Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Semoga pembaca-pembaca blog PEPIAS sekalian sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa taala...
Pertamanya, maaf jika entri ini bersifat peribadi, tetapi saya rasakan, saya perlu menulisnya atas dasar ukhuwwah Islamiyyah yang telah lama terjalin...
3 Mac 2010, jam 4-5 petang, mak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Am (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan kadar gula yang terlampau tinggi dalam badan beliau (penyebab utama), juga akibat kesan daripada penyakit-penyakit lain yang ditakdirkan Allah untuk menginap dalam badan mak...
Tidak pernah terlintas di fikiran perkara sebegitu akan berlaku ke atas kami sekeluarga (dan saya yakin tiada siapa pun yang mahu ia berlaku ke atas diri dan keluarga masing-masing). Bukan untuk mempertikaikan apa-apa yang berlaku, cuma ingin berkongsi ketenangan hati memikirkan kebijaksanaan-Nya mengatur dan mentadbir hidup makhluk ciptaan-Nya. Subhanallah (13:28)…
Alhamdulillah, mak beransur pulih dan semakin sihat, tetapi masih ada pembedahan yang perlu beliau jalani (saat entri ini ditulis) dan rawatan-rawatan susulan yang tertentu untuk ditempuhi. Semoga kita semua sentiasa diberi kesihatan akidah, fizikal, mental, emosi, rohani, dan sebagainya, agar dapat menjadi hamba dan khalifah-Nya yang diredhai oleh-Nya. Ameen...
Apapun yang telah, sedang dan akan berlaku, kita hendaklah sentiasa redha akan ketentuan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Bukan sedikit hikmah yang tersirat di sebalik segala sesuatu yang berlaku.
Nasihat dan peringatan untuk diri ini yang selalu leka, alpa dan lalai, juga buat teman-teman sekalian, marilah sama-sama kita sentiasa memperkuat ikatan hati dan pergantungan kita kepada Dia, Al-Hayy Al-Qayyum, agar kita semua dapat mencapai apa yang diajarkan oleh Jibril kepada kekasih Dia, dan yang sentiasa diulang tayang dan diulang dengar dalam hidup kita iaitu Ihsan.
Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat sekalian yang sudi membantu dengan apa jua cara sekalipun, khususnya kepada saudara Zafrullah bin Aris (Setiausaha Agung PEPIAS) yang banyak membantu di saat-saat yang sangat tidak stabil, genting dan cemas. Bacaan doa, surah yaasin, solat hajat, kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik, ziarah, dan segala bantuan yang kalian sumbangkan, hanya Allah yang mampu membalasnya.
Semoga Allah mengganjarkan syurga Firdaus Al-A'la kepada kita semua... Allahumma Ameen...
FATIMAH AZZAHRA BINTI MOHAMAD
PENOLONG BENDAHARI AGUNG
PERSATUAN PELAJAR ISLAM SELANGOR (PEPIAS)
No comments:
Post a Comment