31 May 2010

Kepimpinan Dalam Melahirkan Kualiti Tamadun Khaira Ummah

Usrah Ziarah bersama Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba (26 Mei 2010)

Majlis perkongsian ilmu PEPIAS diteruskan lagi dengan berkunjung ke rumah Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba di Taman Melewar, Gombak. Kira-kira 26 orang ahli PEPIAS telah hadir untuk menyertai sesi usrah ziarah ini. Bermula dengan solat maghrib secara berjemaah, kemudiannya bacaan mathurat dan sesi ta’aruf dijalankan sementara menanti waktu Isya’. Usai solat Isya’ berjemaah, ahli-ahli PEPIAS dijamu dengan air tangan isteri Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba yang telah bersusah payah menyediakan hidangan buat kami.
Majlis ilmu bermula jam 9 malam, di mana naqib pada malam tersebut iaitu saudara Zafrullah bin Aris telah mencadangkan sesi perkongsian ilmu PEPIAS secara rutin bersama Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba sekurang-kurangnya sebulan sekali. Tajuk usrah ziarah yang telah dimaklumkan oleh pihak naqib kepada Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba ialah Kepimpinan Dalam Melahirkan Kualiti Tamadun Khaira Ummah. Isi-isi perkongsian bersama Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba pada malam itu antaranya:

1. Sistem Makruf
• Mengubah sistem pendidikan, pentadbiran hatta perbankan yang selari dengan syariah. Utamanya melalui pendidikan, dengan melahirkan graduan-graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu fardhu kifayahnya malahan fardhu ain. Melahirkan jurutera yang memahami Islam, doktor yang mampu menyampaikan ceramah agama dan sebagainya.
• Mengubah sistem pendidikan, kita juga mampu mengubah sumber media untuk menjadi lebih baik dengan pengawalan bentuk tayangan atau ‘output’. Umum mengetahui pengaruh media sangat besar dalam pembentukan individu terutamanya kanak-kanak.
• Menjadikan Islam sebagai System Of Belief dan Islam Is The Way Of Life. Memahami konsep ini pastinya segala perbuatan dan perlakuan manusia mencakupi ruang lingkup agama. Islam itu syumul.
• Rahmat dan nikmat Allah yang tidak putus. Kasih saying antara ayah dan anak, suami dan isteri serta sebaliknya.
• Bagaimana memahami yang ghaib. Nyatanya orientalis barat kerap menyogokkan dan memomokkan persoalan bentuk dan rupa tuhan. Kewujudan Allah yang Maha Berkuasa sedangkan zahirnya tidak terkelihatan oleh mata. Analoginya : “Adanya kipas lalu dipetik suisnya maka, kita merasakan angin yang menyejukkan persekitaran. Adanya arus elektrik yang mengalir untuk menjana tenaga kipas itu untuk berpusing. Persoalannya, bagaimanakah rupa bentuk tenaga elektrik itu??Sebarang oenjelasan atau pendefinisian??”
• Konflik antara saintis dan gereja di mana pengkajian sains yang tidak mempercayai kepada wujudnya Tuhan. Sedangkan pada suatu ketika dulu, gereja dianggap sebagai pusat perkembangan ilmu di mana ianya mengangkat tentang nilai-nilau kewujudan tuhan. Percanggahan pendapat antara saintis dan paderi berlaku. Hakikatnya ilmu sains berasal dari Islam sedangkan kita lagi mengetahui bahawa kitab Al-quran yang telah turun ketika zaman Rasulullah menyebut tentang kepelbagaian kajian mengenai alam semesta, penciptaan manusia dan sebagainya. Ilmu ini disadur oleh barat dan telah diubah kepada pelbagai bahasa. Karangan yang dijadikan rujukan utama dalam dunia perubatan iaitu Qanun fi al-thib karya Ibn Sina menjadi bukti bahawa Islam mendahului pemikiran ilmu berbanding Barat.
• 3 sifat yakin iaitu ‘Ainul Yaqin, ‘Ilmu Yaqin dan Haqul Yakin
• Rasa ketuhanan iaitu Supreme Value (Tauhid) dan Therapy Value (Ukhrawi)
• Adabul Ikhtilaf merupakan sumber rahmah.
• “We are not against west, but we are cautious of the process of westernization”


2. Daie dan Murabbi
• Surah Ali Imran ayat 114. Maksudnya : “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhir, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera (mengerjakan) berbagai kebajikan. Mereka termasuk orang-orang soleh”.
• Merupakan seorang yang yang tidak menghampiri perkara-perkara lagha dan sentiasa menjaga kemaluan (maruah).
• Perspektif ilmu : Ilmu yang bermanfaat (Rasulullah – “Bebaskanlah tawanan itu dengan mengajarkan mereka menulis dan mengira”) dan Al-Quran itu lengkap.
• Clash of Civilization : dakwah itu perlu DINAMIK dan dakwa perlu KREATIF.

Usrah ini berakhir pada jam 11.00 malam dengan setiap dari kami diamanahkan dengan 2 buah buku karya Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba iaitu “Jalur Berfikir Remaja Islam” dan “Pembangunan Yang Fitrah”. Perkongisan yang sarat dengan hujah untuk membuka minda remaja islam yang bergelar daie dan pendakwah. Tidak lupa juga buat semua yang bergelar hamba. Wallahu’alam.

21 May 2010

TARbiyah atau TERbiar??


Manusia sentiasa diberi Allah 2 pilihan dalam kehidupan. Jalan yang baik dan jalan yang buruk. Jalan yang menuju syurga atau neraka, hidup atau mati, buat atau tidak, kalau kita nak kahwin tak boleh kahwin adik beradik, pilih akak atau adik?. Semuanya 2 pilihan. Nak masuk syurga Allah takde jalan belakang mahupun jalan tengah2….hanya ada 2 jalan..

Sambil memetik ayat Al-Quran dalam Surah As-Sajadah ayat 18, Firmannya yang bermaksud
“Adakah orang yang beriman sama dengan orang yang fasik? Tentu tidak sama”

Tak sama orang yang beriman dengan orang fasik(keluar dari garisan agama). Pilihlah, kita yang mentukan jalan kita dari sekarang bukan dah beruban, bukan bila kulit dah kedut, atau dah tua baru kita nak tercari2 kompas hidup. Masalah tu!! sebab bila kita dah pilih satu jalan, kemudian nak U-turn balik mungkin memerlukan minyak yang penuh dalam tank tapi kalau tak sempat nak U-turn??? Mati kat tengan jalan?? Nauzubillah..tak sempat nak pergi jalan yang baik…

Bila kita kadang ajak adik2 atau rakan2 untuk join usrah atau halaqah2 ilmu, kadang2 mereka ini pun pernah join masa dahulu tapi bila di tanya kenapa tak join lagi?. Rata2 akan menjawab “sibuk, takde masa, banyak kerja”. Itu jawapan standard…memang itu pun skema jawapan orang yang malas…

Apatah lagi yang langsung takde keinginan nak belajar ilmu agama, mereka lebih suka jalan yang mereka pilih seronok2, bagi mereka buat apa dah tua nanti bertaubatlah, sekarang kita enjoy puas2, apatah lagi yang ambil enteng amalan2 fardhu…..hidupnya terbiar, tiada yang pandu. Atas paksi apa mereka hidup? Nafsu atau bisikan syaitan??

Bagi yang pilih jalan yang baik. Mereka rasa amat perlu ditarbiah. Apa itu tarbiah??? Tarbiah adalah satu proses mengembalikan semula kehidupan secara Islam. Yang mana objektifnya menyedikan muslim yang meletakkan sepenuhnya ubudiyah kepada Allah, berkeperibadian soleh, mengurus peranannya di dunia dan berjaya di akirat….bagi saya antara jalan lain, salah satunya jalan inilah yang dapat membantu kita untuk kita ‘stay’ jalan ke syurga Allah….

Imam Hassan Al Banna ada menyebut dalam Risalah bainal amsi wal yaum(Antara semalam dan Hari ini). Adaka kita mahu mengumpulkan harta, seangkan ianya bayangan akan lenyap. Adakah kita mencari kemasyhuran, sedankan ianya kan hilang. Adakah kita mahu jadi samseng di muka bumi ini??

Firman Allah yang bermaksud “Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang2 yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan yang baik itu adalah orang2 yang bertaqwa”(Al-Qasas:83).

Credit to Putra Al-Kahfi for this article


17 May 2010

JASAMU DI KENANG...


Dulu...
Tika mula mengenal huruf
Tika mula mengenal eja
Tika tidak mengenal erti baca
Tidak juga mengenal erti menulis
Perlahan kau memujukku
Katamu,
Anakku …
Duduklah bersama teman-teman kecil lain
Lalu perlahan-lahan ku mengukir senyum
Hingga akhirnya membuahkan tawa

Guru...
Dulu tika ku pernah menangis
Pernah pula putus asa
Kerna huruf yang kutulis
Tidak secantik yang kau ajari
Kau datang mengesat airmataku
Lalu kau genggami tanganku
Menarikan pensil kayu
Yang terpasak digenggamanku

Guru...
Tika ku membesar
Mula mengenal erti kehidupan
Terkadang ku hilang arah
Ku hilang pedoman
Lalu ku cari dirimu
Agar dapat ku memetik buah nasihat
Yang setulus lahirnya
Dari hati nuranimu

Guru...
Ku tidak punya harta
Untuk membayar kesabaranmu
Selama mendidik dan menasihatiku
Namun ku hanya punya doa
Untuk kutadahkan pada-Nya
Moga kebaikanmu diganjari-Nya
Kerana
Hanya Dialah sahaja
Yang layak membalas
Segala pengorbananmu
Terima kasih Guru..

Karya: Wardah al-misk

7 BUDAYA PEPIAS

1. Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia

2. Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar

3. Memperkasa amalan kerohanian

4. Memperkasa semangat ukhuwah

5. Menghayati amalan syura, amal jamaie dan budaya kerja terancang

6. Menghayati ruhul jihad fisabilillah

7. Prihatin dan beriltizam dengan isu semasa

Renungkan dan hadamkan dalam diri kalian wahai ahli PEPIAS. 7 budaya yang perlu ada sebagai seorang muslim. Adakah anda ingin menjadi seorang muslim yang mukmin atau hanya sekadar muslim di kad pengenalan??

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi, maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri”. Maka, saling berpesan pada satu sama lain semoga kita semua memperoleh syafaat.

16 May 2010

USRAH: NADI YANG BERDENYUT DALAM JEMAAH

(Sekadar Hiasan)

Salah satu kegiatan dan amalan yang menjadi budaya dalam PEPIAS ialah usrah. Usrah dalam tarbiyah amat penting kerana ia membina keperibadian Muslim menerusi manhaj tertentu daripada penglibatan anggota harakah dalam jemaah yang kecil bilangannya. Usrah menghubungkan anggotanya secara lansung dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Usrah ialah sekumpulan individu mukmin yang berusaha dan bertolong-tolongan di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan perintah Allah. Istilah usrah juga digunakan untuk merujuk kegiatan untuk mencapai tujuan tersebut. Ia dilaksanakan sebagai program pendidikan atau tarbiyah yang utama dalam PEPIAS. Usrah membantu memperkukuh hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Daripada rangka luas jalur dakwah PEPIAS-ABIM-WADAH, Idea memperkenalkan Usrah bermula di ABIM yang diilhamkan melalui pengalaman para pengasas ABIM dengan beberapa gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin dan Jamaah Islami. Program khas bagi membentangkan kertas kerja tentang usrah dan bagaimana ia harus dilaksanakan didalam organisasi ABIM telah dianjrkan buat pertama kalinya di Masjid Negara pada bulan Disember 1972. Kertas kerja bertajuk Konsep dan Struktur Organisasi Usrah oleh Ustaz Razali, antara lain mengandungi falsafah dan konsep pelaksanaan, struktur, sukatan dan kandungan serta tanggungjawab Naqib.

Sedikit sebanyak sejarah tersebut memberi impak besar kepada gerakan PEPIAS ketika mana sekumpulan bekas pelajar Kolej Yayasan Anda yang terletak di Jalan Hamzah, K.L merintis gerakan dakwah ini bermula sekitar tahun 70-an. Sistem usrah dimulakan, dikembangkan serta dimantapkan hari ke hari, tahun ke tahun semata memastikan sistem usrah benar-benar berkesan. Bagi memastikan pengurusan Usrah berjalan dengan baik, Jawatankuasa khas yang dinamai Majlis Tarbiyah PEPIAS yang dipengerusikan oleh Saudara Zamani Karulani, Mantan Presiden PEPIAS, Di selia oleh Saudara Syukur, Timbalan Presiden dan di bantu oleh Exco Dakwah Ta’dib dan kebajikan ditubuhkan oleh persidangan syuro yang lalu.

Kini, Usrah PEPIAS bergerak bermula daripada peringkat pusat dengan menjalankan Usrah Pepias Pusat pada setiap hari rabu malam di sekretariat PEPIAS. Walaupun usrah ini dihadiri oleh pimpinan dan ahli daripada pelbagai cawangan, namun ternyata ia tetap relevan untuk diteruskan memandangkan kepada prioriti memenuhi keperluan dan tuntutan sebagai ahli Jamaah yang berkualiti. Namun, Usrah Pimpinan Pusat masih belum diadakan sejak pimpinan yang baru ini menaiki takhtanya. Tidak boleh dikatakan sebagai hak atau sesuatu yang berwajah ekslusif daripada pelbagai pihak apabila usrah pimpinan nanti diadakan, sesungguhnya, pimpinan wajar diberi pendedahan yang lebih besar memandangkan merekalah yang mengemudi kapal dakwah ini.

(Sekadar Hiasan)

Di peringkat cawangan pula, Usrah berjalan dengan baik di beberapa cawangan, walaubagaimanapun, tampak kelesuan dan kelemahan yang wajar diberikan perhatian yang khusus memandangkan usrah menjadi aktiviti utama pepias cawangan. Sesungguhnya, inilah yang harus di beri perhatian khusus kepada semua MURABBI Cawangan iaitu memastikan sistem usrah berjalan dengan baik dan lancar. Dengan ini, peringatan diberikan kepada semua yang diberi amanah oleh Allah sebagai Murabbi untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya, jangan pula Murabbi merasa ekslusif dengan jawatan yang diberikan sehingga tidak mampu menegur atau menjalankan tanggungjawab sebaiknya. Sesungguhnya hal ini sangat2 penting demi menjaga peradaban PEPIAS, jemaah islam dan Islam khasnya. Pendidikan yang baik dan tulus bakal melahirkan kader-kader yang pro-aktif dan berkesedaran tinggi, tetapi dengan tarbiyah yang lemah hanya akan menyebabkan kader-kader ini sesat dalam jalan ini.

Kesimpulannya Usrah menjadi tunjang dan nadi jemaah, jika nadi ini berhenti berdenyut atau lemah denyutannya maka tunggulah saat hati jemaah ini mati untuk selamanya.

11 May 2010

MINI TAMRIN 2


8 dan 9 Mei yang lepas telah berlansung MINI TAMRIN PEPIAS kali ke-2 di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, seramai 38 orang yang terdiri daripada 11 pimpinan pusat dan selebihnya ahli pelbagai cawangan hadir menyuburkan diri untuk aktiviti2 tarbiyah yang dianjurkan. Barakallahu Fik diucapkan kepada penginfak fikir, masa, wang dan tenaga.

Sesungguhnya MINI TAMRIN pada kali ini diadakan bagi memantapkan fikrah dan penghayatan budaya PEPIAS yang kelihatan seperti Hidup segan Mati tak Mahu. Secara khususnya peserta akan mengetahui bagaimana penghidupan 7 budaya ini dapat mengihya’kan kembali kesedaran dan muhasabah dalam diri untuk berusaha menjadi insan yang redhai Allah.

Setiap ahli jamaah juga perlu tahu bahawa, rasa kesedaran ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Maka, konteks ‘kecil’ dalam jamaah ini bermaksud mereka yang masih baru mengenali PEPIAS atau sedang mencari arah atau langkah permulaan dalam PEPIAS. TAMRIN merupakan salah satu elemen penting bagi setiap ahli haraki. Maka Tamrin adalah Wajib Haraki kepada Pimpinan dan Ahli jamaah PEPIAS. Sesungguhnya ketidak hadiran pada TAMRIN seharusnya menjadi aib yang besar lebih-lebih lagi dari kalangan pimpinan.



Antara pengisian yang telah berlansung pada MINI TAMRIN kali ini adalah:

-Solat Berjamaah

-Kuliah Maghrib daripada pihak Masjid Hidayah

-Sesi Tahsin Surah Al-Fatehah

-Sesi Tilawah ma’a Tashih Qiraatul Quran

-Diskusi 7 Budaya PEPIAS

-Sesi Penghadaman Budaya 7 PEPIAS

-Qiyammullail jama’ie

-Kuliah subuh daripada pihak Masjid Hidayah

-Sesi Senaman bersama Pak Imam

-Bacaan Al-Mathurat jama’ie

-Sesi Hafazan: Surah Lazim dan 7 Budaya PEPIAS

-Slot pengisian Fikrah Jamaah By Abang Rozaidi

-Kesimpulan TAMRIN

Daripada Mini Tamrin yang diadakan , Setiap pimpinan dan ahli pepias Wajib (Wajib Haraki) tahu dan akan berusaha bersungguh-sungguh membudayakan 7 Budaya PEPIAS yang telah dipelajari.

Dan diharapkan aktiviti-aktiviti tarbiyah seperti ini akan mendapat perhatian khusus daripada kalangan pimpinan dan cawangan untuk diteruskan dan dibudayakan seterusnya menangkis segala perpecahan, ketidaksefahaman dan fitnah yang kian berselindung dalam selimut dengan banyaknya dalam jamaah ini. Semoga Usaha ini diberkati Allah.

05 May 2010

Usrah PUSAT 5 Mei 2010

Assalamualaikum..

Dijemput semua ahli PEPIAS untuk hadir ke usrah pusat malam ini. Usrah bermula dengan solat maghrib secara berjemaah. Berikut tajuk perbincangan usrah malam ini:

Tafsir: Surah Al-Baqarah - ayat 30-39
Hadith: Hadith pertama (matan arbaiin)
Sirah: Khutbah wida' Rasulullah s.a.w
Isu semasa

Kepada ahli usrah, laksanakan 'kerja rumah' kalian dan kepada para pembentang, harapnya bersedia. Sila bawa makanan masing-masing untuk santapan bersama. Syukran alaik..

01 May 2010

Program Bersama Orang Asli

LAWATAN KE KAMPUNG ORANG ASLI KERICHI,HULU SELANGOR


Pada 12-13 April 2010,Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) telah menerima jemputan untuk bersama-sama menghadiri program bersama orang asli bertempat di Kerichi,Hulu Selangor. Program ini telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Seramai lima orang ahli PEPIAS telah mengikut program ini dan diketuai oleh Pengerusi Perhubungan PEPIAS cawangan Gombak sendiri iaitu saudara Ahmad Fawwaz diikuti Sdr Muzakkir, Sdr Razieman, Sdr Umar dan Sdr Amir Aizat.


Kami tiba di Perkampugan Orang Asli Kerichi tepat pada pukul 6 petang dengan menaiki kereta Waja. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam dari Gombak. Setibanya kami di sana, kami telah disambut oleh Tok Batin sendiri serta beberapa pegawai JAKIM yang terlebih dahulu sampai daripada kami. Kami dihidangkan dengan nasi lemak sebagai hidangan makan malam. Program dijangka bermula selepas solat isyak. Selepas solat maghrib, pihak JAKIM memberi sedikit taklimat tentang perjalanan dan tentatif program.


Tepat jam 9 malam, program dimulakan dengan ‘wayang pacak’ bertajuk “Jangan Pandang Belakang Congkak” sebagai cara untuk beramah mesra dengan mereka.Gelak ketawa masyarakat orang asli jelas kedengaran semasa menonton cerita tersebut. Tayangan wayang pacak tamat pada pukul 10 setengah dan masyarakat orang asli pulang ke rumah masing-masing dan kami masuk tidur untuk mengambil rehat yang secukupnya bagi memastikan perjalanan program ini berjalan dengan lancar.


Selepas solat subuh, sedikit tazkirah ringkas diberikan oleh ahli PEPIAS sendiri. Kami telah diberi peluang untuk melihat panorama empangan Sungai Selangor pada waktu pagi. Pemandangannya sungguh cantik dan menakjubkan. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar sebagai kenangan. Pada pukul 7.30 pagi, sarapan pagi telah disiapkan untuk kami serta masyarakat orang asli. Tok Batin telah mamanggil anak-anak buahnya untuk datang menikmati sarapan. Selepas menikmati sarapan, pelbagai acara telah dipertandingkan untuk pelbagai peringakat umur. Antaranya adalah ‘jalan itik’, ‘makan ais krim’, ‘pecah belon’, ‘rebut gula-gula’ dan ‘lambung belon air’.


Semua acara tamat pada pukul 12 tengah hari. Makanan tengah hari telah disediakan dan masyarakat orang asli serta kami semua menikmati juadah yang di sediakan. Selepas itu, majlis penutup diadakan. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah JAKIM. Penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah sendiri. Semasa majlis penutup, suatu acara istimewa diadakan iaitu pengislaman salah seorang masyarakat orang asli. Selepas pengislaman tersebut, wakil daripada pihak JAKIM telah membaca doa kesyukuran atas pengislaman tersebut. Majlis berakhir pada pukul 2 petang. Setelah solat zuhur, kami berangkat pulang ke Gombak.


Laporan disediakan oleh Umar Murtadza ( peserta PeBIS 2010 ).

There was an error in this gadget

Jumlah Pengunjung