Alhamdulillah kita dipertemukan lagi dalam bulan syawal setelah sebulan berpuasa. Tiada yang lebih layak bermuhasabah tentang amalan ramadhan kita melainkan diri sendiri. Kita takut doa Jibril yang diaminkan Rasullullah S.A.W yang mengatakan celakalah bagi mereka yang selesai ramadhan tetapi tidak beroleh keampunan. Kita takut dalam bulan dimana syaitan diikat pun kita terus berbuat maksiat, apatah lagi bila syaitan dibebaskan semula. Mohon berlindung.
Mari bersama mengkoreksi diri. Antara tanda amalan diterima adalah kita meninggalkan maksiat dan istiqamah dengan amalan. Apakah tanda itu ada pada kita? Adakah amalan kita sehingga tamat ramadhan sahaja? Sedangkan tujuan ramadhan itu adalah beroleh taqwa dihujungnya dan mereka yang layak beraya hanyalah mereka yang memperolehi taqwa. Adakah kita layak beraya?
Bersempena eid fitr ini, saya menyeru diri dan seluruh warga PEPIAS agar bersama kita bermaafan Tiada manusia yang sempurna dan tidak bernama manusia jika tidak pernah melakukan kesalahan. Fahami benar-benar wahai warga PEPIAS, padamkan dendam, jauhkan prasangka dan semaikan kepercayaan sesama kita. Tingkatkan komunikasi dan kurangkan ego. Berilah peluang bagi kita bersama-sama memperbaiki jemaah ini.
Menjadi pelayan ummat adalah kerja besar. Jarang sekali ummat yang lemah iman seperti kita pada hari ini mampu menanggungnya secara individu. Perubahan masyarakat bermula dengan merubah diri. Merubah ummat tanpa merubah diri adalah tanggapan yang terencat dan tidak mungkin akan terlaksana dalam ummat ini.
Jangan terlalu asyik melihat kesalahan orang hingga lupa cela diri sendiri. Utamakan dalam jemaah ini amalan berani berpesan kepada yang haq. Yang berpesan pula haruslah berpesan dengan kesabaran. Itulah tujuan kita berjemaah. Bersama-sama memperbaiki diri. Ingatlah.
Akhiran, mohon maaf dipinta atas kelemahan, kekurangan, salah silap saya dan warga pimpinan PEPIAS pusat. Sambutlah lebaran ini dengan sederhana dan tidak membazir. Janganlah bulan syawal ini dicampur adukkkan dengan maksiat terutama dengan menonton rancangan sambutan Syawal di televisyen yang tidak langsung berkaitan dengan anjuran agama. Teruskan amalan bermaafan dan kunjung mengunjung bagi merapatkan tali silaturahmi. Moga bertemu lagi selepas pulang berhari raya bersama keluarga.
Maaf Zahir & Batin.
Mohd Zulhelmi B. Abdullah
Presiden PEPIAS
Membimbing dengan Ilmu & Akhlak.
2 comments:
(^__^)
Alhamdulillah... berpesan-pesan dengan yang hak, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Setuju sangat dengan Bapak Presiden...
http://kamarulazami.blogspot.com
Post a Comment