30 April 2010

Sorotan Program Kepimpinan Pengawas PRS-Sekolah Menengah Abdul Jalil

Pada 23 April 2010 seramai 15 orang ahli PEPIAS yang diketuai oleh saudara Muzakkir Mohd Noor telah turun padang mengendalikan program kepimpinan Pengawas PRS di Sekolah Menengah Abdul Jalil. Program berlangsung selama 1 hari bermula jam 10.30 pagi dan disertai seramai 65 orang pengawas PRS dan juga perantis PRS (bakal PRS) yang terdiri daripada pelajar yang berusia 14 hingga 17 tahun. Objektif program ini diadakan adalah utuk melahirkan PRS yang berkaliber serta menunjukkan kepada adik-adik ini tentang peranan PRS di sekolah. Berikut adalah sorotan yang berlaku di sepanjang program sehari bersama adik-adik SMK Abdul Jalil :


Sesi ta'aruf penerangan modul oleh saudara Muzakkir kepada fasilitator



Sesi LDK 1 (ta'aruf, mind setting dan potensi diri)



Perbincangan LDK 2 : Roleplay

Melakonkan watak masing-masing dalam sesi Roleplay tentang gejala negatif di sekolah


Fasilitator melakonkan situasi vendalisme di kalangan pelajar


Fasilitator menunjukkan cara-cara yang sepatutnya seorang PRS
berunding di kalangan kawan-kawan yang menghadapi masalah



Bergambar kenangan bersama adik-adik


Program ini berakhir jam 6 petang. Semoga dengan kehadiran kami ini, dapat membantu adik-adik PRS dalam menjalankan tugas kalian di sekolah. Mainkan peranan anda sebagai seorang hamba, daie dan khalifah di atas muka bumi ini.

Barisan fasilitator yang turut membantu : Mustafa, Rahman, Helmi, Anas, Afiq, Muzakkir, Saufi, Adi, Ramizi, Rozaidi, Hafizah, Afiqah, Ayu, Munirah dan Hanis



28 April 2010

Catatan 5 hari 4 malam:Eksplorasi Dakwah dan Misi Bantuan Kemanusiaan 2010

12 Mac 2010, Jumaat-Sesi Ta'aruf : SUN memulakan sesi ta'aruf dan YDP ABIM Selangor menyampaikan beberapa amanat sebelum bertolak. Penginapan pertama kami ialah di Masjid As-Sobirin, terima kasih kepada ABIM Kuala Langat yang menyediakan penginapan dan seterusnya pengangkutan ke LCCT.
13 Mac 2010, Sabtu-LCCT : Jam 5.00pagi kami telah daftar masuk, solat Subuh secara berjamaah di Surau LCCT dan seterusnya 'boarding' pada jam 7.00 pagi untuk menaiki Air Asia. Ketibaan kami di Bandar Udara (Bandara) @ Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang Indonesia disambut mesra oleh Tim MRA, Pak Irfan dan Pak Yusman.
Ziarah Masyarakat & Kajian Budaya @ Taman Asuhan Pendidikan Ulama' Zuamak (TAPUZ) : Antara aktiviti yang kami adakan adalah gotong-royong membersihkan kawasan surau dan program motivasi kepada pelajar di sini. YDP diberi kesempatan juga untuk memberi sepatah dua kata dan tazkirah pada perjumpaan pertama ini. Kami juga sempat makan dan solat bersama anak-anak santri/murid, para guru dan AJK Yayasan. Uniknya pelajar di sini ialah mereka cepat mesra dan tinggi ilmu bahasanya, malah sungguh berkeyakinan walaupun hidup dalam serba kesederhanaan. Ketika ini pembiayaan dan perjalanan TAPUZ diselenggarakan oleh MRA dan dana yang berterusan sangat diperlukan untuk kelangsungan TAPUZ ini.

14 Mac 2010, Ahad-Pariaman : Destinasi seterusnya ialah melawat kawasan gempa seperti di Lubuk Laweh, Pulau Air dan Cumanak. Terdapat 3 buah bukit yang mengalami keruntuhan/kelongsoran akibat kesan gempa. Dimaklumkan bahawa lebih daripada 200 orang yang tertimbus dan menurut penduduk di situ lagi, ada lebih daripada 100 mayat yang tertimbus tidak dijumpai dimana masyarakat setempat menamakannya sebagai kubur massal (mass grave). Selepas kejadian gempa, laluan yang kami lalu ini untuk ke lokasi tanah runtuh/longsor sebenarnya telah dihalang oleh timbusan tanah dan menyebabkan penduduk kampung di sebelahnya tidak dapat keluar dari kawasan mereka. Simen (gambar) itu merupakan kawasan sekolah dan ramai pelajar yang meninggal dunia. Sesungguhnya banyak pengajaran yang kami perolehi dari kejadian itu.Pembinaan Rumah Syukur : Kami bergerak ke lokasi pembinaan Rumah Syukur, satu unit bernilai RM2,500. Antara bahan yang digunakan dalam pembinaan rumah ini ialah anyaman buluh untuk dinding, kayu terpakai untuk tiang dan rangka rumah manakala batu-bata terpakai bekas rumah yang runtuh untuk dinding bahagian bawah. Terdapat lebih daripada 110,000 rumah yang musnah teruk / tidak layak huni di sekitar Sumatera Barat kesan daripada gempa bumi tersebut. Ini adalah salah satu projek yang diusahakan oleh MRA. Sumbangan dana sangat diperlukan untuk membina lebih banyak Rumah Syukur.

Rumah Lindungan : Kami dibawa pula ke satu perkampungan yang penduduknya juga telah kehilangan rumah akibat gempa. Projek rumah lindungan ini adalah hasil sumbangan daripada NGO dari Indonesia sendiri yang dikenali sebagai Aksi Cepat Tanggap (ACT). Antara kemudahan yang dibina adalah surau, tempat jahitan tudung, sekolah, rumah panjang, tandas dan taman permainan.Bandar Padang : Seterusnya kami dibawa ke Bandar Padang untuk mengambil iktibar dari kesan gempa. Anehnya hanya beberapa bangunan sahaja yang mengalami keruntuhan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik 'keruntuhan terpilih' ini. Kami juga berkesempatan melihat jambatan Sitti Nurbaya dan merasai telur penyu.
15 Mac 2010, Isnin-Rehlah dan Lawatan Sambil Belajar : Kami dibawa ke Bukit Tinggi untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan juga membawa pulang buah tangan untuk saudara di Malaysia. Lokasi yang menjadi tumpuan kami ialah Lobang Jepang (terowong Jepun); tempat tahanan paksaan orang Jepun terhadap warga tempatan. Orang tahanan itu dipaksa bekerja, dipenjara dan dibunuh secara kejam.

16 Mac 2010, Selasa-Perkampungan Maninjau : Untuk ke Maninjau atau perkampungan HAMKA, kami terpaksa melalui Kelok 44 (selekoh 44) yang mana ia cukup menyeramkan kerana selekohnya begitu tajam. Namun, keindahan/panorama ciptaan Ilahi dari sudut pandangan dari atas bukit ke desa-desa di sekeliling Danau Maninjau sangat mengagumkan. Di perkampungan HAMKA, kami dibawa ke perkuburan datuk, moyang, bapa saudara dan ayah HAMKA.Masjid Syeikh Amrullah : Antara objektif lawatan ini juga adalah untuk memberi bantuan kepada penerima Rumah Syukur. Sesi pemberian sumbangan ini telah disampaikan oleh YDP ABIM Selangor. Lembaga Zakat Selangor juga adalah salah satu penyumbang terbesar dalam pembinaan Rumah Syukur.Pesantren HAMKA : Selesai sesi penyampaian sumbangan, kami ke Pesantren HAMKA pula. Para pelajar yang belajar di pondok ini kebanyakannya adalah anak yatim dan miskin daripada keluarga yang susah. Juga, sebilangan besar daripada para pelajar tersebut merupakan golongan muallaf daripada Kepulauan Mentawai, Indonesia. Mereka ini baru dipindahkan dari pesantren yang lama akibat dari gempa yang menimpa. Pesantren yang sediada 'tidak layak huni kerana ancaman tanah runtuh. Menurut guru di sini, kos pembiyaan seminggu adalah sekitar RM300 dan ini benar-benar menghendaki pihak pengurusan untuk berjimat sedaya mungkin. Semoga usaha yang murni ini mendapat keberkatan Allah. ABIM Selangor turut menyampaikan sumbangan dana kepada Pesantren Buya HAMKA. Sumbangan disampaikan oleh YDP ABIM Selangor kepada Pak Drs Zainul Ariffin selaku Ketua Pesantren.

17 Mac 2010, Rabu-Jeti Dumai : Kami bertolak dari Maninjau ke Dumai mengambil masa lebih kurang 15 jam (dari 4.45petang - 8.00pagi ) dan penginapan kami yang terakhir ialah di dalam bas. Setibanya kami di jeti Dumai, SUN mengadakan sesi penilaian untuk mendapatkan respon secara langsung dari setiap peserta. Alhamdulillah, jam 5.30petang kami tiba di Pelabuhan Klang dan masing-masing pulang ke rumah dengan 1001 pengalaman, keinsafan dan ilmu baru di dada. Syukur...Program Eksplorasi Dakwah & Misi Bantuan Kemanusiaan 2010 ke Sumatera Barat, Indonesia disertai oleh 22 orang peserta terdiri dari pimpinan ABIM Negeri Selangor, pimpinan Persatuan Pelajar Islam Selangor(PEPIAS), wakil dari Koperasi Belia Islam Berhad (KBI) dan 5 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).Penginapan peserta wanita bertempat di Sekretariat MRA, Simpang Jati, Pariaman manakala penginapan peserta lelaki adalah di surau yang berdekatan di Kg Jati. Antara pengisian yang terkesan di hati dan sanubari para peserta adalah slot tazkirah dan sharing moment di antara para peserta. Pada hari ke-2 terakhir, para peserta lelaki menginap di Masjid Syeikh Amrullah, Maninjau manakala peserta wanita di 'Rumah Warisan Minangkabau' yang berdekatan dengan masjid tersebut di tepi Danau Maninjau. Program ini berlangsung selama 5 hari iaitu pada 13-17 Mac 2010 bertujuan melatih pimpinan muda dalam menghayati semangat dakwah dalam kepimpinan disamping memberi pendedahan terhadap isu-isu semasa dan menjana kepekaan, semangat kerjasama dan bantu-membantu antara ahli dan masyarakat setempat serta menghulurkan bantuan kepada golongan yang sangat memerlukan. Program ini adalah anjuran dan kerjasama di antara ABIM Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Peserta lelaki : Ustaz Zawawi, Sdr. Khairudin, En. Shamsudin, Hj. Shirajuddin, Ustaz Harith, Sdr. Shafezan, Sdr. Azam, Sdr. Syukur, Ustaz Darul, Sdr. Rijal, Sdr. Ezwan & Adik Faizi

Peserta perempuan : Sdri. Liza, Sdri. Awin, Sdri. Adiba, Cikgu Rahimah, Sdri. Zalina, Sdri. Hanis, Sdri. Hidayah, Ustazah Hazlina & Sdri. Mija

25 April 2010

Gambar-gambar Usrah PEPIAS PUSAT

PEPIAS PUSAT



Usrah Ziarah Dato' Razak di rumah beliau



Usrah Ziarah Abg Syiraj di rumah beliau.



Usrah di CICC
( Changkat International Convention Centre )



Usrah Ziarah En Azam di rumah beliau.

22 April 2010

Program Utama PEPIAS 2010

Berikut adalah senarai nama Pengarah bagi program-program utama PEPIAS tahun 2010 :-

1. LAKEP
( Latihan Asas Kefasilitator dan Pengurusan )
28-30 Mei 2010
Pengarah : MUZAKKIR B MOHAMAD NOOR

2. KKPI 2010
( Kursus Kepimpinan Pelajar Islam Negeri Selangor )

UTARA (Gombak, Petaling Jaya, Shah Alam, Pandan )
25-27 JUN 2010
Pengarah : AHMAD FAWWAZ

SELATAN ( Bangi, Ampang, Kuala Langat )
9-11 JULAI 2010
Pengarah : MUHAMMAD AFIQ B RAMLEE

3. PMG 11 2010
( Perkampungan Menara Gading Negeri Selangor )
24-26 DISEMBER 2010
Pengarah : MUSTAFFA KAMALUDDIN B MASLUPI


Keputusan dibuat oleh musyawarrah pimpinan Pusat pada 21 April 2010. Diharapkan kepada Pengarah yang diamanahkan tanggungjawab ini dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya. Anda boleh lah membentuk komiti anda dan draf kerja masing-masing bermula sekarang. Semua program ini akan dipantau oleh Exco Latihan dan Kepimpinan dibawah seliaan Sdr Shafezan b Rosli dan Naib Presiden, Sdr Azali Mohd Nor. Satu perjumpaan akan diadakan dalam tempoh terdekat. Sekian.

Sorotan kita...

Salam buat semua.

Sudah lama blog pepias ini dibiarkan tanpa di update oleh pihak-pihak yang terlibat. Mungkin kerana kekangan masa yang tidak dapat dielakkan. Kerja untuk Islam ini memerlukan banyak pengorbanan yang besar. Penulis disini ingin menceritakan sorotan beberapa program dalam PEPIAS buat tatapan semua.

Bulan April yang dikatakan sebagai bulan April Fool ini sebenarnya banyak mendatangkan peluang buat warga PEPIAS. Jaringan dengan masyarakat telah terbentang luas. Sana-sini program sekolah di alu-alukan. Beberapa cawangan rancak mengatur strategi untuk turun ke sekolah bagi menghidupkan budaya dakwah dalam program-program yang dianjurkan.

Baiklah disini penulis ingin bercerita sedikit beberapa program yang telah penulis hadiri sepanjang bulan April ini. Mungkin ade yang kata PEPIAS ni tiada buat program ke? Tapi sebenanrya banyak program yang dianjurkan dan disertai oleh PEPIAS. Cuma tidak diuar-uarkan kepada media yang sedia ada. Bulan April dimulakan dengan satu program sekolah iaitu di SMK Jalan Bukit, Kajang selama sehari yang berkonsepkan program Smart Solat. Seramai 22 orang fasilitator terlibat untuk memimpin seramai 200 orang peserta. Program yang dikelolakan oleh cawangan Bangi ini telah mendapat respon yang baik oleh pihak sekolah dan telah mendapat dua program lagi untuk bulan depan. Inilah buktinya. Jika kita niat kerana Allah pasti ade pertolongan daripada-Nya.


Mini Tamrin Pusat akhirnya menjadi realiti pada tahun ini. Alhamdulillah, nawaitu untuk meningkatkan dari sudut tarbiyah dalam diri setiap ahli PEPIAS akhirnya PEPIAS berjaya mengadakan mini tamrin. Cerita-cerita mengenai mini tamrin ini telah dikupaskan sebaiknya dalam post blog sbeelum ini. Boleh dibaca di bawah ini. Cuma penulis berharap tahun ini ahli-ahli PEPIAS dapat ditarbiyahkan sebaiknya kerana nilai-nilai seperti ini hampir pupus dalam PEPIAS namun dengan inisiatif exco berkaitan ia berjaya juga diadakan. Ahli-ahli PEPIAS sekarang sudah kurang dari sudut tarbiyahnya. Walaupun ahli PEPIAS ramai tapi masih lagi kurang yang ada dalam hatinya untuk menegakkan Islam. Mungkin disebabkan join PEPIAS kerana kawan, atau nak jumpe abg2,kakak2 yang hensem dan cantik. Benda ini perlulah dicampakkan sejauhnya. Susulan daripada mini tamrin ini, PEPIAS akan menganjurkan satu lagi program tamrinnya iaitu pada 8 dan 9 Mei nanti di mana sasarannya lagi ramai. Diharapkan lebih ramai ahli PEPIAS dapat menyertainya. Kenapa penulis masih kekal lagi dalam PEPIAS ini mungkin kerana ditamrinkan sebaiknya pada masa dulu oleh senior-senior jadi kita semua perlu merasa tamrin ini untuk kuatkan hati masing-masing.


Pada bulan 4 ini sahaja, penulis dan rakan-rakan telah pergi 2 program orang Asli iaitu di Bukit Kala,Gombak dan Sg Jang,Hulu Selangor. Kedua-dua program ini dianjurkan oleh JAKIM dan pihak JAKIM telah menjemput PEPIAS untuk turut serta dalam program ini. Ranny,Jim Jim, Danny,Nabila, Giring itulah nama anak2 orang asli yang melekat dalam ingatan penulis. Alhamdulillah, suatu pengalaman yang menarik telah diperolehi dalam program ini dari segi cara berdakwah dengan orang Asli dan komunikasi dengan orang Asli. Walaupun sebenarnya penulis jelous ada orang asli tu mempunyai motor GTR. Hehe.



Tahun ini PEPIAS rancak dengan program sekolahnya berbanding tahun lepas. Sasaran 25 sekolah dalam SKT pasti dapat dilaksanakan sekiranya semangat ahli yag sedia ada ini dapat dikekalkan. Misalnya pada bulan 4 ini sahaja, Cawangan Ampang sudah mempunyai 2 program iaitu di SRAI Taman Keramat dan SRA Dato Keramat, manakala cawangan Bangi juga mempunyai 2 program iaitu di SMK Jalan Bukit dan SMK Abdul Jalil, cawangan Shah Alam 1 program iaitu SMK Seksyen 27. 1 program sekolah Pusat iaitu SMK Taman Desa 2. Jumlahnya 6 buah sekolah pada bulan 4 ini sahaja. Alhamdulillah beberapa program sekolah ini turut disertai oleh 'orang-orang lama' dalam PEPIAS setelah lama tidak muncul. Namun perlu diingat, kerancakan program sekolah ini bukan atas dasar kejar nama tapi kerana inilah medan dakwah yang kita ada. Pengisian perlulah mantap, tarikan perlulah kuat, tarbiyah perlulah cemerlang, fasilitator hendaklah gempak. Barulah dakwah Islam ini cemerlang,gemilang dan terbilang. Janganlah buat program sekolah ini main-main dan tangkap muat sahaja, kerana amanah yang kita pikul ini sangatlah berat. Kita menjadi contoh kepada adik-adik program kita. Tapi mana follow up kita selepas adakan program?


Penulis tertarik dengan satu program yang barubaru ini penulis pergi sebagai fasilitator. Pesertanya dikalangan budak-budak yang 'nakal'. Sudah lama penulis tidak pergi program seumpama begini. Penulis berasa teruja apabila dapat same2 pergi dengan team fasi yang dijemput. Watak penulis yang ceria2 berubah menjadi garang sehinggakan sudah terlintas di hati adik-adik ini untuk belasah penulis pada waktu tidur. Semua cerita ini penulis tahu setelah berakhirnya program tersebut di atas pengakuan jujur adik-adik tersebut. Alhamdulillah, adik-adik yang mempunyai kenakalan seperti tidak tahu sembahyang dan mengucap ini, perokok, peminum arak, penghisap dadah, pemain perempuan dan pernah terlanjur ini telah nekad untuk berubah. Ada diantara mereka memesan pada penulis buku panduan solat, ada di antara mereka menjemput penulis untuk datang kerumah supaya dapat mengajar mereka solat, ada diantara mereka terus memutuskan hubungan dengan pasangan mereka, ada diantara mereka sanggup datang ke Gombak untuk belajar dan macam-macam lagi. Hati penulis sungguh terharu dengan kesungguhan adik-adik ini untuk berubah. Penulis rasa penulis juga perlu berubah menjadi yang lebih baik. Penulis tidak mampu melakukan kerja-kerja ini seorang, penulis memerlukan sahabat-sahabat dalam PEPIAS untuk sama-sama membantu adik-adik seperti ini. Janganlah ego atau sombong atau geli untuk membantu mereka. Ada hikmah disebalik kegarangan penulis ketika program itu rupanya. Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat.


Baiklah, inilah serba sedikit coretan penulis untuk program anjuran dan yang disertai oleh PEPIAS. Sebenarnya banyak lagi program yang diadakan seperti Bengkel Latihan Hak Kemanusiaan anjuran SUHAKAM, Induksi PEPIAS Gombak, Mini Tamrin Cawangan Pandan dan Induksi PEPIAS PJ. Penulis megucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada adik-adik cawangan Shah Alam dalam penganjuran Bengkel Asas Fasilitator Islam pada hujung minggu ini. Jadikan ia permulaan bagi anda semua untuk istiqamah dalam medan dakwah di bawah wahdah PEPIAS. InsyaAllah. Kalo buat program, buatlah sebaik-baiknya sehinggakan kita masih lagi tidak puas dengan kerja kita.




Buat semua, Ingatlah melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah secara ikhlas dan sebijaksana mungkin adalah kerja kita. Memberikan hidayah pula adalah kerja Allah. Kita ini perlulah berjiwa besar bahawa mengajak manusia kembali kepada Islam adalah tugas yang amat mulia. Penulis selalu berpegang kepada kata-kata ini " Jika kamu menolong agama-Ku, pasti Aku akan menolong kamu" dalam mana-mana program yang penulis sertai. Penulis pasti ada yang akan cakap-cakap belakang tentang apa yang dituliskan oleh penulis ini namun kalo itu baik, penulis ambil sebagai pedoman kalo tidak, ia sebagai iktibar. Bak kata En Azam (bekas presiden ABIM) pabila kita lakukan kerja dakwah ini pasti akan disertai dengan fitnah.


Akhir kata, jangan banyak kata orang, lihat diri sendiri tu dulu, da cukup sempurna ke? Dakwah tanpa ilmu cenderung membimbing pemikiran kepada emosi. Dakwah tanpa intelek pula sering berakhir dengan resolusi demi resolusi.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas dari penulis.

19 April 2010

Mini Tamrin Sesi Pertama - 3 & 4 April 2010

Pada 3 dan 4 April 2010 yang lalu telah berlangsungnya Mini Tamrin Sesi Pertama diketuai oleh saudara Timbalan Presiden, Abdul Syukur selaku Setiausaha Majlis Tarbiyah PEPIAS. 5 budaya berjemaah yang diterapkan dalam diri ahli PEPIAS ialah tamrin, rehlah, usrah, budaya ilmu dan muktamar. Justeru itu, seramai 18 orang ahli PEPIAS yang terdiri daripada pimpinan cawangan mahupun pusat turut menyertai mini tamrin yang julung-julung kali diadakan untuk sesi 09/10 ini. Sesi ini bermula jam 6 petang, sesi pendaftaran peserta seterusnya solat Maghrib secara berjemaah. Berikut adalah catatan yang berlaku disepanjang perkampungan 2 hari 1 malam di sekreteriat PEPIAS, Kg Changkat Gombak :


Sesi pembelajaran oleh Pak Arbani tentang teras seorang pendakwah



Pak Nifdal , sahabat Pak Arbani yang turut hadir


Wakil Muslimat yang hadir


Sebahagian peserta bergambar kenangan bersama Pak Arbani dan Pak Nifdal


Mini Tamrin sesi petama ini berakhir dengan amanat dari saudara Presiden, Mohd Zulhelmi Abdullah pada jam 11 pagi pada hari Sabtu. Kepada sahabat-sahabat yang selamat menjalani sesi mini tamrin ini, semoga segala ilmu yang diperolehi sepanjang 2 hari 1 malam ini sedikit sebanyak dapat diaplikasikan dalam hidup kita sebagai pendakwah. Tegarkan hati, usaha berterusan insyaAllah, Allah sentiasa memerhati dan membantu.




There was an error in this gadget

Jumlah Pengunjung