07 August 2009

Bagaimana Syahadah Kita?

"Sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya."
Surah Ibrahim; ayat 24 hingga 25.


Sejak dilahirkan, kita semua sebagai seorang Muslim telah diperingatkan tentang kebesaran Allah s.w.t. Ia bukanlah sekadar peringatan kecil, tetapi amat besar maknanya bagi kita. Ia menentukan matlamat jangkamasa panjang kita dan ia juga menentukan matlamat jangkamasa pendek kita. Ungkapan takbir dan iqamah yang diperdengarkan kepada kita sepatutnya membawa impak yang amat besar buat diri.


Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah
Nabi Muhammad Pesuruh Allah
Marilah Bersolat
Marilah Menuju Kejayaan
Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah


Pernah diceritakan tentang apakah matlamat hidup kita sebagai seorang Muslim. Secara jelasnya inilah yang terdapat dalam syahadah kita dan inilah matlamat hidup kita. Apabila ditanyakan tentang syahadah kita, yang terlintas difikiran adalah ungkapannya tanpa kita pernah teragak apakah bebanan yang didatangkan dengan kalimah syahadah itu sendiri.


Setelah diamati dan difikirkan melalui beberapa pembelajaran dan pembacaan, kita semua wajib fahami dan sedari bahawa kita sebenarnya sedang bergurau senda dengan apa yang kita katakan sebagai syahadah. Di dalam surah Ibrahim di atas, jelas Allah s.w.t telah menggambarkan suatu tenaga, suatu upaya yang amat kuat pada pegangan hidup kita.


Sebatang Pohon Yang Baik

Adakah selayaknya kita merasakan bahawa kita adalah sebatang pohon yang baik? Bagaimana kita katakan kita sebagai yang terbaik bilamana keberadaan kita ditakuti masyarakat setempat yang risau pokok itu akan tumbang dan menghempap siapa sahaja yang melaluinya? Ketakutan itu bertambah dengan rasa kurang senang orang lain apabila ia hanyalah sebatang pokok yang tidak merimbun, tiada berbuah dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.


Inilah yang diperhatikan oleh masyarakat terhadap suasana persekitaran mereka hari ini. Perasaan risau itu mencengkam diri sehinggakan mereka melupakan yang Maha Kuasa yang mampu melakukan apa sahaja sehinggakan tidak terjangkau dek pemikiran biasa manusia. Mengapa ini semua berlaku? Kerana kita semua tidak lagi menjadi pohon atau pokok seperti yang dibayangkan di dalam surah Ibrahim tersebut.


Kita adalah pohon yang baik sekiranya mengakar ke dalam tanah dan teguh berdiri walau ditiup angin kencang sekalipun. Inilah syahadah kita, menetapkan kehidupan kita, berpegang teguh dengan ajaran dan meyakini bahawa Allah s.w.t adalah apa yang dicita-citakan dalam hidup. Kerana itulah, apabila Allah s.w.t berada di dalam hati kita maka, apa sahaja ribut taufan yang menimpa, kita tidak mudah tumbang atau goyang.


Namun, keadaan hari ini, syahadah kita hanya sebutan, kepercayaan kita hanya bermain dibibir insan, tidak lagi merasakan keberadaan Allah di dalam jiwa, sehinggakan dunia menguasai segalanya sedangkan segalanya adalah perkara yang sementara. Kekuatan akar yang mengakar di bumi, janji Tuhan buat mereka, mereka pasti akan berjaya, baik di dunia, baik di akhirat apa yang utama dalam hidup mereka, syurga adalah cita-cita.


Kukuh akar yang mengakar akhirnya tercabut jua dari tanah, apabila Tuhan mula berseru, kiamat telah tiba. Tika itu, tangisan tiada guna, taubat hanya sia-sia hanya kita menunggu balasan yang bakal diterima. Maka beringatlah kita semua kerana Allah telah anugerahkan buat manusia kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan. Tugas kita hanyalah menggunakannya dengan segala kebaikan kerana mutlaknya kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan adalah milik Allah s.w.t. Jadi, bagaimana syahadah kita?

Nukilan;

Setiausaha Kewangan ABIM Selangor
Yang Di Pertua ABIM Daerah Kuala Selangor di

http://kamarulazami.blogspot.com

2 comments:

Awang Nyor said...

terima kasih atas peringatan. Bermula dr saya dan sebilangan ahli didalam PEPIAS umpama pokok yg berakar pendek. tidak menghunjam kedalam tanah. Selalu kita ingatkan walau pun berkali2.

Ciptaan Terhebat said...

Ana percaya, tidak semua yang membaca, kalau ada yang membaca pun tak faham, kalau faham pun tak menghayati kalau hayati pun tidak bertindak kalau bertindak pun tidak bersungguh-sungguh... takpe bersabar dan terus diperingatkan sahabatku...

Jumlah Pengunjung