18 February 2010

PEPIAS dan Politik

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam perjuangan…

Merujuk kepada beberapa kenyataan yang dilontarkan oleh sahabat-sahabat berkaitan kecenderungan PEPIAS kepada parti politik ataupun individu yang terlibat dengan politik; Sehubungan itu, saya rasa bertanggungjawab untuk membetulkan beberapa fakta yang mungkin disalahertikan oleh teman-teman yang prihatin terhadap pergerakan PEPIAS mutakhir ini.

Pertama sekali, saya mengakui bahawa PEPIAS telah terlibat dengan beberapa pertemuan bersama tokoh-tokoh politik negara tidak kira di sebelah barisan nasional mahupun pakatan rakyat. Namun demikian, tidak bermakna sama sekali bahawa PEPIAS telah terjerumus ke lembah politik ataupun pergerakannya terbatas kerana ditentukan oleh acuan politik. Kebanyakkan pertemuan yang diadakan adalah berdasarkan jemputan dan undangan yang diberikan ke atas PEPIAS. PEPIAS bertanggungjawab untuk memenuhi jemputan dan membawa suara mewakili kelompok pelajar Islam dan juga gerakan belia khususnya di negeri Selangor. Istilah non partisan perlu diperbetulkan. Memang benar PEPIAS tidak boleh terlibat dengan politik kepartian ataupun dipolitikkan, tetapi ini tidak bermakna PEPIAS tidak bertangungjawab kepada politik.

PEPIAS merasakan perlunya ada kepedulian untuk memastikan pihak berwajib yang menentukan dan menggubal dasar negara dan negeri ini memperolehi sumber maklumat yang wajar demi kemaslahatan ummah. Sebagai contohnya, ada beberapa isu berkaitan pendidikan dan kebajikan berjaya dilontarkan kepada pihak tertinggi negeri. Bayangkan dalam peluang dan ruang yang diberikan untuk berdialog bersama pimpinan tertinggi negeri, tidak ada satu pun lontaran yang dikemukakan oleh wakil-wakil pelajar berkataitan isu pendidikan dan kebajikan yang bersifat kenegerian melainkan lontaran daripada wakil PEPIAS. Oleh hal yang demikian, itu sudah semestinya menjadi tanggungjawab kami untuk menggerakkan arah orang politik dan bukan orang politik yang mengARAHkan kami.

Di dalam menyemarakkan kerja-kerja da’wah, mekanisma perlu dipelbagaikan bagi merealisasikan visi dan misinya. Tidak dapat dinafikan, sumbangan dan kerjasama daripada mana-mana pihak secara individu ataupun agensi diperlukan. Ini termasuklah golongan politik, akademik, korporat, pegawai kerajaan, swasta, penghulu, guru dan sebagainya. Namun demikian, ini tidak beerti prinsip kita tergadai kerana memperoleh bantuan daripada mereka. Kebijaksanaan perlu sentiasa memandu dihadapan.

Berkenaan artikel yang di majukan di dalam blog rasmi PEPIAS, saya berpendapat, usaha mengembeleng budaya keilmuan ini usah dikekang. Selagi mana hujah yang diberikan sarat dengan kepertanggungjawaban dan dapat meningkatkan tahap keprihatinan kepada pendidikan dan isu semasa perlu disokong. Usah terlalu jumud dengan andaian sendiri atau bersifat tertutup dengan aliran yang bukan menjadi kebiasaan kita. PEPIAS masih lagi mengalu-alukan sumbangan yang dapat meningkatkan tahap keintelektualan selagi mana ianya membina, bertanggungjawab dan tidak membelakangi syariah.

Di sini juga saya ingin menyatakan, tindakan yang diambil PEPIAS kebelakangan ini bukanlah untuk mengejar kemasyhuran atau mencari publisiti murahan. Kami masih lagi istiqomah berpendirian untuk berada di atas landasan untuk mendaulatkan Islam. Walaupun jasad kami kecil, namun jiwa kami tetap besar untuk menjadi jurubicara ummah. Selagi mana ada ruang yang boleh kami tembus, selagi itu kudrat kami akan digerakkan. Kalau bukan kerana perjuangan, masakan kami berdiri di sini. Semarak Kesatuan Pelajar Islam. Wassalam…

Generasi Penerus Harapan Umat

ZAFRULLAH ARIS

SETIAUSAHA AGUNG

PERSATUAN PELAJAR ISLAM SELANGOR DARUL EHSAN (PEPIAS)

1 comment:

Awang Nyor said...

Jangan keliru.

1.Kerajaan Negeri Selangor D.E yg sah adalah pimpinan Pakatan Rakyat. Maka sebarang sesi dialog atau penerangan adalah jemputan Rasmi antara NGO negeri (Selangor) dan kerajaan negeri (Selangor)

2.Sebuah NGO bersifat kenegerian seharusnya berperanan dlm membantu kerajaan negeri membuat keputusan yg baik. Maka pandangan, teguran dan kritikan membina adalah tindakan yg wajar dilakukan oleh sesebuah NGO terhadap kerajaan sediada.

3.Pemerhatian kasar saya, isunya adalah penyebaran gambar2 ahli bersama exco2 dan pimpinn kerajaan negeri yg sediada(yg juga sememangnya pimpinan PR) di laman FaceBook. Ia menimbulkan kekeliruan kerana a)ahli yg bergambar membawa nama PEPIAS dan b)masyarakat umum memandang pimpinn negeri dan exco negeri yg sah dgn cap pembangkang.

Saranan.

1.Kembali FOKUS mentarbiah ahli. Ini kerja asasi kita. Kenalkan ahli dgn Al-Khalik melalui pemahaman akidah. Kaderisasi juga mesti diperkukuh. Jangan hanyut dlm isu2 yg masyarakat umum tenggelam dengannya. Apa yg boleh diharapkan dr pandngn masyrkat umum yg sedang sakit? Tawarkan ubat, bukan turut berjangkit.

2.Hadiri dan lazimi usrah bg menguatkn iman dan kefahaman.Isu2 berbangkit juga dapat diperjelas sekiranya perlu.Tidak menghadiri usrah dan berkata2 seolah-olah bg pihak jemaah adalah sesuatu yg tidak layak dan bakal merugikan semua. Tajamkan ilmu bukan lidah.

3.Ahli2 yg bergmbar secara peribadi dgn tokoh2 politik jgn sewenang2 nya mempamerkan gambar anda secara umum tanpa penerangn yg jelas.saya sarankan agar TURUNKAN GAMBAR ANDA yg tidak diperlukn utk tatapn umum. Mereka yg berfikiran singkt dan tidak matang dlm memahami perkara ini bakal mengundang masalah kpd jemaah.Anda membwa nama PEPIAS.

Jumlah Pengunjung