15 May 2009

Jiwa dan raga

1) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maknanya, segala bebanan dipikul dan dirasai bersama-sama, walau sekecil mana pun. Tenaga fizikal yang ramai, digunakan sebaiknya, dengan menjadikan ramai sebagai potensi; bukan liabiliti. Ironi yang kerap kali berlaku, ialah di mana terletak kekuatan, di situlah juga terletaknya kelemahan. Tidak kira situasi individu, ataupun organisasi.



2) Pokoknya, fokus harus tepat. Pandangan harus diletakkan pada bearing yang betul. Pandang harus ke depan. Namun, sesekali, harus toleh ke belakang untuk melihat, benarkah kita bergerak ke depan? Berpandangan baik (Husnu’Zhon) atas setiap perkara yang berlaku, dan itu perlukan jiwa yang besar. Justeru, berjiwa besarlah yang akan menghasilkan sikap positif, dan seterusnya akan meletakkan fokus yang betul dengan pandangan yang ke depan.


3) Lawan berpandangan baik (husnu’zhon), adalah berpandangan buruk (Su’uz’Zhon); Suatu pandangan akan membawa kepada persepsi. Persepsi pula akan membawa sikap awal (pre-judgement), yang biasa kita panggil dengan prasangka. Prasangka akan membawa pula kepada ketidak-tentuan atau ketidak-percayaan, atau dalam istilahnya, skeptikal. Kesannya, apabila masing-masing dalam organisasi skeptikal terhadap mana-mana bahagian dalam organisasi, maka, potensi yang ada akan menjadi liabiliti. Kekuatan yang sepatutnya digarap; kelemahan pula yang ditonjolkan.


4) Hakikatnya, tidak mudah mengurus manusia. Jiwanya harus diisi terlebih dahulu. Dalam jiwa, adanya akal, dan adanya hati. Persediaan akal, akan membina mentaliti atau intelektual yang cerdas. Persediaan hati, akan membina rohaniah yang halus, dan emosi yang tulus. Proses pengisian jiwa ini bakal membina tembok pertahanan diri untuk menangkis serangan nafsu yang sentiasa buas memujuk dan mempengaruhi jiwa untuk melakukan kemungkaran. Yang susahnya, ia harus berterusan selagi jiwa di dalam raga! Jiwa harus besar, dan kuat; malah lebih besar dan kuat daripada raga itu sendiri.


5) Raga hanya pelaksana apa yang ada dalam jiwa. Baik jiwa, baiklah raga, dan begitulah sebaliknya. Raga, atau jasad (physical), adalah ‘hardware’ kepada keseluruhan sistem manusia. Pada raga, ada deria yang melaksanakan tugas-tugas jiwa. Deria rasa, lihat, bau, sentuh dan dengar adalah 5 kenderaan yang memudahkan urusan jiwa. Pengisian raga juga adalah perlu, seperti makanan, latihan sukan, dan sebagainya. Sering kali juga berlaku, pengisian jiwa dan raga disatukan dalam meneruskan fungsi-fungsi tertentu untuk mencapai tujuan. Contohnya, bersolat, berpuasa, dan mengerjakan haji. Malah, bekerja seharian juga boleh menyatukan pengisian fungsi-fungsi jiwa dan raga, apabila dikawal dengan baik.


6) Di sinilah cabarannya bermula. Mengawal fungsi jiwa dan raga untuk memandang ke hadapan, dan seterusnya menukar Su’uz’zhon kepada Husnu’Zhon, prasangka buruk kepada prasangka baik, dan liabiliti kepada potensi. Nah, baca dan timbalah; Ilmu-ilmu pengurusan manusia, terdapat banyak di pasaran, di luar sana. Daripada Steven Covey, sehinggalah ke Al-Ghazali, semuanya punya kaedah dan pendekatan yang telah berkesan. Dan, untuk perjalanan 1000 batu itu, langkah pertama harus diambil. Tanamkan keazaman ini, dan tingkatkan aura positif kepada seluruh sistem. 1 jiwa besar, akan berupaya mencipta 1000 lagi jiwa yang besar. Kalau tidak hari ini, hari esok pasti ada. InsyaAllah.


Sumber rujukan / ilham: 7 formula Hidup Sukses; Jaafar Muhammad

(Harus baca!!)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Fahami bahasa, fahami tanda, fahami Pencipta!
2) Berbaloi-baloi, bila dapat belajar menenangkan jiwa dan belajar untuk memandang ke depan, dengan pandangan yang lebih luas dan jelas.

(imayu05.blogspot.com)

No comments:

There was an error in this gadget

Jumlah Pengunjung