Semua daripada kita mengimpikan kejayaan yang gemilang. Tapi tinggal satu persoalan untuk dijawab. Bagaimana kita menggapainya? Kejayaan bermula dengan idea lalu menguasai fikiran dan memupuk keinginan supaya kejayaan menjadi kenyataan. Jika kita lihat biografi hidup tokoh-tokoh yang berjaya, nescaya semua daripada mereka mempunyai idea asas yang akhirnya menolak mereka untuk mencapai kejayaan. Mereka semuanya sama dengan kita memiliki anggota badan yang sempurna dan masa 24 jam sehari semalam. Cuma mereka memiliki dua perkara:
1. Keazaman yang kuat untuk berjaya
2. Meninggalkan segala perkara yang tidak membantu untuk mencapai kejayaan
Beberapa contoh dalam sejarah.
1. Zaid bin Thabit diikitiraf oleh Rasulullah saw sebagai orang yang paling pakar dalam urusan ilmu Faraidh (harta pusaka). Kisahnya bermula pada usia 13 tahun. Dia ingin menyertai Nabi dan para sahabat lain ke medan Jihad. Ketika Rasulullah saw melihatnya, baginda menyuruhnya untuk pulang kerana kurang umur untuk menjadi tentera perang. Zaid pulang ke rumah sambil menangis teresak-esak. Ibunya tahu sebab dia menangis lalu berkata: Wahai anakku, nanti bila engkau cukup umur, sudah tentu Rasulullah akan membenarkan kau. Sekarang aku akan menghantarmu belajar ilmu-ilmu sebagai bekelanmu nanti.
2. Muhamad Al Fateh seorang penakluk yang hebat. Beliau mula melakar sejarah hanya dengan kata-kata gurunya tatkala berumur 10 tahun. Hadis Rasulullah saw yang berbunyi “Costantinopel akan dibuka, sebaik-baik panglima tentera adalah yang membukanya, sebaik-baik tentera adalah tentera itu” menjadi aspirasi beliau untuk sebuah kejayaan. Gurunya sering bertanya pada beliau “Kenapa bukan engkau yang menjadi orang ini wahai Muhammad?” Muhammad Al-fateh langsung mempersiapkan diri untuk misi agung ini. Beliau sering berlatih menunggang kuda ke dalam lautan hingga air laut menenggelami kudanya ke paras leher. Sedikit demi sedikit, beliau semakin hampir dengan kubu kukuh tentera Kristian Costantinopel. Dia menjerit dengan suara yang kuat “Aku akan menjadi orang itu” seolah-olah menyahut seruan Nabi Muhammad saw. Dia mula belajar tentang ilmu pengurusan, pemerintahan tentera dan seni peperangan. Dia berjaya menguasai hampir 6 jenis bahasa pengantar yang berbeza-beza. Bagi dirinya, matlamat sudah berada di depan mata. Pada usia 21 tahun, kota Costantinopel berjaya dibuka oleh beliau dan tenteranya.
3. Imam Bukhari pada usia 12 tahun ternampak satu visi….Dia melihat dirinya seolah-olah berjalan di belakang Rasulullah saw. Setiap kali Nabi memijak kaki ke tanah, Imam Bukhari cepat-cepat memijak tanah yang baru dipijak oleh Nabi saw. Beliau bingkas tersedar dari mimpi itu dan bergegas berjumpa dengan gurunya untuk bertanya perihal mimpi itu. Gurunya menerangkan: ” Jika salah seorang daripada kamu dapat mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah saw yang Shahih dan mengasingkannya daripada hadis-hadis Dhaif (lemah) dan Maudhu’ (direka-reka), nescaya ia seperti berjalan mengikut jalan Nabi saw yang tercinta”. Bermula daripada detik itu, Imam Bukhari menjadi antara perawi hadis Rasulullah saw yang terulung. Diriwayatkan dia telah mengumpul 7000 hadis berdasarkan metodologinya. Jarak pengembaraanya untuk mencari hadis-hadis yang Sahih dikatakan sama dengan 2 kali lingkungan lilitan bumi ini. Beliau telah berjumpa hampir 4000 ulama perawi hadis yang Sahih sepanjang kembara ilmunya. Pernah suatu ketika di kota Baghdad yang terkenal dengan ketinggian peradaban ilmunya, sekelompok ulama hadis ingin menguji kehebatan dan penguasaan Imam Bukhari dalam ilmu Hadis. Sebanyak 100 buah hadis yang telah ditunggang-langgangkan sanad dan matannya, diajukan kepada Imam Bukhari untuk disusun semula seperti yang asal. Tanpa ragu-ragu Imam Bukhari meneliti sanad dan matan hadis-hadis tersebut dan berjaya menyusunnya kembali tanpa sedikit kesalahan pun. Para ulama tersebut mengkagumi ketokohan Imam Bukhari dan kemampuan anak muda itu.
Ini adalah beberapa cerita kejayaan mereka yang terdahulu. Sudah sampai masanya untuk kita pula mencipta kisah tersendiri untuk tatapan generasi yang akan datang. Bila anda mahu mulakan kisah dan cerita anda? Tidakkah anda mahu dikenang sebagai seorang yang memiliki keazaman dan daya juang yang kental.
Bittaufeq wan najah kepada semua mahasiswa/mahasiswi di KUIS. Padamu harapan umat dan agama.
No comments:
Post a Comment