Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

12 June 2012

Isu PTPTN, UNISEL dan KUIS

Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semakin hari semakin panas. Terkini peristiwa Pihak PTPTN atas arahan Menteri Pengajian Tinggi untuk membekukan elaun pelajar Universiti Selangor (UNISEL) atas alasan supaya kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan pengajian secara percuma. Bukan setakat UNISEL sahaja, tetapi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) juga terkena tempiasnya. Tetapi, isu ini seperti sudah selesai apabila pihak PTPTN telah menarik semula pembekuan elaun pelajar.

Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS), dapat merasakan kesan yang sangat negatif ekoran daripada peristiwa ini. Kesan pembekuan ini menyebabkan ada pelajar yang mula bercadang untuk berpindah tempat belajar ekoran tidak mampu untuk menanggung yuran pengajian serta sara hidup ketika sepanjang tempoh pelajaran. Selain itu, pelajaran mereka akan turut terganggu. Lebih-lebih lagi mereka bakal menghadapi peperiksaan. Isu ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada pelajar, tetapi keluarga pelajar itu sendiri terutama mereka yang tidak mempunyai sosio ekonomi yang baik.

30 September 2010

Pendirian PKPIM-ABIM-WADAH isu UPSR-PMR



(Salinan memorandum yang diserahkan kepada Y.A.B Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung cadangan pemansuhan UPSR-PMR)

Terlepas dari soal setuju atau tidak,cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh,tetapi dilatari kesedaran tentang wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait dengannya, tetapi masalah yang lebih fundamental dan mendasar.

Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir) memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:

  • Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan. Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita lebih banyak menguji daripada mendidik (more testing than educating).
  • Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah generasi yang berprestasi (akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan berwatak mulia.
  • Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban" peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda. Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.
  • Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).
  • Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sesungguhnya hanya menghargai hasil terakhir suatu proses pendidikan yang panjang. Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan akhir, sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.
  • Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan, selalu memacu persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya. Akibatnya peperiksaan, di mana-mana, selalu diwarnai penipuan, manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.
  • Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka tidak senang ke sekolah, kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran. Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan, tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya dengan semangat korektif-reformatif pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.

Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi orientasi peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya rohani, jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan. Secara pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya mencakup aspek kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif. Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.

Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus dianjak ke arah soalan yang bersifat high order thinking questions, soalan yang mencabar pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang pemikiran analitikal, kreatif dan kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.

Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya. Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula. Untuk mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan. Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi dengan pendekatan integratif penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek arts itu.

Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita (termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal. Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?

Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta, generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan. Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.

Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi. Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan pengijazahan oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan. Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan. Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.

Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam memainkan peranan yang sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan, tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara penilaian tersendiri. Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.

Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi akademik. Bagaimanapun yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai, sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).

Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya. Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen  sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik. Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif. Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.


Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR

Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:

  1. Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah.
  2. Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi akademik.
  3. UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.
  4. Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.
  5. Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.
  6. Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
  7. Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan mereka (guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya. Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti dan tidak dipertikai.


Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan UPSR-PMR, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

1) Untuk memastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi, nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.

2) Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.

3) Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.

4) Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya, telah sampai masanya kementerian mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian CGPA dalam sistem persekolahan negara.

5) Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.

6) Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai sepenuhnya jika sistem pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah. Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus menguat.

7) Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam. Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.

8) Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.

9) Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.


Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
Muhamad Razak Idris (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia)
Muhamad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

23 February 2010

Mahasiswa Nikah Koboi : Bergelumang Dosa Zina

KUALA LUMPUR: Pasangan yang menyedari pernikahan mereka dilakukan secara koboi atau nikah sindiket oleh jurunikah tanpa tauliah, perlu menerima hakikat bahawa hubungan kelamin dilakukan mereka adalah zina berikutan ijab kabul itu tidak sah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata terdapat lima Rukun Nikah yang bermula dengan wali sah sama ada ayah kandung atau sah taraf, datuk atau adik beradik seibu dan sebapa.


Beliau berkata, rukun lain adalah dua saksi dengan syarat tertentu, pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta ijab kabul.


“Kalau lima rukun itu tiada, bermakna pernikahan itu tidak sah, manakala bagi anak tidak sah taraf iaitu lahir kurang enam bulan daripada akad nikah ibu bapanya, perlu diwalikan wali hakim yang mendapat tauliah daripada Sultan. “Jurunikah mesti wali sebenar dan kebiasaannya jurunikah menjadi wakil kepada bapa dan dia hendaklah diiktiraf dan didaftarkan, misalnya di Selangor, berdaftar dan ditauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


“Jika tidak bertauliah, seseorang itu tidak boleh menjadi jurunikah dan kalau disedari dinikahkan secara koboi atau nikah sindiket, bermakna hubungan kelamin dilakukan pasangan itu adalah zina dan mereka sepatutnya segera bertaubat,” katanya. Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata siasatan terperinci sedang dilakukan pihaknya termasuk mendapatkan maklumat daripada Pejabat Agama Daerah Gombak, berikutan cerita sebenar masih samar.


Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, pernikahan pasangan terbabit tidak sah kerana tidak memenuhi rukun nikah dan dinikahkan jurunikah tidak bertauliah.

“Kita akan mengambil tindakan berasaskan beberapa faktor tetapi setakat ini, siasatan terperinci sedang dilakukan dan meminta sumber membantu dengan menghubungi Jais,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, keghairahan mahu menikmati hidup sebagai suami isteri selepas bertemu kekasih ketika sama-sama menuntut di menara gading, namun pada masa sama tidak mahu perbuatan itu diketahui ibu bapa mendorong segelintir pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ternama di pinggir ibu negara, terjerumus dengan amalan pernikahan dalam dorm (asrama). Amalan di kalangan mahasiswa terbabit nyata meragukan apabila upacara pernikahan pasangan pengantin terbabit hanya disempurnakan sesama rakan sekuliah selaku kadi, wali dan saksi - tidak ubah seperti pernikahan koboi.


Seperti pasangan normal, kumpulan terbabit mempunyai kadi yang menikahkan pasangan berkenaan secara berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebelum diperakui sebagai sah oleh saksi. Cuma yang berbeza ia dilakukan pada waktu malam dan semua yang hadir hanya rakan sekuliah.

Sumber: Harian Metro, Ahad, 21/2/10

My Comments...

Sebagai seorang Muslim, kita merasakan kesedihan yang amat sangat kerana saudara se-Muslim kita telah melakukan perbuatan yang melulu tanpa terlebih dahulu merujuk pada yang pakar dan memastikan samada perbuatan yang hendak dilakukannya sah disisi syara' atau tidak. Dengan hanya melakukannya sekali sahaja, dia seebenarnya telah menggelapkan masa depannya, dan mencemarkan nama baik keluarga mereka, sekaligus memalukan nama Islam sebagai sebuah agama yang menjaga kesucian umatnya.

Pasangan tersebut sememangnya mahu menjalankan Nikah agar dapat mengelakkan zina yang terkutuk, tetapi sayangnya, mereka mengambil jalan mudah (baca:short cut) tanpa berfikir panjang semasak mungkin dengan mengambil pandangan bahawa tanpa mendapatkan izin bapa juga, nikah itu boleh menjadi sah dengan mendapatkan wali hakim. Permasalahannya timbul apabila 'orang agama' yang mereka rujuk itu menafsirkan makna wali itu tanpa berdasarkan nas syara' iaitu "sesiapa sahaja boleh mnjadi wali, asalkan dia merupakan seorang lelaku yang baligh". Si pasangan pula melihat hal ini sebagai jalan keluar kepada masalah pergelutan dengan keluarga yang menghalang mereka untuk berkahwin sebagaimana kebanyakan ibu bapa yang berharap anak mereka menyelesaikan digree terlebih dahulu sebelum membina masjid. Inilah yang menyebabkan mereka mengambil 'rakan sekuliyah' mereka sebagai wali kerana si ustad telah mengajarkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi wali hakim!

Persoalannya, apakah benar kenyataan yang sedemikian rupa?

Terlalu banyak hadis yang menegaskan tentang keharaman nikah tanpa wali:-

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra:
لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْل

"tidak sah nikah kecuali dengan adanya WALI."

sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam ad-Daruquthni dari sahabat Abu Hurairah RA:
لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَإِنَّ الزَّانِيَةَ هِيَ الَّتِى تُزَوِّجُ نَفْسَهَا

"Tidak boleh pula wanita menikahkan dirinya sendiri dan sesungguhnya, hanya PEZINA-lah yang MENIKAHKAN DIRINYA SENDIRI."

hadits shahih yang diriwayatkan Imam Tirmidzi dari ' Aisyah RA. sebagai berikut:

“ايما إمرأة نكحت بغير إذن وليها فنكاحها باطل فنكاحها باطل فنكاحها باطل”
Artinya: “Wanita yang menikah tanpa izin walinya maka pernikahannya bathil, pernikahannya bathil, pernikahannya bathil.”

Wali terbahagi kepada dua, wali nasab dan wali hakim. Bagi kita yang berpegang pada mazhab Syafi'e, kta pasti meyakini bahawa selama mana bapa si wanita masih hidup, selagi itulah dia yang berhak untuk menjadi walinya. namun, di dalam masalah nikah koboi ini, kita akan memfoukuskan permasalahan kepada makna 'wali hakim'. Jadi, apakah sebenarnya yang Islam maksudkan sebagai wali hakim? Apakah Islam membenarkan kita melantik sesiapa sahaja untuk menjadi wali hakim???

Di dalam beberapa buah hadits dijelaskan tentang wali hakim yang dapat menggantikan kedudukan wali nasab apabila wali nasab tidak ada atau wali nasab enggan mengahwinkan perempuan yang ada dibawah perwaliannya, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :

"Maka apabila (wali nasab) enggan SULTAN-lah yang menjadi wali bagi yang tidak mempunyai wali" (HR. Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad dari Aisyah). Dalam Hadis lain Rasulullah SAW bersabda

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ . وَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ (أَخْرَجَهُ الطَّبَرَانِيُّ)

"Tidak ada pernikahan kecuali dengan wali, PEMIMPIN adalah wali bagi siapa yang tak memiliki wali" (HR. Thabrani)


Yang dimaksud dengan kata "Sulthan" adalah penjawat tertinggi didalam sesebuah negara. Kerana itulah, penulis kitab Subulu as Salam berkata : "Yang dimaksud dengan sultan adalah mereka yang mempunyai kekuasaan, baik ia zalim mahupun adil kerana hadits-hadits yang memerintahkan mentaati sulthan bersifat umum, mencakup sultan yang adil mahupun yang zalim" (Subulu as Salam III : 118).

Penulis ‘Ianatu al Thalibin mengatakan : Tidak dihalang "Imam Akbar (kepala negara) menjadi wali kerana kefasikannya, sesuai dengan pendapat yang sahih" (‘Ianatu al Thalibin III : 305). Adapun penulis kitab An Nikahu wa al Qadhaya al Muta’aliqah bihi berpendapat bahawa yang dimaksud dengan sultan disini ialah imam akbar (kepala negara) atau hakim atau siapa saja yang diberikan kekuasaan oleh keduanya menjadi wali ketika tidak ada wali khusus/wali nasab (An Nikahu wa al Qadhaya al Muta’aliqah bihi : 508).

Maka, orang yang dilantik oleh pemerintah adalah wali hakim bagi orang yang tidak mempunyai wali dan orang yang tidak dilantik oleh pemerintah tidak berhak sekali-kali menjadi wali hakim!

Sumber rujukan : sahabat2 dan buku2

Jumlah Pengunjung