27 July 2011

Ke Arah Ramadhan Yang Lebih Bermakna

SIRI 1

Salam buat semua pembaca setia blog PEPIAS ini.

Semoga anda semua dalam rahmat hendaknya.

Memandangkan tinggal 4 hari lagi untuk kita mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan Mubarak, ingin saya kongsikan beberapa perkara sdengan sahabt-sahabat semua tentang Ramadhan. Penulisan kali ini hasil dari pergi ke usrah-usarah cawangan, perbincangan bersama dengan guru-guru sekolah tempat saya mengajar, pencarian di internet dan buku dan sebagainya. Pasti semua tidak sabar menanti datangnya bulan Ramadhan ini.

Kisah berpuasa diRamadhan ini banyaknya saya simpankan daripada zaman belajar di KUIS. Masih terpahat di memori ini bagaimanaa keluarga PEPIAS di KUIS ini menyambut bulan puasa ini dengan pelbagai aktiviti. Diharapkan di setiap cawangan turut begitu juga.

Pembaca yang dihormati,

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya
maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.

Umumnya Ramadhan disambut meriah di Malaysia. Masjid dan surau akan dibanjiri
oleh jemaah yang bersolat terawih. Untuk menambahkan manfaat dari perhimpunan jemaah setiap malam, ada masjid dan surau yang mengadakan majlis renungan atau ceramah pendek atau tafsir pendek. Ini merupakan satu amalan yang baik kerana ia akan menjadikan majlis solat terawih sebagai satu medan bukan sahaja untuk beribadat bahkan juga medan untuk berkongsi Ilmu dan ingat memperingati. Sesuai dengan firman Allah bermaksud:

“ Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman”
(Surah Azzariyat: 57)

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini, saya terpanggil untuk menulis sesuatu perkara berkaitan dengan Ramadhan. Mungkin untuk siri 1 ini saya akan merungkaikan definisi dan takrif Ramadhan ini sendiri.

Pertama : Takrif Puasa

Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berbetulan dengan firman Allah s.w.t menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26:

Maksudnya: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Kedua: Takrif Ramadhan

Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu-batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.

Al-Syeikh Sya’rawi di dalam al-Fatawa berkata: Perkataan bulan رهش diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang-kadang dinamakan masa yang tetentu sebagai bulan.

Sesungguhnya matahari tidak mampu untuk diketahui berkenaan dengan bulan kerana ia berfungsi hanya untuk menetukan hari. Matahari yang muncul disebelah timur pada hari ini begitu juga akan muncul pada hari esok mengikut sifat dan bentuknya yang sama. Sedangkan bulan dapat dipastikan datang dengan Hilal (anak bulan) pada permulaan kemudian membesar sehingga menjadi bulan mengambang yang penuh hingga kepada kekurangan semula, justeru dapat di bezakan awal, pertengahan dan akhir bulan.

Atas dasar inilah Allah s.w.t mengikat segala amalan ibadat dengan ayat kauniyyah yang zahirah (tanda kekuasaan Allah yang zahir). Ayat di sini ialah anak bulan selepas itu baru di ambil dari matahari hari tersebut kerana anak bulan tidak memberikan kepada kamu kefahaman tentang hari justeru, kita berhajat kepada kedua-duanya. Dengan sebab itulah sentiasa bermula masa ramadhan dengan malam dan segala ibadat di sini berkenaan dengan ramadhan bahawa malam didahulukan sebagaimana yang ma’ruf (tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa siang hari mendahului malam kecuali pada satu ibadat iaitu wuquf di `arafah. Malam datang selepasnya).

Bulan ramadhan asalnya daripada kalimah ض م ر yang menunjukkan kepada kepanasan atau kepada kepanasan yang membawa kepada dahaga begitu juga pasir-pasir yang panas di padang pasir. Al-Qurtubi berkata: Dikatakan dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana diambil dari perkataan ضامرلإا yang bermaksud membakar. Ada pendapat mengatakan kerana hati-hati dapat mengambil padanya dari kepanasan mau`izah dan fikrah pada urusan akhirat sebagaimana pasir dan batu menjadi panas dengan sebab panahan cahaya matahari. Seolah-olah manusia ketika mereka datang untuk meletakkan nama-nama berbetulan pada ramadhan pada waktu yang panas terik (sebagaimana bulan rabi’ yang pertama dan kedua berlaku dalam musim bunga) ini menunjukkan mereka memerhatikan sifat bulan ketika menamainya, kemudian berlangsungnya masa yang khas bagi orang arab sebagai hilali pada zaman yang am sebagai syamsi. Kemudian datangnya ramadhan pada musim sejuk dan juga datangnya ramadhan pada musim luruh, tetapi saat penamaan adalah pada musim panas, justeru penamaan tersebut berkenaan dengan ramadhan dilihat pada waktu dinamakannya. Seolah-olah Allah yang sebenarnya telah memilih bagi bulan ini dengan nama yang tersebut untuk menunjukkan betapa masyaqqah untuk ditempuhi oleh orang yang berpuasa.

Nantikan siri 2 untuk pensyariatan puasa. Semoga dengan bacaan ini dapatlah kita sebarkan kepada sahabat-sahabat kita yang masih tidak tahu untuk taip www.persadapepias.blogspot.com. Semoga Ramadhan kali ini kita lebih mengerti apa itu PUASA dan RAMADHAN. Sekian, jumpa lagi di siri 2.

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN AL MUBARAK

1 comment:

Awang Nyor said...

k, ramadhan 3 fasa tu kan da revise hadithnya oleh mu dlm usrah smlm..

Jumlah Pengunjung