20 January 2010

PERJUANGAN YANG TAKKAN SELESAI

Salam perjuangan buat sahabat. Cuma ingin berkongsi sedikit rasa yang tertusuk di hati.
'PERJUANGAN YANG TAKKAN SELESAI'.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan permohonan biadab sebuah penerbitan yang ingin menggunakan nama Allah yang Maha Agung di dalam penerbitan agama mereka. Dan seperti biasanya, Alhamdulillah, masih ramai umat Islam di Malaysia yang prihatin dengan isu aqidah bangkit menentang tindakan yang boleh diibaratkan seperti 'cuba menjolok sarang tebuan' ini.
Namun, bukan isu mahu pun penerangan mengenai permohonan atau ketidak-releven permohonan itu yang mahu dikongsikan di sini. Yang ingin saya luahkan adalah mengenai pepatah "sudah terhantuk baru terngadah", atau pun pepatah yang lebih kasar sedikit mungkin boleh disebut "sudah tercirit baru hendak cari jamban". Mungkin pepatah pertama itu tidak pernah ada dalam kamus orang kita agaknya, atau pun sekadar dibuat sekadar buat menghiasi buku teks bahasa Melayu sahaja? Wallahua'lam.
Saya tetap memuji tindakan penentangan dan kebangkitan masyarakat Islam Malaysia terhadap isu kalimah Allah ini. Tetapi, adakah perkara yang terjadi baru-baru ini itu akan dijadikan pengajaran kepada kita sebagai umat Islam di sini? Mungkin ya, tetapi jika dilihat sejarah kita, mungkin tidak sama sekali. Masalah dengan umat Islam di Malaysia especially bangsa Melayu adalah KITA TIDAK PERNAH BELAJAR DARI KESILAPAN.
Apakah kesilapan kita sehingga mendorong tindakan sebuah penerbitan agama lain berani meminta nama Yang Maha Kuasa, Yang Tiada Tandingannya, Yang Kita Sujud KepadaNYA untuk mereka gunakan? Ini hanyalah salah satu daripada apa yang berani orang bukan Islam memperlakukan agama kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kita sering melaungkan kalimah Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! dalam demonstrasi sebaik sesuatu isu timbul. Tetapi di manakah kita di saat dan ketika lainnya? Di saat umat Islam saling memerlukan dalam perjuangan kehidupan? Di ketika perpaduan sesama insan seaqidah patut dititikberatkan?
Salah kita hanya satu kalau tidak beribu....hati kita tidak pernah bersatu. Islam tidak pernah dipandang sebagai perjuangan, hanya satu pegangan yang boleh diadakan dan ditiadakan mengikut kesesuaian jiwa dan nafsu kita. Persaudaraan menjadi barang mainan dan lawak kedai kopi sesama kita. Sunnah Rasulullah dianggap beban. Dan perkataan 'perjuangan' serta 'jihad' dipandang hina.
Sekarang mungkin boleh dikatakan 'tercirit baru hendak dicari jamban', mungkin beberapa ketika nanti jamban itu pun sudah tiada diambil orang, tinggallah kita umat Islam tercirit dalam seluar di tengah perjalanan, dicaci dan dihina di bumi sendiri...Tidak percaya? Teruskan dengan sikap 'ignorance' kita terhadap semangat persaudaraan, dan lihat sendiri. Jangan risau, ia tidak akan mengambil masa yang lama.
Menegakkan agama Allah bukanlah satu perjuangan yang belum selesai. Ia satu perjuangan yang takkan selesai.
Allahuakbar!

No comments:

Jumlah Pengunjung