30 November 2009

SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SUDUT AQIDAH (5)



Perjalanan kita sebagai manusia tidak terhenti selagi nyawa masih dikandung badan. Amanah Allah sebagai khalifah adalah suatu bebanan yang besar yang tidak boleh tidak kita perlu penuhi dan laksanakan dengan sebaik mungkin. Tugas ini pasti akan terlaksana dengan niat dan tekad yang penuh kepercayaan kepada Allah s.w.t. Tidak ada perkara, tugasan, kerja, amanah mahupun bebanan yang tidak upaya dikerjakan sekiranya segalanya dipasakkan kepada keyakinan yang jitu terhadap keEsaan Allah s.w.t.

Pada artikel-artikel yang lalu, kita telah membincangkan hampir 15 perkara yang berkaitan dengan Muslimnya kita dari sudut aqidah. Aqidah merupakan tunjang utama kehidupan yang memberikan gambaran siapakah kita dan apakah kepercayaan serta pegangan hidup kita. Pada artikel yang lalu kita telah membincangkan bahawa, kita perlulah Muslim dari sudut aqidah dengan;

1. Beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
2. Beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna.
3. Beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah.
4. Beriman bahawa sesungguhnya matlamat kewujudan kita sebagai manusia adalah untuk mengenali dan memahami kewujudan Allah s.w.t.
5. Beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang memperjuangkan agama Allah untuk diri mereka juga tetangga dan saudara mereka adalah syurga.
6. Beriman dengan sesungguhnya bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan dan kejahatan adalah di atas pilihan diri mereka sendiri. Namun, setiap kebaikan itu tidak akan berlaku melainkan dengan taufiq dan hidayah dari Allah s.w.t kepada manusia.
7. Beriman dengan sesungguhnya bahawa urusan perjalanan dan penciptaan undang-undangn itu adalah hak mutlak Allah s.w.t.
8. Mewajibkan diri kita serta sentiasa berusaha untuk mengetahui nama-nama juga sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaan-NYA.
9. Sentiasa merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, tetapi tidaklah sehingga kita memikirkan Zat Allah s.w.t
10. Sehubungan dengan sifat-sifat Allah tadi, dapat kita lihat bagaimana Allah telah membuktikannya melalui ayat-ayat-Nya sendiri di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang kehebatan dan kemuliaan-Nya.
11. Meyakini, bersedia menerima pendapat dan pandangan para salaf (ulama'-ulama' muktabar) dalam menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan penta'thilan sesetengah ayat Al-Quran mengenai sifat-sifat Allah, juga menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.
12. Mewajibkan diri kita untuk mengabdikan diri kita hanya kepada Allah semata-mata tanpa menyengutukan-Nya dengan apa-apa pun.
13. Mestilah berasa takut hanya kepada Allah s.w.t dan tidak pula takut kepada yang lain.
14. Sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namanya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir.
15. Wajiblah juga untuk kita bersama untuk menyintai Allah dengan sebenar-benarnya cinta.

Keenam belas.
Kita semestinya bertawakkal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan meletakkan setiap perkara itu kepada Allah s.w.t. Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;

"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya ia akan memberi kecukupan kepadanya." - Surah Al-Thalaq 65: Ayat 3

Ketujuh belas.
Kita juga mestilah mensyukuri nikmat ke atas diri kita yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung besar dan banyak. Firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud;

"Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu-ibu kamu, (dalam keadaan) kamu tidak mengetahui sesuatu apa pun. Lalu ia telah jadikan untuk kamu pendengaran, penglihatan, dan akal fikiran, supaya kamu merasa bersyukur (di atas nikmat-nikmat tersebut)". - Surah Al-Nahl 16: Ayat 78

Kelapan belas.
Kita semestinya mewajibkan diri kita untuk sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah kerana ia dapat membersihkan diri dari dosa disamping memperbaharui taubat dan iman. Firman Allah yang bermaksud;

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan nescaya dia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110

Kesembilan belas.
Sebagai pengakhirannya, kita mestilah sentiasa bermuraqabah atau merasai berada di bawah penguasaan Allah s.w.t baik dalam keadaan gelap atau terang kerana mengingatkan firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud;

"Tidak ada percakapan rahsia di antara tiga orang melainkan Dialah yang keempat dan tiada (percakapan antara) lima orang melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) percakapan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau lebih melainkan Dia ada bersama mereka dimanapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - Surah Al-Mujadalah 58: Ayat 7

Maka, marilah kita ingatkan 19 perkara ini bagi memastikan Muslim kita terhadap aqidah ini benar dan tidak ditokok tambah atau dikurangkan. Apa yang kita khuatirkan bagaimana kita akan menamatkan perjalanan kehidupan ini adakah dengan benarnya Islam kita atau Islam kita adalah olok-olokkan semata-mata. Bersamalah kita renungkan.

http://artikelkamz.blogspot.com

1 comment:

Awang Nyor said...

Trimas. PJ dan Pusat tgh pulun maza ya'ni gak. Pusat nyer pelan sikit supaya masak. Tulisan ab. dpt m'bantu ahli lebih paham yg asas nih. back to basic. Jazakallah.

Jumlah Pengunjung