12 July 2009

ORANG-ORANG atau INSAN

Salam. Alhamdulillah. Sahabat-sahabat saudara seperjuangan PEPIAS baru sahaja menamatkan tiga (3) program pada minggu ini; SAMTAJ, Surau Darul Salim dan PEJAP. Tahniah buat semua diatas infak tenaga, wang dan masa.

Sesungguhnya ilmu kesedaran Islam telah dilupakan. Dalam suatu hadith, Diakhir zaman, ilmu agama akan diangkat. Ada yang menafsirkan bahawa ilmu akan diangkat dengan matinya ulamak-ulamak yang mahir ataupun yang tinggal hanyalah ulamak yang menyembunyikan ilmu kebenaran demi Dunia. Untuk itu, sebilangan sahabat-sahabat PEPIAS yang meneruskan jejak langkah ambiya', mengambil inisiatif serius menganjurkan program-program berbentuk keilmuan demi meningkatkan kesedaran tentang ilmu-ilmu Islam baik dari segi Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Dalam keghairahan menganjurkan program, beberapa perkara harus dititik beratkan.

1. Objektif yang jelas:
Bermula dari pengarah, komiti dan seluruh peserta mestilah faham dan jelas tentang objektif program. Sungguh kasihan melihat pengarah yang terkontang-kanting menanggung objektif supaya dapat dicapai sedangkan komiti dan peserta hanyalah bekerja ala kadar dan buta tidak tahu apa bantuan yang perlu dihulur selain dari skop kerjanya sendiri (asal siap kerja biro aku).

2. Pelaksanaan dengan sensitiviti:
Penggerak mesti sedar dan sensitif tentang implikasi pelaksanaan program. Dua perkara yang selalu dipandang remeh oleh penggerak program ialah reputasi dan kewangan.

Di peringkat PEPIAS pusat, ruang kreativiti tidak dihalang dan dibuka dengan begitu luas tetapi tetap tertakluk dengan kepentingan umum. Sesuatu pelaksanaan program yang dilaksanakan oleh peggerak yang dirasakan membawa reputasi buruk kepada seluruh Jemaah harus dibendung. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ini lebih jelas apabila penggerak berurusan dengan pihak luar seperti penceramah, pemilik resort, atau peniaga. Bila berurusan dengan tidak cekap dan acuh tak acuh, orang akan hilang percaya. Reputasi ialah Kepercayaan orang terhadap kita.

Prosedur dalam mencari sumbangan mesti diambil serius. Kegagalan mengurus kewangan dengan baik akan membantutkan seluruh perjalanan program. Masalah kewangan sesuatu program boleh membawa masalah yang brjangkit. Seperti permainan Domino, satu yang jatuh akan menolak yang lain untuk turut jatuh. Jangan sampai tersepit, sehingga turut menyebabkan keseluruhan Jemaah turut terbabit. Maka ini tidak adil bagi program-program lain.

3. Imej penggerak yang menggambarkan program.
Imej bukan sekadar pemakaian tuck-in atau tudung yang bergosok. Apa yang menambahkan lagi hensem dan ayunya kita adalah Kelakuan dan disiplin diri. Bayangkan dalam sebuah program kem Ibadah. Fasilitator menjalankan LDK melanggar waktu Solat sampai ke penghujungnya. Bila Qiam, Imam sahaja yang bangkit. Disuruh adik-adik berjemaah, Fasi sibuk dengan kerja lain. Disuruh adik-adik mencari ilmu, bila ceramah, Fasi layan borak. Tidakkah busuk imej kita? Walaupun berpakaian bergemerlapan..

Ingatlah saudaraku sekalian. Yang cuba dibentuk bukanlah "orang-orang" yang tidak berjiwa, tetapi Insan yang mulia. Jangan program hebat, tetapi pengisian kepada penggerak sendiri tiada. Kita juga adalah mad'u. Jangan sampai bila berfungsi sebagai da'i, merasakan diri mulia dan tidak boleh ditegur. Kita adalah mad'u. Nasihat untuk saya terutamanya..

Pandanglah dengan mata yang terang . Pesan saya terhadap seluruh penggerak program: di peringkat Pusat, bukan isu tidak mahu membantu, tetapi cara yang tidak betul dan berfikiran pendek. Saya harap tiada lagi ungkapan "Tak pelah abang tak nak tolong" walhal kita sendiri yang sombong mementingkan diri tanpa memikirkan secara luas nasib program-program yang lain. Bertimbang rasalah. Sikap kita yang tidak bersungguh-sungguh dan memandang ringan kerja-kerja Da'wah akan menyebabkan seluruh jemaah akan tersungkur dan Islam akan rugi lagi.

No comments:

Jumlah Pengunjung