07 May 2009

Makna jati diri

1) Jati diri; Insan yang punya jati diri, dapat mempertahankan prinsip yang dipercayainya, walaupun keadaan sekeliling, tidak seperti yang disangkainya, dan tidak sealiran dengan apa yang dipercayai itu. Prinsip yang dipegang itu pula, tidak semestinya benar, dan tidak pula semestinya salah. Prinsip bergantung dan diasaskan pada suatu idealisme yang dipelihara atas pengetahuan atau ilmu, dan membawa nilai yang tinggi, melebihi perkara lain.

2) Dalam masyarakat, nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya; Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain, masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?

3) Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya angin bertiup.

4) Generasi berilmu dan bertamadun, seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya, akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring. Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam masyarakat tersebut.

5) Hakikatnya, manusia tidak suka diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana, masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus dibayar. Risiko perlu diambil!

6) Lantas, bekalan yang wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman. Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan. Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.

7) Orang yang tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas, suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!

8) Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan, kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka; Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.

9) Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari. Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri sebenarnya.

Fikrah Imayu
(imayu05.blogspot.com)

No comments:

Jumlah Pengunjung