27 August 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah (2)



Mari kita bersama mengimbau dan mengembalikan tunjang keimanan yang benar dan mantap sebagai ahli gerakan Islam yang menjadikan Islam dan Iman sebagai asas kefahaman dan pengamalan dalam kehidupan individu mahupun berjemaah. Telah kita bersama bincangkan pada tajuk Saya Mestilah Muslim Di Sudut Aqidah (1) tentang 3 perkara yang menjadikan kita benar-benar Muslim di sudut Aqidah iaitu:

1. Beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
2. Beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna.
3. Beriman bahawasanya Alla s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah.

Berikut adalah diantara sambungan perkara yang harus kita berikan perhatian sebagai ahli gerakan jika sekiranya kita mengakui bahawa kita ini adalah Muslim dari sudut Aqidah kita iaitu:

Keempat;
Kita wajib untuk beriman bahawa sesungguhnya matlamat kewujudan kita sebagai manusia adalah untuk mengenali dan memahami kewujudan Allah s.w.t. Allah sendiri ada menjelaskannya di dalam surah Az-Zaryat ayat 56 sehingga 58 yang bermaksud;

"Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan Lagi Sangat Kukuh."

Kelima;
Kita juga wajib untuk beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang memperjuangkan agama Allah untuk diri mereka juga tetangga dan saudara mereka adalah syurga. Balasan ketaatan dan kepatuhan ini adalah balasan yang teragung buat kita semua. Manakala, bagi golongan yang sebaliknya, sudah tentulah balasannya adalah neraka dan tiada pilihan diantara keduanya.Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah As-Syura ayat 7 yang bermaksud;

"...satu golongan memasuki syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka Sa'ir."

Keenam;
Kita juga diwajibkan untuk beriman dengan sesungguhnya bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan dan kejahatan adalah di atas pilihan diri mereka sendiri. Namun, setiap kebaikan itu tidak akan berlaku melainkan dengan taufiq dan hidayah dari Allah s.w.t kepada manusia. Begitu juga dengan amalan jahat bukanlah datang dari paksaan Allah kepada manusia tetapi ia adalah termasuk dalam batasan keizinan dan kehendak Allah Yang Esa. Di dalam surah As-Syams ayat 7 hingga 10 Allah berfirman yang bermaksud;

"Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kamu kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."

Dan firman Allah lagi di dalam surah Al-Muddatthir ayat 38 yang bermaksud;

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya."

Ketujuh;
Kita wajiblah juga beriman dengan sesungguhnya bahawa urusan perjalanan dan penciptaan undang-undangn itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Kita seharusnya tidak mendahului mahupun membelakangi setiap perkara itu. Hanya para ilmuan dibolehkan berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syariah dalam batasan yang diizinkan sahaja. Firman Allah s.w.t di dalam surah As-Syura ayat 10 bermaksud;

"Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali."

Oleh yang demikian marilah kita bersama berazam untuk memperbaiki aqidah kita dengan melihat semula sejauh mana pegangan kita terhadap 7 perkara yang telah kita bincangkan bersama. Semoga dengan usaha ini akan dapat memperkukuhkan aqidah kita serta keyakinan kita terhadap Agama Allah yang dicintai ini.

Wallahua'alam

Yang Di Pertua
ABIM Cawangan Daerah Kuala Selangor
(http://abimdks.blogspot.com)

No comments:

Jumlah Pengunjung