Oleh:
Kamarul Azami bin Mohd Zaini (KAMZ)
Apabila disebutkan ‘syukur’, ‘bersyukurlah’, pasti akan terbit dari lidah seseorang manusia yang mengakui Islam itu ucapan ‘Alhamdulillah’. Sejauhmanakah perkataan itu menjadi amalan kehidupan seorang Muslim? Adakah setiap hari, setiap masa atau setiap saat?
Pernah suatu ketika berbicara seorang pemuda dengan seorang Pak Tua yang kuat makannya, tinggi percakapannya serta tepat segala janjinya. Pada awal pertemuan si pemuda dengan Pak Tua, kerapkali dia melihat Pak Tua ini sangat kuat makan. Setiap yang dihidangkan pasti dihabiskan. Tuturnya pula ibarat menyatakan bahawa dia tahu lebih banyak perkara dan dia melebihi pengalamannya dari orang lain. Namun, disedari si pemuda bahawa pada setiap tutur kata Pak Tua ini akan dimulai dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Tidak pernah terlupa Pak Tua akan perkataan itu. Selepas bersama pemuda itu beberapa ketika dengan Pak Tua, maka timbullah tanda tanya pemuda itu kepada Pak Tua.
“Wahai Pak Tua, kenapa begitu mudah lidah Pak Tua menyebut ‘Alhamdulillah’? Belum pun Pak Tua menjamah apa-apa makanan pun, pak tua dah sebut ‘Alhamdulillah’, belum pun Pak Tua menaiki kenderaan atau sampai ke mana-mana Pak Tua sebut ‘Alhamdulillah’, kenapa?” tanya pemuda itu keliru.
“Wahai anak muda, pernahkah kamu bersyukur apabila perutmu merasai kelaparan?” tanya Pak Tua itu spontan.
“Bagaimana perasaan mu wahai anak muda, jika dijamu makanan yang amat sedap tetapi dalam keadaanmu yang kekenyangan? Adakah kamu akan menjamah makanan itu? Sesungguhnya, ‘Alhamdulillah’ku adalah kerana bersyukur kerana dikurniakan rasa lapar dan dapat berjalan juga merasai menaiki kenderaan dengan kakiku.” Jawab Pak Tua itu ringkas.
Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
--- Sumbangan artikel dari http://kamarulazami.blogspot.com. Penulis adalah seorang Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management juga Setiausaha Kewangan ABIM Selangor.
No comments:
Post a Comment