Showing posts with label 2. Berita Terkini. Show all posts
Showing posts with label 2. Berita Terkini. Show all posts

30 September 2010

Pendirian PKPIM-ABIM-WADAH isu UPSR-PMR



(Salinan memorandum yang diserahkan kepada Y.A.B Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung cadangan pemansuhan UPSR-PMR)

Terlepas dari soal setuju atau tidak,cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh,tetapi dilatari kesedaran tentang wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait dengannya, tetapi masalah yang lebih fundamental dan mendasar.

Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir) memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:

  • Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan. Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita lebih banyak menguji daripada mendidik (more testing than educating).
  • Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah generasi yang berprestasi (akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan berwatak mulia.
  • Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban" peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda. Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.
  • Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).
  • Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sesungguhnya hanya menghargai hasil terakhir suatu proses pendidikan yang panjang. Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan akhir, sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.
  • Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan, selalu memacu persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya. Akibatnya peperiksaan, di mana-mana, selalu diwarnai penipuan, manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.
  • Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka tidak senang ke sekolah, kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran. Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan, tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya dengan semangat korektif-reformatif pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.

Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi orientasi peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya rohani, jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan. Secara pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya mencakup aspek kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif. Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.

Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus dianjak ke arah soalan yang bersifat high order thinking questions, soalan yang mencabar pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang pemikiran analitikal, kreatif dan kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.

Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya. Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula. Untuk mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan. Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi dengan pendekatan integratif penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek arts itu.

Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita (termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal. Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?

Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta, generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan. Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.

Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi. Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan pengijazahan oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan. Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan. Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.

Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam memainkan peranan yang sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan, tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara penilaian tersendiri. Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.

Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi akademik. Bagaimanapun yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai, sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).

Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya. Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen  sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik. Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif. Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.


Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR

Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:

  1. Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah.
  2. Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi akademik.
  3. UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.
  4. Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.
  5. Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.
  6. Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
  7. Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan mereka (guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya. Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti dan tidak dipertikai.


Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan UPSR-PMR, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

1) Untuk memastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi, nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.

2) Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.

3) Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.

4) Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya, telah sampai masanya kementerian mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian CGPA dalam sistem persekolahan negara.

5) Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.

6) Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai sepenuhnya jika sistem pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah. Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus menguat.

7) Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam. Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.

8) Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.

9) Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.


Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
Muhamad Razak Idris (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia)
Muhamad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

16 June 2009

Kembali Ke Rahmat Allah

al-Marhum Syeikh Fathi Yakan
Saturday, June 13, 2009
Belasungkawa - al-Marhum Syeikh Fathi Yakan
Dicatat oleh Al-'Abd al-Da'if pada 13.6.09


Seorang lagi tokoh Islam telah pergi kembali ke rahmatullah sebelum zohor tadi (Sabtu, 13hb. Jun 2009). Beliau ialah Syeikh Fathi Yakan yang terkenal dengan bukunya "Apa Ertinya Saya Memeluk Islam" (ماذا يعني انتمائي للإسلام؟) . Beliau adalah seorang pendakwah dari Lubnan yang banyak berjasa dalam membangun kesedaran Islam di kalangan golongan muda di seluruh dunia. Beliau dilahirkan pada tahun 1933 dan telah meninggal dunia dalam usia kira-kira 77 tahun. Beliau adalah pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 35 buah karya. Antara karya-karya beliau ialah:
مشكلات الدعوة والداعية.
كيف ندعو إلى الإسلام؟
نحو حركة إسلامية عالمية واحدة.
الموسوعة الحركية - جزءان.
ماذا يعني انتمائي للإسلام؟
حركات ومذاهب في ميزان الإسلام.
الاستيعاب في حياة الدعوة والدعاة.
نحو صحوة إسلامية في مستوى العصر.
المناهج التغييرية الإسلامية خلال القرن العشرين.
الإسلام فكرة وحركة وانقلاب.
الشباب والتغيير.
المتساقطون على طريق الدعوة.
أبجديات التصور الحركي للعمل الإسلامي.
قطوف شائكة من حقل التجارب الإسلامية.


dipetik dari blogsawanih wa khawatir.blogspot.com
Terbitan ABIM Negeri Selangor di 11:16 PM 0 maklumbalas

12 June 2009

Sorotan Seminggu PEPIAS

Kursus Pembangunan Minda & Asas Islam untuk Saudara Baru Orang Asli
Tarikh: 10-13 Jun 2009
Tempat: Kediaman Dato' Dr. Razak Kechik, Sg. Buloh
Sasaran: Saudara baru orang asli Tuel & Handrop
Peserta: 60 orang
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Bangi, Pandan, S.Alam, K.Langat.
PIC: Sdr. Abdul Syukur Muhammad Sharif

Usrah Ziarah - Sdr. Raimi, Pen.SUA ABIM Pusat
Tarikh: 10 Jun 2009
Tempat: Kediaman Keluarga, Jalan Ayer Panas, Setapak.
Sasaran: Ahli PEPIAS, Senior PEPIAS
Peserta: 18 orang
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Bangi, Pandan, S.Alam, K.Langat.
PIC: Sdr. Zafrullah Aris

Malam Tautan Anak Negeri - CENFOS Nilai

Tarikh: 3 Jun 2009
Tempat: CENFOS Nilai
Sasaran: Pelajar baru CENFOS, warga PMG9, PEBIS 09, LAKEP 09
Peserta: 80 orang (anggaran)
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Bangi, Gombak.
PIC: PKPIM CENFOS Nilai

Malam Tautan Anak Negeri - CENFOS PJ

Tarikh: 2 Jun 2009
Tempat: SMAWP 3, CENFOS PJ
Sasaran: Pelajar baru CENFOS, warga PMG9, PEBIS 09, LAKEP 09
Peserta: 200 orang (anggaran)
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Petaling Jaya, Gombak, Pandan
PIC: PEPIAS PJ

Kem Tunas Ilmu
Tarikh: 30-31 Mei 2009
Tempat: Masjid As-Sabirin Lembah Keramat, Hulu Klang
Sasaran: Kanak-kanak
Peserta:
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Bangi, Gombak, Ampang.
PIC: Sdri. Noor Adila Mansor

Explorace Jalan Kebun (Kerjasama ABIM Selangor & Persatuan Penduduk)
Tarikh: 30 Mei 2009
Tempat: Jalan Kebun
Sasaran: Remaja Jalan Kebun
Peserta: 105 orang
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Bangi, Gombak, S.Alam, Kuala Langat.
PIC: Sdri Siti Nadia Mohamed

Kem Kepimpinan Sek Ren Mantin
Tarikh: 29-30 Mei 2009
Tempat: Seremban
Sasaran: Pimpinan Pelajar
Peserta: 50 orang
Penggerak: PEPIAS Cawangan; Gombak, Ampang.
PIC: Sdr. Mohd Azali Mohd Nor

28 May 2009

PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK


Tarikh : 10 - 12 Julai 2009
Tempat : Kem Bina At-Taqwa, Bukit Changgang, Banting
Yuran Penyertaan : Rm 30 seorang
(termasuk pengangkutan, penginapan, makan & minum, modul, sijil)
Perasmian oleh : YB Dato' Dr Hassan Bin Ali

Anjuran :

Persatuan Kebajikan & Pendidikan Islam Selangor (PEPIAS)
dengan kerjasama
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Daerah Kuala Langat & Bangi


Sesiapa Berminat sila hubungi :

Abdul Hafiz Bin Abdul Bar
012-5133 309/013-2008 249
adfiz_peace@yahoo.com

ATAU

Sdr. Muzakkir - 0175086339
Sdri. Adib - 0136282450
Sdri. Ila - 0132267954
Sdri. Aimi - 0133077416

Penyertaan adalah terhad kepada 80 orang peserta terawal sahaja....!!!!

*Terbuka kepada remaja yang berumur 15 tahun keatas sahaja....

10 May 2009

Tamrin ABIM Gombak

Pada 8-10 mei 2009 yang lalu, satu program kursus patriotisma pemimpin muda telah diadakan di Teratak Budi kampung changkat gombak. Program ini telah di anjurkan bersama abim gombak dan pejabat belia dan sukan daerah gombak. Program dihadiri oleh wakil abim gombak, pepias dan pkpim.

Program bermula pada jumaat malam dengan majlis perasmian oleh pegawai belia dan sukan daerah gombak. Pada pagi sabtu, program dimulakan dengan kuliah subuh bersama Presiden PEPIAS yang bertajuk keluarga kita. Majlis diteruskan dengan slot realiti bencana maksiat di daerah Gombak yang telah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Keluarga & Pegawai Penguatkuasa PAID Gombak. Sesi diteruskan lagi dengan slot perkongsian pengalaman dakwah di lapangan bersama JAWI.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan bengkel membina kawasan dan pemetaan kawasan bermasalah. Peserta diajar mengenalpasti masalah yang terdapat disesebuah kawasan dan persediaan yang perlu dilakukan. Kawasan-kawasan dibahagikan mengikut masalah dan dipetakan. Ini bagi mengelakkan pendekatan yang tidak sesuai sekaligus melancarkan urusan mendekati mad'u dengan sistematik.

Program diteruskan lagi dengan latihan dakwah lapangan. Peserta diberi pendedahan praktikal dengan berkunjung ke rumah kebajikan KEWAJA yang merupakan sebuah tempat perlindungan wanita yang bermasalah. Pusat ini ditubuhkan untuk membimbing remaja-remaja yang bermasalah memperbetul diri dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Pada sebelah malamnya, program ini telah diteruskan dengan kuliah magrib yang telah disampaikan oleh al-fadhil Tn. Hj Ahmad Azam (mantan presiden ABIM). Selepas itu program di teruskan dengan majlis bbq. Majlis ini telah di hadiri oleh pemangku s.u.a abim pusat, pimpinan abim pusat, setiusaha jkkk kg changkat,veteran abim dan wadah.

Pada pagi ahad, majlis diteruskan dengan kuliah subuh. kuliah subuh ini telah disampaikan oleh al-fadhil cikgu Sidek Baba yang berkisar tentang makna hidup dan 5 Ehsan Allah kepada insan. Majlis diteruskan dengan perbincangan dan pembentangan program-program yang bakal dijalankan oleh ABIM Gombak. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YDP ABIM Selangor, Ust Zawawi. Majlis bersurai jam 1.00 ptg.

14 April 2009

Kem Smart Insan SK Kebun Baru



Tanggal 11-12 April 2009, bersamaan hari Sabtu dan Ahad, bertempat di Sekolah Kebangsaan Kebun Baru, Telok Panglima Garang. Di sini, bermulanya penjelajahan Unit Syabab Nurul Iman, sayap remaja PEPIAS di daerah kuala Langat, ditemani ABIM Kuala Langat, sebagai mentor menjalankan kerja dakwah pendidikan secara berjemaah. Setelah berpenat lelah menjalani latihan PMG, PEBIS, dan LAKEP, para aktivis muda ini akhirnya berjaya menjalankan projek pertama mereka bersama masyarakat di kampung Kebun Baru ini.

Para fasilitator dan penggerak program seramai 38 orang, sebahagian dari PEPIAS Bangi(KUIS), rakan-rakan syabab SAMTAR, UIAM (PJ), Madrasah Mujahidin, dan tenaga utama dari unit Syabab Nurul Iman sendiri. ABIM Kuala Langat, melalui wakilnya, saudara Radin Muhd Imaduddin bertindak sebagai Trainer, dan secara langsung, mentor kepada penggiat remaja ini. Saudara Hafiz (KUIS) bertindak sebagai Ketua Fasilitator dan Saudara Azmir (Syabab) sebagai Pengarah Program. Saudara Zulhelmi (Presiden PEPIAS) turut sama hadir sebagai pemerhati Pusat. Seramai 244 orang peserta program, murid tahun 6 menyertai Kem Smart Insan ini, dengan pecahan 11 kumpulan lelaki dan 11 kumpulan perempuan.

Program ini menjadi suatu ujian kepada penggerak remaja Syabab dalam menguruskan program sepenuhnya; dari menulis kertas kerja, sehinggalah akhir acara perasmian penutupan daripada NYDP PIBG SKKB, Ustaz Adni. Program ini, pada awalnya berfokuskan kepada Modul Smart Solat, namun, setelah perbincangan dilakukan dan memberi pertimbangan kepada keperluan sekolah, modul diubahsuai kepada SMART insan.

Lantas, modul dirangka semula dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam menjadi anak soleh, di samping membimbing adik-adik peserta menjalani kehidupan yang kemas (smart) dalam menjuruskan aktiviti dan sasaran kepada kejayaan. SMART adalah akronim kepada:-

S-Solat
M-motivasi
A-Akhlak / Adab / Aturan
R-Rakan sebaya
T-Tekun / Bersungguh-sungguh

Secara keseluruhan, program ini dapat menonjolkan kekuatan penggerak, baik sebagai fasi, dan juga komiti, dan serba-sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa. Secara tidak langsung, unit Syabab juga telah mempromosikan diri mereka kepada masyarakat umum di sekitar mereka. Yang lebih penting, kesan menyampaikan perkara kebaikan adalah untuk membangunkan diri sendiri untuk menjadi insan yang soleh kepada Penciptanya, dan seterusnya menjadi khalifah kecil di atas muka bumi ini.

Prinsip Menyeru kepada Ma'ruf, dan mencegah kepada Munkar sentiasa menjadi alas untuk terus berkhidmat dalam masyarakat. Mana mungkin melihat kesan perubahan sikap kepada peserta dalam program yang hanya 2 Hari 1 malam menjadi kayu pengukur kejayaan program. Kita hanya merancang, dan berusaha bersungguh-sungguh, selebihnya, kita serahkan kembali kepada Allah yang Esa untuk memberi hidayah kepada hambaNya. Hanya Allah sahaja yang mampu mengubah apa yang diciptaNya.

Selanjutnya, adalah proses muhasabah dan meneruskan Islah dalam diri dan masyarakat. Unit Syabab akan terus membantu ABIM Kuala Langat, melalui PEPIAS dengan izin Allah taala.
Sama-samalah kita berdoa semoga dengan Asbab mengikuti program latihan sebegini, akan menjadikan diri lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini.


Ya, Penjelajahan kita baru sahaja bermula...

20 March 2009

BENGKEL PENGURUSAN PEPIAS 2009

Assalamualaikum.

Sekreteriat Setiausaha PEPIAS akan menganjurkan bengkel pengurusan pada minggu ini bermula esok 21 Mac 2009, jam 9.00 pagi bertempat di Masjid Negeri Shah Alam. Seluruh wakil cawangan dijangka akan turut serta dalam program tersebut beserta beberapa jemputan.

Program bakal dimulakan dengan Usrah 3G (3 Generasi) antara WADAH (Selangor), ABIM (Selangor) dan PEPIAS. Ini bagi meratakan kefahaman dan menyelaraskan pergerakan da'wah di negeri Selangor dalam kerangka masing masing . Ia juga bagi mengenal pasti bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama.

Program bakal diteruskan dengan agenda utama iaitu mengenai pengurusan. Pelbagai slot telah diatur dan bakal diisi oleh beberapa jemputan yang berpengalaman terutama dari kalangan mantan kepimpinan PEPIAS.

Program bakal dilanjutkan lagi dengan aktiviti qiamullail dan pada hari ahad, slot gagasan PEPIAS bersama presiden bakal berlangsung. Slot ini khas bagi menjelaskan halatuju PEPIAS kepada seluruh cawangan dengan harapan pergerakan seluruh cawangan akan terarah dengan lebih fokus dan jelas.

p/s: Jadikan ia ruang sebagai pre-induction buat semua. Doakan kekuatan buat Saudara Zafrullah dan teman2 yg bersusah payah melaksanakannya.

Terima Kasih - d'5th

19 March 2009

Sorotan berzaman PEPIAS

Assalamualaikum buat seluruh warga PEPIAS. Mohon maaf atas lamanya tidak menulis. Moga kita senantiasa diberi petunjuk olehNya.

Tahniah buat adik adik SPM walau ape jua huruf yang adik dapat. Sebelum nyawa sampai ke kerongkong, banyak benda boleh diusahakan. Abang2 akak2 tolong followup k.

Berikut merupakan rentetan program selepas 2 februari 2009.

Perhimpunan 3G, 14-15 Feb 09, Masjid Negeri S.Alam:Pertemuan antara WADAH (Selangor)-ABIM (Selangor)-PEPIAS. Pertemuan membincangkan asas perjuangan berantai ketiga-tiga wadah dan kerjasama yang berkesinambungan yang boleh diusahakan bagi menjayakan visi mega membina generasi khaira ummah. Juga dibentangkan peranan masing masing mengikut sasaran umur ahli. PEPIAS - had umur 26, ABIM - had umur 40, wadah - hingga akhirnya.. Menjadi bibit asas pembentukan PEPIAS cawangan baru

Kem Ibadah, 21-22 Feb 09, Sek Ren Tahfiz ABIM meru:Fasilitator dari KUIS dan adik adik PEBIS diketuai saudara Abd Hafiz B. Abd Bar. Klik untuk lanjutan.

SYABAB, 22 Feb 09, Masjid Jln Kebun Baru:Program gotong royong masjid remaja setempat, peserta PMG dan PEBIS dari teluk panglima garang. Program diketuai Saudara Raden Imanuddin (ABIM Kuala Langat). Turut hadir wakil PEPIAS, Zulhelmi & Ammar

Induksi PEPIAS PUSAT, 28-29 Feb 09, Pusat Komuniti Kpg Changkat:Prog bermula jam 4.00 ptg dengan ta'ruf. Tentatif Ahad: pembentangan halatuju PEPIAS oleh Presiden PEPIAS, perbincangan bidang tugas exco, Ucapan wakil Abim - Saudara Hairuddin Abbas. Turut hadir dan membantu - Saudara NorFirdaus dan Saudara Raden Imanuddin.

LAKEP 09, 6-8 Mac 09, Kem Rebutia:Program latihan asas kefasilitatoran PEPIAS. Sambutan yang hangat dari setiap cawangan dan adik adik PMG, PEBIS dan adik adik lepasan SPM. Program diketuai saudara Razman Razali. Berikut capaian untuk berita lanjut. #PEPIAS GOMBAK: Klik untuk lanjutan #PEPIAS BANGI: Klik untuk lanjutan

Young ABIM Camp, 14-15 Mac 09, Bkt Cherakah: Program terbuka kepada umum anjuran Abim Selangor dengan kerjasama Inayah Training Centre. PEPIAS menghantar dua wakil fasilitator dari CENFOS. Program diketuai Saudari Hidayah. Klik untuk lanjutan

Program kepimpinan & Jatidiri, 13-15 Mac 09, Kem Bkt. Lagong: Peserta dari sek ren agama Al-Kahfi Bt. Caves. Program diketuai saudara Hazriq. Dalam perjalanan, adik kita syafiq dari CENFOS dan beberapa Fasilitator terlibat kemalangan. Alhamdulillah semua selamat. Kereta je masuk bengkel selepas report Polis. Klik untuk lanjutan

Tamrin Nuqaba' SAMTAJ, 13-15 Mac 09, SAMTAJ: To be updated.. ngantok sukor nak tidor n saya nak g keje.

Trimas everibodi. Wassalam..

02 February 2009

Sorotan seminggu..

Salam perjuangan... perjalanan masa mendewasakan kami dibarisan pimpinan PEPIAS. Walaupun ianya sedikit, tapi tetap memberikan ilmu yang bermanfaat. Atur langkah yg dimulakan dgn prog PEBIS, menampakkan momentum yg kuat dikalangan ahli. Sekalung penghargaan buat mereka yang berusaha menjayakan program ini, samada secara langsung ataupun tidak. terima kasih daun keladi..
Walaubagaimanapun, pengurusan program ini perlu diperapikan lagi. masih ada kelompongan yang perlu diatasi. bedah siasat perlu disegerakan. dokumentasi perlu diseliakan. apa yang dirisaukan ialah ahli baru yang pd awlnya berkobar utk berjuang bersama PEPIAS akan menjadi dingin tatkala kita sedang berpuas hati dgn kejayaan teknikal program. namun usaha tetap diteruskan kerana tiada istilah sudah terlambat bagi para pendokong perjuangan. sekali lagi terima kasih daun keladi..
Pulangnya kami dari prog PEBIS, diskusi kedai mkn diteruskan dgn kehadiran tok penghulu mukim batu. budaya yang sentiasa diwarisi dari senior terdahulu (diskusi kedai makan). pulang kami dengan kecerian walaupun jasad agak kepenatan. esoknya melayani jemputan ke usrah gabungan di KDH. bayak pendedahan baru yang diperolehi dari pembentangan berkenaan perkembangan di bumi Palestin. namun yang membuat kami tercuit, pabila ahli veteren ABIM menyapa dan menanyakan kami dari jemaah mana?(ABIM? atau PKPIM?) lantas kwn2 dgn bangga mnjwb dr PEPIAS. trus ayah2 ini mnceritakan mereka turut sama mnjd pemula kpd pejuangan PEPIAS semasa berada di Yayasan Anda. ayah2 ini turut bangga kerana perjuangan mereka masih diteruskan.. mungkin byk memori bersama PEPIAS yg disimpan..
Usrah pimpinan gombak pd hari berikutnya dgn perbincangan buku fiqh aulawiyyat juga membuat kami terus berfikir dan bermuhasabah. nilai kasih sayang yang sudah tidak diberi keutamaan bahkan dilenyapkan, menjadi punca kebobrokan dunia pada hari ini. manusia hanya mementingkan diri sendiri. namun Allah masih sayangkan umatnya. maka dibangkitkan pejuang2 yang istiqomah dalam menerapkan kasih sayang dikalangan umat. semuanya adik beradik kami, tidak kira apa jenis umat sekalipun. biarlah orang menganggap pejuang PEPIAS buat kerja yang jijik dan kotor, namun penilaian yang sebenar disisi Allah kelak.
malam itu juga kami mendapat pengkhabaran yang mendukacitakan..ayah ketua helwani dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital sg. buloh. hanya mesej yg sempat disebarkan kpd org terdkt yg mampu dilakukan pd malam yang agk terbatas. apa yg mengujakan kami ialah pabila perkhabaran ini berlaku begitu meluas sekali. bahkan kami sendiri menerima mesej2 yg berbeza2 dr kalangan ahli2, namun maklumat yang ingin disampaikan adalah jelas sama. bibit2 kasih sayang sudah semakin tersemai. nilai adik beradik yg diserapkan menjdkan kita begitu prihatin dgn perkembangan ahli yg lain. ayah dia, ayah kt bersama..
pada esok harinya, kami bergegas memulakan ziarah. apa yang dirisaukan juga adalah kepiluan keluarga ketua helwani. namun tanggapan kami meleset, riak wajah mereka sekeluarga nampak begitu tabah. ini mungkin juga disebabkan sokongan rakan2 yg begitu ramai hadir menziarahi mereka. aspek persaudaraan ini wajar dijadikan asas kepada kelansungan kt berada dalam arena perjuangan.
pada hari berikutnya kami membuat perbincangan dan perencanaan bagi memastikan perjalanan PEPIAS teratur. apa yang disimpulkan dr perbincangan ini ialah keutamaan tanzim dalam memastikan kelansungan. hari tersebut turut membawa berita yg menggemparkan dunia. aperesiasi Tayyip Erdogan menjadi inspirasi kami. berani, tegas dan berprinsip.. semangat ini menjadikan kita lebih kuat dan membuktikan yang kita tidak bersendirian.
esoknya, ziarah ayah ketua helwani diteruskan dikalangan rakan2 yang belum sempat menziarah sebelum ni. perkembangan yang sedikit positif diterima, satu drpd wayar telah dikeuarkan. harapan kami, berita yang lebih positif bakal disusuli..
maaf kalau artikel ini lebih bersifat peribadi.. apa yang cuma ingin disampaikan adalah pergerakan kami sepnjng seminggu ini. ianya untuk menunjukkan yang kami ini tidak terus terlena dibuai mimpi sedangkan amanah umat yang begitu besar dipikul. kami juga berhasrat untuk menyeru kepada sekelian individu yang masih ada kasih dan sayangnya pada PEPIAS dapat turut mengangkat perjuangan wadah ini. sentimen eksklusifnya senior dan terlampau merendah dirinya junior perlu dikesampingkan. mari kita sinsing lengan bersama..biarlah sumbangan kita hanya sekecil dgn menghantar komen atau artikel shj, tapi percaya dan yakinlah impaknya sangat besar dlm pendewasaan PEPIAS. PEPIAS ini milik kita bersama. jatuh dan bangunnya juga tanggungjawab kita bersama. usah dicungkil2 kelemahan yang tersembunyi, tp carilah titik persamaan yang boleh buat kita seiring. sebelum berakhir, nk pinjam kata2 abg fadh yang sentiasa tersemat. "perjuangan ini tidak dihamparkan dengan permaidani merah, iringan bunga manggar dan kompang, tapi penuh dengan duri dan ranjaunya". semoga dapat istiqomah..teruskan perjuangan!! "menyemai idealisma perjuangan, menyubur dakwah berterusan".


01 January 2009

Sekitar Kampus: Program PMG

PMG di Berita Harian <-- klik di sini

Sekitar Kampus: Program PMG

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

Pelajar lepasan SPM bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus

SEMUA mengakui teruja untuk mengikuti program Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor (Pepias), apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa dan guru bertujuan mengisi waktu cuti selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas didedahkan dengan beberapa slot program di Kolej Ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang perasaan itu semakin meningkat dan bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan baru ditimba.


Bekas Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Panglima Garang, Azmir Jais, berkata program PMG adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri dan mempunyai kelainan berbanding kegiatan lain yang pernah disertainya.


“Tiga hari berada di sini memberi impak positif dalam hidup saya terutama selepas saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian yang mana pengisiannya mendedahkan peserta mengenai budaya ilmu dan berfikiran positif.

“Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana mempelajari ilmu agama khususnya kepentingan solat,” katanya.

Sementara itu, Nor Hafiffy Suraya Shafie yang pertama kali mengikuti perkampungan seperti itu melahirkan perasaan

gembira dan berterima kasih kepada guru beliau, Radin Mohd Imadudin Radin Abdul Halim kerana membuka peluang dirinya dan rakan menyelami corak hidup di alam kampus menerusi aktiviti seumpama itu.

“Pengalaman dalam PMG tidak pernah saya dapati dari mana-mana program sebelum ini apatah lagi fasilitator Pepias yang berpengetahuan luas dalam membantu kami mengenal alam kampus.

“Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja diterapkan dengan ajaran Islam malah turut melakukan kegiatan riadah seperti mandi sungai dan meredah hutan,” katanya.

Radin, berkata PMG banyak memberi pengalaman serta pengajaran berguna sehingga beliau berjaya melangkah ke alam kerjaya dan berjaya menarik pelajar sekolah itu menyertai program berkenaan.

“Saya yakin dengan PMG dan menggalakkan pelajar menyertainya kerana ia memberikan pengalaman berguna khususnya nilai hidup bermasyarakat yang turut didedahkan dalam program ini.

“PMG adalah satu program berteraskan ilmu dan mempunyai wadah tinggi dalam melahirkan generasi berminda kritis dan holistik,” katanya.

Presiden Pepias, Mohd Zulhelmi Abdullah, berkata program di UPM itu adalah alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka setelah menduduki SPM dan ingin merasai suasana kampus iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus.

“PMG kali ini dijayakan dengan sokongan 26 fasilitator dan 47 urus setia yang terdiri daripada mahasiswa enam institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang.

“Antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Universiti Sains Islam Malaysia, Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dan Nilai, Kolej Cybermatic dan Kolej PTPL Ampang,” katanya.

Katanya lagi, antara objektif program itu adalah untuk mendedahkan peserta persediaan awal menghadapi alam kampus, membina perancangan dan kekuatan di dalam hidup serta menekankan tujuan hidup, belajar dan cara bermasyarakat.

Seramai 100 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada lepasan SPM mengikuti program selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember lalu. Program kesembilan itu dirasmikan bekas Presiden Pepias, Mohd Fadzli Arsad.

24 December 2008

PMG 2008 -edited 1 januari 2009

Assalamualaikum

Walaupun sudah beberapa hari berlangsung,namun tidak terlambat untuk diberikan ucapan tahniah kepada adik-adik penggerak PMG 2008. Walaupun tidak berada di program itu sepenuh masa, di saat mendengar adik-adik peserta mengalunkan lagu PMG terasa syahdu dan meresap ke dalam jiwa. Sungguh benar hati ini begitu tersentuh dengan lirik dan lontaran suara adik-adik.

Tahniah diucapkan!!!! Ingat adik-adik...kejayaan program kita bukan bergantung kepada apa yang kita nampak tetapi usaha yang kita letakkan dalam memastikan program itu berjaya.... Terima Kasih atas komitmen yang diberikan... hanya Allah yang mampu membalasnya....

klik Sini untuk mendengar adik-adik peserta menyanyikan lagu menara

atau

Jumlah Pengunjung