18 October 2009

Pemimpin munafik, pengikut fasik

Apa lagi yang diharap dari pemimpin yang berpura-pura? Tidak pernah bermujahadah memperbaiki diri dan menjadi contoh kepada pengikut. Lebih mementingkan air muka dan reputasi berbanding memimpin pengikut supaya beragama. Zahirnya nampak baik, komited dan hebat. Dia melazimi usrah dan selalu memberikan pendapat dalam perbincangan. Tidak pernah terlepas melibatkan diri dalam semua aktiviti. Ini seperti firman Allah:

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih)...." Al-Munafikun:4

Malangnya kita sendiri terlalu pantas mulutnya berbanding perbuatan dan lebih malang lagi kita tidak bersungguh-sungguh mengislahkan diri. Kelak Allah akan menyoal kita seperti firmannya:

"Wahai orang beriman, kenapa tidak kamu perbuat apa yang kamu katakan? Sungguh besar kemurkaan Allah kepada mereka yang berkata tetapi tidak beramal dengannya." As-Shaff: 2

Kita merasakan amaran Allah didalam Al-Quran hanyalah terkena pada orang lain dan bukan diri kita. Beria-ia merancang program untuk masyarakat, tetapi diri sendiri bagaimana? Segala salah orang kita perhati tetapi salah sendiri tidak pernah disedari. Jadilah seperti pepatah dahulu:

"kuman seberang laut kita nampak, Gajah depan mata kita tak perasan"

Memilih pemimpin mesti yang amanah. Bukan yang bersikap talam 2 muka, dihadapan orang kelihatan taat, bila bersendiri membelakangkan Allah dengan biadap.

"(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah)." Al-Munafikun: 3

Amanah pemimpin ialah menjadi Uswah kepada pengikutnya. Kajian menunjukkan, hanya 20% nasihat yang dituturkan oleh pemimpin memberi kesan kepada kepada pengikutnya. Baki 80% lagi adalah melalui perbuatan pemimpin tersebut.

Rasullullah sebagai ketua umat Islam merupakan contoh kepada umatnya. Kerana itu terbentuk generasi sahabat yang paling hebat pada zaman baginda.

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu adalah teladan yang baik bagimu, (yakni) bagi orang yang mengharap (Rahmat) Allah dan (keselamatan) di hari akhirat dan yang banyak mengingati Allah.” Al-Ahzab: 21

Kalau kita benar-benar ingin melihat Islam tinggi, tidak ada pilihan, kita mesti berubah. Jika pemimpin tidak boleh menjadi contoh, pengikut akan hanyut dan merasakan perbuatan pemimpin yang serba lalai itu sebagai tidak salah. Berterusanlah mereka menjadi orang yang fasik (berterusan berbuat dosa) kerana beramal mengikut penilaian mereka terhadap pemimpin.

Untuk senior dan pimpinan, jadilah contoh. Saya lalai dan pasrah dgn kefasikan diri. Mohon jangan berlakon lagi. Pilihlah pemimpin yang takutkan Allah.

1 comment:

tokz said...

artikel yang baik, tahniah... sama2lah kita memuhasabah diri... x perlu tuding jari kpd org lain...

Jumlah Pengunjung