06 November 2009

BERJALAN DI BUMI ALLAH YANG LUAS INI



Seorang bijak bestari mengatakan:

"Perjalanan (bermusafir) itu menghilangkan pelbagai kesedihan."

Al-Hafiz Ar-Ramhurmuzi dalam bukunya 'Al-Muhdatsu Al-Faadhil' menjelaskan beberapa faedah perjalanan yang bertujuan menuntut ilmu dan kenikmatan yang dapat diperolehi darinya. Buku itu ditulis sebagai bantahan ke atas orang yang tidak suka melakukan perjalanan untuk menuntut ilmu, bahkan mencelanya. Ia berkata sebagai berikut:

"Seandainya orang yang mencela mereka yang suka mengembara (untuk menuntut ilmu) mengetahui betapa nikmatnya pengembaraan tersebut, betapa besarnya semangat yang dirasakannya ketika meninggalkan tanah kelahirannya, dan kenikmatan yang dirasakan oleh semua anggota tubuhnya pada saat memanfaatkan seluruh kesempatannya untuk melihat tempat yang baru dan tumah yang baru, pada saat melihat dusun-dusunkecil, pada saat melihat kebun-kebun dan tanah-tanah yang lapang, pada saat mengenal bentuk muka baru, pada saat melihat keajaiban pelbagai negeri, pada saat melihat perbezaan bahasa dan kulit, pada saat istirehat dibawah bayangan dinding-dinding dan kebun, pada saat makan di dalam masjid, minum dilembah-lembah, dan tidur dimanapun saat malam tiba pada saat berteman dengan siapa saja yang dicintainya kerana Allah s.w.t tanpa memandang lagi faktor kerabat dan keluarga ketika segala bentuk kepura-puraan ditinggalkan dan ketika semua kegembiraan itu sampai ke dalam hatinya kerana sudah dekat dengan apa yang dia inginkan kerana tercapainya maksud yang dia dambakan, kerana kejayaannya menembusi majlis yang dia dambakan, dan kerana kemampuannya menakluki semua rintangan."

Semua ini memberikan pelajaran kepadanya bahawa kenikmatan dunia ini terhimpun dalam keindahan semua peristiwa itu, dalam kemanisan pemandangan itu, dan kemampuan mengambil semua faedah yang ada. Semua itu bagi bagi orang yang gemar mengadakan perjalanan, nilainya jauh lebih indah dari bunga-bunga yang sedang mekar pada musim bunga, dan lebih berharga dari segudang emas murni, yang tidak boleh dirasakan oleh si tukang cela itu dan orang-orang yang memiliki pandangan sepertinya:

Singkir semua tanda dari kumpulan manusia
yang membuat engkau terhina
Jauhi pula kehinaan
sebab kehinaan memang seharusnya dijauhi

Sabda Rarulullah s.a.w:

"Sesungguhnya Allah s.w.t itu bila menyukai suatu kaum, maka Dia akan menurunkan cubaan kepada mereka. Barangsiapa yang redha dengan ujian itu, maka keredhaan Allah s.w.t baginya, dan barangsiapa yang membenci, maka kebencian pula yang akan dia terima."

"Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi kemudian orang yang hampir sedarjat dengan mereka, kemudian yang lebih rendah lagi dan seterusnya. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar keimanannya. Semakin kuat imannya, maka semakin berat pula ujiannya. Semakin nipis imannta, maka semakin ringan pula ujiannya. Seorang hamba tidak akan terlepas dari ujian-ujian hingga Allah s.w.t membiarkan hamba itu berjalan di muka bumi tanpa dosa."

"Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin itu! Semua urusannya mengandungi kebaikan baginya dan perkara ini tidak berlaku bagi seorang pun, kecuali seorang mukmin. Jika mendapat kebaikan dia bersyukur, maka itu menjadi satu kebaikan untuknya. Dan jika ditimpa musibah dia bersabar, maka itu juga menjadi satu kebaikan untuknya."

"Ketahuilah bahawa seandainya seluruh umat manusia itu berkumpul untuk memberikan manfaat kepada mu berupa sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu memberikan manfaat kepadamu selain berupa sesuatu yang telah ditetapkan Allah s.w.t bagimu. Dan, seandainya mereka semua berkumpul untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu memcelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang ditetapkan Allah s.w.t ke atas mu."

"Orang-orang soleh itu diberi ujian (yang berat) oleh Allah s.w.t kemudian orang yang hampir sedarjat dengan mereka, kemudian yang lebih rendah lagi dan seterusnya."

"Orang mukmin itu bagaikan pohon yang kuat, yang tahan ditoup angin ke kanan dan ke kiri."


Pengajaran:
1. Bermusafir boleh dijadikan salah satu cara untuk memuhasabah diri serta mengembalikan motivasi dalam diri.
2. Berjalanlah dimuka bumi Allah ini dengan niat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan khususnya tentang kejadian-kejadian yang Allah s.w.t ciptakan.
2. Rasailah kenikmatan pada setiap kejadian Allah pada setiap saat masa walau dimana dan bagaimana sekalipun ia terjadi.



*Bingkisan dari buku motivasi islam yang terlaris dan terhangat di pasaran oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni.

Amanah Perlu Dipikul dan Dilaksana



Selepas ini apalagi. Bentak kami berbincang dan mencari satu persatu penyelesaian bagi melaksankan tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan ini. Sampai bila kita akan lakukan perkara ini, sampai mati?

Jawapannya adalah 'YA'. Sampai mati. Amanah sebagai khalifah bukanlah suatu kemasyhuran yang dapat dibanggai atau diagungkan tetapi bebanan yang akan dipersoalkan di bakal ditanya oleh Allah s.w.t kelak. Semakin hari, kami merasakan kerja-kerja dakwah dan membawa nama kebenaran ini semakin sukar dan pelbagai likunya. Bermulanya kami berhadapan dengan anak-anak kecil di sekolah, ia terasa sukar namun kini semakin mudah. Nah, Allah sediakan jalan baru dengan ujian yang baru dan lebih mencabar. Berhadapan dengan mereka yang jauh lebih dewasa dan jauh lebih berdikari berbanding diri kita sendiri.

Misinya tetap sama, menyampaikan kebenaran, tidak berubah walau sedikitpun. Bersediakah kita? Pelbagai persiapan rapi diperbuat, secara peribadi masing-masing perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan kemahiran. Ingatlah janji Allah, DIA tidak akan membebankan manusia dengan sesuatu yang tidak tertanggung olehnya. Itu adalah pasti, dan apabila tiba masanya, bermakna kita sudah punya kemampuan, dan kita mesti pilih jalan untuk laksanakan yang terbaik atau kembali menjadi fitnah untuk agama?

Ingatlah, kini kita semua berada di zaman fitnah. Jangan pula kita bersetuju dan menjadi sebahagian daripada fitnah tersebut. Kita hanya mengesahkan apa yang dikatakan Nabi tetapi lebih malang lagi kerana kita adalah sebahagian darinya. Apabila datang sesuatu amanah, laksanakan dengan sepenuh jiwa, bukan untuk sesiapa atau untuk apa-apa pun tetapi kerana ia datang untuk menaikkan imej kita sebagai manusia. Yang mana Allah janjikan darjat kita lebih tinggi dari malaikat, namun jika kita leka dan alpa, maka wajarlah kita menjadi sehinanya binatang ternakan.

Keuntungan, puji-pujian dan kegembiraan adalah umpanan Syaitan dan Iblis. Jika kita katakan fasilitator yang baik ialah mereka yang berjaya menjadi ajen perubah kepada diri manusia yang lain, maka SYAITAN dan IBLIS adalah fasilitator yang terlalu baik kerana dengan mudah dia menyesatkan kita dengan umpanan puji-pujian dan kemasyhuran atas amanah yang kita pikul. Dia lalaikan kita dan dia alpakan kita.

Ya Allah perkukuhkan jalan kami Ya Allah. Istiqamahkan perjuangan kami, tenangkan jiwa kami dalam menyampaikan yang hak dan sabarkan kami ketika ditimpa bencana atau kesusahan, kerana kami yakin dan percaya ia pasti akan datang.

Kamarul Azami b. Mohd Zaini
IQ Class Management
http://iqclassmanagement.blogspot.com

Optimis Dengan Apa Yang Disediakan Allah Buat Kita Semua



Penat rasanya berterusan bergerak dan mengisi program yang pelbagai. Kadang-kadang berat benar rasanya kaki ini ingin melangkah apabila mengenangkan kepenatannya bahkan meninggalkan anak isteri yang semata-mata diserahkan keselamatannya kepada Allah. Apatah lagi apabila segala kerahan tenaga dan idea dilakukan dengan balasan kosong dari penerimanya. Sudahlah penat dilakukan macam-macam, sebaliknya yang diterima hanyalah umpatan, cakap belakang dan yang paling pedih dan sakit adalah tikam belakang.

Wah, ini cukup menguji kesabaran kita sebagai insan yang lemah dan serba kekurangan. Mana tidaknya, kita dah buat semua sehabis baik, tapi ada orang tidak menghargainya. Penat sungguh rasanya. Macam mahu saja berhenti dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia ini. Letihlah. Orang tidak hargai. Jangan katakan terima kasih atau tahniah, bersetuju dengan apa yang dibuat pun jarang sekali. Rasanya lebih baik berehat dan buat kerja-kerja sendiri sahaja, lebih berbaloi dan lebih berpuas hati.

BIla kita tegur mereka, melatah. Tidak mahu dengar pandangan. Idea dia lapuk, tidak sesuai zaman. Pandangannya tidak tajam, cuma telahan saja dan pelbagai lagi andaian untuk menolak dari mengambil pengajaran. Tercabarnya. Apa salahkah kita menegur dan memberikan pendapat? Apa salahkah kita berwatak mengambil berat dan menunjukkan rasa tanggungjawab? Apa salahkah kita? Jadi, biarkanlah mereka. Sudah sampai rasa malas untuk berkata-kata. Sudah sampai rasa muaknya. Ibarat menuang air ke daun keladi, tidak ada kesan apa-apa.

Nah, inilah manisnya berdakwah wahai diriku yang malang. Insan yang bernama manusia ini punya kelemahan. Sebagaimana para Rasul dan Nabi yang juga manusia tetapi dikasihi Allah dan kita semua. Wahai diriku, para Rasul dan Nabi juga berasa sedih dan kecewa, namun dalam kekecewaan Allah pujuk, ajarkan, tunjukkan jalan. Ditelan ikan Nun, dibunuh, ditegur dan diperingatkan, diberikan amaran dan sebagainya. Mereka itu Rasul... mereka itu Nabi...

Wahai diriku yang malang, itulah contoh perjalanan seorang dai'e, dicerca dikata-kata, dipersendakan, diperolok-olokkan, dibiarkan bersendirian tetapi Allah sentiasa bersamamu, percayalah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Jika hanya dengan keadaan ini, kita sudah bermuram durja, apakah tidak perasaan pada seorang Nabi dan Rasul seperti Nuh a.s. Berdakwah selama ratusan tahun. Adakah dikalangan orang yang kita bersedih ini datang dari saudara mara sedarah sedaging yang rapat dengan kita? Bahkan bagaimana perasaan NAbi Nuh apabila anak isterinya ditenggelamkan Allah dalam bah yang besar?

Buat diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan;

Ujian buat kita hanyalah sekecilnya ujian berbanding pada Nabi dan Rasul, para Kahlifah yang terdahulu. Jika kita berhenti dan bersedih, adakah ianya akan menjadi lebih baik? Ingatlah kita bersama, yang kita kejar bukan pangkat, bukan kedudukan, bukan kegemilangan kerana kayu ukur bagi manusia adalah sangat pendek dan kedekut. Yang kita cari adalah rahmat dan keredhaan-NYA kerana ianya tiada batas dan hadnya. Ia mengatasi segala dosa besar yang kita telah lakukan terhadap-NYA.

Kembalilah mencari kejayaan sebenar, untuk hidup tenang dan aman di kampung halaman kita semua. Optimislah kita dengan setiap kejadian Tuhan untuk kita. Pasti, pasti dan pastinya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Apa yang diamanahkan laksanakan, apa yang dituntut segerakan, apa yang dijanjikan penuhilah. Tugas kita, sediakan diri kita sentiasa, setiap saat dan ketika, kerana sebentar lagi Izrail akan memintas kehidupan kita, bila tiba masanya adakah kita telah bersedia?

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
http://kamarulazami.blogspot.com
6 November 2009

Share it

Recent Comments