06 November 2009

Optimis Dengan Apa Yang Disediakan Allah Buat Kita Semua



Penat rasanya berterusan bergerak dan mengisi program yang pelbagai. Kadang-kadang berat benar rasanya kaki ini ingin melangkah apabila mengenangkan kepenatannya bahkan meninggalkan anak isteri yang semata-mata diserahkan keselamatannya kepada Allah. Apatah lagi apabila segala kerahan tenaga dan idea dilakukan dengan balasan kosong dari penerimanya. Sudahlah penat dilakukan macam-macam, sebaliknya yang diterima hanyalah umpatan, cakap belakang dan yang paling pedih dan sakit adalah tikam belakang.

Wah, ini cukup menguji kesabaran kita sebagai insan yang lemah dan serba kekurangan. Mana tidaknya, kita dah buat semua sehabis baik, tapi ada orang tidak menghargainya. Penat sungguh rasanya. Macam mahu saja berhenti dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia ini. Letihlah. Orang tidak hargai. Jangan katakan terima kasih atau tahniah, bersetuju dengan apa yang dibuat pun jarang sekali. Rasanya lebih baik berehat dan buat kerja-kerja sendiri sahaja, lebih berbaloi dan lebih berpuas hati.

BIla kita tegur mereka, melatah. Tidak mahu dengar pandangan. Idea dia lapuk, tidak sesuai zaman. Pandangannya tidak tajam, cuma telahan saja dan pelbagai lagi andaian untuk menolak dari mengambil pengajaran. Tercabarnya. Apa salahkah kita menegur dan memberikan pendapat? Apa salahkah kita berwatak mengambil berat dan menunjukkan rasa tanggungjawab? Apa salahkah kita? Jadi, biarkanlah mereka. Sudah sampai rasa malas untuk berkata-kata. Sudah sampai rasa muaknya. Ibarat menuang air ke daun keladi, tidak ada kesan apa-apa.

Nah, inilah manisnya berdakwah wahai diriku yang malang. Insan yang bernama manusia ini punya kelemahan. Sebagaimana para Rasul dan Nabi yang juga manusia tetapi dikasihi Allah dan kita semua. Wahai diriku, para Rasul dan Nabi juga berasa sedih dan kecewa, namun dalam kekecewaan Allah pujuk, ajarkan, tunjukkan jalan. Ditelan ikan Nun, dibunuh, ditegur dan diperingatkan, diberikan amaran dan sebagainya. Mereka itu Rasul... mereka itu Nabi...

Wahai diriku yang malang, itulah contoh perjalanan seorang dai'e, dicerca dikata-kata, dipersendakan, diperolok-olokkan, dibiarkan bersendirian tetapi Allah sentiasa bersamamu, percayalah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Jika hanya dengan keadaan ini, kita sudah bermuram durja, apakah tidak perasaan pada seorang Nabi dan Rasul seperti Nuh a.s. Berdakwah selama ratusan tahun. Adakah dikalangan orang yang kita bersedih ini datang dari saudara mara sedarah sedaging yang rapat dengan kita? Bahkan bagaimana perasaan NAbi Nuh apabila anak isterinya ditenggelamkan Allah dalam bah yang besar?

Buat diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan;

Ujian buat kita hanyalah sekecilnya ujian berbanding pada Nabi dan Rasul, para Kahlifah yang terdahulu. Jika kita berhenti dan bersedih, adakah ianya akan menjadi lebih baik? Ingatlah kita bersama, yang kita kejar bukan pangkat, bukan kedudukan, bukan kegemilangan kerana kayu ukur bagi manusia adalah sangat pendek dan kedekut. Yang kita cari adalah rahmat dan keredhaan-NYA kerana ianya tiada batas dan hadnya. Ia mengatasi segala dosa besar yang kita telah lakukan terhadap-NYA.

Kembalilah mencari kejayaan sebenar, untuk hidup tenang dan aman di kampung halaman kita semua. Optimislah kita dengan setiap kejadian Tuhan untuk kita. Pasti, pasti dan pastinya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Apa yang diamanahkan laksanakan, apa yang dituntut segerakan, apa yang dijanjikan penuhilah. Tugas kita, sediakan diri kita sentiasa, setiap saat dan ketika, kerana sebentar lagi Izrail akan memintas kehidupan kita, bila tiba masanya adakah kita telah bersedia?

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
http://kamarulazami.blogspot.com
6 November 2009

No comments:

Jumlah Pengunjung