01 January 2009

Sekitar Kampus: Program PMG

PMG di Berita Harian <-- klik di sini

Sekitar Kampus: Program PMG

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

Pelajar lepasan SPM bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus

SEMUA mengakui teruja untuk mengikuti program Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor (Pepias), apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa dan guru bertujuan mengisi waktu cuti selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas didedahkan dengan beberapa slot program di Kolej Ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang perasaan itu semakin meningkat dan bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan baru ditimba.


Bekas Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Panglima Garang, Azmir Jais, berkata program PMG adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri dan mempunyai kelainan berbanding kegiatan lain yang pernah disertainya.


“Tiga hari berada di sini memberi impak positif dalam hidup saya terutama selepas saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian yang mana pengisiannya mendedahkan peserta mengenai budaya ilmu dan berfikiran positif.

“Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana mempelajari ilmu agama khususnya kepentingan solat,” katanya.

Sementara itu, Nor Hafiffy Suraya Shafie yang pertama kali mengikuti perkampungan seperti itu melahirkan perasaan

gembira dan berterima kasih kepada guru beliau, Radin Mohd Imadudin Radin Abdul Halim kerana membuka peluang dirinya dan rakan menyelami corak hidup di alam kampus menerusi aktiviti seumpama itu.

“Pengalaman dalam PMG tidak pernah saya dapati dari mana-mana program sebelum ini apatah lagi fasilitator Pepias yang berpengetahuan luas dalam membantu kami mengenal alam kampus.

“Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja diterapkan dengan ajaran Islam malah turut melakukan kegiatan riadah seperti mandi sungai dan meredah hutan,” katanya.

Radin, berkata PMG banyak memberi pengalaman serta pengajaran berguna sehingga beliau berjaya melangkah ke alam kerjaya dan berjaya menarik pelajar sekolah itu menyertai program berkenaan.

“Saya yakin dengan PMG dan menggalakkan pelajar menyertainya kerana ia memberikan pengalaman berguna khususnya nilai hidup bermasyarakat yang turut didedahkan dalam program ini.

“PMG adalah satu program berteraskan ilmu dan mempunyai wadah tinggi dalam melahirkan generasi berminda kritis dan holistik,” katanya.

Presiden Pepias, Mohd Zulhelmi Abdullah, berkata program di UPM itu adalah alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka setelah menduduki SPM dan ingin merasai suasana kampus iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus.

“PMG kali ini dijayakan dengan sokongan 26 fasilitator dan 47 urus setia yang terdiri daripada mahasiswa enam institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang.

“Antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Universiti Sains Islam Malaysia, Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dan Nilai, Kolej Cybermatic dan Kolej PTPL Ampang,” katanya.

Katanya lagi, antara objektif program itu adalah untuk mendedahkan peserta persediaan awal menghadapi alam kampus, membina perancangan dan kekuatan di dalam hidup serta menekankan tujuan hidup, belajar dan cara bermasyarakat.

Seramai 100 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada lepasan SPM mengikuti program selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember lalu. Program kesembilan itu dirasmikan bekas Presiden Pepias, Mohd Fadzli Arsad.

2 comments:

Ciptaan Terhebat said...

Wah, PEPIA sekarang dah makin maju, dah mula dapat liputan dalam akhbar, mak ingatkan pimpinan semua, makin kita dikenali, makin banyak tanggungjawab kita, bukan nak takutkan tapi ingatkan macam kata2 SPIDERMAN lebih kurang macam ni la, dengan kuasa yang hebat maka datangla tanggungjawab yang sama hebatnya...

TUNE diri kita

akutaktahu said...

uiks..banyaknya boloq kam....ingatkan mak rupa2nya nak...

betul tu...makin kita dikenali makin besarlah tanggungjawab kita..

mg kita terus menjadi hamba,khalifah dan dai yang hebat

Allahuakbar!!

WaAllahua'lam

Jumlah Pengunjung