06 July 2010

PELAJAR IPT DAN DISKO (21 JUN 2010)

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) melahirkan kerisauan berkenaan perkembangan budaya clubbing yang semakin merebak di kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Satu laporan berita khas yang didedahkan oleh sebuah saluran televisyen malam semalam (Ahad 20 Jun, jam 8 malam) dijadikan sebagai rujukan.

PEPIAS merasakan budaya ini menjadi punca kepada gejala sosial yang semakin meruncing di kalangan generasi muda. Lebih membimbangkan lagi budaya seperti ini sudah menjadi kebiasaan dikalangan pelajar IPT. Seperti yang sedia maklum, para pelajar yang sudah mula terjebak dengan budaya clubbing ini, secara tidak langsung mereka juga akan terlibat dengan gejala sosial yang lain, antaranya seks bebas, pil hayal, berada dibawah pengaruh alkohol dan pelbagai kegiatan negatif kerana mudah didapati di pusat hiburan seperti disko ini.

Menurut satu kajian terbaru yang dikeluarkan oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) gejala seks bebas yang juga melibatkan pelajar IPT ini sehingga menyebabkan berlakunya pengguguran janin dan pembuangan bayi sudah menjadi suatu gejala yang sangat meruncingkan. Perkara seperti ini terjadi adalah sebahagiannya berpunca daripada faktor budaya clubbing yang begitu giat dilakukan oleh pelajar IPT.

Berdasarkan pemerhatian PEPIAS, diantara kecenderungan pelajar IPT yang mudah terjebak dengan budaya ini adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya disamping begitu mudahnya pelajar IPT untuk memasuki pusat hiburan disko ini. Di samping itu, penguatkuasaan yang lemah oleh pihak universiti dan pihak berkuasa daripada mengekang budaya seperti ini juga menjadi sebab ianya terus berleluasa. Walaupun perbelanjaan di disko ini agak tinggi, namun sebahagian mereka sanggup berbelanja besar menggunakan wang biasiswa, pinjaman pelajaran, wang belanja dari ibu bapa dan sebagainya bagi memenuhi kehendak bersuka ria mereka.

Oleh hal yang demikian, PEPIAS merasakan budaya hiburan melampau ini perlu dibendung khususnya dikalangan pelajar IPT yang beragama Islam kerana ianya jelas bertentangan dengan syariat dan tidak bersesuaian dengan budaya ketimuran. Terdapat juga banyak rungutan dikalangan ibu bapa yang bimbang dengan kegiatan anak-anak mereka mutakhir ini. Sebelum ini mereka menganggap perkara ini sukar berlaku apabila anak-anak mereka berada dibawah pengawasan pihak universiti.

Sebagai salah satu langkah penyelesaian, PEPIAS berharap agar pihak berkuasa dan masyarakat perlu mengambil tindakan serius secara bersama bagi menangani budaya ini. Jika baru-baru ini pihak berkuasa menyatakan akan menemui semua naib canselor IPT bagi mengawal dan menangani kegiatan Jemaah Islamiah (JI) dikalangan pelajar IPT, PEPIAS juga berharap agar isu clubbing dan gejala sosial yang semakin parah ini tidak dikesampingkan. Satu pelan tindakan bersepadu perlu difikirkan diantara pihak berkuasa, Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti secara serta-merta.

Di samping itu PEPIAS juga berharap agar isu berkaitan JI dikalangan pelajar IPT yang menjadi semakin hangat ini tidak menjadi sebab untuk membantutkan aktiviti persatuan pelajar yang berorientasikan gerakan Islam. Sudah semestinya melalui aktiviti berpersatuan ini juga dapat mengekang gejala sosial dikalangan pelajar IPT daripada terus membarah. Kesimpulannya, usaha bagi menangani gejala sosial ini perlu didokong oleh semua pihak.

ZAFRULLAH BIN ARIS
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN PELAJAR ISLAM SELANGOR DARUL EHSAN (PEPIAS)

No comments:

Jumlah Pengunjung