16 August 2010

Pelikkah Tanpa Rokok???




“BERHENTILAH, tak ada faedahnya menghisap rokok...” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, dalam satu kempen antimerokok yang pernah dirasmikannya.

Saranan sedemikian sudah banyak didengar daripada pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan. Tidak cukup dengan itu, kerajaan menaikkan harga rokok, dikawal jual beli dan penyeludupan, semua kerana keburukan yang dibawa rokok.

Bilangan tempat yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok juga bertambah. Kebanyakan aktiviti kini diharamkan sama sekali daripada memasukkan elemen rokok. Malah, kotak rokok pun sudah diletakkan secara terang-terangan akan keburukan rokok.

Terbaru, sebuah dokumen yang menggemparkan dunia, Pig 05049, turut secara tidak langsung mengingatkan perokok, terutama perokok Muslim agar mengelakkan rokok lantaran kandungan bahan babi yang digunakan untuk membuat rokok! Begitulah ingatan demi ingatan, amaran demi amaran, secara lembut ataupun tegas. Harapannya ialah bilangan perokok akan berkurang dan yang sudah merokok akan berhenti merokok. Dalam jangka panjang nescaya negara lebih makmur tanpa cengkaman rokok.

Namun, hakikatnya tidak pula begitu. Amalan merokok masih menjadi kebiasaan. Pendek kata apa saja aktiviti manusia, maka akan adalah rokok. Dilakukan oleh sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan darjat, bebas tanpa perlu takut-takut, tanpa perlu difikirkan akibatnya. Seolah-olah semua tegahan dan peringatan yang ada itu untuk perhatian makhluk lain.


Apabila budaya merokok meluas, dilakukan secara terbuka, terang-terangan, tanpa ‘tindakan’ mereka yang dikatakan model kepada masyarakat, maka sukar sekali untuk menafikan yang merokok itu tidak baik.

Tidak keterlaluan dikatakan, ada pemimpin yang selamba menghisap rokok ketika mempengerusikan majlis dan seorang doktor yang merokok, tetapi tidak segan silu menasihati pesakitnya akan keburukan merokok. Begitu juga bapa yang meminta anaknya ke kedai untuk membeli rokok atau merokok di depan anak. Begitu juga abang fasilitator yang selamba berjalan sambil menghisap rokok tanpda disedari diintip oleh adik-adik kumpulannya. Pak Imam yang selalu mengimamkan jemaah disurau/masjid dengan membacakan ayat-ayat peringatan dalam Al-Quran dengan selamba menghisap rokok di depan masjid/surau.Sikap mereka ini secara tidak langsung menyemai tabiat merokok kepada masyarakat.

Apabila tiada lagi segan silu antara si bapa dan si anak, pemandu dan penumpang, pekedai dan pelanggannya, pemimpin dan pengikutnya, imam dan jemaahnya, maka terbuktilah amalan buruk merokok bukan lagi sesuatu yang perlu dikisahkan.

Perbuatan merokok sebenarnya telah membunuh etika kehidupan bermasyarakat. Apabila masyarakat tidak lagi meletakkan rasa peduli, hormat dan prihatin, kasih sayang maka tiada lagi keindahan hidup bermasyarakat.

Berapa ramai yang tersentuh dengan gambar penyakit yang dipaparkan di kotak rokok? Berapa ramai yang malu menghisap rokok di depan tamu? Berapa ramai yang malu meletakkan rokok di poket baju dan berapa ramai yang malu menghisap rokok ketika memandu? Masalahnya ialah terlalu ramai yang membuat peraturan sendiri mengenepikan hukum bermasyarakat. Maka pemikiran yang mengatakan ‘ini ruang kami, ini masa kami, ini hak kami dan ini dunia kami’ akan kekal mengongkong minda perokok sekali gus menidakkan hak orang lain.


Ini jelas apabila tiada lagi ruang yang boleh dianggap mesra alam dan mesra kehidupan. Di sana sini ada saja rokok - tandas, lobi hotel, restoran, tempat menunggu bas, bilik mesyuarat, kelas kuliah dan kawasan bebas rokok. Begitupun, rokok terus disanjung - menepis segala macam kempen dan usaha memburukkan rokok. Meskipun ia tidak formal, namun kesannya amat membenam. Ia telah menjadi rempah-ratus kehidupan, bersatu dengan adat dan tradisi. Ia menjadi kemestian yang tidak dapat dielak, dirasakan janggal apabila rokok diketepikan.


Lihat saja di sekeliling betapa pelik dan seksanya apabila majlis kenduri-kendara tidak disediakan rokok, betapa kekoknya selepas makan tengah hari, ketika melepak dan bersantai tanpa diiringi rokok. Hatta ketika menunggu waktu (di surau atau masjid) juga pelik kalau ada yang tidak merokok. Tidak mustahil la juh\ga bersahur dengan rokok dan berbuka puasa pun dimulakan dengan rokok untuk mengantikan khasiat kurma. Dunia seolah-olah mati apabila rokok ditarik daripada acara. Pembenci rokok juga tidak ada pilihan melainkan membenarkan amalan buruk ini.


Memang benar merokok adalah amalan yang tidak baik jika dilihat dari sudut penyakit dan permasalahan sosial, tetapi berapa ramai yang berfikiran sedemikian? Rokok boelh dikatakan pemula bagi segalanya. Kehidupan sosial nampaknya dengan jelas memperakui yang amalan merokok itu adalah ‘sesuatu yang baik’, kerana menghidupkan kemanusiaan dan mewujudkan semangat kekitaan.

Daripada perspektif lain, rokok dilabelkan sebagai simbol kekayaan, kelakian, kekuasaan, ketamadunan dan segala macam kehebatan kehidupan. Ia adalah komoditi yang menguntungkan (daripada cukai dan kutipan perdagangan), keperluan utama kehidupan bersosial, sumber inspirasi dan kesegaran (ketika memandu dan memerah otak).

Rokok adalah lambang kemodenan masyarakat. Ia tersimpul rapi dengan peradaban daripada peringkat pentadbiran, politik, hinggalah peringkat bawahan, malah anak-anak kecil yang masih merangkak juga perlahan-lahan dibesarkan dengan dunia rokok! Justeru, betulkah tabiat merokok telah menurun? Cuba kita lihat di restoran mamak, tapak pembinaan, tandas di hospital, warung dan tempat yang dianggap zon tidak merokok. Tidak hairan lah juga kadar statistik perempuan merokok hampir setaraf dengan lelaki.!!!


Sejauh mana larangan ‘kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang membeli rokok’ benar-benar berlaku di kalangan peruncit? Benarkah rokok tidak mampu lagi dibeli kerana harganya mahal?

Pastikah pengetahuan tinggi mengenai keburukan merokok akan mencerminkan tindakan tidak merokok? Betulkah inisiatif ‘quit smoking’ akan mengekalkan seseorang untuk terus berhenti merokok? Kemampuan industri rokok untuk melengkapi setiap ruangan kehidupan dan minda masyarakat dengan jelas membuktikan advokasi ‘merokoklah’ oleh syarikat tembakau amat berjaya. Dengan pendekatannya yang amat strategik, dengan prasarana yang serba lengkap dan jaringan yang sungguh meluas, fenomena merokok nampaknya tidak akan ada kesudahan. Ia akan terus mencorakkan kehidupan. Malah penggiat antimerokok turut tertipu, terkulai dengan modus operandi licik mereka.

Sedarlah bahawa isu merokok bukan sesuatu yang seronok untuk diperkatakan. Jauh sekali untuk dipersendakan. Ia adalah kata dua yang meminta jawapan jujur dan tindakan tulus daripada mereka yang merasakan sebahagian kemelut ini. Jawab dan bertindaklah demi anak-anak yang akan meneruskan pembangunan generasi ini.

Pergunakanlah bulan puasa ini untuk mentarbiahkan diri kita agar dapat berlatih ke arah Zero Smoking. InsyaAllah dengan iltizam yang tinggi tanpa perlu banyak berdebat 'aku susah nak berhenti, kau tak paham jiwa perokok dan sebagainya, pasti akan kita pertemu jalan untuk menjauhinya. Setiap hari peringatan diberikan anggaplah ia sebagai tanda kasih sayang insan kepada insan yang lain. Janganlah melenting tetapi biarkanlah ia menjadi pendorong kepada kita untuk merubahnya. Shift your paradigm! Bulan Ramadhan ialah madrasah tarbiah buat umah Islam. gunakanlah sebaik mungkin. jangan lepaskannya!!!

No comments:

Jumlah Pengunjung