07 November 2012

Apa makna kehidupan?



                14 Jun 1989. Hari teramat bersejarah dalam kalendar hidupku. Mana tidaknya, hari pertama roh dan jasad aku dirasai oleh dunia bumi nyata! Hari pertama tangisanku didengari oleh dua orang yang aku terhutang budi sampai bila-bila. Tidak pasti bagaimana agar dapat aku membalasnya dengan kadar yang sebenarnya. Sangat tidak pasti. Kebimbangan aku ini ditambah lagi dengan kisah betapa harubirunya keadaan ayah apabila ibu kesakitan dan perlu dikejarkan ke hospital secepat mungkin di waktu malam, dan aku kini baru sedar betapa banyak dosa telah aku lakukan pada mereka. Astaghfirullahalazim. Ya Allah Tuan punya diri ini dan alam ini, tolong ampunkan aku dan kedua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.
               
            Teringat pula ketika umurku sekitar 6-8 tahun jika tidak silap. Waktu itu aku lihat sijil kelahiranku buat pertama kali dalam keadaan yang waras dan boleh berfikir. Baru aku tahu aku lahir pada 16 Jun, dan aku terus meneliti siapa aku sebenarnya melalui kertas itu, waktu lahir, warganegara dan lain-lain. Tahu tak apa antara yang paling tidak menarik perhatianku waktu itu? Tentulah butiran tentang ‘Agama : Islam’, kerana aku tidak nampak makna atau erti kepentingannya, aku hanya warisinya daripada ibubapa. Biasalah orang Islam di Malaysia ini kan ramai. Semua rileks sahaja jadi orang Islam, tidak ada apa-apa yang ‘gempak’ pun. Bermacam-macam lagi sebab aku tidak perlu ambil peduli tentang butiran itu. Yang aku tahu arwah ibu aku selalu marah jika tidak solat. Aku solat sebab ibu suruh atau ikut-ikut sahaja.
              
          Hari demi hari, sepanjang persekolahan, Allah rezekikan aku kesedaran dan kefahaman agama sedikit demi sedikit. Tidak banyak pun. Mungkin dengan bacaan ‘ihdinas siratal mustqim’  sekurang-kurangnya 17 kali sehari bersama sedikit penghayatan ditambah dengan hati yang benar-benar mahu transform itu benar-benar membantu. Mungkin. Hanya Allah Maha mengetahui, tetapi aura dan gelombang keseronokan waktu muda itu aku turut ikuti dalam beberapa hal. Tidak dinafikan. Biasalah, orang muda. Alasan standard .Kawan sekeliling semua macam-macam kepala. Patutlah apabila cerita tentang keberantakan sosial itu disinonimkan dengan orang muda. Aku tidak kata semua keseronokan itu salah, tetapi kalau dah 2 bulan cuti itu sepenuhnya diisi dengan main game, jalan-jalan window shopping, lepak-lepak, main futsal, apa MAKNA kehidupan ini? Apa makna kehidupan ini? Memanglah solat jaga (itu pun kalau bagi yang jaga), dan kita tidak buat jenayah atau menyusahkan orang lain pun, tetapi persoalannya, hidup ini memang pusing-pusing macam tu sahaja ya? Aku keliru dan terus terpedaya dengan kebudayaan Barat yang mengisi kekosogan jiwa dengan pelbagai keseronokan. Bila diisi jiwa itu, rakus bagai tidak pernah cukup, nak lagi dan lagi. Sampai bila tidak tahu. Aku tidak pasti bagi mereka yang tidak memikirkan perkara ini. Mungkin just go with the flow itu pilihan ramai. Ikut arus dunia yang sedia ada tanpa berfikir dalam. Namun, usaha untuk kembali kepada Allah dan tambah kefahaman tidak akan boleh berhenti sampai mati insyaAllah.

Bila di universiti, kekeliruan identiti ini semakin bobrok dan meruncing. Jumpa orang dengan macam-macam rupa dan gaya. Dalam rumah jadi lain, keluar rumah jadi lain, macam Dr. Jackell and Mr. Hyde. Aku tidak nafikan penangan nafsu dan syaitan itu sungguh luar biasa. Patutlah Allah tekankan dalam surah Al-Fatir ayat 6 untuk lakukan syaitan itu benar-benar macam musuh! Bukan main-main. Surah Al-Isra’ ayat 61-65 pula terangkan liciknya pelbagai jenis penipuan syaitan. Surah Az-Zukhruf ayat 36-38 pula Allah terangkan jikalau TIDAK ENDAH pengajaran daripada Allah, memang Allah adakan syaitan baginya. Syaitan itu jadi temannya yang tidak renggang daripadanya (rujuk terjemahan Al-Quran itu sendiri agar rasa perkataan itu benar-benar daripada Allah. Apa guna ada Android atau I-Phone kalau tidak ada Quran terjemahan). Walaupun begitu, cantiknya Islam ini ialah ia amat menekankan penjagaan silaturrahim. Aib diri atau aib kawan jangan dihebahkan. Allah akan jaga aib di dunia dan akhirat (hadith). Segala dosa terus direct dengan Allah. Manusia yang penuh dengan judgement dan sangkaan tidak perlu tahu melainkan beberapa situasi penting sahaja. Cantik Allah tentukan hubungan manusia dengan manusia dalam surah AL-Hujurat.Trend sekarang, dapat berita sedikit tentang orang itu terus jadi bahan cerita atau bahan ketawa. Satu kesilapan dia cukup untuk padam semua kebaikan yang dia telah buat. Imam al-Ghazali pesan tegas bahawa jika ada lelaki itu mengumpat tentang seorang lelaki lain yang memakai emas atau sutera contohnya, dia tidak sedar yang dosa mengumpat itu jauh lagi besar daripada memakai emas atau sutera itu sendiri. Ya Allah, ampunkanku terutamanya, yang penuh dengan kecuaian dan kelalaian, ampunkan dosa ibu bapaku, ahli keluargaku, sahahat-sahabatku, kawan-kawanku, guru-guruku dan ummat Muslimin semuanya. 

Kini aku semakin bebas membuat pilihan. Halangan semakin sedikit dan aku boleh buat apa-apa yang dikehendaki.  Pengaruh kawan itu sangat memberi impak yang tinggi. Ini menyebabkan persoalan identiti itu menjadi semakin merumitkan. Apakah pandangan hidup yang aku perlu ada sebenarnya? Boleh ke aku ikut sahaja sogokkan keseronokan dunia sekarang semuanya yang sangat banyak tanpa henti? Tengok wayang, online gaming pelbagai bentuk, muzik, cerita beratus-ratus episod, bersosial tanpa had, taksub politik membuta, tetapi aku jaga solat. Aku belajar betul-betul dan aku jaga mak ayah. Nanti aku dapat degree aku cari kerja bagus-bagus. Aku tidak pasti. Jawapan ini tidak memenuhi jiwa aku. Macam tidak cukup, Lepas belajar, kerja, lepas kerja kumpul duit beli rumah, beli kereta. Lepas itu kahwin, lepas kahwin dapat anak, ada duit lebih sikit bayar hutang, atau berhibur, dan kehidupan sebegitu akan putar dalam kitaran yang sama sampailah kepenghujungnya. Is this what is life all about? 5 rukun Islam dan beberapa amalan spiritual, jaga sedikit hubungan kekeluargaan, cari rezeki yang halal. Aku masih samar-samar. Apa makna aku jadi seorang islam? Cukupkah dengan beberapa perkara asasi itu? Apa makna aku jadi seorang Islam? Apa kaitan aku seorang pelajar dengan Islam? Mana dia jawapan yang jelas dengan ilmu penuh keyakinan?! Bukan dengan sangka-sangka.

Rasulullah duduk seorang diri menangis memikirkan keadaan iman ummatnya. Kita disini seakan-akan melaungkan sayang kepada Baginda tetapi realitinya, aku malu terhadap diriku jika bertemu denganmu Ya Rasulullah. Aku malu. Entah berapa kolam darah sahabat mempertahankan agama ini sudah aku lupakan, sampai Islam sampai ke bumi nusantara ini. Aku disini hanya memenuhi keperluan diri. Kalau ada sumbangan pun apa sahajalah. Kenapa Rasulullah menangis merenung akan iman ummatmu ya Rasulullah? Kenapa?


Apa makna kehidupan ini? Bagaimana aku mahu menjadi Islam sejati yang sempurna dalam hidup? Apa kaitan Islam dalam kehidupanku dan kerjayaku? Sudah betulkan mind set aku dan pandangan hidup yang aku pilih? Apa makna hidup ini? Apa makna hidup ini?


___________________________________________________________________________

*Artikel ini dikeluarkan khas untuk program Kem Latihan Asas PEPIAS pada 9-11 November 2012 di Masjid Usamah bin Zaid di Wangsa Maju.





There was an error in this gadget

Jumlah Pengunjung