15 January 2010

Undang-undang Syariah di Aceh

Gambar yang diambil pada 2 Disember 2009 merakamkan polis Syariah wanita Aceh (kanan) menasihati seorang wanita yang menunggang motosikal supaya memakai pakaian yang sopan semasa ditahan di satu sekatan jalan raya di Banda Aceh. - AFP

BANDA ACEH 14 Jan. – Suasana damai berjalan seperti biasa di mana kawasan pantai, anak kecil bermain ombak, gadis-gadis sunti bersembang di pantai yang berpasir dan muzik kedengaran dari corong radio daripada sekumpulan budak lelaki.

Namun, pantai terletak di Banda Aceh ini, merupakan satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah sebagai kod perundangan dan keadaan menjadi tegang apabila anggota polis tiba dengan trak pikap.

Unit polis yang dipanggil ‘Wilayatul Hisbah’ ini menjalankan rondaan untuk mencegah aktiviti maksiat pasangan belum berkahwin, wanita Islam tidak bertudung atau memakai pakaian ketat, serta mereka yang minum arak atau berjudi.

Dalam keramaian di pantai, sentiasa ada pasangan duduk berdua-duaan walaupun tidak terlalu dekat, namun masih menjadi sasaran polis Syariah.

“Kamu masih belum berkahwin, kamu tidak boleh berdua-duaan di sini. Balik sekarang,” kata seorang polis kepada pasangan yang kemudian berjalan dalam kekecewaan ke tempat letak kenderaan.

Remaja perempuan yang memakai seluar ketat juga turut tidak terlepas daripada menerima tindakan.

“Kamu sepatutnya malu berpakaian begini. Balik ke rumah dan tukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan,” kata seorang pegawai lain kepada dua gadis berseluar jeans.

Indonesia merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, namun Aceh adalah wilayah yang paling kuat melaksanakan undang-undang Syariah, selari dengan gelarannya sebagai ‘Serambi Mekah’ kerana ia merupakan wilayah pertama di rantau ini menerima Islam.

Aceh mendapat hak menggunakan undang-undang Syariah sebagai sebahagian daripada perjanjian autonomi yang ditandatangani pada 2002 yang bertujuan menamatkan konflik antara pemisah Islam dengan tentera Indonesia yang telah meragut beribu-rubu nyawa.

Seramai 160,000 maut dalam tragedi tsunami Lautan Hindi pada 2004, yang membuka jalan ke arah perdamaian antara kedua-dua pihak serta kemasukan berbilion dolar bantuan asing. –

No comments:

Jumlah Pengunjung