27 August 2009

Al-Fatihah..

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh...

Ahli jawatankuasa kerja PEPIAS Pusat merakamkan ucapan takziah buat Sdr. Muzakkir, Sdri. Norfadhilah Mastura dan Sdri. Siti Khaulah kerana telah kehilangan nenek kesayangan yang telah kembali ke rahmatullah semalam..

Sementara itu, Negara juga telah kehilangan seorang lagi tokoh akademik setelah kembalinya Prof Dr. Ismail Md Salleh ke rahmatullah pada pagi ini di Singapura.


Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan para solehin... Al-Fatihah

Ihya' Ramadhan 1430H

Assalamualaikum ww.
Pemberitahuan:
Ke hadapan sahabat2, PEPIAS akan mengadakan satu program "Ihya' Ramadhan", di mana usaha untuk membantu golongan asnaf (anak yatim, fakir, miskin dll.) dalam negeri Selangor akan dijalankan.
Kami dalam usaha mengumpulkan segenap bantuan yang dapat bagi diserahkan kepada mereka. Kami berhasrat untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan makanan bernilai RM200.00 kepada setiap keluarga yang dikenal pasti.Antara barangan ini adalah:
Beras-Tepung- Telur ayam-Susu pekat-Gula pasir & Minyak masak serta Kordeal
Diharap sahabat2 dapat menyebarkan berita ini. Jika ada pihak yang ingin menyalurkan sumbangan samaada dari segi barangan atau wang ringgit, sila hubungi:
013-3016 512 (Zafrul)
017-3530 470 (Hariz)
017-2257 427 (Hanis)
03-6184 2943 (Sekretariat PEPIAS)
Semoga usaha kita akan diberkati Allah s.w.t. Ramadhan Mubarak.
Jazakallahu khairan kathira. Wassalam.

Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah (2)



Mari kita bersama mengimbau dan mengembalikan tunjang keimanan yang benar dan mantap sebagai ahli gerakan Islam yang menjadikan Islam dan Iman sebagai asas kefahaman dan pengamalan dalam kehidupan individu mahupun berjemaah. Telah kita bersama bincangkan pada tajuk Saya Mestilah Muslim Di Sudut Aqidah (1) tentang 3 perkara yang menjadikan kita benar-benar Muslim di sudut Aqidah iaitu:

1. Beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
2. Beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna.
3. Beriman bahawasanya Alla s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah.

Berikut adalah diantara sambungan perkara yang harus kita berikan perhatian sebagai ahli gerakan jika sekiranya kita mengakui bahawa kita ini adalah Muslim dari sudut Aqidah kita iaitu:

Keempat;
Kita wajib untuk beriman bahawa sesungguhnya matlamat kewujudan kita sebagai manusia adalah untuk mengenali dan memahami kewujudan Allah s.w.t. Allah sendiri ada menjelaskannya di dalam surah Az-Zaryat ayat 56 sehingga 58 yang bermaksud;

"Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan Lagi Sangat Kukuh."

Kelima;
Kita juga wajib untuk beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang memperjuangkan agama Allah untuk diri mereka juga tetangga dan saudara mereka adalah syurga. Balasan ketaatan dan kepatuhan ini adalah balasan yang teragung buat kita semua. Manakala, bagi golongan yang sebaliknya, sudah tentulah balasannya adalah neraka dan tiada pilihan diantara keduanya.Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah As-Syura ayat 7 yang bermaksud;

"...satu golongan memasuki syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka Sa'ir."

Keenam;
Kita juga diwajibkan untuk beriman dengan sesungguhnya bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan dan kejahatan adalah di atas pilihan diri mereka sendiri. Namun, setiap kebaikan itu tidak akan berlaku melainkan dengan taufiq dan hidayah dari Allah s.w.t kepada manusia. Begitu juga dengan amalan jahat bukanlah datang dari paksaan Allah kepada manusia tetapi ia adalah termasuk dalam batasan keizinan dan kehendak Allah Yang Esa. Di dalam surah As-Syams ayat 7 hingga 10 Allah berfirman yang bermaksud;

"Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kamu kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."

Dan firman Allah lagi di dalam surah Al-Muddatthir ayat 38 yang bermaksud;

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya."

Ketujuh;
Kita wajiblah juga beriman dengan sesungguhnya bahawa urusan perjalanan dan penciptaan undang-undangn itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Kita seharusnya tidak mendahului mahupun membelakangi setiap perkara itu. Hanya para ilmuan dibolehkan berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syariah dalam batasan yang diizinkan sahaja. Firman Allah s.w.t di dalam surah As-Syura ayat 10 bermaksud;

"Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali."

Oleh yang demikian marilah kita bersama berazam untuk memperbaiki aqidah kita dengan melihat semula sejauh mana pegangan kita terhadap 7 perkara yang telah kita bincangkan bersama. Semoga dengan usaha ini akan dapat memperkukuhkan aqidah kita serta keyakinan kita terhadap Agama Allah yang dicintai ini.

Wallahua'alam

Yang Di Pertua
ABIM Cawangan Daerah Kuala Selangor
(http://abimdks.blogspot.com)

24 August 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah (1)




Keutuhan dan kekuatan kita sebagai penggerak gerakan dakwah islamiyyah adalah amat bergantung kepada keutuhan dan kekuatan pegangan kita terhadap 'aqidah yang benar lagi murni. Sebagai Ummat Muhammad yang mengaku beragama Islam, maka sewajibnya kita mestilah menjadikan Islam sebagai cara hidup (Ad-Din). Ia wajiblah selari dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selaku pejuang-pejuang agama Allah, kita wajib mencontohi dan mengikuti iman sebagaimana iman orang-orang Islam terdahulu yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah serta pada imam yang kita ikuti sehingga hari ini yang mana telah diperakui umum tentang kefahaman dan aplikasi Ad-Din mereka. Mereka amat mempunyai kefahaman yang terbaik yang wajar untuk kita jadikan iktibar.

Di dalam buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' karangan Fathi Yakan, beliau telah menegaskan, sebagai seorang yang benar-benar Muslim dalam 'aqidah kita, maka wajiblah untuk kita untuk beriman sebagaimana berikut;

Pertama;
Kita sebagai pejuang agama Allah, wajib beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Anbiya' ayat 22 yang bermaksud;

"Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan."


Kedua;
Kita juga wajib beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna. Ia adalah mustahil bagi Allah yang bersifat Maha Sempurna untuk menciptakan sesuatu tanpa kegunaannya. Firman Allah lagi di dalam Al-Quran dari surah Al-Mu'minun ayat 115 sehingga 116 yang bermaksud;

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya, Tidak Ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) 'Arasy yang mulia."


Ketiga
Seterusnya, kita juga mestilah beriman bahawasanya Alla s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah. Wajiblah kita mempercayai dan mengimani bahawa Rasulullah itu adalah Rasul pilihan yang terakhir dan bersamanya mukjizat agung Al-Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan manusia yang kekal. Firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 36 bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): 'Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Tahghut itu', maka diantara ummat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)."

Semoga ia dapat menjadi peringatan kita bersama sebagai pejuang agama Allah. InsyaAllah, anda ada kesempatan, kita akan bersama lagi dengan sambungan catatan serba sedikit sebagai peringatan untuk diri ini yang lemah dan tidak berdaya dan para pejuang Agama Allah di dalam PEPIAS...


Yang Di Pertua
ABIM Daerah Kuala Selangor
(http://abimdks.blogspot.com)

23 August 2009

Catatan untuk aktivis dakwah (sempena Ramadhan)

assalamualaikum wrt wbt,

Ana mendoakan semua sahabat perjuangan dan aktivis dakwah berada dalam sikon sihat wal afiat dan sejahtera. Di dalam suasana bencana wabak penyakit bergentayangan sekarang ini eloklah kalau kita meningkatkan amalan spiritual memohon perlindungan dari yang Maha Esa lebih dari biasa.

Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, ana dan Keluarga mengucapkan Ramadan Kareem dan bersama-samalah kita membangunkan bulan puasa ini dengan amalan-amalan ibadah dan sedekah jariah.

Sebagai aktivis dan penggerak dakwah dibumi 1Malaysia ini marilah kita bermuhasabah untuk diri kita agar "Dakwah diutamakan, Jamaah didahulukan" .

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

1. Berapa banyak masa,harta, tenaga yang kita telah peruntukkan untuk membantu menggerakkan kerja-kerja dakwah seperti membantu saudara-saudara baru yang bergelut untuk mempertahankan iman mereka dari gangguan dan tekanan pihak-pihak yang berkenaan? tidak hairanlah semasa konvensyen Dakwah Non Muslim semalam ( ramai ahli ABIM yang tidak dapat hadir ) ada peserta muallaf yang mengadu hanya melihat 30% sahaja kebaikan Islam di dalam kehidupan bersama orang Melayu di Malaysia.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

2. Berapa banyak minda kita diperuntukkan untuk memikirkan masalah umat Islam di persekitaran lingkungan kita? atau kita banyak menghabiskan masa kita untuk memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Mungkin ada hanya sibuk hendak menukar langsir baru ketika ada saudara yang susah berlangsirkan kain guni dan kain perca.Mungkin ada yang memikirkan untuk menukar sport rim kereta baru ketika ada saudara yang susah tidak mampu membeli segenggam beras untuk keluarga.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

3. Sebagai qiadah dakwah yang telah diberi amanah, setiap hari mesti ada sesuatu kerja dakwah dan memikir tentang permasalahan dakwah dan gerakan dakwah. Syaitan dan iblis sentiasa melakukan kerja anti dakwah dan kerja kotor nya untuk menghalang mujahid dakwah dari bergerak dan berfikir tentang dakwah. Kita kena kuat dan tegar merungkai belenggu syaitan dan godaan iblis dari menunaikan amanah dakwah. apakah kita sudah ada jawapan yang kita akan berikan kepada Allah diakhirat nanti? Entah-entah soalan malaikat dikubur pun kita tak terjawab.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

4. Justeru, ketika semua syaitan dan Iblis ditambat, marilah kita bangkit dan bergerak kehadapan untuk memimpin dan membangun umat yang memerlukan. Sesungguhnya andalah yang terbaik dan terhebat untuk melaksanakan kerja dan misi ini kerana anda sangat istimewa di Allah ketika anda berusama meningkatkan Takwa.

Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi...

5. Ampun maaf sebanyak-banyaknya atas kelemahan dan keterlanjuran diri.

RAMADAN KAREEM.
ALLAHU AKRAM

TAKBIR !

YDP ABIM SELANGOR 2009/2010


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Insafnya tuan.... InsyaAllah, kita bergerak sekarang!

19 August 2009

AhLaN Ya RamaDhaN Al-MuBarAk


Sang tetamu agung kini menjengah kembali. Mungkin berkat doa kita agar dipertemukan semula pada tahun ini kerana umur kita bisa padam bila-bila masa. Sungguh tetamu agung ini sangat dirindukan dan lama telah dinantikan oleh setiap mu'min, membawa banyak hadiah luar biasa yang sangat kita inginkan.


Masakan tidak kita mendambakan ganjaran yang dibawa bersamanya. Beberapa hadith menceritakan fadhilat bulan Ramadhan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya :


1. Dari Abi Hurairah beliau berkata :Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


"Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan."


Hadis riwayath Bukhari, Muslim& Nasaaei.



2. Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :


"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."


Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi




Tidak cukup dengan itu, ganjaran yang bersangatan hebat dibawa oleh sang tetamu adalah satu malam yang dirahsiakan waktunya. Dicari-cari, dinanti-nanti oleh setiap muslim. Malam dimana Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan.

3. Firman Allah bermaksud:

"Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan"

(Surah al-Qadr, ayat 3) .



Jika sang tuan rumah acuh tak acuh, atau hanya ala kadarnya saja menyambut sang tamu maka sebuah kerugian pula sang tamu hanya akan berlalu saja meninggalkan sang tuan rumah tanpa banyak hadiah berarti yang akan diberikan.

Rujukan:

http://kangpandoe.wordpress.com
www.harakahdaily.net
http://ustazazhar.com

10 August 2009

Bukti Raja Berpandangan Jauh

Tujuh wasiat raja Melayu membuktikan sikap bertanggungjawab dan berpandangan jauh institusi beraja dalam menjamin keutuhan dan keamanan negara terus berkekalan. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris berkata, wasiat itu juga bertujuan melindungi negara dalam menghadapi cabaran mendatang yang sukar untuk diramal. "Ia adalah paksi yang perlu didokong dan dipertahankan oleh seluruh rakyat supaya perjuangan dan pencapaian negara selama ini tidak berkubur,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas peringatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya. Presiden Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Mohd. Saiful Adil Mohd. Daud pula berpendapat, peringatan tersebut memang sudah lama ditunggu dan rakyat perlu mematuhinya.

Beliau berkata, sesuatu yang malang jika orang Melayu terutamanya pihak pembangkang terus mempertikaikan wasiat yang digubal demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang itu. "Saya berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan institusi beraja serta perkara berkaitan selepas ini tetapi turut sama memelihara dan menjunjung kedaulatan institusi beraja,'' katanya.

Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula mengingatkan seluruh masyarakat memahami dan menghormati Perlembagaan Negara. Katanya, setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoalkan kerana ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan matlamatnya adalah untuk kepentingan negara. "Peringatan tentang wasiat tersebut tidak harus dipertikaikan semata-mata kerana kepentingan politik. Ini kerana pembentukannya adalah untuk melindungi kepentingan semua kaum,'' jelasnya.

Sumber Dipetik : www.utusan melayu.com

07 August 2009

Bagaimana Syahadah Kita?

"Sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya."
Surah Ibrahim; ayat 24 hingga 25.


Sejak dilahirkan, kita semua sebagai seorang Muslim telah diperingatkan tentang kebesaran Allah s.w.t. Ia bukanlah sekadar peringatan kecil, tetapi amat besar maknanya bagi kita. Ia menentukan matlamat jangkamasa panjang kita dan ia juga menentukan matlamat jangkamasa pendek kita. Ungkapan takbir dan iqamah yang diperdengarkan kepada kita sepatutnya membawa impak yang amat besar buat diri.


Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah
Nabi Muhammad Pesuruh Allah
Marilah Bersolat
Marilah Menuju Kejayaan
Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah


Pernah diceritakan tentang apakah matlamat hidup kita sebagai seorang Muslim. Secara jelasnya inilah yang terdapat dalam syahadah kita dan inilah matlamat hidup kita. Apabila ditanyakan tentang syahadah kita, yang terlintas difikiran adalah ungkapannya tanpa kita pernah teragak apakah bebanan yang didatangkan dengan kalimah syahadah itu sendiri.


Setelah diamati dan difikirkan melalui beberapa pembelajaran dan pembacaan, kita semua wajib fahami dan sedari bahawa kita sebenarnya sedang bergurau senda dengan apa yang kita katakan sebagai syahadah. Di dalam surah Ibrahim di atas, jelas Allah s.w.t telah menggambarkan suatu tenaga, suatu upaya yang amat kuat pada pegangan hidup kita.


Sebatang Pohon Yang Baik

Adakah selayaknya kita merasakan bahawa kita adalah sebatang pohon yang baik? Bagaimana kita katakan kita sebagai yang terbaik bilamana keberadaan kita ditakuti masyarakat setempat yang risau pokok itu akan tumbang dan menghempap siapa sahaja yang melaluinya? Ketakutan itu bertambah dengan rasa kurang senang orang lain apabila ia hanyalah sebatang pokok yang tidak merimbun, tiada berbuah dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.


Inilah yang diperhatikan oleh masyarakat terhadap suasana persekitaran mereka hari ini. Perasaan risau itu mencengkam diri sehinggakan mereka melupakan yang Maha Kuasa yang mampu melakukan apa sahaja sehinggakan tidak terjangkau dek pemikiran biasa manusia. Mengapa ini semua berlaku? Kerana kita semua tidak lagi menjadi pohon atau pokok seperti yang dibayangkan di dalam surah Ibrahim tersebut.


Kita adalah pohon yang baik sekiranya mengakar ke dalam tanah dan teguh berdiri walau ditiup angin kencang sekalipun. Inilah syahadah kita, menetapkan kehidupan kita, berpegang teguh dengan ajaran dan meyakini bahawa Allah s.w.t adalah apa yang dicita-citakan dalam hidup. Kerana itulah, apabila Allah s.w.t berada di dalam hati kita maka, apa sahaja ribut taufan yang menimpa, kita tidak mudah tumbang atau goyang.


Namun, keadaan hari ini, syahadah kita hanya sebutan, kepercayaan kita hanya bermain dibibir insan, tidak lagi merasakan keberadaan Allah di dalam jiwa, sehinggakan dunia menguasai segalanya sedangkan segalanya adalah perkara yang sementara. Kekuatan akar yang mengakar di bumi, janji Tuhan buat mereka, mereka pasti akan berjaya, baik di dunia, baik di akhirat apa yang utama dalam hidup mereka, syurga adalah cita-cita.


Kukuh akar yang mengakar akhirnya tercabut jua dari tanah, apabila Tuhan mula berseru, kiamat telah tiba. Tika itu, tangisan tiada guna, taubat hanya sia-sia hanya kita menunggu balasan yang bakal diterima. Maka beringatlah kita semua kerana Allah telah anugerahkan buat manusia kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan. Tugas kita hanyalah menggunakannya dengan segala kebaikan kerana mutlaknya kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan adalah milik Allah s.w.t. Jadi, bagaimana syahadah kita?

Nukilan;

Setiausaha Kewangan ABIM Selangor
Yang Di Pertua ABIM Daerah Kuala Selangor di

http://kamarulazami.blogspot.com

06 August 2009

Inisiatif La Salle


1) La Salle Learning Center adalah suatu pusat pembelajaran setempat, di Pulau Pinang; Untuk pelajar lemah dalam akademik, pada peringkat sekolah rendah. Tapaknya, adalah dalam kawasan gereja. Apa yang hendak difokuskan di sini adalah kejayaan pusat ini mengendalikan sistem pembelajaran yang berifat terbuka, percuma, dan menggalakkan kesukarelaan daripada masyarakat setempat. Guru yang bersama pelajar dipanggil fasilitator. Pusat untuk menitipkan kesukarelaan ini merupakan inisiatif daripada pihak gereja untuk masyarakat setempat.

2) Pendekatan fasilitating adalah sangat menarik, kerana guru sememangnya menyokong pelajar yang lemah ini dari tepi dan belakang; bukan semestinya ada guru, untuk membolehkan mereka belajar. Suasana yang jauh sekali bezanya di sekolah. Pelajar juga diberi jadual khusus untuk menelaah dalam tempoh setiap 20 minit. Maka, setiap pelajar yang hadir, akan punya inisiatif sendiri untuk mencari buku, dan meneruskan pelajaran; sesuatu yang tidak mungkin mereka lakukan secara sukarela, ketika di sekolah. Dalam satu hari, mereka akan melalui 3 modul pembelajaran.3) Para sukarelawan terdiri daripada pesara guru, ahli perniagaan, profesionals, dan ahli-ahli 'jemaah' mereka. Konsep dan pendekatan 'pembelajaran untuk belajar' (learning to learn) adalah sesuatu yang sangat mesra pelajar lemah ini. Rasanya, pelajar yang tahap tinggi (enrichment level) juga akan seronok dengan pendekatan sebegini. Kemudahan mereka, cukup membanggakan. Dari komputer, yang lengkap dengan internet (streamyx), permainan dalaman, perpustakaan, radio-tv, dan sebagainya. Kata En. Fincent, penyelia pusat itu, 95% sumbangan adalah dari 'jemaah' mereka, dan inilah inisiatif dari mereka untuk anak-anak ini.

Modul yang mereka terapkan adalah seperti berikut:
  • Thinking & Speaking (Berfikir dan bercakap)
  • Counting, Calculating & Problem Solving (Mengira, dan menyelesaikan masalah)
  • Listening (Mendengar)
  • Remembering & Recalling (Mengingat)
  • Reading & Comprehension (Membaca dan memahami)
  • Writing (Membaca)
  • Drawing & Artistic Expression (Melukis dan meluahkan ekspresi)
  • Spelling & Referencing (Mengeja dan merujuk)
  • Doing & Making (Melakukan dan membina)
Aktiviti pengkayaan akan membantu dalam memantapkan lagi kemahiran belajar, dengan menulis esei, kemahiran pengucapan umum, dan kreativiti. Proses tersebut termasuklah:-

  1. Beraktiviti melalui permainan pendidikan
  2. Teknologi Komputer dan Komunikasi
  3. Bekerja dalam kumpulah untuk membentuk Pembelajaran koperatif
  4. Menonjolkan bakat istimewa seperti muzikal, lakonan, dan nyanyian
  5. Menonjolkan penghargaan yang kritikal terhadap audio visual dan melalui program multimedia
Fikrah:-
1) Bagaimana agaknya pusat pembelajaran orang-orang Islam di Malaysia? Di dunia?
2) Inisiatif? sukarela? Fahamkah orang-orang 'kita' makna perkataan-perkataan ini?

Draft teks ucapan KKPI - Seluruh penggerak memegang amanah seperti berikut:

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KKPI merupakan pertemuan tahunan yang menghimpunkan ratusan pimpinan pelajar Islam di seluruh negeri selangor untuk dikursuskan. Kumpulan sasar kursus ialah pelajar tingkatan empat (4) yang merupakan pelapis kepada kepimpinan masa hadapan sekolah. Menyedari potensi raksaksa yang terdapat pada kelompok ini, PEPIAS mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus ini bagi membangkit dan menggerakkan semula jiwa khalifatullah yang terdapat dalam diri setiap peserta.

Disebalik kekeliruan umat yang mengandalkan pelbagai versi kepimpinan Islam, KKPI telah menetapkan bahawa syarat utama menjadi seorang pemimpin Islam ialah Taqwa. Tiada pengawal terbaik bagi setiap manusia melainkan ia berasa dirinya sentiasa diperhatikan Allah samada dalam keadaan terang atau tersembunyi. Inilah mekanisma paling ampuh bagi melahirkan pemimpin yang amanah, adil, berani dan berkata benar.

KKPI juga bermatlamat menyedarkan peserta akan peri hebatnya potensi yang dimiliki oleh umat Islam. PEPIAS melihat bahawa salah satu punca umat ditindas dan berada dalam kehinaan pada hari ini adalah kerana umat sendiri tidak mengenali diri dan kemampuannya. Padahal Umat Islam tidak pernah dapat dikalahkan.

Dari Suhaib r.a., bahwa Rasulullah saw. bersabda,

“Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mukmin; yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya.” (HR. Muslim)


Bagi memastikan fungsi sebagai khalifatullah dapat berjalan dengan baik, umat haruslah dipersiapkan dengan beberapa kemahiran asas agar umat tidak berlaku zalim. Untuk itu, peserta bakal diperkemaskan dengan kemahiran asas pengurusan program supaya mereka dapat menganjurkan apa jua program apabila pulang ke sekolah masing-masing. Pengurusan yang efektif dan tersusun sangat dititik beratkan oleh Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dalam barisan yang teratur umpama bangunan yang tersusun kukuh" (Ash-Shaff:4)


Sebagai penutup, PEPIAS mengucapkan ribuan terima kasih buat seluruh peserta, pihak sekolah dan kesemua pihak yang memberi kepercayaan untuk melibatkan diri dalam kursus ini secara langsung atau tidak langsung. Hakikatnya pilihan kita telah ditakdirkan oleh Allah jua. Segala kelemahan kami dahulukan dengan maaf dan akan diperbaiki dari masa ke semasa. Bagi seluruh warga penggerak KKPI, jalankanlah tanggungjawab dengan amanah dan penuh iltizam. Hanya balasan Allah yang kita dambakan.

Akhirannya, marilah bersama dengan seluruh warga PEPIAS merendah diri memohon pertolongan dari Allah S.W.T dan bertawakal pada-Nya moga usaha kerdil menganjurkan KKPI ini dapat membantu agama-Nya agar kembali tertegak tinggi dimuka bumi ini.

Assalamualaikum wrbt.

Jumlah Pengunjung