13 September 2011

Agar ziarah dikira ibadah (bukan dosa)

Bersempena bulan syawal yang penuh meriah ini, budaya kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi adalah adat yang begitu baik untuk kita turut serta. Lazimnya pada bulan ini tuan rumah lebih bersedia untuk menerima kunjungan tetamu. Maka sewajarnya kita ambil peluang ini dan memandang budaya ini dengan pandangan yang lebih positif walaupun ia tidak dijalankan di sesetengah negara yang lain.

Bulan ini juga memberi peluang bagi kita mengulangkaji adab-adab yang penting untuk dijaga ketika berziarah dibimbangi ziarah kita tidak dikira sebagai ibadah malahan mendapat dosa.

Betulkan niat dan berdoa
Pasang niat kita untuk berziarah bukan sekadar melantak dan mempamerkan aksesori perhiasan diri kita yang baru. Berdoa agar niat diluruskan dan supaya perjalanan selamat dan dikira ibadah. Hadith matan arbain mengenengahkan hadith yang bermaksud "setiap amalan itu bergantung kepada niatnya".

Rancang perjalanan
Sekiranya terlibat dalam konvoi, pastikan dilantik seorang ketua. Harus diikuti dan jangan mendahuluinya. Agama mengajarkan bahawa sekiranya dalam perjalanan yang lebih dari 2 orang, haruslah dilantik seorang ketua. Amalan berlumba-lumba dan tidak fokus diatas jalan raya bakal mengundang kecelakaan.

Pastikan juga jarak perjalanan dari rumah ke rumah yang dikunjungi adalah bersesuaian. Kesilapan merancang akan menyebabkan tuan rumah yang seterusnya terpaksa menunggu lama sehingga ke lewat malam.

Pilih waktu yang sesuai dan jaga waktu solat
Berkaitan perkara sebelum ini, agama menegah menziarahi tuan rumah pada 3 waktu: awal pagi, tengahari dan lewat malam kerana itu adalah waktu rehat dan waktu persediaan tuan rumah. Pastikan juga kita menepati waktu ziarah seperti yang telah ditetapkan kerana dibimbangi akan memberatkan tuan rumah dengan urusan yang lain.

Pastikan jumlah tetamu
Sebagai tetamu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan jumlah kehadiran rombongan kita. Dalam agama, menjadi hak tuan rumah untuk tidak menerima keseluruhan rombongan sekiranya jumlah yang hadir tidak seperti yang telah dijanjikan. Elakkan budaya tidak matang (budak2) iaitu join tanpa pengetahuan dan kebenaran tuan rumah.

Jaga Ikhtilat 
Jaga batas pergaulan diantara jantina yang bukan mahramnya. Pisahkan kawasan makan dan jangan pulang lewat malam dengan kawan-kawan yang bukan mahramnya. Ini lebih membawa dosa dan fitnah berbanding ibadah.

Jaga adab dirumah 
  1. Memberi salam dengan jumlah maksimum sebanyak 3 kali. Pulanglah sekiranya tiada jawapan. Jangan terus menunggu dan mengintai-intai melalui tingkap. Sebaik-baiknya telefon dahulu tuan rumah.
  2. Berdiri sedikit tepi daripada pintu supaya tidak terlihat terus kedalam rumah yang diziarahi ketika pintu mula-mula dibuka. Ini dibimbangi akan terlihat perkara-perkara yang tidak disenangi oleh tuan rumah.
  3. Mengawal mata akan tidak meliar memandang isi rumah yang dilawati. Pada sisi agama, pandangan yang liar dikira menceroboh hak peribadi tuan rumah. 
  4. Masuk hanya setelah diizinkan. Pastikan masuk pada kawasan yang diizinkan sahaja dan tidak terus ke dapur atau tandas tanpa meminta izin tuan rumah. 
  5. Jangan duduk sesuka hati. Duduk pada kawasan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Khaskan kerusi utama dirumah tersebut untuk diduduki oleh tuan rumah.
  6. Jaga adab makan seperti berdoa, dan tidak gelojoh. Jamah makanan yang dihidangkan dan jaga mulut dari komen-komen celupar yang tidak enak. Nabi mengajarkan supaya makan sekadarnya sekiranya selera kita tidak sesuai dengan juadah yang dihidang. Jaga hati tuan rumah.
  7. Bersembang dan menolong tuan rumah. Elakkan sekadar menonton televisyen atau membuat hal sendiri.
  8. Jangan berlama-lama dan cepat-cepat beredar. Tuan rumah perlu berehat dan melayan urusan lain lagi.
  9. Jangan tinggalkan rumah tanpa berdoa kepada tuan rumah.

Untuk tuan rumah, ketahuilah bahawa tetamu membawa rahmat dan barokah di dalam rumah. Usahakan supaya majlis raya tetap dirumah dan bukan dihotel atau dewan supaya kesannya tinggal dirumah kita. Nabi SAW pernah mengkhabarkan bahawa makanan untuk seorang, cukup untuk dua orang, makanan untuk dua orang cukup untuk empat orang.

PEPIAS mengucapkan selamat hari raya Aidulfitr kepada semua dan mohon maaf zahir dan batin. 

Tidak lupa disedahkan Al-Fatihah buat ahli PEPIAS Ampang (MMC) Al-marhum sdr Farid dan bapa kepada ahli PEPIAS PJ, sdri Hayati yang telah kembali kerahmatullah pada bulan ini. Moga dicucuri rahmat oleh Nya. Al-Fatihah.. 

Jumlah Pengunjung