Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Yang dihormati Saudara Pengerusi Majlis
Yang berusaha Saudara Setiausaha Agung
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk
Muktamar Agung Tahunan PEPIAS kali ke-20
Yang berbahagia Ahli Majlis Syura Tertinggi PEPIAS
Ahli jawatankuasa Muktamar Agung Tahunan PEPIAS
Saf Pimpinan PEPIAS pusat
Saf pimpinan PEPIAS cawangan
Wakil PKPIM dan BGN
Mantan-mantan Presiden
Mantan-mantan pimpinan
Para Tetamu Undangan
Muktamirin dan Muktamirat sekalian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
KEMBALI KEPADA ASAS PERJUANGAN
Dan diantara manusia ada yang berkata,
“kami beriman kepada kepada Allah dan hari akhir,”
padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
Al-Baqarah: 8
Ingatlah sesungguhnya merekalah yang berbuat kerosakan
Tetapi mereka tidak menyedari
Al-Baqarah: 12
Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan ini
Sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya.
Al-Kahfi: 104
Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, Tuhan Yang Maha Esa dan hanya Dia yang layak disembah. Sesungguhnya tiada sekutu bagi Allah, Dia tidak beranak dan tiada suatu pun yang menyerupaiNya. Kepadanya kita memuji, kepadanya kita memohon pertolongan dan kepadanya kita memohon ampun.
Selawat dan salam buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, ahlul bait, para sahabat, para tabien, para ulama, imam-imam yang benar, para syuhada’, para solihin dan mereka-mereka yang ikhlas memperjuangkan agama ini hinggalah ke hari kiamat.
Saya mewakili saf pimpinan PEPIAS mengalu-alukan kedatangan para jemputan, hadirin hadirat ke Majlis ucapan dasar bersempena Muktamar Agung Tahunan PEPIAS dan Majlis Sambutan 20 tahun PEPIAS. Bersama kita berdoa semoga majlis kita diredhoi dan diberkati olehNya. Semoga pertemuan besar keluarga kita ini dapat kita bertanya khabar, bermaaf-maafan dan merapatakn rantaian ukhwah antara kita. Mari bersama kita beristighfar.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Sesungguhnya kehadiran ke muktamar telah menjadi tanggungjawab dan disiplin wajib haraki bagi kita yang bergelar sebagai ahli jemaah. Ia suatu medan muhasabah tahunan kita yang perlu diberi perhatian dengan sungguh-sungguh demi memastikan perjalanan jemaah ini berada pada landasan yang sepatutnya. Justeru tiada harus (tiada kompromi) bagi mana-mana individu yang bergelar ahli menguzurkan diri dalam pertemuan setahun sekali ini.
Sepanjang ucapan ini, saya akan membicarakan hal-hal yang yang bersifat sejagat untuk membantu muktamirin muktamirat sekalian membentuk tasawur alam pemikiran kita bagi memahami realiti kehidupan. Adapun pelaksanaan kita akan lebih menjurus kepada hal-hal yang lebih spesifik, relevan dan asasi. Bersama kita perhati.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
1.0 MASYARAKAT KELIRU, CELARU, SESAT
1.1 Celaru
Barang kali telinga kita sudah tidak larat lagi mendengar hingar ceramah yang mencanangkan tentang masalah sosial negara. Rasanya kita sudah jeluak tatkala terpandang segala aksi terlampau dan melampau yang disensasikan di muka depan Harian Metro saban hari. Lihat sahaja youtube, maka kita dapat perhatikan dengan mudah paparan-paparan yang mampu menginsafkan.
Lihat pula gelagat sebahagian ahli politik negara di kaca tv yang terkadang agak kebadutan dan jelas merendahkan tahap intelektual mereka sendiri (dan mana-mana masyarakat yang tidak bernasib baik lantaran tertipu dan menjadi alat). Sesetengah wakil rakyat (bukan umum) bertukar menjadi wakil parti atau wakil periuk nasi sendiri yang terkadang sanggup menjual bangsa dan agama sendiri kerana ditipu oleh ilusi fatamorgana dunia.
Mereka itulah yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka perdagangan mereka itu tidak beruntung dan mereka tidak mendapat petunjuk.
Al-Baqarah: 16
Muncul pula Samiri moden yang mencipta idol-idol (berhala) rancangan realiti tv untuk disembah oleh kaumnya. Jangan kita menjadi dangkal kerana penyembahan tidak semestinya berbentuk patung fizikal. Alunan idol-idol ini lah yang kumat-kamit meniti di bibir mereka (kita) yang menggantikan zikr kepada yang Maha Esa. Alunan inilah yang mendominasi ear plug telinga kita. Namun bukan semuanya bernada sumbang.
Akhirnya apakah tindakan terbaik kita? Paling tidak pun adalah mendengus geram, memaki hamun mana-mana pihak berkaitan di kedai kopi, megeluh, putus asa sendiri lalu terus sambung tidur (atau berfacebook) lagi. Esok bangkit lagi dan mulakan rutin cari makan seperti biasa (tanpa ada sebarang rasa tanggungjawab kepada umat) sehinggalah tiba saat matinya dengan angan-angan confirm masuk syurga. Ini sudah menjadi pemahaman umum masyarakat hari ini.
Muktamirin mukatamirat sekalian.
1.2 Keliru
Bagi memudahkan penghadaman, kita rangkumkan kesemua kekusutan diatas dan beberapa masalah lagi seperti salah urus tadbir, kemusnahan sistem ekologi alam, kemelesetan ekonomi, kezaliman undang-undang dan manipulasi media sebagai satu iaitu masalah (fitnah) dunia. Adapun selain muslim yang mukhlis dan soleh, manusia terbahagi kepada dua pihak iaitu yang menipu (manipulasi dan konspirasi) dan yang tertipu (diperbodoh dan diperhamba).
(Iaitu) jalan mereka yang Engkau beri nikmat, Bukan( jalan) mereka yang kau murkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat.
Al-Fatihah: 7
Adapun penipuan (fitnah) terbesar pada akhir zaman ini adalah sistem sekular dengan pendokong seperti firman berikut:
Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.
Al-Baqarah: 42
Mereka itulah yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka perdagangan mereka itu tidak beruntung dan mereka tidak mendapat petunjuk.
Al-Baqarah: 16
Mereka ini golongan firaun, qarun, dan namrud zaman moden. Mereka mempromosikan kehidupan di dunia hanya sekali (tiada balasan dalam kehidupan selepas mati), kehidupan tiada kaitan dengan agama (bertuhankan diri sendiri) dan kehidupan berpaksikan kebendaan (kapitalis).
Dan demikianlah pada setiap negeri kami jadikan pembesar-pembesar yang jahat agar melakukan tipu daya di negeri itu. Tapi mereka hanya menipu diri sendiri tanpa menyedarinya.
Al-An’am: 123
Dan tentu mereka akan mengatakan pula hidup hanyalah didunia ini dan kita tidak akan dibangkitkan
Al-An’am: 29
Masyarakat juga dilupakan asalnya. Ia bermula dengan penipuan darwinism, menggelapkan sejarah kegemilangan negara, menghakis budaya tempatan dan menjauhkan sebarang pendidikan berkaitan agama kerana itu jawi dihapuskan. Hari ini kita lebih cekap menulis ungkapan basmallah dalam tulisan rumi berbanding jawi. Lanjutannya, ribuan generasi hari ini tidak mengenal huruf Arab apatah lagi membaca Al-Quran.
Adapun agama Kristian telah diseleweng dan agama yahudi telah disesuaikan mengikut kepentingan zionis manakala agama-agama berhala memang sudah sedia ada sesat.
Manakala ratus mungkin ribuan manuskrip kuno kita berada di negara penjajah. Kerana itu kita menjadi rendah diri kerana menganggap nenek moyang kita tidak kenal senjata api dan sekadar melawan menggunakan keris. Kerana itu juga kita dibodohkan bahawa Ferdinand Magallen sebagai manusia pertama mengelilingi dunia. (Sedangkan dia terlibat secara langsung menjatuhkan kerajaan Islam Melaka 500 tahun dulu)
Walhal di alam melayu ini hanyalah hal biasa yang sudah lama dilakukan sebelum itu lagi.
Mereka membuat kita terfikir “nak maju, kena jadi macam orang putih.” Mereka mahu kita bergantung harap kepada mereka. Masyarakat menjadi keliru setelah dipromosikan dan dipaksa untuk menerima fahaman mereka. Hari ini ia melalui pelbagai saluran terutamanya media arus perdana.
Kehidupan dunia dijadikan terasa indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman...
Al-Baqarah: 212
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Barangkali kita melihat dengan terlalu zahir dan memandang rendah walhal Al-Quran tidak akan pernah memaparkan misalan yang tidak signifikan dan relevan sepanjang zaman. Tokoh-tokoh (kesesatan signifikan) diatas bukan sekadar hadir secara zahir tetapi lengkap dengan sistem kefahamannya (isme-isme) sekali.
Katakanlah (muhammad), “jelajahilah bumi kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu.”
Al-An’am: 11
Hari ini sistem tersebut adalah sistem sekular demokrasi dan kapitalis (yang hari ini siap siaga dibela oleh orang Islam sendiri). Inilah golongan yang tertipu pada hari ini. Firman:
Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan ini sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya.
Al-Kahfi: 104
Mari kita lihat, bukankah sistem berikut sudah diterima ramai walaupun pada hakikatnya salah.
1. Riba dan rasuah menggantikan muamalat islam
2. Demokrasi menggantikan syura
3. Undang-undang sivil menggantikan undang-undang syariah
4. Zina dan coupling menggantikan perkahwinan
5. Kekasih gelap menggantikan poligami
6. Anggun dan seksi menggantikan menutup aurat
7. Yakin pada diri dan makhluk menggantikan yakin pada Allah
8. Bergantung kepada sistem dan makhluk menggantikan bergantung pada Allah swt
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Rasullullah SAW menyarankan, kita disunatkan membaca 10 ayat terawal surah Al-Kahfi. Ianya bukan kumat kamit dibaca dan dihembus pada muka dajjal kerana jika demikian fahaman kita, nescaya dengan segera kita akan menjadi pengikutnya. Intipatinya adalah supaya ummat akhir zaman sedar akan fitnah dajjal yang sedang kita alami ini. Sesungguhnya diakhir zaman, Dajjal mempromosikan hidup dusta yang berlawanan dari 10 ayat tersebut.
1.3 Sesat
Sekiranya kita tidak beriman dengan sistem Islam nescaya selainnya hanyalah sistem nafsu tanpa panduan wahyu. Jangan berkompromi dengan mana-mana fahaman kerana ia adalah rekaan makhluk. Fahaman kebendaan (kapitalis) yang kita banggakan pada hari ini hanya boleh tegak diatas satu sebab iaitu ketamakan manusia. Manakala ketamakan pasti menghasilkan kezaliman dan kezaliman akan merosakkan keseimbangan sistem dunia ini.
Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi pernah menukilkan bahawa;
Dengan sepinya suara iman, maka sepi pulalah suara moral dan nilai-nilai. Yang mengemuka kini adalah syahwat dan kekejian-kekejian. Kerana peradaban barat mendasarkan falsafah hidupnya dengan cara memisahkan antara ilmu dan akhlak, antara ekonomi dan akhlak, antara politik dan akhlak, dan antara perang dan akhlak.
Islam abad 21,
refleksi abad 20 dan agenda masa depan,
Pustaka Al-Kautsar, April 2001.
Lantaran itu, kita sedang mengalami krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat dengan fahaman songsang yang diterapkan ini. Habis pecah belah ummat, peperangan dan penindasan berleluasa, pecah amanah dimana-mana, kadar jenayah meningkat, orang miskin semakin ramai, masalah sosial kian parah, ekosistem alam kian punah. Inilah bencana yang menimpa kita kerana meninggalkan Islam. Hingga ke saat ini kita masih dicengkam hebat sistem ini. Sedarlah.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Kebanyakkan kita pada hari ini hanya berdoa kepada Allah swt ketika susah dan menyalahkan takdir andai kecundang dalam hidup. Manusia menjadikan seolah-olah Allah swt yang perlu berkhidmat untuk nya. Sungguh buruk fahaman ini. Walhal manusia sepatutnya berkhidmat untuk Allah.
Persolannya, adakah manusia yang berdoa untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya semata tetapi tidak terbabit dalam apa-apa gerakkan menegakkan Islam dalam masyarakat itu layak digelar berkhidmat utk Allah swt? Mereka berkhidmat untuk nafsu mereka. Fikir-fikirkan.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Yang terlibat dengan gerakan haraki pun tidak terlepas dari fitnah akhir zaman ini. Paling tidak pun kita tertipu dengan syaitan dan hawa nafsu. Kita (saya) leka dengan sukan dan hiburan, lalai dalam beribadah, tidak bergelut mencari ilmu akhirat, melupakan tazkiyatun nafs dan jauh dari mengingati mati. Iman kita (saya) lemah dan hati kita mati. Itulah sebabnya kita menjadi tidak serius dalam gerakkan ini dan jemaah kita terus mereput dari dalam.
Dalam dua ucapan dasar sebelum ini, saya konsisten mengingatkan tentang fitnah seterusnya iaitu bahaya perpecahan dalaman dan sebabnya dari awal lagi:
“Sungguh pelik bagaimana kita memahami erti jemaah sebagai saudara dan keluarga. Ingatkah kita akan hadith yang mafhumnya tidak halal bagi orang mukmin tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari?”
Mengisi pemuda perubah ummat,
Membangun insan diruntuhan adab, 2010
“Dua masalah yang sering membawa perpecahan yang sia-sia adalah perbalahan terhadap perkara yang belum jelas puncanya dan gagal dalam memahami aulawiyat.”
Semarak kesatuan pelajar Islam,
Membimbing dengan ilmu dan akhlak, 2009
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Asakan fitnah bertali arus telah menyebabkan kita hilang punca. Kita sudah tidak jelas dengan apa kita disibukkan dan kemana arah tujuan kita dalam huru-hara yang berkecamuk dan merimaskan ini. Keadaan ini memberi impak besar kepada kelesuan, kemunduran dan ketidak relevanan jemaah kita dalam membangunkan ummat. Ustaz Fathi Yakan telah mengingatkan kita bahawa:
“Gugur kerana sistem, prinsip gerakan dan pimpinan ini hanyalah merupakan slogan-slogan kosong dan palsu yang tidak mempunyai nilai dan kualiti. Gugur kerana ia tidak tulen dan asli. Ia tidak menggambarkan keperibadian umat Islam”
Apa ertinya saya menganut Islam; Fathi yakan
Mahu tidak mahu kita mesti melihat semula dimana tempat kita bermula. Kita perlu kembali kepada asas. Memilih jalan singkat tanpa persediaan yang kukuh dan kerja yang berat adalah satu kisah dongeng sahaja. Islam tak mampu tertegak dengan penganut yang lemah dalam agamanya sendiri. Mari kita perhati hingga ke akar umbi
2.0 PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM DALAM DIRI
Perkara paling asas untuk kita bermula kembali adalah menegakkan Islam dalam diri sendiri. Hassan Al-Hudaibi pernah menyebutkan bahawa “tegakkan negara Islam dalam dirimu sebelum kamu tegakkan Islam ditempatmu”.
Sesungguhnya Islam tak mampu tertegak dalam masyarakat yang berindividu jahil dan keliru kerana penentangnya kelak adalah ummat Islam sendiri! Membina bangunan dengan tapak yang lemah dan tiang yang reput hanya akan mampu berdiri seketika. Nampak indah diluar tetapi sebenarnya ia sedang menanti rebah.
Perkara yang sama dapat dikiaskan dalam sebuah jemaah haraki. Islam tidak tertegak sekiranya kita menggerakkan misi membentuk masyarakat tetapi diri sendiri tidak terbentuk. Simptom yang jelas dapat kita sendiri kesan ialah pengamalan kita didalam (semasa) dan diluar (selepas) program tidak sekata. Ia tegak demi program untuk masyarakat tetapi bukan untuk diri.
2.1 Mengenal Hakikat Hidup
Menilai semula hakikat hidup adalah perkara pertama perlu dilakukan bagi menegakkan Islam dalam diri. Bukalah dan berilah sedikit ruang kepada hati kecil kita untuk berfikir buat kali kedua. Setelah segala kekusutan dan gundah gulana yang kita harungi, sayugia saya menyeru kepada kita semua bagi menilai semula erti hidup ini..Apakah ertinya hidup kita saat ini? Adakah hidup kita saat ini sudah cukup bermakna? Apakah kita ini manusia berguna?
Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili pernah menukilkan bahawa;
“Sebenarnya manusia ini dalam kehidupannya di dunia ini, dilahirkan dua kali, kali pertama ialah di masa ia dilahirkan oleh ibunya, dan kali kedua ialah disaat-saat ia memilih jalan hidupnya, di detik-detik ia berada di persimpangan antara beriman dengan Allah, dan mengkufurkan Allah.”
Beliau menambah bahawa;
“Kelahiran inilah yang menetukan samada ia dilahirkan durjana dan celaka kerana memilih jalan sesat dan penuh perangkap, atau ia dilahirkan sebagai manusia bahagia dan damai, kerana ia bijak memilih melalui akal yang sihat..”
Kearah kebangkitan baru;
Dewan Pustaka Fajar, Ogos 1989
Kita harus kembali mengenali Allah swt dan siapa kita disisinya. Mulakan dengan memahami tujuan hidup dan kita akan gagah meneruskan ke langkah seterusnya.
2.2 Menambah ilmu
Seluruh generasi manusia sepakat bahawa ilmu merupakan keperluan asas hidup manusia. Perbezaanya mungkin pada apa yang mereka maksudkan tentang ilmu. Mungkin mereka mengatakan bahawa makanan adalah asas hidup tetapi hakikatnya kemahiran mencarinya juga adalah ilmu. Itulah tepatnya Allah swt mewahyukan kalimat Iqra’ sebagai ayat pertama kepada junjungan mulia Rasullullah SAW.
Saya pernah membangkitkan dalam ucapan dasar sebelum ini bahawa;
Bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan iaitu Iqra’, hendaklah jelas bahawa Islam adalah deen yang berteraskan ilmu yang bersandarkan kepada nas-nas yang sahih. Maka menuntut ilmu bukanlah satu pilihan malah sudah menjadi kemestian bagi mereka yang bergelar daie mempertingkatkan kefahaman terutamanya ilmu akidah.
Seterusnya saya membangkitkan bahawa;
Dalam kombinasi tiga serangkai, selain ilmu syariah dan akhlak, ilmu aqidah adalah ilmu asas terpenting..
Semarak kesatuan pelajar Islam,
Membimbing dengan ilmu dan akhlak, 2009
Dalam ucapan dasar yang lain, saya menyebutkan tentang fungsi ilmu sebagai pengisian intelektual manusia;
Kiranya pengisian kita adalah Al-Quran dan Sunnah, maka seperti itulah kita kan bertindak. Kiranya pengisian kita adalah sekular, maka seperti itu juga kita akan bertindak. Manakala kiranya pengisian bercelaru dan selalu sahaja error dan bug, maka tindakan kita akan sekejap mengikut Islam, sekejap tidak..
Mengisi pemuda perubah ummat,
Membangun insan diruntuhan adab, 2010
Saya menyimpulkan bahawa segala permasalahan berkenaan tindak tanduk manusia berasal daripada pengisian akalnya. Maka ilmu yang benar adalah penting untuk dicari dalam usaha untuk menegakkan Islam dalam diri.
Jadi saya berpesan pada diri kita sendiri supaya berusaha mencari ilmu. Kerana ilmu adalah cahaya menyuluh jalan hidup kita. Sekiranya banyak masa dengan lagha, maka kurang masa mencari ilmu. Sekiranya berilmu, harus pula berusaha untuk diamalkan. Pokoknya, kita bukan banyak tak tahu, tapi banyak tak mahu.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
2.3 Menguatkan amalan kerohanian.
Mitos terhebat dalam jalan perjuangan ini ialah menyangka bahawa perjuangan Islam dapat ditegakkan tanpa perlu bersusah payah menguatkan amalan kerohanian. Sedangkan beban yang digalas adalah amat berat;
Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepada mu.
Al-Muzammil: 5
Sheikh Abu Muhammad Al-Maqdisi pernah menukilkan bahawa;
“Sesungguhnya orang yang mengira akan mampu memikul dakwah yang besar ini dengan berbagai beban-bebannya yang berat tanpa ikhlas beribadat kepada Allah dengan berlama-lama dalam berzikir dan bertasbih, sungguh mereka benar-benar keliru dan tertipu.”
Millah Ibrahim
Seruan Dakwah Para Nabi & Rasul
Kafayeh Cipta Media, Jun 2009.
Ustaz Fathi Yakan pula ada menyebutkan bahawa:
“Tetapi dalam menghadapi cabaran dan ranjau-ranjau ini mereka perlu kepada suatu bekalan yang amat penting yang akan menentukan sejauh mana keteguhan pendirian mereka dalam meneruskan perjuangan. Bekalan penting tersebut ialah pertolongan dan bimbingan dari Allah swt. ”
“Kesungguhan bermuraqabah dengan Allah boleh menyelamatkan pendakwah dari tergelincir dan menyeleweng.”
Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah,
Dewan Pustaka Fajar, 2007.
Hal ini lebih-lebih lagi untuk pimpinan. Saya pernah menyebutkan dalam ucapan dasar yang lalu:
Ini merupakan aspek barokah yang sering kita lupakan. Ia bukan sampingan tetapi ia adalah yang terutama bagi seorang pimpinan. Mana mungkin seorang yang tidak mampu memimpin dirinya untuk mendekati Allah mampu mengajak rakyatnya untuk mendekati Allah.
Mengisi pemuda perubah ummat,
Membangun insan diruntuhan adab, 2010
Untuk itu, segala usaha seperti pengamalan zikir dan amalan sunat haruslah diteruskan dan disuburkan. Hanya dengan cara ini kita dapat menghindari sifat mazmumah seperti ujub dan hasad.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
3.0 PERJUANGAN MENEGAKKAN JEMAAH ISLAMIAH
Daulah dan khilafah Islamiah telah jatuh pada 3 Mac 1924. Berkenaan ini, Ustaz Mustafa Mahsyur pernah menukilkan bahawa:
Islam tidak sanggup melihat umatnya yang lemah itu tunduk kepada musuh-musuh Islam. Oleh itu Islam mewajibkan untuk bangkit dari kejatuhan mereka untuk berusaha, beramal, berkorban dengan segala apa yang ada pada mereka.
Oleh kerana merealisasikan tujuan yang besar ini merupakan satu kewajipan, yang diwajibkan oleh Islam keatas umat Islam dan tujuan ini hanya dapat dilaksanakan dengan adanya jamaah dan amal jama’i maka amal jama’i itu menjadi wajib
Jalan Dakwah
Antara Qiyadah dan Jundiyah
Pustaka Ikhwan, Cetakan kedua, 1988
Setelah melihat peri pentingnya jamaah dan amal jama’i, maka kita nilai semula akan matlamat dan cara yang perlu kita perhalusi. Ini kerana kita mendapati bahawa kualiti kita tidak pada tahap yang diharapkan malah merosot. Kita bersama merasakan dan mendapati beberapa perkara tidak sehaluan dengan aspirasi kita sebagai ahli jemaah.
3.1 Pembangunan Tarbiah Haraki.
Dalam tahun pertama bersama kepimpinan muda ini, saya merasakan pemahaman sistem haraki dikalangan ahli adalah rendah dan kabur. Hal ini adalah penting untuk diteliti kerana ia benar-benar memberi kesan terhadap kepimpinan jemaah apatah lagi dengan jurang umur yang tidak jauh berbeza diantara ahli dan pimpinan muda. Sedangkan kita punya sistem. Ungkapan yang perlu diperhati ialah kerja sukarela bukan bermakna boleh kerja sesuka hati.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Sebenarnya umur tidak menjadi ukuran kerana yang utama adalah taqwa dan kelayakan. Malangnya kebanyakkan ahli tidak memahami prinsip ini yang ada terkandung didalam sistem qiyadah dan jundiyah. Sebahagiannya masih tidak mampu menyusun aulawiyat dengan baik dalam hal-hal yang melibatkan jemaah.
Sesungguhnya aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia melihat perselisihan yang banyak...
Riwayat Abu Daud dan Tirmizi
Namun ia juga tidak bererti taat membuta tuli.
Sesuatu jemaah tidak mempunyai nilai jika tidak ditaati oleh angkatan tenteranya dalam perkara makruf tetapi bukan dalam perkara mungkar dan maksiat.
Ia juga bukan bererti tidak boleh ditegur untuk penambahbaikkan.
Untuk menghapuskan perselisihan didalam satu urusan, para anggota jemaah mesti menurut arahan pimpinannya, menyokongnya dan meluruskan perjalanannya dengan cara memberi nasihat dan bermesyuarat dengan pimpinannya.
Jalan Dakwah
antara Qiyadah dan Jundiyah,
Mustafa Masyhur. 1988
Itu baru soal qiayadah dan jundiyah. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Untuk itu bagi tempoh mendatang, kesemua pimpinan pusat dan cawangan mesti mempunyai slot usrah berkenaan pengajian tanzim haraki bersilibus dengan menggunakan buku-buku haraki yang bakal ditentukan nanti. Tiada kompromi lagi dalam hal ini.
3.2 Pembangunan kaderisasi
Saya pernah menyebutkan dalam ucapan dasar tahun 2010 bahawa walaupun dengan fitnah sebegitu hebat melanda umat, kita tidak menafikan terdapat gelombang kedua kebangkitan Islam selepas kejatuhan khilafah pada 1924 pada hari ini. Kita haruslah memikirkan cara bagaimana untuk mengambil peluang dari senario kebangkitan ini. Ini agar potensi muda dapat digembeleng dan dimobilisasikan bagi menentang episod sedih kita.
Saya juga menyebutkan dalam ucapan dasar tahun 2009 bahawa dalam konteks pelajar Islam di negeri Selangor, adalah penting untuk kita menjalin sebesar-besar jaringan dan kerjasama yang ada. Ini supaya potensi besar yang tidur ini dapat dimobilisasi menjadi daya raksaksa yang dapat menggerakkan usaha dakwah di negeri ini secara menyeluruh dan lebih berkesan. Dua penyataan diatas menggambarkan akan peri pentingnya kita menyuburkan kaderisasi di segenap bumi Selangor ini.
Disini saya akan membangkitkan semula misi generasi celik akidah Selangor yang dicanangkan dalam ucapan dasar tahun 2009. Ia adalah misi menjadikan sekolah sebagai pusat celik akidah. Saya telah menyenaraikan lima langkah yang perlu digerakkan iaitu
- Menyediakan Pengisian
- Menyiapkan mubaligh
- Melatih agen dakwah di sekolah
- Melatih agen dakwah didalam masyarakat
- Menyediakan pelapis
Dalam perkara tiga, saya menyatakan bahawa bagi kesan yang berpanjangan, agen-agen dakwah haruslah dilantik di sekolah-sekolah di seluruh Selangor. Manakala dalam perkara lima saya menyatakan bahawa Pelapis harus dijana dengan memperkasa cawangan sediada dan membina jaringan baru dengan mengutamakan IPT yang bersifat kenegerian seperti KUIS dan UNISEL. Kita turut mensasarkan untuk menambah keahlian di kalangan IPTS dan pusat kemahiran belia.
Sehingga tahun ketiga ini kita masih belum mampu menggerakkan secara signifikan cawangan Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor yang mana padanya terdapat pelbagai IPT yang dapat dimanfaatkan. Sekiranya berjalan dengan baik, ia juga dapat membantu cawangan sediada seperti cawangan Kuala Langat dengan lebih efektif. Dalam masa yang sama program kaderisasi KKPI-PMG-PEBIS mesti diteruskan dan dimantapkan.
3.3 Pemantapan sistem latihan
Dalam perkara satu, saya menyatakan bahawa sekumpulan jurulatih haruslah dibentuk menjadi kumpulan pemikir yang berfungsi untuk mengkaji, menyusun dan menyediakan selibus dan modul-modul yang lebih efektif yang berteraskan pendidikan tauhidik. Manakala dalam perkara dua saya ada menyatakan bahawa usaha melahirkan fasilitator dan naqib harus dimantapkan lagi dengan meningkatkan kualiti kokurikulum sediada.
Untuk itu mari kita bermuhasabah mengenai sistem latihan sepanjang tahun 2011 ini.
Usrah dan Tamrin
Sukacita diingatkan bahawa terdapat lima tanggungjawab kita sebagai ahli jemaah yang mesti kita hadiri tanpa alasan iaitu Usrah, Tamrin, Rehlah, Mukhayyam dan Muktamar. Tanpanya kita tidak ada kelayakan untuk digelar sebagai ahli jemaah.
Awal tahun 2011, tiga tamrin telah diadakan iaitu KELAPE (Kem Latihan Asas Pepias), Tamrin Nisa’ dan satu tamrin cawangan. Beberapa percubaan baru dari segi pelaksanaan menunjukkan hasil yang baik walaupun ruang penambahbaikkan masih ada. Kesemua tamrin diadakan di Masjid dan hubungan dengan institusi strategik ini terjalin secara tidak langsung.
Sememangnya bilangan ini menunjukkan pertambahan berbanding sesi pimpinan yang lepas namun kerancakan ini tidak berterusan dan tiada lagi tamrin susulan diadakan. Ini tidak dapat menampung pembinaan fikrah bagi ahli baru dan tidak dapat memantapkan lagi fikrah ahli sediada.
Antara kesan serta merta adalah kegagalan ahli memahami maksud wala’ dan tanzim haraki yang dapat dilihat dalam keputusan dan tindakan yang diambil. Alasan sentiasa mengatasi komitmen untuk beriltizam dan tiada wala’ kepada pimpinan yang hampir sebaya walaupun dari pimpinan kanan.
Adapun komitmen tidak mengenal hujan panas oleh beberapa cawangan dalam mengadakan usrah secara konsisten patut diberi pujian. Penghargaan juga patut diberi kepada pimpinan-pimpinan pusat yang tidak jemu-jemu turun membimbing usrah-usrah tersebut tanpa mengenal erti penat lelah.
Kita menginsafi bahawa pelaksanaan usrah semasa masih tidak bermatlamat jelas dengan tajuk-tajuk usrah on the spot. Kita juga menyedari mutakhir ini akan peri pentingnya kesemua pimpinan disetiap peringkat dimestikan menjalani usrah-usrah menggunakan buku-buku yang mengenengahkan cabaran dan lumrah sebagai pendukung haraki.
Usrah dan tamrin berteraskan silibus atau buku rujukan adalah sangat penting. Ini supaya tarbiah yang diadakan lebih terarah kepada pembentukan kualiti ahli seperti yang dirancang. Usrah dan tamrin yang tidak punya silibus umpama teratai, pucuk tidak mencapai awan, akar tidak mencecah tanah. Tidak keatas dan kebawah, sekadar hanyut.
Mukatamirin muktamirat sekalian.
Latihan Kefasilitatoran
Setakat ini hanya satu TOT (Training of trainers) telah diadakan. Satu pertemuan semula menilai para calon jurulatih masih belum terlaksana setakat ini. Beberapa program yang telah dilaksanakan oleh para calon jurulatih masih belum dinilai kualitinya dan disiplin menyediakan laporan program masih rendah.
Setakat ini satu LAKEP (Latihan Asas Kefasilitatoran dan Pengurusan Program) telah diadakan. Sistem tindakan susulan seperti PTMS (Pelan tindakan mendekati sekolah) secara dasarnya telah dan masih berjalan. Manakala KPI pelan kaderisasi untuk mencapai 40 buah program sekolah boleh dikatakan telah berjaya dicapai. Sekalung tahniah wajar diberikan.
Menilai semula sebelah-menyebelah antara bilangan program sekolah dan kualiti kefasilitatoran ahli, beberapa dapatan harus diberi perhatian. Sebagai contoh, terdapat cawangan yang telah menjalankan beberapa siri program sekolah, namun ahli yang pernah turut serta dari cawangannya hanyalah sebanyak dua orang. Itu belum lagi dinilai dari kemahirannya. Akhirnya pembangunan latihan ahli cawangan tersebut terbantut.
Seharusnya dengan program sebanyak itu, ahli cawangan tersebut sudah dapat membina sekelompok ahli yang mengetahui dengan baik matlamat dan flow program dan maklum dengan etika kefasilitatoran. Kita menginsafi penyusunan semula adalah perlu bagi memastikan manfaat pembangunan ahli dapat memperkasakan pergerakkan cawangan.
Latihan Pengurusan
Setakat ini pusat masih belum berjaya menganjurkan sebarang latihan pengurusan secara khusus. Tahap kemahiran penulisan teknikal seperti penyediaan laporan, minit mesyuarat, surat menyurat dan kertas kerja dikalangan ahli masih pada tahap yang boleh dipertikaikan. Pengurusan sekreteriat adalah memuaskan namun masih punya penambahbaikkan perlu dilakukan.
3.4 Memperkasa helwani
Kita mengakui bahawa golongan wanita yang bersama PEPIAS merupakan kelompok yang komited. Kekuatan azam dan ketekunan yang dipamerkan menjadikan HELWANI PEPIAS sebagai kelompok yang berwibawa dan mampu mandiri. Usaha seperti GIGA, Tamrin Nisa’, dan program lapangan bersama HEWI, HELWA dan DARWA mesti diteruskan.
Sesungguhnya program-program tersebut penting sebagai pendinding ampuh dalam memahami dan mendepani cabaran sebagai daie wanita dalam zaman yang penuh fitnah ini.
Sukalah disini saya menegur para pemuda-pemuda kita bahawa wanita itu perlukan pembelaan, bukan diambil kesempatan. Mereka perlukan pemuda yang memahami akan kemaslahatan mereka sebagai wanita.
Dan oran-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikkan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.
At-Taubah: 71
Ringkasnya andai berkenan, berkahwinlah. Gunakan caradan saluran yang sesuai. Andai tak mampu, puasa sahaja. Jangan syirikkan niat anda dalam berdakwah dan menghalalkan perkara-perkara bertentangan syara’ demi menurut nafsu diri. Itu hanya menjadikan kita sebagai mangsa penipuan syaitan. Jadilah lelaki bermaruah!
4.0 PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM DALAM MASYARAKAT
Saya menyeru diri dan seluruh ahli jemaah sekalian untuk memikirkan kali kedua secara serius tentang tanggungjawab kita terhadap masyarakat. Gerakkan mendatang ini saya menyasarkan tiga perkara besar untuk kita gerakkan.
4.1 Pendidikan kepada pemuda Islam
Saya petik dari tulisan Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Peranan pemuda dalam menyampaikan risalah Islam. Beliau menyatakan bahawa:
“Nabi Muhammad Saw sendiri berusaha dengan sedaya upaya dalam menyediakan pemuda-pemuda sehingga mereka benar-benar berkemahiran untuk menyampaikan dakwah Islamiah dalam cekap dan amanah dalam setiap sektor. Beberapa langkah dan usaha telah dibuat oleh Rasullullah Saw sendiri dalam mengkadirkan golongan pemuda-pemuda Islam.”
Saya ringkaskan usaha tersebut disini iaitu:
- Melatih golongan pemuda supaya mengingati Allah dan takut padaNya.
- Mendidik golongan muda supaya beriltizam dalam mentaati Allah dan beribadat padaNya dengan ikhlas.
- Menyeru pemuda-pemudi untuk merebut peluang di masa remaja mereka untuk melatih keperibadian diri.
- Mengingatkan kepada pemuda bahawa setiap pekerjaan mereka akan dihisab di akhirat kelak.
- Menjaga sebarang penyelewengan moral dan kerohanian dikalangan pemuda-pemuda dengan mendirikan rumah tangga.
Maka disini saya menganjurkan kita untuk kembali kepada asas. Kita mulakan mendidik adik-adik kita dengan perkara-perkara yang cukup fundamental seperti mengajarkan tentang rukun Islam dan rukun Iman, asas-asas fardhu ain terutama solat dan mengadakan kelas pengajian Al-Quran. Saya percaya kita sudah tidak terkejut lagi hari ini seandainya ramai dikalangan remaja-remaja Islam tidak mengetahui hal-hal yang sedasar ini apatah lagi mengamalkannya.
Usaha ini harus kita gerakkan di sekolah-sekolah sejajar dengan misi menjadikan sekolah sebagai pusat celik akidah. Masih belum perlu lagi kepada hal-hal yang selain ini. Saya juga berpesan supaya jangan sekali-kali menghentikan usaha mengadakan kelas pengajian Al-Quran. Usaha-usaha di Masjid Zakaria, Masjid sungai Chinchin dan terbaru di PULPA sendiri jangan dipandang sepi dan dibiarkan mati. Ia adalah asas menyelamatkan ummat.
Walau sehebat mana pun profesion dan latar belakang pendidikan kita, Nabi mengingatkan bahawa profesion dan pendidikan terbaik disisi agama adalah seperti berikut:
“Yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”
Riwayat At-Tirmizi
Syarah dalam kitab Bahrul Mazi
4.2 Pembangunan sosial
Komitmen jangka masa panjang akan diteruskan dengan pihak Masjid, sekolah, komuniti kampung dan pihak yang berkaitan yang bersifat setempat. Mengambil Gombak sebagai contoh, program adalah seperti program sekolah Gombak Setia, usrah kepada pimpinan sekolah SBPI gombak, kelas mengajar Al-Quran di masjid sekitar gombak (terbaru PULPA) dan program bersama penduduk kampung Changkat dalam IHRAM 2009 dan 2011.
IHRAM tahun ini lebih sederhana namun sangat bermakna berbanding program sebelumnya. Ia adalah langkah sarjana untuk PEPIAS mengiklankan jemaah ini kepada masyarakat di sekeliling PULPA. Agama mengajarkan supaya mengutamakan memberi khidmat kepada golongan terdekat. Ia sejajar dengan usaha menjadikan PULPA sebagai pusat komuniti muslim setempat. Insyaallah dalam perkembangan terbaru, kita harap ramai lagi yang akan menghantar anak mereka untuk mengaji Al-Quran di PULPA.
Sebagai mengulangi ucapan dasar 2010, cawangan-cawangan sangat digalakkan untuk menjalankan aktiviti latihan di PULPA pada setiap hujung minggu. Kita juga menawarkan pelbagai kursus kepada pelajar sekolah dalam kelompok kecil disini. Kursus tersebut termasuklah kursus pengurusan, komunikasi, induksi, retreat dan sebagainya. Tenaga pengajar boleh dilantik dari mantan-mantan berpengalaman atau kita boleh memulakan membina modul kita tersendiri mulai sekarang.
Satu kertas kerja cadangan telah disiapkan bagi tujuan menghidupkan PULPA ini. Kita berharap dengan cadangan-cadangan penambahbaikkan dan menaiktaraf tanah wakaf ini, kita mampu merealisasikan sebuah pusat latihan yang mandiri sekaligus mampu menjana pendapatan sendiri. Antara cadangan awal adalah supaya diadakan dewan terbuka dan gelanggang futsal. Sekiranya mampu, kita juga bercadang untuk menjadikan sebahagian daripada tanah wakaf ini sebagai rumah jemaah besar kita PKPIM-PEPIAS.
Selainnya kita harus meneruskan jaringan kita bersama NGO-NGO lain dengan projek-projek kerjasama yang bermakna seperti program sekreteriat menangani gejala sosial JAIS yang diadakan di Kampung Medan pada tahun ini dan program turun ke lapangan sempena sambutan tahun baru. Antara program yang perlu dihidupkan semula adalah program ziarah warga juvana di penjara kajang, program bersama orang Asli hulu Selangor, program bersama rumah kebajikan seperti DARWA dan rumah anak yatim dan sebagainya.
Satu projek baru yang ingin digerakkan pada tahun mendatang ialah projek ziarah dan belajar tentang sistem pendidikan sekolah agama swasta dan sekolah agama rakyat di negeri Selangor yang berjaya. Kita patut berkongsi resepi kejayaan mereka bagi membantu memantapkan halatuju kita bagi masa-masa mendatang. Ini kerana pendidikan alternatif pada hari ini patut dipelajari setelah kita melihat sistem pendidikan arus perdana gagal dalam melahirkan insan yang kuat kefahaman dan pegangan agamanya secara menyeluruh. Ia juga sebagai persediaan kita dan ABIM Selangor dalam penubuhan kompleks kita bersama di Sejangkang kelak.
4.3 Dakwah kepada Non-Muslim
Sebenarnya ini bukan medan baru, tetapi medan yang telah lama dilupakan. Sekiranya anda perasan, masalah perkauman dan keagamaan sebenarnya adalah isu yang mudah diapi-apikan oleh golongan-golongan yang berkepentingan politik. Ini dipanggil dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah dan ia terbukti berkesan sehingga ke hari ini!
Ungkapan sensitiviti agama telah disalah tafsir sehingga kita tidak pernah menerangkan Islam yang benar kepada mereka yang bukan Islam. Percayalah, kebanyakkan pihak yang fobia terhadap Islam hanyalah salah faham. Walaupun mereka tidak menganut Islam, setidak-tidaknya mereka patut faham tentang Islam yang benar.
Lihat sahaja sistem kewangan Islam pada hari ini, sudah ramai non-muslim yang mula mempercayainya. Medan terbaru adalah sistem perundangan Islam. Sekiranya non-muslim menyedari tentang betapa cacatnya undang-undang sivil berbanding undang-undang syariah, nescaya kita lihat ramai yang akan menyokongnya.
Sebagai analogi mudah, peragut pada hari ini sudah luar biasa biadab. Bukan sekadar penjara, secara logik pun kita akan menyokong supaya tangan pencuri ini dipotong dikhalayak ramai. Jangan terkejut sekiranya kita mendapati ramai non-muslim (yang mencintai kebenaran) bersetuju dengan perkara ini.
Ramai non-muslim pada hari ini tidak benar-benar berpegang kepada agama mereka malahan sekadar ikutan. Ramai juga yang sebenarnya tidak benar-benar percaya kepada agama mereka sendiri. Sebilangannya yang benar-benar ikhlas masih tercari-cari kebenaran. Kita tidak perlu membuat provokasi terhadap agama mereka. Cukup sekadar kita berkongsi dan mempromosikan kebenaran dan keindahan tentang Islam.
Natijah yang diharapkan adalah kebanyakkan warga Malaysia yang bukan berbangsa melayu akan kembali kepada Islam. Jadilah mereka saudara kita. Ini mungkin idealistik tetapi tidak mustahil. Saya lihat tempat yang berpotensi adalah IPTS yang terkandung didalamnya pelajar berbilang bangsa dan agama. Mungkin kita boleh membuat pengubahsuaian terhadap Islamic Festival (Isfest) yang pernah kita anjurkan sebelum ini supaya benar-benar bermakna.
5.0
Akhirannya segala usaha harus dinilai semula dari pelbagai aspek. Ini penting supaya usaha penambahbaikkan sentiasa berjalan agar misi ini terus relevan. Sesungguhnya segala usaha kita bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengan Allah SWT sedangkan kekuatan yang terbaik adalah kekuatan iman.
Sebenarnya cabaran adalah kurniaan Allah SWT. Dia yang membentangkan jalan yang cukup luas untuk kita bermujahadah supaya dapat kita kutip ganjarannya buat bekal dihari kemudian.
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikkan dirinya sendiri; Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk
Al-Ankabut: 6
Wahai sahabatku,
Rebutlah peluang di masa remaja untuk melatih rohani jasmani akhlak dan moral. Jangan bertangguh berbuat kebajikan. Kerana masa adalah kehidupan. Kerana penyakit tua akan memamah segala kudrat upaya kita untuk beramal. Sedangkan semakin hari kita tidak akan bertambah muda dan kematian adalah penghujung yang nyata. Rasullullah SAW berpesan:
Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya lima; Sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.
Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi
Wahai sahabatku,
Tinggalkanlah hidup rutin yang bosan, gantikan hidupmu dengan yang lebih bermakna. Tinggalkanlah hidup orang kebiasaan, jadilah kamu manusia yang luar biasa. Jangan takut berbuat silap kerana belum tersentuh cerek panas, takkan terasa sakitnya. Orang yang teguh berdiri hari ini adalah orang telah terjatuh banyak kali sebelumnya.
Wahai sahabatku,
Hakikatnya usia muda penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang bergemuruh serta idelime yang luas. Kerana itu biarkan kita bercita-cita kerana pemuda belum ada pengalamannya. Namun kemenangan Islam bukanlah angan-angan. Hassan Al Banna pernah mewasiatkan bahawa;
“biarlah orang-orang yang berfikiran dangkal dan bacul mengatakan kita hanyalah berkhayal dan berenang di lautan angan-angan kosong. Itulah kelemahan mereka kerana kedangkalan dan kebaculan tidak pernah dikenali oleh Islam”
Wahai sahbatku,
Ikhlaskanlah diri. Perbaharu niat, tanamkan tekad. Tinggikan cita-cita, kobarkan semangat. Susun perancangan, padukan usaha. Walau jalan penuh liku, walau lorong penuh duri, walau diri rasa terhimpit, namun langkah ini akan digagahi jua.
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung
Ali-Imran: 200
Hai nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang, Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang kafir itu tidak mengerti
Al-Anfal: 65
Ayuh sahabat sekalian, Bangkitlah. Jalan ini kemenangannya sudah pasti. Adakah mahu kita bertangguh lagi? Sedangkan mujahid, syurgalah yang menanti. Kembalilah kita kepada asas perjuangan, moga Islam tinggi lagi.
Ya Allah masukkanlah kami dikalangan mereka yang diberi petunjuk, ampunilah kami, terimalah amal kami.
Selamat Bermukatamar.
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar
Walillahilhamd
Assalamualaikum Wbt.
2 comments:
Terbaik! Maaflah tak sempat dengar tetapi ia amat menyedarkan dan menyegarkan..! mudah-mudahan usaha menegakkan agama dalam diri itu menjadi keutamaan kita semua kerana ia adalah asas utama dalam melayari kehidupan dunia...
Impikan syurga? Jika syurga itu tempat pilihan kita, maka hidupkanlah watak ahli syurga di atas muka dunia...
Allahu Akbar...
Tahniah!
terbaik....!!
takbir..ALLAHUAKHBAR..!
Post a Comment