Tiba-tiba sahaja diri ini terdetik untuk menulis sesuatu pada tengah malam
ini untuk berkongsi sedikit dengan semua kawan-kawan. Perkongsian beberapa perkara
yang sering kali terlalu di kepala , bila dibiar selalunya hilang begitu
sahaja. Lebih baik dikongsi sebelum ianya lemau. Bismillahirrahmanirrahim..
Satu kisah hidup yang tidak akan dilupa, waktu Ihya Ramadan PEPIAS tahun
ini. Kak Fadhlina membawa kami ke rumah nenek yang menjaga lima cucu. Selepas
beberapa minit nenek mengadu segala permasalahannya, sungguh sebak melihat
apabila Kak Fadhlina hendak mengundur diri selepas menghulur sedikit sumbangan,
terus tertitis air mata nenek itu. Kak Fadhlina menggosok tangannya sambil
sebut “ Jangan nangis, nanti kita pon nangis”, sedang dia juga menahan kuat
dirinya supaya tidak menangis.
Masuk sahaja dalam kereta, Kak Fadhlina dapat panggilan dari Bayt Ar-rahmah
pula, untuk menyambut kelahiran bayi dan perlu bergegeas ke sana. Kemudian
terngianglah hingga kini pernyataan yang disebut olehnya ketika itu, ” Akak ni
tamak kan? Semua orang akak nak tolong. Tamak kan akak ni?”. Riaksi saya, “Ya,
betul, akak tamak! Kerana akak sudah merasa satu bentuk ketenangan dan
kebahagiaan luar biasa di sudut dalam hati! Ia menyebabkan kita rasa puas dan
seronoknya membantu orang seikhlas mungkin.”
Semua manusia akan mencari kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup dia sejak
kecil lagi higga ke akhir hayat walaubagaimana pon caranya. Adik-adik kecil
bermain ‘Beyblade’ depan rumah saya, untuk mencari kebahagiaan.
Kenalan-kenalan yang tidak berhenti-henti main game kerana hendak
seronok, bahagia dan tenang, tidak mahu bosan. Ada juga yang suka bersosial,
tengok wayang, melayari internet dan pelbagai hobi lagi yang kita suka agar
hilang rasa gundah gulana, datang rasa bahagia dan tenang. Sehingga satu tahap
ketagih, hendak lagi dan lagi, buntu kerana agak pudar akan cara-cara yang lain
yang lebih kuat kesan momentum kebahagiannya! Saya tidak mengatakan kita tidak
perlu berhibur atau bersosial. Saya sendiri tidak boleh hidup tanpa keluarga
dan kawan-kawan disekeliling. Malah Rasulullah SAW pernah sebut, ‘Termasuk kebahagian
hidup manusia, ialah peroleh isteri yang baik , kediaman yang baik dan
kenderaan yang baik ‘(riwayat Imam Ahmad), tetapi penegasannya, Allah telah
memberi tanda jelas tentang kebahagiaan yang sejati yang lebih jauh kehebatan
kesannya pada hati dan kehidupan kita.
Patutlah Ustaz Hasrizal serius dengan tema ‘Erti Hidup Pada Memberi’. Patutlah
Professor Muhaya selalu ingatkan tentang ‘Kebijaksanaan Emosi’ dalam memahami
orang lain. Patutlah Dale Carnegie tulis salah satu tips untuk menguasai dunia
ialah meletakkan diri kita pada orang lain! Patutlah Rasulullah SAW bersabda “
Sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat kepada orang lain”. Ini
kerana ia menghasilkan satu kebahagiaan yang magical kepada diri kita
seperti yang Kak Fadhlina sudah rasa.
Tiba-tiba malam ini pula sahabat-sahabat saya dirumah mengajak untuk
berqiamullail di masjid. Tadi pon ada juga pengumuman tentang majlis qiamullail
di surau. 10 malam terakhir Ramadhan sudah tiba. Melihat surau semakin surut
bilangannya, ada juga sebok untuk memilih tempat berbuka keesokan harinya.
Peringatan tentang berlipat-lipat ganda ganjaran pahala di bulan ini sudah
diperingatkan berkali-kali, tetapi mengapa ia tidak kuat untuk memotivasikan
kita untuk masuk gear 6 pada
penghujung Ramadan ini? Benar kejar pahala sangat baik, tetapi ada satu lagi
dimensi yang Professor Tariq Ramadan selalu ingatkan.
Hayati video ini. Penghargaan kepada One Heart Creative Solution kerana selalu hasilkan video yang bermakna! - http://oneheartsolution.com/:
Cuba bezakan antara orang yang solat kerana takut dosa dan orang yang solat kerana henda rapatkan diri dengan Allah dan mahu berborak dengan Allah dengan penuh rendah diri untuk dapatkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat! Cuba bandingkan orang beribadat kerana mahukan pahala dengan orang yang sungguh-sungguh hendak berada dekat dengan Allah supaya Allah berada disisinya dalam setiap urusan dunia dan akhirat! Tujuan saya bukan untuk membezakan, apa yang penting ialah kesannya berbeza. Malah buat kerena hendak dekat dengan Allah selari dengan mendapat pahala dan jauhi dosa. Jom kita betulkan mindset ibadat hidup kita. Falsafah puasa ialah 'cara kita menguasai nafsu diri kita dan masuk ke dimensi suci kehidupan kita dengan menahan dimensi kemanusiaan untuk pergi ke sesuatu yaag lebih DEKAT DENGAN TUHAN' (video - 1:45 - 2:03)
Jujur saya selalu kalah dengan nafsu, dan ini satu latihan kepada pendekatan kepada Allah melalui ibadat kita. 10 malam terakhir menjanjikan satu keajaiban yang lebih lumayan! Mana mungkin patut kita abaikan, wahai sahabat-sahabat! Minda dan hati yang jujur untuk mendekatkan diri dengan tuhan agar hidup mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang magnificient! Kemanisan iman. Patutlah Maher Zain membuat lagu ' I Love You So' dalam album barunya.
Sama-sama kita terus tingkatkan semangat berbakti dan menolong semua. Keluarga, rakan dan sahabat, masyarakat, rakan sekerja untuk tambah rasa kasih sayang dan kebahagiaan bersama-sama. Sama sama kita tingkatkan ibadat, buat checklist ibadat sendiri semampu kita, tentang solat jemaah, ma'thurat, baca quran dan maksa setiap hari, solat-solat sunat serta doa dengan mindset untuk benar-benar dekatkan diri dengan Allah, keran kesan dia sungguh luar biasa. Apa salahnya kita rancang untuk urusan akhirat kita selain segala rancangan dunia yang kita dah buat akan setiap hari membawa peningkatan.
Mari kita kejar kebahagiaan yang asli, yang sejati, yang menakjubkan, dengan iman. Kebahagiaan hidup untuk Allah (Hamba) dan kebahagiaan hidup untuk manusia (khalifah).
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul."
(Al-baqarah:186)
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
"
(Az-zumar: 53)