03 February 2010

Artikel Usroh PEPIAS ; 3 Februari 2010

ARTIKEL USROH PEPIAS

Tarikh : 3 Februari 2010

Tafsirul Al-Quran

Surah AlMaidah ; 54

Tafsir Surah Al Maidah Ayat 54 :

Tajuk penting dalam ayat ini

  1. jangan bertukar agama dari agama Islam kepada agama bukan Islam
  2. Allah khabarkan berita yang belum berlaku
  3. orang beriman sesama mereka bergaul dengan lemah lembut
  4. orang beriman sesama orang kafir bergaul dengan keras dan tegas

wahai orang-orang yang beriman ...

  1. dalam ayat ini Allah Taala ingin menceritakan kepada manusia tentang kehebatan kekuasaanNya (K)
  2. wahai orang-orang yang membenarkan Allah dan RasulNya dan mengaku dengan apa yang dibawa datang oleh Nabi Muhammad (T)

sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah ...

  1. sesiapa di antara kamu yang lari daripada tanggungjawab menolong agama Allah dan menegakkan syariatNya (K)
  2. sesiapa yang lari daripada kebenaran kepada kebatilan (K)
  3. mereka yang lari daripada agama Islam dan masuk agama kafir (T)
  4. agama kafir itu samada masuk agama Yahudi, agama Nasrani atau apa sahaja agama kufur, maka kemasukannya itu tidak sedikitpun memberi mudharat kepada Allah (T)

dari agamanya ...

  1. orang yang berpaling tadah dari agama Islam kepada agama kafir dinamakan orang yang murtad
  2. ayat ini ialah ayat syarat maka jawapannya ialah ayat seterusnya (Q)
  3. ayat ini adalah antara ayat yang menunjukkan kemukjizatan Nabi Muhammad, yang mana Allah Taala memberitahu kepada Nabi Muhammad peristiwa ghaib yang tidak berlaku lagi tetapi akan berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad beberapa ketika (Q, T)
  4. begitu juga pemberitahuan awal bahawa orang-orang yang beriman yang akan menggantikan orang-orang yang murtad itu tidak akan menukar agama, tidak akan murtad (T)
  5. peristiwa ghaib itu ialah peristiwa orang-orang Islam menjadi murtad beramai-ramai pada awal-awal zaman pemerintahan khalifah Islam pertama Abu Bakar (Q)
  6. orang-orang Islam menjadi murtad melainkan tiga masjid sahaja, iaitu masjid Madinah, masjid Mekah dan masjid Jawathi (Q)
  7. orang-orang Islam yang murtad itu terbahagi kepada dua puak (Q)
    1. golongan pertama ialah mereka yang menolak syariat kesemuanya sekali dan keluar dari Islam secara keseluruhannya (Q)
    2. golongan kedua pula golongan yang tidak mengaku kefadhuan zakat tetapi masih beriman kepada kefardhuan-kefardhuan yang lain (Q)
      1. golongan ini berkata kami mahu sembahyang, kami mahu berpuasa tetapi kami tidak mahu membayar zakat (Q)
      2. Abu Bakar telah memerintahkan diperangi kedua-dua mereka sama rata (Q)
      3. Abu Bakar telah menghantar tentera yang diketuai oleh Khalid Ibnu Al Walid memerangi kedua-dua golongan ini dan menawan mereka (Q)

maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum ...

  1. iaitu Allah akan gantikan orang yang murtad dengan orang lain (J)
  2. orang lain itu ialah orang yang beriman, orang yang tidak menukar, tidak mengubah dan tidak murtad (T)
  3. Allah akan gantikan dengan orang yang lebih baik, dengan orang yang lebih keras ketahanannya dan lebih teguh perjalanannya (K) sebagaimana firman Allah
    1. Surah Muhammad Ayat 38 (K)
    2. Surah Ibrahim Ayat 19-20 (K)

yang Allah kasihkan mereka ...

mereka pula bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman ...

  1. berkatalah Ibnu Abbas, lemah lembutnya orang-orang yang beriman sesama mereka seperti pergaulan lemah lembut seorang ayah terhadap anaknya (Q)

yang bersikap keras, tegas dan gagah terhadap orang-orang yang kafir ...

  1. beginilah sifat orang-orang yang beriman, pada suatu masa mereka menjadi orang yang lemah lembut, tetapi pada masa yang lain mereka menjadi keras dan tegas (K)
  2. ini juga adalah sifat Rasulullah, pada suatu masa suka bersenda gurau bersama orang beriman lain, tetapi pada masa yang lain sangat keras dengan musuh-musuh baginda (K)
  3. Ibnu Abbas berkata, keras dan tegasnya pergaulan orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang kafir seperti keras tegas pergaulan singa dengan buruannya (Q)
    1. Surah Al Fath Ayat 29 (Q)

dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela ...

  1. mereka tidak takut kepada sesiapapun dalam membela zat Allah (T)
  2. jangan jadi seperti orang-orang yang munafik yang takutkan celaan orang-orang yang kafir (J)
  3. orang munafik takut perkara yang muncul lagi (Q)
  4. tidak mengalihkan orang-orang yang beriman daripada mentaati Allah kerana celaan dan cemuhan orang (K)
  5. tidak mengalihkan mereka daripada menegakkan hudud-hududNya (K)
  6. tidak mengalihkan mereka daripada memerangi orang-orang yang kafir (K)
  7. tidak mengalihkan mereka daripada amar makruf dan nahi mungkar (K)
  8. semuanya tidak menegahkan mereka orang yang menegah dan tidak mengalihkan orang yang mengalih (K)
  9. dari Abu Zar ada berkata, kekasihku Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah mewasiatkan aku dengan tujuh wasiat
    1. mengasihi orang miskin dan mendekati mereka
    2. melihat orang yang di bawah ku dan jangan melihat orang yang di atasku
    3. menghubungkan silaturahim walaupun orang memalingkannya
    4. tidak meminta-minta kepada selain Allah sedikitpun
    5. berkata benar walaupun pahit
    6. tidak takut kepada celaan orang kerana menegakkan kehendak Allah tidak kira siapakah orang yang mencela
    7. membanyakkan sebut la haula wala quwwata illa billah

  1. dalam Musnad Imam Ahmad, dari Abu Said Al Khudri, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ada bersabda, jangan sekali-kali kerana takutkan manusia kamu takut untuk berkata benar, jika kamu melihat sesuatu atau kamu menyaksikan sesuatu maka berkatalah benar, kerana berkata benar itu tidak akan mendekatkan tempoh masa yang telah ditetapkan dan tidak akan menjauhkan rezeki yang telah ditetapkan (K)
  2. dalam Musnad Ahmad lagi, dari Abu Said Al Khudri, Rasulullah ada bersabda : jangan kamu sampai menghinakan diri kelak kerana kamu melihat sesuatu perkara yang patut dikatakan tetapi kamu tidak berkata kerana di akhirat nanti akan dikatakan kepadanya, apakah yang menghalang kamu daripada berkata begini dan begini, maka dia menjawab, aku tidak berkata kerana takutkan orang, lalu Allah berkata, sepatutnya Akulah yang patut kamu takutkan (K)
  3. ayat ini adalah sebagai dalil menegaskan kebenaran dan kesahihan perlantikan khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali kerana mereka berempat telah berjihad bersama Rasulullah, kemudian memerangi golongan murtad selepas kewafatan baginda (Q)
  4. sudah diketahui umum, mereka yang bersifat dengan empat sifat di atas adalah wali-wali Allah (Q)
  5. ayat ini juga umum meletakkan kelebihan dan kemuliaan kepada mereka yang berjuang menentang orang-orang kafir sehinggalah hari kiamat (Q)

yang demikian itulah limpah kurnia Allah ...

  1. orang yang beramal dengan empat sifat di atas barulah mendapat limpah kurnia Allah (K)
    1. bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman
    2. bersikap keras, tegas dan gagah terhadap orang-orang kafir
    3. berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah
    4. tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela

yang diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya ...

  1. sesiapa yang bersifat dengan empat sifat di atas, itu tandanya Allah Taala telah memberikan limpah kurniaNya kepadanya dan Allah telah memberikan hidayah taufiqNya kepadanya (K)

dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya ...

  1. maha luas limpah kurnia bermakna maha banyak limpah kurniaNya (J)

lagi Maha meliputi pengetahuanNya

  1. Allah maha tahu siapakah yang layak menerima limpah kurniaNya yang maha luas itu (J)
  2. Allah maha mengetahui apakah perkara baik untuk umat manusia (Q)
  3. Allah maha tahu di manakah tempat manfaatnya dan di manakah tempat mudharatnya (T)

Hadith 40

Hadith 35 ; Cara Hidup Bermasyarakat

Oleh Sdra

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

Pengajaran hadis:

(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.

(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.

(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.

(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada, namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.

Sirah

Tokoh-tokoh Harakah dan Pendakwah ; Imam Hassan Al-Banna

Oleh Sdra

"...Kupersembahkan jiwa ini ke hadrat Allah dan Ia pula yang akan menyelamatkannya. Inilah perjanjian antara Allah dan seorang hamba-Nya, yang kucatat di sini, dengan guruku sebagai saksi. Apa pun tak bisa mempengaruhinya, kecuali nurani. Siapa pun tak bisa menebusnya, kecuali Tuhan. Hanya mereka yang memenuhi janjinya kepada Allah, berhak menerima imbalannya."

Inilah tekad dan keghairahan jihad seorang pejuang Islam dan pengasas gerakan Islam terkenal, Imam Hassan al-Banna. As-syahid yang gugur pada 12 Februari 1949, menyatakan tekad tersebut sewaktu masih menuntut di pusat pengajian tinggi Darul Ulum, Kaherah.

Janji As-syahid yang dibuat semasa masih berusia lewat belasan tahun dikotakan dalam perjalanan hidupnya sehinggalah beliau kembali ke pangkuan Allah (SWT).

Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada 0ktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Beliau berkelulusan Universiti al-Azhar dalam jurusan agama dan banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna berkelulusan tinggi, beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam Mahmudiyyah. Masa selebihnya beliau gunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan. Malah beliau juga adalah pengarang beberapa kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam.

Ketokohan, keilmuan dan keperibadian tinggi Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi pula oleh anak sulungnya, Hassan al-Banna yang kemudian menjadi pemimpin dan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin yang dihormati serta merubah sejarah. Melalui kepimpinan dan didikan Hassan al-Banna, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan semula Islam abad ini.

Sifat kepimpinan pemimpin agung ini terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

Pada usia 16 tahun, beliau ke kota Kaherah untuk melanjutkan pelajaran di Darul Ulum. Di sana beliau didedahkan dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Yang dilihatnya ialah parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular semuanya terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam.

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Al-Imam Hassan al-Banna menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun dan baru mendapat ijazah dari Darul Ulum, serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di bandar Ismailiyyah.

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusu kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.

Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila ia turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di. Ikhwan Muslimin kemudian diharamkan pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna masih dibebaskan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zuhur 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau dikatakan telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

No comments:

Jumlah Pengunjung