28 April 2009

Bengkel TOT siri 1

Alhamdulillah, pada 26 April 2009 yang lepas Bengkel TOT siri 1 telah berjaya di jalankan di Balai Penghulu Mukim Batu, Selayang.

Bengkel tersebut dimulakan dengan mengenal personaliti setiap individu dalam Team Of Trainer (TOT) yang hadir. Kalangan TOT yang hadir ini mempunyai pelbagai jenis warna seperti Biru ( sensitif), Hijau (pemikir), Jingga (penghibur) dan Emas (penguasa). Ada juga yang mempunyai konflik warna. Suasana ketika itu amat menghiburkan dan bermakna. Perlu di ingat sebagai trainer, kita perlu pandai meletakkan orang itu ditempat mana.

Kemudian kami membincangkan tentang nilai atau perkara yang perlu ada dalam setiap program PEPIAS selepas ini. Ada 9 nilai atau perkara yang telah dipersetujui dan perlu ditekankan dalam setiap program. Antaranya ialah :-
1) Hubungan fasilitator dengan peserta
2) Masterplan
3) Peralatan yg lengkap
4) Briefing Modul
5) Pengurusan masa
6) Fasilitator terlatih
7) Kerohanian dan keilmuan
8) Penampilan
9) Modul yang fleksibel.


Setiap trainer perlu memastikan agar setiap nilai atau perkara yang telah di bincangkan ini ada dalam setiap program yang dijalankan.

Selain itu, kami juga membincangkan 10 program dominan yang perlu dijalankan dan digerakkan oleh PEPIAS iaitu:-
1) PMG
2) LAKEP
3) Smart Solat
4) Tamrin Jundi@PeBIS
5) Motivasi
6) Jati Diri
7) PEPIAS Prihatin
8) SYABAB
9) HARDCORE

10) KKPI

Akhirnya kami membincangkan dan mengemaskini flow program-program rutin anjuran
atau jemputan pepias, tapi tidak sempat di habis dan tuntas semuanya. InsyaAllah, perkara-perkara lain akan disambung dalam siri 2 nanti.


Bengkel TOT ini telah diselia oleh 3 orang senior PEPIAS iaitu Sdr. Zamani, Sdr. Kamarul dan Sdr. Zul.


15 April 2009

Allah s.w.t menyebut dalam surah Al-Asr ayat 1-5 yang bermaksud:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Menurut Pak Hamka, Allah memilih ayat Al-Asr ini adalah sebagai menunjukkan bahawa waktu ini adalah penting untuk manusia dan sewajarnya digunakan sebaik-baik yang mungkin. Di dalam konteks masa ini, dapat kita perhatikan, di barat, masyarakat mereka amat menitikberatkan soal kepentingan masa sehingga diwujudkan pepatah bahawa masa itu emas walaupun pada hakikatnya ia adalah amat bernilai dan lebih bernilai dari emas dan permata. Penampilan idea Al-Imam Syahid Hassan Al-Banna pada kurun ke 20 bahawa masa adalah kehidupan telah berjaya meningkatkan perspektif manusia terhadap kepentingan masa.Nilainya adalah terlalu berharga kerana tiada apa yang dapat menandingi nilai usia yang dikurniakan Allah.


Allah swt berfirman dalam ayat ke 99 -100 surah al-Mukminun, maksudnya:

"..Apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).


Ramai dikalangan kita yang merasakan bahawa mereka telah menyusun dan merangka masa mereka dengan berkualiti dan berkesan. Siapakah mereka yang berjaya menyusun mereka dengan berkualiti dan berkesan? Apakah ciri-cirinya?


Panduannya telah disebutkan dalam surah di atas. Terdapat empat syarat untuk kita menjadi manusia yang berkualiti dari segi masanya iaitu;

(1) Syarat yang pertama mestilah beriman.
(2) Syarat yang kedua beramal.
(3) Syarat yang ketiga berpesan dengan kebenaran.
(4) Syarat yang keempat berpesan dengan sesabaran.


Ini bermakna, masa yang berkualiti itu bukan sahaja tertakluk kepada bagaimana kita mengurus dan memperuntukkan masa kita sahaja, tetapi apa yang lebi utama adalah BAGAIMANA KITA MENGISINYA? Maka, ramailah diantara kita yang telah pun kerugian menurut ayat Allah ini kecuali mereka yang mencukupi syarat-syarat tadi.


Catatan Ustaz Zahazan dalam artikelnya ada menyebut bahawa; "menurut al-Imam al-Sawiyy, menerusi syarat-syarat yang disenaraikan di atas, kita dapat melihat hubungan dengan manusia juga penting, sabagaimana hubungan dengan Allah s.w.t. Ini kerana beriman dan beramal soleh adalah perkara-perkara yang melibatkan hubungan seseorang dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, haji, istighfar, sabar menghadapi ujian, bertaubat dari dosa dan sebagainya. Berpesan dengan kebenaran dan kesabaran pula adalah merujuk pada kepada kerja-kerja dakwah dalam bentuknya yang umum. Ia turut disebut sebagai salah satu aspek "hablun minannas" iaitulah kerja-kerja yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia."


Dalam sebuah hadith yang sahih riwayat Muslim, Nabi saw mewasiatkan kita agar menjadikan nasihat menasihati sebagai amalan. Nasihat yang dimaksudkan ini melibatkan pelbagai peringkat manusia daripada golongan yang paling rendah hinggalah golongan yang paling tinggi termasuk para pemimpin. Maka, jelaslah bahawa apa yang telah dicanangkan Allah dalam surah Al-Asr ayat 4 dan 5 juga merupakan sebahagian tanggungjawab dan peranan kita dalam memanfaatkan masa.


Menurut Syikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya, Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah, seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:

1. Ikhlas kerana Allah.
2. Mempertingkatkan ilmu.
3. Jalinan dan hubungan dengan Allah.
4. Membaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi, sahabat, pejuang-pejuang Islam dan lain lain.
5. Sentiasa berdoa kepada Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat.
6. Mengamalkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya.
7. Bergabung dalam jemaah orang-orang Islam.
8. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri.
9. Mesti ada murabbi (mentor) yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah yang dapat kita mengambilnya sebagai contoh.


Dipetik dari http://zahazanmohamed.blogspot.com/


oleh:
Kamarul Azami b. Mohd Zaini
Exco Pembangunan Sosial
ABIM Selangor

http://kamarulazami.blogspot.com

14 April 2009

Kem Smart Insan SK Kebun Baru



Tanggal 11-12 April 2009, bersamaan hari Sabtu dan Ahad, bertempat di Sekolah Kebangsaan Kebun Baru, Telok Panglima Garang. Di sini, bermulanya penjelajahan Unit Syabab Nurul Iman, sayap remaja PEPIAS di daerah kuala Langat, ditemani ABIM Kuala Langat, sebagai mentor menjalankan kerja dakwah pendidikan secara berjemaah. Setelah berpenat lelah menjalani latihan PMG, PEBIS, dan LAKEP, para aktivis muda ini akhirnya berjaya menjalankan projek pertama mereka bersama masyarakat di kampung Kebun Baru ini.

Para fasilitator dan penggerak program seramai 38 orang, sebahagian dari PEPIAS Bangi(KUIS), rakan-rakan syabab SAMTAR, UIAM (PJ), Madrasah Mujahidin, dan tenaga utama dari unit Syabab Nurul Iman sendiri. ABIM Kuala Langat, melalui wakilnya, saudara Radin Muhd Imaduddin bertindak sebagai Trainer, dan secara langsung, mentor kepada penggiat remaja ini. Saudara Hafiz (KUIS) bertindak sebagai Ketua Fasilitator dan Saudara Azmir (Syabab) sebagai Pengarah Program. Saudara Zulhelmi (Presiden PEPIAS) turut sama hadir sebagai pemerhati Pusat. Seramai 244 orang peserta program, murid tahun 6 menyertai Kem Smart Insan ini, dengan pecahan 11 kumpulan lelaki dan 11 kumpulan perempuan.

Program ini menjadi suatu ujian kepada penggerak remaja Syabab dalam menguruskan program sepenuhnya; dari menulis kertas kerja, sehinggalah akhir acara perasmian penutupan daripada NYDP PIBG SKKB, Ustaz Adni. Program ini, pada awalnya berfokuskan kepada Modul Smart Solat, namun, setelah perbincangan dilakukan dan memberi pertimbangan kepada keperluan sekolah, modul diubahsuai kepada SMART insan.

Lantas, modul dirangka semula dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam menjadi anak soleh, di samping membimbing adik-adik peserta menjalani kehidupan yang kemas (smart) dalam menjuruskan aktiviti dan sasaran kepada kejayaan. SMART adalah akronim kepada:-

S-Solat
M-motivasi
A-Akhlak / Adab / Aturan
R-Rakan sebaya
T-Tekun / Bersungguh-sungguh

Secara keseluruhan, program ini dapat menonjolkan kekuatan penggerak, baik sebagai fasi, dan juga komiti, dan serba-sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa. Secara tidak langsung, unit Syabab juga telah mempromosikan diri mereka kepada masyarakat umum di sekitar mereka. Yang lebih penting, kesan menyampaikan perkara kebaikan adalah untuk membangunkan diri sendiri untuk menjadi insan yang soleh kepada Penciptanya, dan seterusnya menjadi khalifah kecil di atas muka bumi ini.

Prinsip Menyeru kepada Ma'ruf, dan mencegah kepada Munkar sentiasa menjadi alas untuk terus berkhidmat dalam masyarakat. Mana mungkin melihat kesan perubahan sikap kepada peserta dalam program yang hanya 2 Hari 1 malam menjadi kayu pengukur kejayaan program. Kita hanya merancang, dan berusaha bersungguh-sungguh, selebihnya, kita serahkan kembali kepada Allah yang Esa untuk memberi hidayah kepada hambaNya. Hanya Allah sahaja yang mampu mengubah apa yang diciptaNya.

Selanjutnya, adalah proses muhasabah dan meneruskan Islah dalam diri dan masyarakat. Unit Syabab akan terus membantu ABIM Kuala Langat, melalui PEPIAS dengan izin Allah taala.
Sama-samalah kita berdoa semoga dengan Asbab mengikuti program latihan sebegini, akan menjadikan diri lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini.


Ya, Penjelajahan kita baru sahaja bermula...

06 April 2009

No Way Out, No Turning Back (Part 2)

8. Bagi menjalankan tujuan hidup kita (purpose of life) sebagai hamba dan khalifah, kita tidak punya pilihan melainkan mesti memajukan diri. Apakah yang menjadikan seseorang itu lebih besar daripada beberapa bilion penduduk bumi? Saisnya? Tidak mungkin! Besarnya manusia adalah peribadinya. Apa yang menjadikan junjungan kita, Rasullah S.A.W dinobatkan sebagai yang pertama dalam buku "100 Most Influential Person in history". Apa yang menjadikan Gengis Khan, Napoleon Bonoparte, Mahatma Gandhi dan Hitler besar didalam sejarah? Ya. Peribadi dan perjuangan mereka. Nilai yang dibawa. Namun Islamlah yang hak untuk kita perjuangkan!

9. Jadi teman-teman sekalian kita tidak punya pilihan melainkan untuk terus berkembang maju sesuai dengan fitrah alam yang berkembang. Harus dimantapkan ukhuwah, organisasi dan persefahaman. Bagi tujuan mendapatkan halatuju yang lebih jelas, PEPIAS pusat telah menganjurkan bengkel pengurusan yang turut menjelaskan Visi Misi PEPIAS. Beberapa cawangan juga Alhamdulillah telah selesai berinduksi dan mendapatkan halatuju masing-masing yang sesuai dengan wakiiyah (keadaan) cawangan masing-masing.

10. Bagi memperkayakan lagi kemahiran sebagai khalifah dan penda'wah, PEPIAS pusat dengan kerjasama cawangan Gombak dan cawangan-cawangan lain telah menganjurkan Latihan Asas Kefasilitatoran PEPIAS (LAKEP). Malah hari ini ramai produk daripada program ini telah terjun ke lapangan praktikal disekolah-sekolah sekitar Selangor dan ramai lagi yang bakal menyusul secara tentatifnya. Beberapa Latihan Kejurulatihan (Training of Trainers) telah ditetapkan dan beberapa siri lagi bakal diatur bagi tujuan pemantapan berterusan.

11. Bagi menyahut dan merealisasikan PEPIAS sebagai gerakan yang punya impak terhadap masyarakat, PEPIAS bakal mengumpulkan "Intelectual Capital" yang akan dimanfaatkan secara optimum bagi membentuk suatu perancangan dan pelaksanaan yang terbaik. PEPIAS bakal mengumpulkan ahli-ahli berbakat yang punya potensi luar biasa bagi merealisasikan Visi PEPIAS dan meneruskan Misi da'wah warisan anbiya' di negeri Selangor ini.

12. Apa yang mesti ditambah oleh ahli jemaah sekalian ialah mencari ilmu dan menjadikannya suatu budaya (Budaya Ilmu). Khalifah tanpa ilmu akan cenderung untuk berlaku zalim dan melakukan kerosakan dimuka bumi Allah ini kerana dia tidak tahu pun apa yang dilakukan adalah salah!

13. Perkasakan dengan kebergantungan kepada Allah dengan menyuburkan amal ibadat sunat (Budaya Rohani). Inilah punca kekuatan yang ulung. Inilah sumber ketenangan. Namun ramai antara kita termasuk saya buat acuh tak acuh terhadap tawaran yang Maha Mencipta ini. Barulah aktiviti dan program kita akan menjadi terbaik (Budaya Aktivisma).

14. Ingatlah, tidak kita berbuat kerja kerana manusia. Tidak kita berbuat kerja kerana ingin memuaskan hati pihak lain dan tidak pula kerana ingin buktikan kepada orang. Buat kerja kerana Allah. Jadikan teguran dan penilaian luar itu sebagai faktor pengawal (Controlling Factor) bagi membetulkan pemanduan kita yang terkadang terbabas kerana letih, mengantuk atau tertidur. Mari bermuhasabah dan nasihat menasihati antara kita secara telus. Ayuh Maju! Moga Islam kembali tertegak paling tinggi. No Turning Back.

No Way Out, No Turning Back (Part 1)

1. Assalamualaikum ahli jemaah PEPIAS sekalian. Dengan kesedaran kita bangun dari tidur dan masih hidup dalam alam ciptaan Allah dan hidup dalam Islam, marilah sama-sama kita bermuhasabah.

2. Alhamdullillah PEPIAS cawangan Petaling Jaya baru sahaja menamatkan induksi pimpinan di Bkt. Changgang, Dengkil yang bermula Jumaat 3 April sehingga Ahad 5 April 2009. Dengan kerjasama Abg Samad (ABIM K.Langat) program berjalan dengan lebih baik. Antara aktiviti santai yang dijalankan ialah melawat Wet Land dan BBQ. Alhamdulillah moga lebih jelas matlamat yang dituju beserta kesefahaman dan ukhwah yang kian utuh.

3. Pada hari Ahad 5 April telah diadakan Usrah PEPIAS Shah Alam yang sulong bertempat di Masjid PROTON, seksyen 27 S. Alam. Usrah dibawa oleh saudara Shafizan, Pendakwa Raya JAIS yang juga mantan pimpinan PEPIAS Bangi. Usrah berkisar tentang definisi dan cara-cara berdakwah yang diharapkan dapat memperkasakan kefahaman adik-adik PEPIAS S. Alam. Usrah juga turut membincangkan masalah-masalah pengurusan dan perancangan cawangan.

4. Usia PEPIAS pusat pimpinan baru telah mencapai kira-kira empat (4) bulan. Senarionya: pimpinan yang muda, ahli yang ramai, dan potensi yang besar telah menarik perhatian pelbagai pihak dengan penuh minat. Perjalanan PEPIAS semenjak muktamar bulan disember 2008 telah diuji dengan cubaan dan asakan yang mendesak untuk dipenuhi dengan kadar segera. Pelbagai pihak memerhati perjalanan PEPIAS dengan cukup teliti, menganalisis dan menilai mengikut pandangan masing-masing. PEPIAS dinilai malah sebilangan kecil melatah menghukum.

5. Saya secara peribadi memandang senario ini sebagai daya tekanan luaran (external pushing force) yang amat membantu untuk PEPIAS memecut (accelerate). Dalam hukum fizik, F=ma (Tanya budak sains). Tiada daya (Force) akan menyebabkan tiada pecutan (accelerate). Bila tiada daya, sesuatu objek akan berjalan dengan halaju yang sama atau tidak bergerak langsung. Faham?? Maknanya, tanpa tekanan luar, PEPIAS akan terus bergerak lesu cam dulu tanpa perubahan atau tak bergerak langsung!!

6. Benar bahawa hidup ini punya pilihan. Sedari celik mata bangkit pagi, kita sudah mula memilih. Untuk bangun atau tidur, mandi atau terus baring, solat subuh atau sambung tidur, sembahyang dimasjid atau sendiri. Sampailah ke waktu tidur, tidur atau bersengkang mata, ambil wudhuk dan bersihkan diri atau terus tidur. Tetapi.. tetapi bukan semua benda. Bahkan kebanyakkan perkara bukan pilihan kita. Pilihan kita bergantung kepada izin Allah. Keinginan kita dibawah keinginan Allah. Itulah Islam-menyerah diri dan patuh pada keinginan Allah.

Bersambung..

Jumlah Pengunjung