaha pihak berkuasa untuk membangunkan modal insan ini adalah pilihan yang salah atau tidak diterima baik oleh masyarakat? Tidak kurang juga kita dapat membaca dan mendengar berita tentang kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Malaysia. Tetapi pernahkah kita ketahui disebalik seorang yang berjaya itu, berapa ramai yang gagal dan apa yang berlaku kepada mereka yang gagal ini? Mungkin mereka itu juga adalah dari kalangan ahli keluarga kita. Jadi apa yang kita lakukan? Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran bermaksud;

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut; ayat 2 dan 3)


Itulah peringatan yang Allah berikan kepada kita sebagai manusia, bahawasanya, bagaimana kita boleh mengakui bahawa kita ini beriman (yang terbaik) sedangkan kita belum diuji. Apabila pembinaan modal insan ini semakin pesat dan semakin maju, maka bertambahlah tugas dan tanggungjawab kita. Sebagaimana kata-kata ‘Spiderman’ di dalam kisahnya dipawagam, “great power comes with great responsibility”. Adakah kita telah bersedia? Usaha untuk menjadi generasi yang terbaik bukanlah idea baru, sebaliknya Allah telah memperkenan serta menyebutkannya di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

“Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah Ali-Imran; ayat 110)


Maka, Allah telah memberikan peranan dan tanggungjawab kepada kita sebagai manusia daripada ayat di atas. Pesanan Allah s.w.t, untuk kita menjadi ummat yang terbaik sebagaimana yang diperjuang dan dilaungkan oleh banyak pihak melalui pembinaan dan pembangunan modal insan adalah melalui 3 ciri yang patut diberikan keutamaan dan diperbincangkan dengan meluas. Pertama; menyuruh kepada yang makruf dan kedua; mencegah dari yang mungkar. Mungkin kita sama-sama teringat pepatah melayu ada menyebutkan; “jangan jaga tepi kain orang”, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar” dan sebagainya. Mengapa pepatah ini kerap bermain dibibir-bibir orang-orang lama? Inilah yang cuba diterapkan oleh masyarakat ‘kampung’ dahulu iaitu berpesan untuk berbuat kebaikan dan pada masa yang sama memperingatkan juga mereka bahawa, apa yang dilakukan itu adalah perkara yang mungkar. Hebat bukan?


Namun, Allah peruntukkan satu lagi keperluan yang menjadi tunjang kepada 2 perkara tadi iaitu beriman kepada Allah. Maka, dalam pembinaan modal insan dan melahirkan generasi dan ummat yang terbaik ini, sudah tentulah ia memerlukan perjuangan, perjalanan yang berliku dan wajib menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sebelum sampai kepada penghujungnya. Usaha pembinaan modal insan ini sudah berlaku berjuta-juta tahun dahulu bermula dari zaman para nabi dan rasul dan sehinggalah hari ini.


Muhammad bin Abdullah; Tokoh Pembinaan Modal Insan

Keberjayaan sesuatu tamadun bergantung kepada banyak faktor dan perkembangan dari pelbagai sudut. Untuk menjadi ummat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar, unik dan terlalu luar biasa. Marilah kita mulakan dengan membuang kebiasaan seperti kata-kata yang kerap menjadi zikir kita seperti “oklah tu”, “cukuplah”, “biasalah”, “ada la jugak” dan banyak lagi yang kita sama-sama dapat rakamkan.


Keadaan dan perkataan inilah yang menjadikan masyarakat kita sentiasa ‘membetulkan perkara yang biasa’. Akhirnya setiap kesilapan dan kesalahan dalam masyarakat menjadi biasa. Usaha untuk membina ummat mempunyai lapisan dan setiap lapisan mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Lapisan pertama dan menjadi tunjang pengukuhannya adalah merupakan setiap individu peribadi yang bersama-sama di dalamnya. Perjuangan Rasulullah adalah bermula dengan membina dan mengukuhkan keyakinan peribadinya terhadap apa yang dipercayainya. Maka bermulalah sejarah baginda bersendirian di gua bagi mencari kebenaran yang jauh di dalam dirinya.


Kemudian, dilanjutkan pula kepada lapisan kedua yang menjadi pengukuh dan pelindung kepada asas yang pertama iaitu keluarga. Maka, pulangnya baginda ke rumahnya dalam keadaan yang amat menggigil seolah-olah kesejukan dan ditambah dengan perasaan gementar, maka ditenangkan oleh isterinya Siti Khadijah. Apabila diberitakan kepada isterinya, maka jadilah Siti Khadijah sebagai wanita pertama memeluk Islam. Kemudian diikuti dengan sanak-saudara terdekat dengan baginda seorang demi seorang.


Selepas mendapat sokongan dan dokongan daripada sanak-saudara terdekat, maka Rasulullah memulakan usaha dakwah dan perjuangannya ke medan yang lebih besar iaitu masyarakat setempatnya. Akhirnya, apabila berlaku hijrah baginda ke Madinah, pembinaan ummat ini bermula dengan pesat di Madinah. Maka lahirlah ramai pejuang yang gagah dari segi jasmani, bebas emosi, teguh rohani serta kukuh intelektual mereka.


Peranan Kita Di Sini


Maka, ingatlah kata-kata Allah dalam firmannya yang bermaksud;

“Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.”
(Surah Al-Asr; ayat 1 hingga 3)


Wajarlah kita memainkan peranan kita bermula daripada saat ini. Apa yang perlu dilakukan ialah perbaikilah diri kita dan pada masa yang sama kita perlu mengisi keperluan dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat serta bangsa kita. Jika bukan kita siapa lagi dan jika bukan sekarang bila lagi? Marilah kita bersama-sama untuk memperbaiki diri sebagaimana yang telah dipesan oleh Saidina Ali karamallahu wajhah;

1. Tanamkanlah perasaan takut kepada Allah yang Maha Agung;
2. Sentiasalah beramal dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran;
3. Buatlah persiapan untuk menghadapi mati;
4. Serta pugarkan sifat redha dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t sekalipun sedikit.


Perubahan ini bukan sahaja harus dilakukan kepada diri sendiri sahaja kerana sabda baginda di dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia kasihkan saudaranya sebagaimana ia kasih dirinya sendiri.”


Atas sebab perlunya kasih sayang ini dalam masyarakat maka, mantan Perdana Menteri Malaysia telah meletakkan nilai ini dalam cabaran yang ketujuh Wawasan 2020nya iaitu;

“Cabaran ketujuh adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu, tetapi pada sistem kekeluargaan yang lebih kukuh.”


Oleh yang demikian, marilah kita menggunakan masa kita dengan sebaik mungkin untuk tidak menjadi orang-orang yang rugi sebagai firman Allah di atas tadi. Tidak kiralah sama ada tugasan itu adalah perintah Allah kepada kita, mahupun tugasan sebagai individu terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, masyarakat dan bangsa kita. Yakinlah bahawa, walau apapun tugasan yang diberikan, hakikatnya adalah datang dari Allah jua dan kita wajib melaksanakannya.


Amanah Kepada Kita

“Tiada beriman sesiapa yang tidak amanah dan tidak beragama sesiapa yang tidak menepati janji.”
(Maksud Al-Hadis)


Setiap amanah hendaklah dilaksanakan dengan perancangan yang baik dan melihat kepada keperluan semasanya. Ia perlu memenuhi kriteria berikut;

1. Menentukan nilai keutamaannya (priority);
2. Mempunyai aturan masa yang sesuai (time management);
3. Pengagihan yang tepat dan terperinci (delegation of work);
4. Melaksanakan tugas dengan penuh kesungguhan (dicipline, dedication and determination);
5. Menjadi perintis yang aktif, kreatif dan inovatif (pro-aktif);
6. Serta mengharap balasan dari Allah dan bukan pujian dari manusia (ikhlas).


Lakukanlah tugas kita bersama, nescaya segala kerisauan yang ada di dalam hati kita akan terubat dengan peringatan dan nasihat-nasihat dari Allah s.w.t. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud;

“Hadiah yang paling berharga dan istimewa ialah hadiah yang berupa kata-kata nasihat (kata-kata hikmat) yang didengar dan diingati, kemudian mengamalkannya dan menyebarkannya kepada saudara-saudaramu.”


Beruntunglah kita sekiranya kita memiliki 4 sifat yang tersebut di dalam surah Al-Asr iaitu beriman, beramal soleh, nasihat kepada perkara yang hak (benar) dan nasihat kepada kesabaran. Ingatlah, jika kita gagal merancang untuk perkembangan dan pembangunan modal insan yang kita sebut-sebutkan maka kita sebenarnya merancang untuk menggagalkannya. Sebagai individu yang telah berkeluarga dan berada di dalam masyarakat, maka pergunakanlah kesempatan ini untuk berbakti dan berjasa kepada mereka dan sediakanlah generasi yang terbaik untuk menggantikan kita agar generasi itu memberikan manfaat yang jauh lebih besar berbanding diri kita. Lakukanlah yang terbaik bukan untuk kita, tetapi untuk anak, cucu dan generasi kita yang akan datang. Jika kita melihat kehancuran pada hari ini, adakah ia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang dengan kita tidak melakukan apa-apa? Pasti, jawapannya adalah tidak.





Penulisan ini adalah hasil susunan Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management Kamarul Azami Mohd Zaini untuk Kursus Pembangunan Komuniti Bagi Zon 1 (Hulu Selangor, Kuala Selangor dan sabak Bernam), Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Selangor pada 21 Mei 2009.

26 May 2009

Di sebalik Uhud; Menentukan Sikap

1) Nabi Rasulullah SAW telah bermimpi;Lembu disembelih, mata pedangnya sumbing, dan Baginda memasukkan tangan ke dalam baju besi. Mimpi tersebut ditakwilkan sebagai berikut: Lembu disembelih -> sekelompok sahabat yang terbunuh; SUmbing mata pedang -> seorang daripada keluarga baginda terluka; Baju besi -> Dalam Madinah

2) Rasulullah SAW mengusulkan kepada para sahabtnya untuk tidak keluar dari MAdinah dan bertahan sahaja dari dalam. Ironinya, Abdullah Bin Ubay, iaitu ketua Munafik setuju dengan cadangan itu. Manakala, para sahabat yg lain tidak bersetuju, dan bersungguh-sungguh mahu pergi berjihad dan tidak kelihatan penakut atau bacul; lebih-lebih lagi selepas kemenangan besar, Badar. Antaranya termasuklah Hamzah B. Abd Mutalib.

3) Melihat pendapat terbanyak (majoriti), RAsulullah SAW mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk pergi bertempur di medan terbuka. Setelah bersolat, Baginda memasuki rumahnya dan bersedia memakai kelengkapan perang. Sementara itu, kaum Muslimin yg menunggu di luar; tiba-tiba muncul perasaan serba salah dan menyesal kerana telah memaksa RAsulullah SAW keluar dari MAdinah.

4) Yang menimbulkan semula persoalan itu, Sa'ad Bin Muadz, dan Usaid Bin Hudlair berkata,"Kamu semua telah memaksa Rasulullah SAW pergi berperang. Sekarang, Serahkanlah semula perkara ini kepada baginda". Kaum Muslimin yang lain lantas menemui RAsulullah SAW dan berkata "WAhai RAsulullah, kami tidak akan menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang tuan kehendaki. Jika tuan ingin menetap di Madinah, lakukanlah"

5) Dengan tegas, RAsulullah SAW menjawab,"SEorang Nabi, jika sudah mengenakan baju besi, maka dia tidak patut menanggalkannya, sehingga Allah memberikan keputusan antara DIa dan musuh-Nya" JElas, keputusan Rasulullah telah Bulat. Mereka akan keluar bertempur. MEdannya, Bukit Uhud. INI KEPUTUSAN BERSAMA. Keputusan rasmi syura bersama para sahabat. Apapun, hasilnya, menjadi tanggungjawab bersama.

6) KOMITMEN mukmin diuji. Sejauh mana dia mampu menilai perbezaan. KAREKTOR sebuah pasukan, dan pergerakan akan terbentuk di sini. Dan, setiap keputusan, pasti akan mengundang risiko; termasuklah di Medan Uhud ini. Mereka dilanda kekalahan yang sebenarnya telah terbaca melalui mimpi Rasulullah SAW. Namun, walau bagaimanapun, KEPUTUSAN ITU HARUS DIHARGAI.

Besar sungguh pengajaran kisah ini yang perlu dibincangkan bersama-

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah:-

1) Sejauh mana suatu keputusan sesuai dengan situasi, keperluan dan suasana. Keputusan tidak hanya harus benar, tetapi juga tepat dengan masanya. Keputusan yang benar, jika tidak disampaikan pada waktu yang tepat, akan dilihat negatif, dan sebaliknya.

2) MEmbuat keputusan berisiko; perhatikan juga yang mana berupaya memberikan mudarat yang lebih kecil dari yang lain. Lantas, pengetahuan mengenai Syariat ISlam (Fiqh Wahyu), dan pemahaman mengenai realiti semasa (Fiqh Realiti)

3) Konsisten dalam menjalankan keputusan. Walau suatu ketika keputusan harus diubah, perkara perubahan itu harus dijelaskan kepada masyarakat, supaya tidak berlaku fitnah dan kekeliruan.

4) Keputusan mesyuarat / syura, bukan segalanya. Ramai beranggapan keliru menganggap Syura pasti benar, atau sekurang-kurangnya hampir benar. Padahal, bukan begitu hakikatnya. Mereka yang terlibat dalam Syura, kecuali Nabi dan Rasul, hanyalah manusia biasa yang bisa sahaja terkeliru dengan mood dan semasa. Lantas, memahami persekitaran massa adalah sangat penting. Keadaan yang dinamik memerlukan keputusan baru, sekiranya perlu. Malah, perubahan keputusn tidak harus dilihat sbagai tidak ada atau hilangnya ketetapan, tetapi ia menyebabkan berlakunya ijtihad baru, seperti pendapat Imam Syafie; Qaulun Qadim (pendapat lama) dan Qaulun Jadid (Pendapat baru).

5) Majoriti bukan segalanya. Malah, Si Pencacai, dan Si Munafik akan memperlihatkan sikap luar biasa yang tidak pernah dilakukannya; semata-mata memenuhi nafsu diri sendiri.

(PERMATA minda dari buku:-Belajar dari 2 Umar; Kenyangkan perut rakyat)
(Chapter 4; Menentukan sikap)


(imayu05.blogspot.com)

25 May 2009

Mesyuarat Gabungan Pengerusi Perhubungan Cawangan PEPIAS kali Pertama



Pada hari sabtu 23 Mei 2009 yang lalu, satu Mesyuarat telah diadakan bertempat di Sekreteriat PEPIAS Kampung Changkat. Mesyuarat yang julung kali diadakan menggabungkan seluruh Pengerusi cawangan membincangkan tentang pertukaran nama dan pindaan perlembagaan bagi urusan Pendaftaran dengan ROY (Registra of Youth).




Untuk makluman, bagi tujuan pendaftaran dengan ROY, PEPIAS haruslah menonjolkan pada namanya dan perlembagaannya sebagai sebuah pertubuhan bersifat BELIA. PEPIAS juga mestilah mendaftarkan enam (6) cawangan dibawahnya bagi melayakkannya menjadi pertubuhan diperingkat Negeri. Mesyuarat juga turut melibatkan beberapa ahli bagi membincangkan modul dan penyelarasan program-program pada minggu berikutnya.

Mesyuarat diteruskan pada hari ahad dengan pembentangan visi misi dan halatuju kepada seluruh pimpinan pusat dan cawangan. 5 halatuju telah ditetapkan, 1.Pemantapan kefahaman Islam dan kerohanian 2. Kaderisasi 3.Pengurusan 4.Pembangunan sosial 5.Kewangan. Mesyuarat dipengerusikan Presiden PEPIAS bermula jam 4.00 petang dan berakhir jam 6.30 petang.

Terima Kasih semua pimpinan pusat dan exco. Terutama cawangan yang susah payah datang dari jauh. Juga ahli-ahli yang tak putus-putus memberi komitmen yang luar biasa. Jazakallahufih.

22 May 2009

Saf Qiyadah PEPIAS 09/10

Presiden
Mohd Zulhelmi B. Abdullah
emisoleh@gmail.com
facebook.com/zulhelmiabdullah

Timbalan Presiden
Abdul Syukur B. Muhammad Sharif
msabdulsyukur@gmail.com

Naib Presiden
Mohd Azali B. Mohd Nor
mdazali@yahoo.com

Setiausaha Agung
Zafrullah B. Aris
bapolz@yahoo.com

Timbalan Setiausaha Agung
Noor Adila Bt Mansor
samer_hensem@yahoo.com

Bendahari
Muhd Syamel B. Yusoff
syamel_radionews@yahoo.com

Timbalan Bendahari
Fatimah Azzahra Bt Mohamad
attaebah_01@yahoo.com

Ketua Helwani
Norfadhilah Mastura Bt Sokhibul Fadil
tiaphrsyg_85@yahoo.com

Penolong Ketua Helwani
Siti Nadia Bt Muhamed
sitinadia_nana@yahoo.com

Exco Kebudayaan, Sukan & Rekreasi
ROZAIDI RUSMIN
HANIS FARHANA ZAHARIN

Exco Latihan & Kepimpinan
ABDUL HAFIZ ABDUL BAR
SITI KHAULAH SOKHIBUL FADI

Exco Penyelidikan & Pembangunan Sosial
NOOR HAZWAN HARIZ MOHD
NUR AFIQAH TAJUDDIN

Exco Dana, Ekonomi & Keusahawanan
NORADIBAH ZAKARIA
SAIFUNNASR ZULKIFLI

Exco Perhubungan & Informasi
MUHAMMAD HAZRIQ ABDUL RAHIM

Exco Dakwah, Ta’dib & Kebajikan
MUHAMMAD ‘ARIFF SELAMAT
NORSYAHIDA MOHD ZAINUDIN

21 May 2009

Makluman Usrah

Agenda Usrah PEPIAS Pusat

Tarikh: 27 Mei 2009
Tempat: Sekretariat Kg. Changkat

1) Tafsir: al-an'am
2) Hadith 21
3) Fiqh
4) Sirah
5) Isu Semasa

19 May 2009

Terima Kasih

Terima kasih kepada adik-adik PEPIAS yang menghadiri Muktamar Sanawi ABIM Cawangan Selangor pada 17 mei 2009 yang lalu. Ia adalah sebagai tanda persediaan dan keyakinan adik-adik untuk bersama-sama ABIM menggerakkan dan membangunkan usaha dakwah yang cemerlang di negeri Selangor.


Semoga dengan kebersamaan ini, akan wujud rasa terbuka dan percaya kita bersama demi kebaikan untuk ummat, bukan semata-mata nama dan glamor peribadi diri kita. Pelbagai perancangan dan pengharapan yang bakal kita kongsikan bersama dan diharapkan adik-adik di PEPIAS bersedia untuk menyumbang bakti bukan untuk ABIM semata-mata atau PEPIAS juga, tetapi adalah untuk Islam dan ummat Islam yang sentiasa mengharapkan yang terbaik dari kita.


Ucapan terima kasih tidak terhingga dari kami khususnya kepada Zul (Presiden), Dhila (HELWANI), Razman (YDP Gombak), Zafrullah (SUA) serta Syukur (Tim Presiden). Semoga kebersamaan ini berkekalan. Berikut adalah senarai pimpinan kanan yang baru dilantik dalam muktamar yang lalu;

YDP ABIM Selangor : Mohd Zawawi Ahmad Mughni (0193339871)
Timb. YDP : Mohd Naim Mohd Noor
Ketua HELWA : Haryati Abdul Halim (0123838474)

Setiausaha : Khairuddin Abas (0196506553)
Pen. SU 1 : Muhamad Muszaki Mohd Ozir
Pen. SU 2 : Nor Hidayah Sumairi
Setiausaha Kewangan : Kamarul Azami b. Mohd Zaini

Semoga diberkati Allah. Terima kasih sekali lagi.


Kamarul Azami b. Mohd Zaini
Mantan SUA PEPIAS
Setiausaha Kewangan ABIM Selangor 2009 - 2010
YDP ABIM Kuala Selangor 2009 - 2010
http://kamarulazami.blogspot.com
http://abimdks.blogspot.com
Photobucket

15 May 2009

Jiwa dan raga

1) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maknanya, segala bebanan dipikul dan dirasai bersama-sama, walau sekecil mana pun. Tenaga fizikal yang ramai, digunakan sebaiknya, dengan menjadikan ramai sebagai potensi; bukan liabiliti. Ironi yang kerap kali berlaku, ialah di mana terletak kekuatan, di situlah juga terletaknya kelemahan. Tidak kira situasi individu, ataupun organisasi.



2) Pokoknya, fokus harus tepat. Pandangan harus diletakkan pada bearing yang betul. Pandang harus ke depan. Namun, sesekali, harus toleh ke belakang untuk melihat, benarkah kita bergerak ke depan? Berpandangan baik (Husnu’Zhon) atas setiap perkara yang berlaku, dan itu perlukan jiwa yang besar. Justeru, berjiwa besarlah yang akan menghasilkan sikap positif, dan seterusnya akan meletakkan fokus yang betul dengan pandangan yang ke depan.


3) Lawan berpandangan baik (husnu’zhon), adalah berpandangan buruk (Su’uz’Zhon); Suatu pandangan akan membawa kepada persepsi. Persepsi pula akan membawa sikap awal (pre-judgement), yang biasa kita panggil dengan prasangka. Prasangka akan membawa pula kepada ketidak-tentuan atau ketidak-percayaan, atau dalam istilahnya, skeptikal. Kesannya, apabila masing-masing dalam organisasi skeptikal terhadap mana-mana bahagian dalam organisasi, maka, potensi yang ada akan menjadi liabiliti. Kekuatan yang sepatutnya digarap; kelemahan pula yang ditonjolkan.


4) Hakikatnya, tidak mudah mengurus manusia. Jiwanya harus diisi terlebih dahulu. Dalam jiwa, adanya akal, dan adanya hati. Persediaan akal, akan membina mentaliti atau intelektual yang cerdas. Persediaan hati, akan membina rohaniah yang halus, dan emosi yang tulus. Proses pengisian jiwa ini bakal membina tembok pertahanan diri untuk menangkis serangan nafsu yang sentiasa buas memujuk dan mempengaruhi jiwa untuk melakukan kemungkaran. Yang susahnya, ia harus berterusan selagi jiwa di dalam raga! Jiwa harus besar, dan kuat; malah lebih besar dan kuat daripada raga itu sendiri.


5) Raga hanya pelaksana apa yang ada dalam jiwa. Baik jiwa, baiklah raga, dan begitulah sebaliknya. Raga, atau jasad (physical), adalah ‘hardware’ kepada keseluruhan sistem manusia. Pada raga, ada deria yang melaksanakan tugas-tugas jiwa. Deria rasa, lihat, bau, sentuh dan dengar adalah 5 kenderaan yang memudahkan urusan jiwa. Pengisian raga juga adalah perlu, seperti makanan, latihan sukan, dan sebagainya. Sering kali juga berlaku, pengisian jiwa dan raga disatukan dalam meneruskan fungsi-fungsi tertentu untuk mencapai tujuan. Contohnya, bersolat, berpuasa, dan mengerjakan haji. Malah, bekerja seharian juga boleh menyatukan pengisian fungsi-fungsi jiwa dan raga, apabila dikawal dengan baik.


6) Di sinilah cabarannya bermula. Mengawal fungsi jiwa dan raga untuk memandang ke hadapan, dan seterusnya menukar Su’uz’zhon kepada Husnu’Zhon, prasangka buruk kepada prasangka baik, dan liabiliti kepada potensi. Nah, baca dan timbalah; Ilmu-ilmu pengurusan manusia, terdapat banyak di pasaran, di luar sana. Daripada Steven Covey, sehinggalah ke Al-Ghazali, semuanya punya kaedah dan pendekatan yang telah berkesan. Dan, untuk perjalanan 1000 batu itu, langkah pertama harus diambil. Tanamkan keazaman ini, dan tingkatkan aura positif kepada seluruh sistem. 1 jiwa besar, akan berupaya mencipta 1000 lagi jiwa yang besar. Kalau tidak hari ini, hari esok pasti ada. InsyaAllah.


Sumber rujukan / ilham: 7 formula Hidup Sukses; Jaafar Muhammad

(Harus baca!!)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Fahami bahasa, fahami tanda, fahami Pencipta!
2) Berbaloi-baloi, bila dapat belajar menenangkan jiwa dan belajar untuk memandang ke depan, dengan pandangan yang lebih luas dan jelas.

(imayu05.blogspot.com)

13 May 2009

Tribute to Teachers

To PHYSICAL EDUCATION (PE) TEACHERS




to COMPUTER n SKILLS' TEACHERS

to NEWLY POSTED TEACHERS

to THE ADMINISTRATORS


to THE CLASS TEACHERS

to MATH TEACHERS


to DISCIPLINARIES' TEACHERS








To ENGLISH TEACHERS









to BELOVED STUDENTS as well;
















>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Semuanya ada karenah masing-masing
2) Raikan mereka dengan memberi didikan.
3) SELAMAT HARI GURU 2009

(imayu05.blogspot.com)















USRAH PEPIAS PUSAT

Tarikh / Hari : 18 Feb 2009 / Rabu
Tempat : SEKRETARIAT PEPIAS, Kg. Changkat
Buku : Golongan yang Tercicir (Fathy Yakan)
Tajuk : Bab 2 – Sebab-sebab Keciciran (1-Sebab yang Berhubung dengan
Gerakan)
Isi :
1. Kelemahan sudut Tarbiyah:
• Fokus gerakan lebih kepada bidang lain berbanding tarbiyyah.
• Kalaulah tidak disedari perkara ini dan tidak segera diperbaiki, maka ia
pasti akan jatuh kerana sifat Iman itu kadang kala bertambah dan kadang kala
berkurang.
• Maksud firman Allah:

”Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mu’min
supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah
ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi dan adaalh Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (al-Fath: 4)

“Dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya.”
(al-Muddathir: 31)
• Maksud sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti
lusuhnya pakaian. Oleh itu mohonkanlah dari Allah supaya Dia memperbaharui
iman di dalam hati kamu.” (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Hakim)

• Oleh itu mahu tidak mahu, anggota harakah (jundiyah/qiyadah) perlu mengikuti
tarbiyah biar betapa sibuk atau dalam apa jua keadaan sekalipun.

2. Tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai:
• Tahu keupayaan anggota, kecenderungan, kebolehan dan titik kekuatan dan
kelemahan mereka.
• Dengan itu, program dapat dijalankan mengikut kemampuan dan kaedah serta
dasar yang dipelajari serta menepati perencanaan.
• Tidak menilai kelayakan seseorang melalui sifat luaran semata.

• Soalan : cara yang sesuai dalam mengenalpasti keupayaan dan kecenderungan
ahli?
Jawapan :
i. Melalui ujian personaliti diri
ii. Nilai daripada sudut kekuatan, kemampuan dan kejujuran

3. Tidak membahagikan kerja kepada anggota:
• Sesungguhnya kejayaan sesuatu gerakan dalam member tugas kepada anggotanya
adalah merupakan permulaan kejayaan.
• Setiap anggota gerakan mestilah merasa bertanggungjawab, aktif dan tidak
mengambil kira kerja dan kedudukannya.
• Diumpamakan seperti penggunaan batu-bata di dalam pembinaan yang berbeza
ukurannya tetapi apabila siap ia menjadi bangunan yang kemas dan kuat. (^_^)

4. Tidak mengambil berat hal ahli:
• Sesungguhnya hubungan yang diwajibkan oleh Islam ke atas kumpulan orang
Islam supaya bersatu dalam pemikirn, rohani dan perasaan hendaklah dirasakan
seperti laksana satu badan.
• Maksud sabda Rasulullah:

“Bandingan orang mu’min dalam kasih sayang dan kasihan belas mereka antara
satu sama lain sama seperti satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya
mengaduh sakit maka seluruh anggota yang lain turut berjaga malam dan
merasai sakit .” (Diriwayatkan oleh Muslim)

• Sesuatu gerakan Islamiyyah yang berjaya mengeratkan tali persaudaraan kerana
Allah akan berjaya mnyelesaikan banyak masalah yang dihadapi olehnya dan
juga oleh ahli-ahlinya.

5. Tidak menyelesaikan persoalan dengan segera:
• Segera memahami persoalan dan masalah yang timbul.
• Kajian menunujukkan bahawa kelembapan dalam menyelesaikan masalah dalam
gerakan disebabkan oleh:
i. Kelemahan pucuk pimpinan yang tidak mempunyai kemampuan untuk
menyelesaikan.
ii. Kelemahan pentadbiran yang memberi ruang kepada kemunculan masalah
dan tidak memberi kuasa menyelesaikan masalah kepada pihak berwajib.
iii. Kerana luasnya program sehingga pihak pimpinan tidak dapat
menyempurnakan keperluan kerja yang pelbagai.

6. Pertikaian dalaman:
• Sebab berlaku pertikaian dalaman:
i. Kelemahan pimpinan yang tidak berjaya kuasai barisan dn tidak dapat
membuat keputusan.
ii. Campurtangan daripada pihak luar yang beretujuan menimbulkan fitnah.
iii. Perlumbaan mendapatkan nama dan kedudukan.
iv. Tidak mengikut dasar/prinsip yang telah ditetapkan kerana
kepentingan peribadi.
v. Tidak ada kerja/program.

7. Pimpinan tidak layak:
• Kelemahan pimpinan dan tidak mempunyai pimpinan yang menguasai dan mengawal
barisan di kesemua peringkat dan suasana.

• Faktor kelemahan pimpinan:
i. Kurang kemampuan berfikir dan kepimpinan tidak dapat memenuhi
kehendak pemikiran ahli.
ii. Kelemahan dalam kebolehan mentadbir.

• Sifat yang perlu ada pada pimpinan:
i. Mengenali dakwah
. bergerak bersama dan tidak berseorangan
. sentiasa berhubung dengan penggerak/ahli
. tahu masalah dan pemikiran

ii. Mengenali diri
. Tahu kelemahan dan memperbaikinya serta menyubur kekuatan
. Menitikberatkan ilmu
. Kenali tokoh-tokoh pemimpin Islam

iii. Mengambil berat tentang ahli

iv. Teladan yang baik

v. Pandangan yang mantap
. Kepercayaan ahli datang daripada tindakan yang segera dan tepat
serta dapat menyelesaikan masalah dalam semua suasana
. Maksud sabda Rasulullah: “Sesungguhnya Allah kasih kepada
penglihatan yang tajam ketika berlaku kesamaran dan Allah
sukakan ‘aql yang sempurna yang dapat menahan serangan nafsu.”

vi. Keazaman yang kuat

vii. Daya tarikan semulajadi

viii. Penuh yakin
. Harapan tidak boleh diletakkan di bawah konkongan perasaan tetapi
setanding dengan ‘aql dan takdir.

10 May 2009

Tamrin ABIM Gombak

Pada 8-10 mei 2009 yang lalu, satu program kursus patriotisma pemimpin muda telah diadakan di Teratak Budi kampung changkat gombak. Program ini telah di anjurkan bersama abim gombak dan pejabat belia dan sukan daerah gombak. Program dihadiri oleh wakil abim gombak, pepias dan pkpim.

Program bermula pada jumaat malam dengan majlis perasmian oleh pegawai belia dan sukan daerah gombak. Pada pagi sabtu, program dimulakan dengan kuliah subuh bersama Presiden PEPIAS yang bertajuk keluarga kita. Majlis diteruskan dengan slot realiti bencana maksiat di daerah Gombak yang telah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Keluarga & Pegawai Penguatkuasa PAID Gombak. Sesi diteruskan lagi dengan slot perkongsian pengalaman dakwah di lapangan bersama JAWI.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan bengkel membina kawasan dan pemetaan kawasan bermasalah. Peserta diajar mengenalpasti masalah yang terdapat disesebuah kawasan dan persediaan yang perlu dilakukan. Kawasan-kawasan dibahagikan mengikut masalah dan dipetakan. Ini bagi mengelakkan pendekatan yang tidak sesuai sekaligus melancarkan urusan mendekati mad'u dengan sistematik.

Program diteruskan lagi dengan latihan dakwah lapangan. Peserta diberi pendedahan praktikal dengan berkunjung ke rumah kebajikan KEWAJA yang merupakan sebuah tempat perlindungan wanita yang bermasalah. Pusat ini ditubuhkan untuk membimbing remaja-remaja yang bermasalah memperbetul diri dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Pada sebelah malamnya, program ini telah diteruskan dengan kuliah magrib yang telah disampaikan oleh al-fadhil Tn. Hj Ahmad Azam (mantan presiden ABIM). Selepas itu program di teruskan dengan majlis bbq. Majlis ini telah di hadiri oleh pemangku s.u.a abim pusat, pimpinan abim pusat, setiusaha jkkk kg changkat,veteran abim dan wadah.

Pada pagi ahad, majlis diteruskan dengan kuliah subuh. kuliah subuh ini telah disampaikan oleh al-fadhil cikgu Sidek Baba yang berkisar tentang makna hidup dan 5 Ehsan Allah kepada insan. Majlis diteruskan dengan perbincangan dan pembentangan program-program yang bakal dijalankan oleh ABIM Gombak. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YDP ABIM Selangor, Ust Zawawi. Majlis bersurai jam 1.00 ptg.

07 May 2009

Makna jati diri

1) Jati diri; Insan yang punya jati diri, dapat mempertahankan prinsip yang dipercayainya, walaupun keadaan sekeliling, tidak seperti yang disangkainya, dan tidak sealiran dengan apa yang dipercayai itu. Prinsip yang dipegang itu pula, tidak semestinya benar, dan tidak pula semestinya salah. Prinsip bergantung dan diasaskan pada suatu idealisme yang dipelihara atas pengetahuan atau ilmu, dan membawa nilai yang tinggi, melebihi perkara lain.

2) Dalam masyarakat, nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya; Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain, masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?

3) Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya angin bertiup.

4) Generasi berilmu dan bertamadun, seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya, akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring. Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam masyarakat tersebut.

5) Hakikatnya, manusia tidak suka diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana, masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus dibayar. Risiko perlu diambil!

6) Lantas, bekalan yang wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman. Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan. Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.

7) Orang yang tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas, suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!

8) Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan, kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka; Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.

9) Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari. Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri sebenarnya.

Fikrah Imayu
(imayu05.blogspot.com)

Jumlah Pengunjung