19 September 2008

Kerja Dakwah : Sekadar Mengisi Masa Lapang?

Tugas berdakwah adalah wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam samada laki atau perempuan, baligh & beraqal. Tugas ini bukanlah terbeban diatas bahu para ulama’ atau ‘orang agama’ sahaja.

Tugas berdakwah adalah tugas yang mulia iaitu menyambung tugas para rasul yang telah wafat beribu tahun dahulu.

(Ali Imran:110) Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Ayat ini menjelaskan tentang mulianya umat sekiranya mereka menjalankan tugas amar makruf dan nahy mungkar. Ini sebagai menifestasi keimanan di dalam hati setiap muslim.

Sekiranya kita istiqamah dalam melaksanakan dakwah, itulah tanda iman kita kuat dan mantap tetapi sekiranya kita bermalasan, maka itu tanda iman kita ada cacat celanya.


(Ali Imran : 104) Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

Justeru perlu wujud satu kumpulan yang melaksanakan tugas dakwah ini. Kewajipan kita menggabungkan diri dalam kumpulan ini adalah perlu bagi kita menghadapi cabaran umat yang amat besar dewasa ini.

(Al-Maidah:2) dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

Nah! Kita sudah tahu apa tugas kita, kita sudah tahu apa gerakan Islam di depan mata, kita juga sudah tahu apa hukum menggabungkan diri dengan gerakan itu, apa lagi alasan kita?? Masih mahu menjadikan kerja Dakwah ini sekadar mengisi masa lapang? Marilah kita bermuhasabah diri.

No comments:

Jumlah Pengunjung