30 August 2010

KEMERDEKAAN DALAM RAMADHAN

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Setiausaha ABIM Selangor
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management

Panjatkanlah kesyukuran kita dengan menyebut kalimah ‘alhamdulillah’. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t yang telah memilih kita selaku manusia yang diberikan amanah dan tanggung jawab sebagai khalifah dalam meneruskan perjuangan di muka bumi ini. Perjuangan ini amat sukar, jauh dan pelbagai rintangan. Ubatnya sabar, redha dan sentiasa mengharapkan rahmat dan nikmat dari Allah s.w.t.

31 Ogos bakal menjelma lagi. Hari yang bersejarah untuk seluruh umat manusia di Malaysia. Setiap tahun, kita bersama-sama melaungkan kalimah kemerdekaan ini. Apakah erti merdeka untuk kita semua? Adakah sambutan merdeka ini benar-benar memerdekakan kita semua atau hanya laungan yang berakhir dengan tragedi dan kerosakan akhlak remaja dan belia? Apabila tiba Ramadhan, kemerdekaan ini seharusnya dirasai dan lebih mendalam penghayatannya. Pada bulan ini, manusia dimerdekakan sementara dari gangguan syaitan, namun bagaimana dengan nafsu kita semua?

Kehidupan kita hari ini semakin hari semakin mencabar dengan pelbagai kemudahan dan kemodenan yang berlaku disekeliling kita. Kemerdekaan dalam erti kata yang kita fahami adalah bebas atau lepas diri dari cengkaman atau dibelenggu. Kemerdekaan ini juga telah membawa erti besar bagi setiap hidup masyarakat di Malaysia. Merdeka dalam menjalani hidup dan lebih sedih lagi apabila merdeka dari hidup beragama. Pegangan anak-anak pasca merdeka hari ini bukan lagi pada tunjang agama dan budaya adab hidup ketimuran, tetapi tertakluk kepada kebebasan fikir serta keterbukaan dalam budaya, cara hidup, perhubungan dan nilai kehidupan. Inilah erti kemerdekaan buat mereka yang pada hari ini menampakkan kejanggalan dalam budaya hidup di Malaysia.

Kemerdekaan buat kita semua, umat Islam di Malaysia khususnya remaja dan belia haruslah dijana dan diisi dengan suasana kemerdekaan sebenar. Jauh dari penjajahan yang bukan sahaja datang dari sudut pentadbiran negara, bahkan sosiobudaya, pemikiran serta adab dan nilai kehidupan. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki kepada mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”.
Kelebihan ini Allah berikan kepada umat manusia ini yang mana, perlu dibalasi dengan rasa syukur berterima kasih kepada Allah yang Maha Penyayang. Kemerdekaan ini harus dihayati dan dijadikan kayu ukur hidup dimana letaknya nilai keimanan kita semua kepada Allah s.w.t. Mutiara kata yang keluar dari lidah amirul mukminin Saiyidina Ali k.w. beliau menyatakan; “janganlah kamu menjadi hamba seseorang, kerana Allah telah menciptakan kamu dalam keadaan merdeka”.

Erti kemerdekaan inilah yang harus menjadi pegangan kita semua. Nilaian ini harus menjadi isi kandungan utama dalam setiap sambutan dan kejayaan yang dikecapi. Sebagaimana kemerdekaan kita semua yang harus kita kecapi dari hasil tarbiyah bulan yang penuh kemuliaan ini. Kemerdekaan harus diisi dengan baik dan berkesan. Ia seharusnya kembali kepada fitrah dan pegangan agama yang terbaik untuk melahirkan generasi yang terbaik.

Allah Maha Besar

Kemerdekaan utama buat remaja belia dan generasi baru hari ini adalah dengan menyatakan secara jelas bahawa tidak ada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah s.w.t. Kemerdekaan ini harus berasaskan kepada kebebasan dari sifat yang bertuhankan sesama hamba dan kepada apa sahaja yang bersifat kebendaan serta keseronokan. Untuk membesarkan Allah s.w.t ini harus ditekuni dan diperkukuh dengan rukun Islam.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud;

“Mereka yang sekiranya kami berikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi, mereka menunaikan solat, menunaikan zakat dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan hanya milik Allah kesudahan segala urusan.”

Pertama, menunai dan memperbaiki solat lima waktu sehari dan semalam. Ia merupakan tiang agama dan harus diberikan perhatian sewajarnya tambahan pula dalam usaha untuk memerdekakan diri dari cengkaman nafsu dan gangguan syaitan. Kedua, membayar zakat. Buat kita yang telah bekerja dan mendapat pendapatan yang baik serta selesa dalam kehidupan, jangan pula kita lupa amanah dan tanggungjawab yang Allah amanahkan untuk membantu umat Islam yang memerlukan melalui zakat yang dikeluarkan. Ketiga, ajaklah manusia meninggalkan kemungkaran dan membuat kebaikan kerana di dalamnya itu adalah usaha dakwah menyampaikan berita gembira kepada manusia lain tentang adanya syurga dan penciptaan neraka. Kembalilah kepada ajaran agama yang sebenar. Islam hadir untuk memerdekakan kita dari belenggu kehidupan yang sementara ini.

24 August 2010

Pejuang disisiNYA

Penyusunan dan persiapan yang kemas di dalam barisan pimpinan dan organisasi adalah prasyarat kepada kelancaran pergerakan yang digemari Allah Azzawajalla. Ini Jelas didalam Surah As-Saf ayat 4 (maksudnya),

“Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang di jalan Allah dengan barisan yang rapi seperti satu binaan yang tersusun”

Keutuhan organisasi kita adalah bergantung kepada kemampuan pendokong-pendokongnya. Hanya anggota-anggota yang ikhlas dalam perjuangan dan mengharapkan keredhaan Allah sahaja yang mampu meneruskan cita-cita suci ini. Penyimpangan niat dan tujuan dari mencapai keredhaan Allah akan membuka wadah ini kepada golongan oppurtunis dan selfish yang menggugat kekuatan kita, surah Al-Kahfi ayat 110 (maksudnya),

“Barangsiapa yang berharap untuk bertemu Tuhannya maka buatlah amalan yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesuatupun di dalam beribadat kepada Tuhannya”

Tambahan. seluruh tindak-tanduk, cara berfikir dan tindakan mestilah berlandaskan panduan yang disediakan di dalam Islam. Ahli-ahli mestilah berusaha bermujahadah mengadakan peringatan diri dari masa ke semasa dari segi ilmu dan amal. Kita semua wajiblah berusaha memenuhi janji dan ikrar yang sering kita lafazkan di dalam sembahyang:

“Sesungguhnya solatku, pekerjaanku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah, Tuhan Seru sekalian Alam“

Latihan dan Tarbiyah yang baik menjamin kualiti yang hebat dan meransang daya usaha yang tinggi dalam setiap matlamat yang ingin dicapai. Maka cara fikir kita harus di didik dan di latih dengan aktiviti seperti usrah , halaqah dan sebagainya. Matlamat dan tujuan usrah harus jelas membabit isi tarbiyah dan dakwah bukan hanya jumud memperbincangkan isu yang merimbun sedangkan akarnya masih mentah.

Seterusnya hati-hati kita harus di bina dengan menanamkan nilai dan bentuk pengalaman dan praktikal dengan penglibatan amal ibadat qiammullail dan kerja jemaah. Hati perlu diisi dan dihiasi bukan dinodai atau menodai. Kalau hati jadi semakin malap maka periksalah hubunganmu dengan Allah Ta’ala kelak akan kau ketahui punca sebenarnya.

Sahabat sekalian, cita-cita islamiyah tidak akan tercapai kalau hanya dengan saranan teoritikal sahaja, tetapi mestilah dibuktikan dengan jelmaan praktikal. Usahlah kita menuding jari kepada orang lain untuk dibetulkan, lihatlah diri sendiri apakah kita sedang membangunkan fikir dan hati kita...

Jom Muhasabah!

PROGRAM IHYA' RAMADHAN MAHASISWA SELANGOR (IHRAM) 1431H

19 August 2010

Koreksi Suku Pertama Ramadhan


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."

Al-Baqarah : 183

Harus difahami bersama bahawa Ramadhan ini merupakan satu madrasah untuk mendidik kita supaya beroleh keputusan akhir yang digariskan oleh Allah iaitu Taqwa. Diri kita umpama bahan mentah yang masuk ke dalam kilang ramadhan untuk menghasilkan produk yang dinamakan taqwa. Ramadhan juga ibarat tempoh mengecas iman supaya dapat istiqamah dalam amalan hingga ramadhan yang mendatang.

Untuk itu janganlah semata-mata memperbanyakkan amalan khusus tetapi mengenepikan tujuan asal ramadhan iaitu taqwa. Bukan sekadar khatam tetapi lebih penting adalah tadabbur. Andai pelajaran kita lebih memberi kesan untuk meningkatkan taqwa, maka luangkan lah masa untuk pelajaran. Andai kuliyyah lebih meningkatkan taqwa berbanding solat sunat, maka luangkanlah masa untuk kuliyyah.

Namun pernyataan diatas tetap tidak mengenepikan hakikat bahawa junjungan mulia kita Rasullullah SAW memperbanyakkan amalan seperti sedekah dan i'tikaf dalam bulan ramadhan. Sekadar memperingatkan akan tujuan sebenar Ramadhan.

Peringatan buat diri dan sahabat-sahabat sekalian supaya tidak mencemari ibadah ramadhan ini dengan perbuatan yang merugikan ganjaran puasa terutama dalam keadaan yang tidak sedar. Sebagai contoh melazimi perbuatan membuat rondaan di bazar ramadhan yang penuh percampuran tidak terkawal dengan golongan bukan muhrim yang juga tidak menutup aurat dengan baik. Lamanya di bazar terkadang sampai lalai dalam menunaikan solat fardhu. Ini diburukkan lagi dengan pembaziran akibat terlalu banyak membeli juadah mengikut nafsu.

Jangan sampaii puasa kita seperti yang disebutkan oleh junjungan mulia Rasullullah SAW bahawa hanya mendapat haus dan dahaga. Dalam sesi yang lain pula baginda mengaminkan doa Jibril yang mendoakan celaka bagi mereka yang mensia-siakan bulan ramadhan tanpa berusaha mendapatkan keampunan Allah.

Moga madrasah ramadhan menjadi medan mengecas diri kita agar perjalanan jemaah ini akan didokong oleh pekerja-pekerja dakwah yang penuh bertenaga. Selamat beriftar buat seluruh cawangan yang bakal menganjurkan ifar jamaie. Juga buat seluruh ummat yang tetap optimis terhadap gerakan ini.

Ramadhan Kareem

Membimbing dgn Ilmu & Akhlak

16 August 2010

Pelikkah Tanpa Rokok???




“BERHENTILAH, tak ada faedahnya menghisap rokok...” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, dalam satu kempen antimerokok yang pernah dirasmikannya.

Saranan sedemikian sudah banyak didengar daripada pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan. Tidak cukup dengan itu, kerajaan menaikkan harga rokok, dikawal jual beli dan penyeludupan, semua kerana keburukan yang dibawa rokok.

Bilangan tempat yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok juga bertambah. Kebanyakan aktiviti kini diharamkan sama sekali daripada memasukkan elemen rokok. Malah, kotak rokok pun sudah diletakkan secara terang-terangan akan keburukan rokok.

Terbaru, sebuah dokumen yang menggemparkan dunia, Pig 05049, turut secara tidak langsung mengingatkan perokok, terutama perokok Muslim agar mengelakkan rokok lantaran kandungan bahan babi yang digunakan untuk membuat rokok! Begitulah ingatan demi ingatan, amaran demi amaran, secara lembut ataupun tegas. Harapannya ialah bilangan perokok akan berkurang dan yang sudah merokok akan berhenti merokok. Dalam jangka panjang nescaya negara lebih makmur tanpa cengkaman rokok.

Namun, hakikatnya tidak pula begitu. Amalan merokok masih menjadi kebiasaan. Pendek kata apa saja aktiviti manusia, maka akan adalah rokok. Dilakukan oleh sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan darjat, bebas tanpa perlu takut-takut, tanpa perlu difikirkan akibatnya. Seolah-olah semua tegahan dan peringatan yang ada itu untuk perhatian makhluk lain.


Apabila budaya merokok meluas, dilakukan secara terbuka, terang-terangan, tanpa ‘tindakan’ mereka yang dikatakan model kepada masyarakat, maka sukar sekali untuk menafikan yang merokok itu tidak baik.

Tidak keterlaluan dikatakan, ada pemimpin yang selamba menghisap rokok ketika mempengerusikan majlis dan seorang doktor yang merokok, tetapi tidak segan silu menasihati pesakitnya akan keburukan merokok. Begitu juga bapa yang meminta anaknya ke kedai untuk membeli rokok atau merokok di depan anak. Begitu juga abang fasilitator yang selamba berjalan sambil menghisap rokok tanpda disedari diintip oleh adik-adik kumpulannya. Pak Imam yang selalu mengimamkan jemaah disurau/masjid dengan membacakan ayat-ayat peringatan dalam Al-Quran dengan selamba menghisap rokok di depan masjid/surau.Sikap mereka ini secara tidak langsung menyemai tabiat merokok kepada masyarakat.

Apabila tiada lagi segan silu antara si bapa dan si anak, pemandu dan penumpang, pekedai dan pelanggannya, pemimpin dan pengikutnya, imam dan jemaahnya, maka terbuktilah amalan buruk merokok bukan lagi sesuatu yang perlu dikisahkan.

Perbuatan merokok sebenarnya telah membunuh etika kehidupan bermasyarakat. Apabila masyarakat tidak lagi meletakkan rasa peduli, hormat dan prihatin, kasih sayang maka tiada lagi keindahan hidup bermasyarakat.

Berapa ramai yang tersentuh dengan gambar penyakit yang dipaparkan di kotak rokok? Berapa ramai yang malu menghisap rokok di depan tamu? Berapa ramai yang malu meletakkan rokok di poket baju dan berapa ramai yang malu menghisap rokok ketika memandu? Masalahnya ialah terlalu ramai yang membuat peraturan sendiri mengenepikan hukum bermasyarakat. Maka pemikiran yang mengatakan ‘ini ruang kami, ini masa kami, ini hak kami dan ini dunia kami’ akan kekal mengongkong minda perokok sekali gus menidakkan hak orang lain.


Ini jelas apabila tiada lagi ruang yang boleh dianggap mesra alam dan mesra kehidupan. Di sana sini ada saja rokok - tandas, lobi hotel, restoran, tempat menunggu bas, bilik mesyuarat, kelas kuliah dan kawasan bebas rokok. Begitupun, rokok terus disanjung - menepis segala macam kempen dan usaha memburukkan rokok. Meskipun ia tidak formal, namun kesannya amat membenam. Ia telah menjadi rempah-ratus kehidupan, bersatu dengan adat dan tradisi. Ia menjadi kemestian yang tidak dapat dielak, dirasakan janggal apabila rokok diketepikan.


Lihat saja di sekeliling betapa pelik dan seksanya apabila majlis kenduri-kendara tidak disediakan rokok, betapa kekoknya selepas makan tengah hari, ketika melepak dan bersantai tanpa diiringi rokok. Hatta ketika menunggu waktu (di surau atau masjid) juga pelik kalau ada yang tidak merokok. Tidak mustahil la juh\ga bersahur dengan rokok dan berbuka puasa pun dimulakan dengan rokok untuk mengantikan khasiat kurma. Dunia seolah-olah mati apabila rokok ditarik daripada acara. Pembenci rokok juga tidak ada pilihan melainkan membenarkan amalan buruk ini.


Memang benar merokok adalah amalan yang tidak baik jika dilihat dari sudut penyakit dan permasalahan sosial, tetapi berapa ramai yang berfikiran sedemikian? Rokok boelh dikatakan pemula bagi segalanya. Kehidupan sosial nampaknya dengan jelas memperakui yang amalan merokok itu adalah ‘sesuatu yang baik’, kerana menghidupkan kemanusiaan dan mewujudkan semangat kekitaan.

Daripada perspektif lain, rokok dilabelkan sebagai simbol kekayaan, kelakian, kekuasaan, ketamadunan dan segala macam kehebatan kehidupan. Ia adalah komoditi yang menguntungkan (daripada cukai dan kutipan perdagangan), keperluan utama kehidupan bersosial, sumber inspirasi dan kesegaran (ketika memandu dan memerah otak).

Rokok adalah lambang kemodenan masyarakat. Ia tersimpul rapi dengan peradaban daripada peringkat pentadbiran, politik, hinggalah peringkat bawahan, malah anak-anak kecil yang masih merangkak juga perlahan-lahan dibesarkan dengan dunia rokok! Justeru, betulkah tabiat merokok telah menurun? Cuba kita lihat di restoran mamak, tapak pembinaan, tandas di hospital, warung dan tempat yang dianggap zon tidak merokok. Tidak hairan lah juga kadar statistik perempuan merokok hampir setaraf dengan lelaki.!!!


Sejauh mana larangan ‘kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang membeli rokok’ benar-benar berlaku di kalangan peruncit? Benarkah rokok tidak mampu lagi dibeli kerana harganya mahal?

Pastikah pengetahuan tinggi mengenai keburukan merokok akan mencerminkan tindakan tidak merokok? Betulkah inisiatif ‘quit smoking’ akan mengekalkan seseorang untuk terus berhenti merokok? Kemampuan industri rokok untuk melengkapi setiap ruangan kehidupan dan minda masyarakat dengan jelas membuktikan advokasi ‘merokoklah’ oleh syarikat tembakau amat berjaya. Dengan pendekatannya yang amat strategik, dengan prasarana yang serba lengkap dan jaringan yang sungguh meluas, fenomena merokok nampaknya tidak akan ada kesudahan. Ia akan terus mencorakkan kehidupan. Malah penggiat antimerokok turut tertipu, terkulai dengan modus operandi licik mereka.

Sedarlah bahawa isu merokok bukan sesuatu yang seronok untuk diperkatakan. Jauh sekali untuk dipersendakan. Ia adalah kata dua yang meminta jawapan jujur dan tindakan tulus daripada mereka yang merasakan sebahagian kemelut ini. Jawab dan bertindaklah demi anak-anak yang akan meneruskan pembangunan generasi ini.

Pergunakanlah bulan puasa ini untuk mentarbiahkan diri kita agar dapat berlatih ke arah Zero Smoking. InsyaAllah dengan iltizam yang tinggi tanpa perlu banyak berdebat 'aku susah nak berhenti, kau tak paham jiwa perokok dan sebagainya, pasti akan kita pertemu jalan untuk menjauhinya. Setiap hari peringatan diberikan anggaplah ia sebagai tanda kasih sayang insan kepada insan yang lain. Janganlah melenting tetapi biarkanlah ia menjadi pendorong kepada kita untuk merubahnya. Shift your paradigm! Bulan Ramadhan ialah madrasah tarbiah buat umah Islam. gunakanlah sebaik mungkin. jangan lepaskannya!!!

15 August 2010

Bittaufeq wan Najah





Semua daripada kita mengimpikan kejayaan yang gemilang. Tapi tinggal satu persoalan untuk dijawab. Bagaimana kita menggapainya? Kejayaan bermula dengan idea lalu menguasai fikiran dan memupuk keinginan supaya kejayaan menjadi kenyataan. Jika kita lihat biografi hidup tokoh-tokoh yang berjaya, nescaya semua daripada mereka mempunyai idea asas yang akhirnya menolak mereka untuk mencapai kejayaan. Mereka semuanya sama dengan kita memiliki anggota badan yang sempurna dan masa 24 jam sehari semalam. Cuma mereka memiliki dua perkara:

1. Keazaman yang kuat untuk berjaya

2. Meninggalkan segala perkara yang tidak membantu untuk mencapai kejayaan

Beberapa contoh dalam sejarah.

1. Zaid bin Thabit diikitiraf oleh Rasulullah saw sebagai orang yang paling pakar dalam urusan ilmu Faraidh (harta pusaka). Kisahnya bermula pada usia 13 tahun. Dia ingin menyertai Nabi dan para sahabat lain ke medan Jihad. Ketika Rasulullah saw melihatnya, baginda menyuruhnya untuk pulang kerana kurang umur untuk menjadi tentera perang. Zaid pulang ke rumah sambil menangis teresak-esak. Ibunya tahu sebab dia menangis lalu berkata: Wahai anakku, nanti bila engkau cukup umur, sudah tentu Rasulullah akan membenarkan kau. Sekarang aku akan menghantarmu belajar ilmu-ilmu sebagai bekelanmu nanti.

07

2. Muhamad Al Fateh seorang penakluk yang hebat. Beliau mula melakar sejarah hanya dengan kata-kata gurunya tatkala berumur 10 tahun. Hadis Rasulullah saw yang berbunyi “Costantinopel akan dibuka, sebaik-baik panglima tentera adalah yang membukanya, sebaik-baik tentera adalah tentera itu” menjadi aspirasi beliau untuk sebuah kejayaan. Gurunya sering bertanya pada beliau “Kenapa bukan engkau yang menjadi orang ini wahai Muhammad?” Muhammad Al-fateh langsung mempersiapkan diri untuk misi agung ini. Beliau sering berlatih menunggang kuda ke dalam lautan hingga air laut menenggelami kudanya ke paras leher. Sedikit demi sedikit, beliau semakin hampir dengan kubu kukuh tentera Kristian Costantinopel. Dia menjerit dengan suara yang kuat “Aku akan menjadi orang itu” seolah-olah menyahut seruan Nabi Muhammad saw. Dia mula belajar tentang ilmu pengurusan, pemerintahan tentera dan seni peperangan. Dia berjaya menguasai hampir 6 jenis bahasa pengantar yang berbeza-beza. Bagi dirinya, matlamat sudah berada di depan mata. Pada usia 21 tahun, kota Costantinopel berjaya dibuka oleh beliau dan tenteranya.

sa7i7-al-bokhary1

3. Imam Bukhari pada usia 12 tahun ternampak satu visi….Dia melihat dirinya seolah-olah berjalan di belakang Rasulullah saw. Setiap kali Nabi memijak kaki ke tanah, Imam Bukhari cepat-cepat memijak tanah yang baru dipijak oleh Nabi saw. Beliau bingkas tersedar dari mimpi itu dan bergegas berjumpa dengan gurunya untuk bertanya perihal mimpi itu. Gurunya menerangkan: ” Jika salah seorang daripada kamu dapat mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah saw yang Shahih dan mengasingkannya daripada hadis-hadis Dhaif (lemah) dan Maudhu’ (direka-reka), nescaya ia seperti berjalan mengikut jalan Nabi saw yang tercinta”. Bermula daripada detik itu, Imam Bukhari menjadi antara perawi hadis Rasulullah saw yang terulung. Diriwayatkan dia telah mengumpul 7000 hadis berdasarkan metodologinya. Jarak pengembaraanya untuk mencari hadis-hadis yang Sahih dikatakan sama dengan 2 kali lingkungan lilitan bumi ini. Beliau telah berjumpa hampir 4000 ulama perawi hadis yang Sahih sepanjang kembara ilmunya. Pernah suatu ketika di kota Baghdad yang terkenal dengan ketinggian peradaban ilmunya, sekelompok ulama hadis ingin menguji kehebatan dan penguasaan Imam Bukhari dalam ilmu Hadis. Sebanyak 100 buah hadis yang telah ditunggang-langgangkan sanad dan matannya, diajukan kepada Imam Bukhari untuk disusun semula seperti yang asal. Tanpa ragu-ragu Imam Bukhari meneliti sanad dan matan hadis-hadis tersebut dan berjaya menyusunnya kembali tanpa sedikit kesalahan pun. Para ulama tersebut mengkagumi ketokohan Imam Bukhari dan kemampuan anak muda itu.

Ini adalah beberapa cerita kejayaan mereka yang terdahulu. Sudah sampai masanya untuk kita pula mencipta kisah tersendiri untuk tatapan generasi yang akan datang. Bila anda mahu mulakan kisah dan cerita anda? Tidakkah anda mahu dikenang sebagai seorang yang memiliki keazaman dan daya juang yang kental.

Bittaufeq wan najah kepada semua mahasiswa/mahasiswi di KUIS. Padamu harapan umat dan agama.

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester buat
Semua Ahli PEPIAS BANGI yang akan menduduki peperiksaan bermula pada 16 Ogos - 4 September 2010

PEPIAS PUSAT mengucapkan selamat menjawab peperiksaan yang dihadapi. Semoga memperolehi keputusan yang cemerlang. Jujur dalam segala tindakan, Ikhlas dalam perlakuan, InsyaAllah akan perolehi ganjaran yang baik. Kami mendoakan yang terbaik buat anda semua. Amin

12 August 2010

PEPIAS PRIHATIN kembali lagi...

Merujuk kepada perkara di atas, adalah dimaklumkan bahawa Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menganjurkan Program Ihya’ Ramadhan ( PEPIAS PRIHATIN 2010 ). Program ini akan digerakkan oleh 200 aktivis yang merupakan ahli PEPIAS ke rumah golongan sasaran sekitar Negeri Selangor. Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM17000 untuk menyalurkan bantuan ke rumah-rumah yang terlibat. Maklumat ringkas berkenaan program adalah seperti berikut :

Tempat : 3 kawasan sasaran sekitar Sabak Bernam

Tarikh : 26-29 Ogos 2010 ( Khamis - Ahad )

Sasaran : Golongan asnaf , Anak Yatim. Hospital


Marilah semua untuk memberi sokongan bagi program yang dijalankan ini. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa. Amin

11 August 2010

MUHASABAH RAMADHAN

Ramadhan adalah medan bermuhasabah, beringat dan menambah baik amalan kita. Ini tidak bermakna kita berhenti dalam urusan kerja dakwah seharian. Sebagai seorang pendakwah yang bercita-cita besar untuk menyebarkan Islam dan mengangkat kalimah AL-HAK kepada masyarakat setempat, muhasabah merupakan satu elemen yang paling utama dalam memastikan keberlangsungan cita-cita serta pencapaian matlamat adalah tepat. Muhasabah merupakan cara terbaik untuk melihat dan menilai sejauh mana kita sebagai manusia, dan pendakwah terlibat dengan jemaah dan adakah jemaah kita ini juga memenuhi kriteria sebagai Gerakan Islam.


Peranan Gerakan Islam

Peranan gerakan Islam adalah membawa manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t sama ada secara individu atau secara berjemaah dengan berusaha menegakkan yang hak bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Menegah kebatilan dan menjauhi segala amalan yang ada keraguan dan dosa.


Ciri-ciri Umum Gerakan Islam

a. Ia haruslah bersifat rabbaniyah, merujuk kepada segala amal menurut Al-Quran dan Sunnah.

b. Sepatutnya ia bersifat tersendiri, tidak meniru orang lain atau hanya mengikut perintah dan cakap-cakap orang lain.

c. Membawa kemajuan. Bermakna mengalami perubahan atau menjadi lebih baik dari sebelumnya dalam setiap konteks perilaku peribadi dan gerakan secara umumnya.

d. Gerakan yang syumul. Tidak menjurus kepada beberapa aspek sahaja untuk berdakwah.

e. Menjauhi perselisihan masalah fiqh. Menyeru umat untuk melihat setiap permasalahan kepada perkara pokok bukan pecahan atau perselisihan pendapat semata-mata.


Ciri-ciri umum Gerakan Islam
1. Menjauhi pengaruh kuasa politik.
2. Beransur-ansur dalam gerak langkah. [1] pengenalan, [2] pembentukan dan [3] perlaksanan.
3. Mengutamakan kerja dari propaganda.
4. satu perjalanan yang jauh dan sukar.
5. Amal terus terang, tanzim dirahsiakan.
6. Pengasingan jiwa dari kerosakan akhlak dll.
7. Matlamat tidak menghalalkan cara.


Persiapan gerakan
1. Iman
2. Jihad

Mari kita nilai bersama diri kita di dalam persatuan yang kita sinonimkan dengan jemaah  ini. Dimanakah kita? Tercapaikah kita sebagai sebuah gerakan islam atau sekadar persatuan yang dimasuki oleh sesiapa sahaja tanpa ada roh di dalamnya? Catatan ini hasil rujukan buku apa ertinya saya menganut Islam yang sepatutnya menjadi rujukan utama usrah adik-adik yang ditahap pengenalan. Muhasabah diri kita jom...



11 Ogos 2010
Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan
http://kamarulazami.blogspot.com

10 August 2010

Ramadhan Di Gaza March For Freedom

Assalamualaikum,

Sukacita saya memaklumkan kepada para sahabat-sahabat yang mungkin tidak perasan
atau terlepas pandang, satu misi kemanusiaan ke Gaza iaitu Ramadhan Di Gaza
March For Freedom seramai 45 orang sedang berada di sempadan Rafah-Gaza.
Sehingga mesej ini ditulis mereka telahpun mendapat jaminan untuk masuk ke Gaza
esok (10 Ogos 2010) dan bakal berada di sana pada 1st Ramadhan untuk menghantar
bantuan serta menubuhkan hospital kanak - kanak di Gaza. Misi ini adalah anjuran
MAPIM (Majlis Perundingan Persatuan2 Islam Malaysia) dan antara individu yang
turut berada di dalam misi antaranya ialah:

1 - Azmi Abd Hamid - Presiden TERAS, Setiausaha Agung MAPIM merangkap ketua misi
2 - YB Zuraida Kamaruddin - MP Ampang
3 - YB Zulkifli Nordin - MP Kulim-Bandar Baharu
4 - Mustapa Mansor - Aktivis RELAWAN. Turut berada di atas Mavi Marmara sewaktu
kejadian flotilla
5 - Ashwad Ismail - Astro Awani. Beliau juga turut berada di atas Mavi Marmara
6 - Nizal Mohammad - Ex-presenter/ producer TV3. Untuk misi ini beliau adalah
correspondent Radio24.

Maklumat lanjut di laman web ini http://marchforfree dom.org

Harapan sidang redaksi marchforfreedom.org kepada sahabat-sahabat adalah untuk
menyebarkan maklumat berkenaan program ini kepada ahli keluarga, sahabat, rakan
sekerja serta teman kuliah dan usrah anda berkenaan misi ini. Sekiranya anda
terlibat dengan komuniti atau masjid, harap dapat diadakan solat hajat bagi
mendoakan keselamatan dan keberkatan peserta misi dan sekiranya anda mempunyai
blog, pihak kami sedang cuba untuk meletakkan banner/badge di dalam website
tersebut. Anda boleh letakkan di website/ blog anda sebagai tanda sokongan dan
tulislah, raikan bersama netters lain berkenaan program ini. Semoga usaha kita
seorang sedikit ini tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T. Terima kasih yang tidak
terhingga dan salam perjuangan

06 August 2010

AHLAN WASAHLAN ILA GERAI PEPIAS

SALAM BUAT SEMUA AHLI PEPIAS

DIJEMPUT UNTUK MEMERIAHKAN GERAI PEPIAS.
BUTIR-BUTIR SEPERTI BERIKUT :

TEMPAT : KUIS,BANGI
TARIKH : 4-7 OGOS 2010
MASA : 9.00 PG - 11.00 MLM

ANTARA JUALANNYA IALAH :-

CEMPEDAK GORENG ( HOT )
FRUITY ICE BLENDED ( HOT )
CENDAWAN GORENG
JAGUNG MANIS
JAGUNG BAKAR
POPIA SATA
AIR BANDUNG
AIR KELADI
FLOAT
AIR MINERAL
AIR KOTAK


SEBAR-SEBARKAN KEPADA SAHABAT-SAHABAT ANDA SEMUA.

There was an error in this gadget

Jumlah Pengunjung