Satu lagi koleksi Tarbiah Rohani keluaran Galeri Ilmu Sdn. Bhd. hasil nukilan saudara Hilal Asyraf. Terpanggil dan tertarik dengan salah satu isi yang dikupas dalam buku ini ialah menanamkan kefahaman manusia kepada beragama. Catatan sirah perjuangan Rasulullah menunjukkan yang ditanam dalam diri setiap insan itu adalah Islam itu sendiri yang kemudian datangnya bersama keperluan yang lain iaitu syariah, akhlak, ibadah dan sebagainya, Rasulullah tidak menekankan kepada konsep akhlak terlebih dahulu tetapi mengenal Tuhan dan secara tidak langsung komitmen sebagai seorang muslim akan ditonjolkan dalam sahsiah, peribadi mahupun tingkah laku baginda.
Perkataan islam berasal dari Arab iaitu salima bererti selamat sentosa atau kedamaian. Terdapat hadith yang diambil dari sebuah hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
" Seorang Muslim ialah seorang yang selamat, seorang muslim yang lain dari lidah dan tangannya"
Ia juga bererti menyerah diri, tunduk patuh dan taat. Islam berbeza dari agama lain yang ada di muka bumi, kerana perkataan "Islam" tidak mempunyai hubungkait sama ada dengan individu-individu tertentu, golongan atau tempat-tempat tertentu.
Definisi islam mengikut istilah atau syara' adalah patuh dan menyerah diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan. Islam juga adalah peraturan hidup, peraturan yang bersifat integraf yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Sabda Rasulullah:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasul".
Definisi Islam semasa Jibril datang bertanya Rasulullah tentang Islam:
"Ceritakan padaku (wahai Muhammad) tentang Islam," Rasulullah s.a.w. menjawab: "Kau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hambaNya dan Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan berhaji ke baitullah jika engkau kuasa".
Adanya akar yang kukuh, maka akan adanya dahan yang kuat, bunga yang cantik dan mengeluarkan buah yang ranum. Berpaksikan pada pemahaman Islam yang baik nescaya akan menjadi refleksi diri yang baik bagi setiap muslim dalam setiap tertib yang dilakukan. Pengkajian kepada Islam secara berterusan akan sentiasa memperingatkan manusia tentang kebesaran Maha Pencipta yang agung. Kembalilah wahai manusia kepada akar yang kuat dan kukuh.
1 comment:
Pembacaan yang sungguh baik. Alangkah baiknya jika ada olahan dan diperkaitkan dengan gerakan kita serta keperluan ia untuk diperbincangkan.
Buku-buku sekarang banyak yang kembali kepada asas, 'back to basic'. Sebab ummat Islam sekarang mungkin terlebih advance sebab ramai yang belajar yang ranting-rantingnya tapi akarnya takde...
TQ2
http://kamarulazami.blogspot.com
Post a Comment