19 August 2010
Koreksi Suku Pertama Ramadhan
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
Al-Baqarah : 183
Harus difahami bersama bahawa Ramadhan ini merupakan satu madrasah untuk mendidik kita supaya beroleh keputusan akhir yang digariskan oleh Allah iaitu Taqwa. Diri kita umpama bahan mentah yang masuk ke dalam kilang ramadhan untuk menghasilkan produk yang dinamakan taqwa. Ramadhan juga ibarat tempoh mengecas iman supaya dapat istiqamah dalam amalan hingga ramadhan yang mendatang.
Untuk itu janganlah semata-mata memperbanyakkan amalan khusus tetapi mengenepikan tujuan asal ramadhan iaitu taqwa. Bukan sekadar khatam tetapi lebih penting adalah tadabbur. Andai pelajaran kita lebih memberi kesan untuk meningkatkan taqwa, maka luangkan lah masa untuk pelajaran. Andai kuliyyah lebih meningkatkan taqwa berbanding solat sunat, maka luangkanlah masa untuk kuliyyah.
Namun pernyataan diatas tetap tidak mengenepikan hakikat bahawa junjungan mulia kita Rasullullah SAW memperbanyakkan amalan seperti sedekah dan i'tikaf dalam bulan ramadhan. Sekadar memperingatkan akan tujuan sebenar Ramadhan.
Peringatan buat diri dan sahabat-sahabat sekalian supaya tidak mencemari ibadah ramadhan ini dengan perbuatan yang merugikan ganjaran puasa terutama dalam keadaan yang tidak sedar. Sebagai contoh melazimi perbuatan membuat rondaan di bazar ramadhan yang penuh percampuran tidak terkawal dengan golongan bukan muhrim yang juga tidak menutup aurat dengan baik. Lamanya di bazar terkadang sampai lalai dalam menunaikan solat fardhu. Ini diburukkan lagi dengan pembaziran akibat terlalu banyak membeli juadah mengikut nafsu.
Jangan sampaii puasa kita seperti yang disebutkan oleh junjungan mulia Rasullullah SAW bahawa hanya mendapat haus dan dahaga. Dalam sesi yang lain pula baginda mengaminkan doa Jibril yang mendoakan celaka bagi mereka yang mensia-siakan bulan ramadhan tanpa berusaha mendapatkan keampunan Allah.
Moga madrasah ramadhan menjadi medan mengecas diri kita agar perjalanan jemaah ini akan didokong oleh pekerja-pekerja dakwah yang penuh bertenaga. Selamat beriftar buat seluruh cawangan yang bakal menganjurkan ifar jamaie. Juga buat seluruh ummat yang tetap optimis terhadap gerakan ini.
Ramadhan Kareem
Membimbing dgn Ilmu & Akhlak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment