24 August 2009
Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah (1)
Keutuhan dan kekuatan kita sebagai penggerak gerakan dakwah islamiyyah adalah amat bergantung kepada keutuhan dan kekuatan pegangan kita terhadap 'aqidah yang benar lagi murni. Sebagai Ummat Muhammad yang mengaku beragama Islam, maka sewajibnya kita mestilah menjadikan Islam sebagai cara hidup (Ad-Din). Ia wajiblah selari dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Selaku pejuang-pejuang agama Allah, kita wajib mencontohi dan mengikuti iman sebagaimana iman orang-orang Islam terdahulu yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah serta pada imam yang kita ikuti sehingga hari ini yang mana telah diperakui umum tentang kefahaman dan aplikasi Ad-Din mereka. Mereka amat mempunyai kefahaman yang terbaik yang wajar untuk kita jadikan iktibar.
Di dalam buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' karangan Fathi Yakan, beliau telah menegaskan, sebagai seorang yang benar-benar Muslim dalam 'aqidah kita, maka wajiblah untuk kita untuk beriman sebagaimana berikut;
Pertama;
Kita sebagai pejuang agama Allah, wajib beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Anbiya' ayat 22 yang bermaksud;
"Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan."
Kedua;
Kita juga wajib beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna. Ia adalah mustahil bagi Allah yang bersifat Maha Sempurna untuk menciptakan sesuatu tanpa kegunaannya. Firman Allah lagi di dalam Al-Quran dari surah Al-Mu'minun ayat 115 sehingga 116 yang bermaksud;
"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya, Tidak Ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) 'Arasy yang mulia."
Ketiga
Seterusnya, kita juga mestilah beriman bahawasanya Alla s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah. Wajiblah kita mempercayai dan mengimani bahawa Rasulullah itu adalah Rasul pilihan yang terakhir dan bersamanya mukjizat agung Al-Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan manusia yang kekal. Firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 36 bermaksud;
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): 'Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Tahghut itu', maka diantara ummat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)."
Semoga ia dapat menjadi peringatan kita bersama sebagai pejuang agama Allah. InsyaAllah, anda ada kesempatan, kita akan bersama lagi dengan sambungan catatan serba sedikit sebagai peringatan untuk diri ini yang lemah dan tidak berdaya dan para pejuang Agama Allah di dalam PEPIAS...
Yang Di Pertua
ABIM Daerah Kuala Selangor
(http://abimdks.blogspot.com)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment