02 September 2010

Mencipta kemenangan dalam perubahan

1) Allah berfirman, maksudnya:
"(juga di kalangan orang yang telah menang iaitu) Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.". 
(surah al-Mukminun, 23:2-11).

Ayat di atas menunjukkan bahawa kemenangan itu terletak pada iman, solat, akhlak, maruah, harta, janji dan amanah. di mana ia merujuk kepada tiga elemen utama iaitu akidah, ibadat dan akhlak. Tanpa akidah yang murni, ibadat yang benar dan akhlak yang terpuji manusia pasti tidak mampu mencipta sebarang kemenangan dalam kehidupannya. Cermin keadaan kita, dan ahli-ahli kita. Persoalan asas ini harus diselesaikan segera untuk mencipta kemenangan!

2) Sejarah mengajar dan mendidik kita dengan suasana dan pendekatan yang berbeza. Bukan nama watak yang penting; Fokus adalah pada pengkisahan sebab-akibat yang menjadi sejarah dan harus dipelajari oleh generasi terkemudian. Dalam kitab Quran, tidak ada tertulis nama Qabil dan Habil sebagai anak Adam a.s. Namun, Allah merakamkan kisah mereka agar watak itu yang harus dijadikan pelajaran untuk seluruh manusia. Sejarah anak Adam a.s melihatkan manusia ini akan punya warna yang pelbagai dengan pilihan kehidupan juga adalah pelbagai. Yang pasti, sejarah menjadi kayu ukur generasi hari ini menilai (evaluate) dan mentaksir (assess) , dan mencermin diri (muhasabah) seterusnya melihat kembali langkah-langkah yang telah kita lalui. Adakah jalan yang kita lalui, adalah jalan ke arah kemajuan? ataupun sebaliknya, berundur ke belakang? Berikut, disenaraikan semula faktor kekuatan ABIM-PKPIM pada awal kemunculannya di persada dakwah, berdasarkan catatan Kuliah pada Muzakarah Qiyadah 2 WADAH-ABIM-PKPIM 30-31 Januari 2010. 
  1. Kekuatan wadah persediaannya daripada PKPIM
  2. Ketepatan waktu kemunculan 
  3. Karisma pemimpin utamanya
  4. Kepimpinan Jamaiy
  5. Memanfaatkan dinamika kePemudaan dan dinamika keIslaman
  6. Kekuatan Fikrah / Idea / Gagasan
  7. Keberkesanan tarbiyyah Ilmiyah, Ruhaniyah, Harakiyah
  8. Keberkesanan mekanisme / jentera  organisasi
  9. Komitmen yang tinggi dalam Amar Ma'ruf Nahi Mungkar
9 senarai ini adalah asas faktor yang menjadikan ABIM-PKPIM kekal sehingga hari ini. Kesemua faktor ini adalah seiring tanpa meninggalkan satu pun daripadanya sepanjang gerakannya. Jelas ditulis, diamal, dan dibudayakan dalam segenap lapisan ahli dari Presiden, sehinggalah ahli yang baru mengenali ABIM-PKPIM. Di manakah standard Haraki kita pada hari ini? Adakah kita mengamalkan teras yang terbukti berkesan dalam lipatan sejarah kita ini? Faktor pertama dan kedua adalah faktor kesedaran pada waktu itu. Faktor ketiga adalah faktor peribadi tokoh tertentu. 6 Faktor yang lain adalah faktor utama keberkesanan Haraki dan kesenian dalam berorganisasi. Justeru, di manakah kita berdiri pada hari ini dalam rangka harakah yang dibina sejak ia ditubuhkan?

3) Keutamaan dalam ahli gerakan adalah untuk memastikan diri, keluarga dan masyarakat dalam keadaan yang mendekatkan diri dengan Allah. Akidah tauhidik disemai, dibajai dengan sistem idealisme dalam pentarbiyahan yang teratur seperti majlis ilmu, usrah, dan tamrin, seterusnya nilai aktivisme yang mewarnai praktikaliti dalam menterjemahkan segala yang disemai dan dibajai tadi. Keseluruhan sistem ini adalah suatu medan ibadah yang saling melengkapi dan dibudayakan dengan wajar tanpa kompromi. Walaupun begitu, hal-hal sampingan seperti kuantiti ahli, kuantiti program, serta populariti massa, sedikit sebanyak memainkan peranannya yang tersendiri. Namun, ia kekal sebagai hal sampingan. Kisah-kisah Umar al-Khattab banyak memberi inspirasi bahawa nilaian yang utama adalah di sisi Allah, bukan dari kaca mata manusia.
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan ALlah), sama ada dalam keadaan ringan, (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggung-jawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (dalam membela Islam), yang demikian amat baik bagi kamu, jika kamu mengetahui
(At-Taubah : 41)

Pengajaran penting dalam ayat di atas adalah jelas supaya kita bersama-sama keluar jihad di jalan ALlah, dan berjihad dengan jiwa raga, dan harta benda, serta janganlah mencari-cari alasan dan tunduk kepada hawa nafsu tersebut. Berangkatlah dalam keadaan bagaimanapun, baik dalam keadaan mudah mahupun susah, sihat mahupun sakit, kaya mahupun miskin, sedikit bekalan ataupun banyak. Kerana di situlah terletaknya kemenangan hakiki. Jihad ini bukan kerana sebab manusia; ajakan kawan, semangat-semangat yang penuh emosi, mahupun janji kebendaan. Jihad ini adalah untuk agama Allah! Muhasabah kembali, di mana kita berdiri apabila pergi program-program Jemaah? Atas sebab apa? Untuk apa?

4) Perlu diketahui bahawa bukan semua perselisihan itu membawa kepada perpecahan, tetapi semua perpecahan bermula daripada perselisihan.  Malah, adanya perselisihan menunjukkan adanya suatu dinamika dalam satu-satu organisasi. Oleh itu, segala bentuk perselisihan perlu ditangani dengan hikmah dan kebijaksanaan bukan dengan kebodohan, kejumudan, dan berburuk sangka dalam emosi yang tidak keruan. Pendeknya, ia perlu ditangani; bukan dielak, ditangguh atau disembunyikan. Malah lebih malang, jika menidakkan bentuk perselisihan yang ada. Walau sekecil mana ia kelihatan, pastikan ia tidak menjadi barah dan merebak kepada keseluruhan organisasi. Soalnya, jika ia sudah merebak sehingga ke akar umbi, apa yang harus dilakukan? Hendak dibuang sel barah, dibimbangi akan merosakkan keseluruhan badan. Namun, kalau tidak dibuang, badan akan terus merana dan akhirnya akan ada organ penting yang akan mematikan keseluruhan badan! Jangan pula Jemaah kita diibaratkan seperti 'batang pokok yang kelihatan kukuh di luar, tapi amat rapuh dari dalam; reput di makan anai-anai' Nauzubillah. Kembalilah kepada fitrah dan teras gerakan haraki kita. Asas penubuhan dipasakkan kembali supaya tidak hanyut di bawa badai massa yang sentiasa tidak tentu halanya.

5) Cerita dakwah adalah cerita indah. Jalannya penuh liku dan cabarannya menuntut pengorbanan. Tidak ada yang lebih indah dalam kehidupan seorang pendakwah apabila dengan izin Allah, orang yang didakwah berubah; daripada bersikap negatif terhadap Islam menjadi orang yang taat dalam beragama. Daripada pemikiran yang sekular dan liberal kepada kembali kepada cara hidup Islami yang sebenar. Daripada menganggap Islam sebagai kolot dan ketinggalan zaman, kepada seorang yang cintakan ilmu Islam. Prasyaratnya adalah mewujudkan keikhlasan dalam diri, usaha yang tidak pernah kenal jemu, ilmu dan pengalaman yang harus ditingkatkan. "Kerja dakwah adalah tugas aku; pemberi hidayah adalah tugas Allah. Apabila orang tidak berubah, caraku mungkin tidak kena. Aku harus bersama-sama dan berusaha menjadi lebih baik. Orang tidak harus dipersalahkan. Putus asa tidak ada dalam diri." Inilah susun atur ikrar niat dan azam kita apabila turun ke medan dakwah. Selagi prinsip ini menjadi tunjang Daie, dan Murabbi, gerak kerja Dakwah dalam Harakah dan dalam diri sendiri, akan terus subur dan seterusnya Islam akan terus bangkit membawa perubahan.


Fikrah Imayu
(sumber : imayu05.blogspot.com)

No comments:

Jumlah Pengunjung