12 June 2012

Isu PTPTN, UNISEL dan KUIS

Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semakin hari semakin panas. Terkini peristiwa Pihak PTPTN atas arahan Menteri Pengajian Tinggi untuk membekukan elaun pelajar Universiti Selangor (UNISEL) atas alasan supaya kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan pengajian secara percuma. Bukan setakat UNISEL sahaja, tetapi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) juga terkena tempiasnya. Tetapi, isu ini seperti sudah selesai apabila pihak PTPTN telah menarik semula pembekuan elaun pelajar.

Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS), dapat merasakan kesan yang sangat negatif ekoran daripada peristiwa ini. Kesan pembekuan ini menyebabkan ada pelajar yang mula bercadang untuk berpindah tempat belajar ekoran tidak mampu untuk menanggung yuran pengajian serta sara hidup ketika sepanjang tempoh pelajaran. Selain itu, pelajaran mereka akan turut terganggu. Lebih-lebih lagi mereka bakal menghadapi peperiksaan. Isu ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada pelajar, tetapi keluarga pelajar itu sendiri terutama mereka yang tidak mempunyai sosio ekonomi yang baik.


Selain itu, nama kedua-dua IPTS ini seakan-akan tercalar kerana pinjaman untuk pengajian dilihat seolah-olah boleh bermain tarik tali; beku dan tarik balik bekuan akaun. Dapat dilihat isu politik ini sudah berada di tahap yang parah kerana mula membabitkan mereka yang tiada kena-mengena dalam isu politik. Isu pengajian sepatutnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, dan jika ingin dilepaskan kepada Kerajaan Negeri, perbincangan, penelitian dan kerjasama antara kedua-dua pihak sangat diperlukan barulah ia boleh diketengahkan oleh pihak yang ingin menerima tanggungjawab ini.

Pihak PEPIAS sangat menyokong untuk pelajar dari kedua-dua IPTS ini untuk diberikan elaun sekaligus mereka ini dibantu untuk meneruskan pengajian mereka. Pihak PEPIAS juga sudi bekerjasama dengan pihak yang ingin memperjuangkan untuk menjaga kebajikan pelajar di IPT.

Sehubungan dengan itu, isu seperti ini tidak akan timbul lagi dengan secara tiba-tiba dan tiada rasional yang sangat jelas. Jika pengajian di Malaysia ini dipolitikkan, ia seolah-olah memperjudikan masa depan generasi muda dan bakal pemimpin negara. Isu seperti ini seharusnya dapat dibincang dahulu supaya kematangan para pemimpin dapat dicontohi oleh genarasi muda.


Semoga peristiwa seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan dan kebajikan mahasiswa mahasiswi dapat dijaga terutama mereka yang meminjam PTPTN. Ini kerana PTPTN setakat ini bertanggungjawab untuk memberikan kemudahan pinjaman kepada pelajar untuk sedikit sebanyak mengurangkan beban pelajar terutama yang belajar di IPTS. Marilah kita mendoakan kesejahteraan semua pihak supaya Negara Malaysia ini makmur dan sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.


P/s : Syukur isu ini sudah selesai dan mungkin ada yang mengatakan sudah sejuk. Tapi, apa yang kita mampu belajar dari peristiwa ini?

     ·       Jangan terlalu bergantung harap kepada manusia, bergantunglah sepenuhnya kepada yang Maha Esa. Ekonomi Islam perlu dibangkitkan demi menjana system ekonomi negara yang baik dan diberkati oleh Allah SWT dari setiap sudut.

     ·       Persefahaman sangat penting dan juga kerjasama. Menurut satu kajian yang dibuat di sebuah negara, penjual kereta yang berjasama antara satu sama lain lebih banyak menjual kereta berbanding penjual yang bersaing yakni seorang diri.

    ·      Gajah sama gajah gaduh, pelanduk mati ditengah-tengah. Orang besar bergaduh, orang kecil yang menerima kesannya.  
             
      ·       Muhasabah diri.

Harap semua ahli PEPIAS bijak dalam merasionalkan peristiwa ini dan mengambil intipati yang boleh dipelajari sebagai contoh untuk setiap tindakan kita pada masa hadapan. Hidup di dunia hanya sementara.

Walluhalam.

Edi Rozaidi.
Setiausaha Agung .
Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS)

No comments:

Jumlah Pengunjung