24 February 2010

Kedunguan tak bertepi


Assalamu'alaikum wrm.

Kadang-kadang terasa letih dgn kehidupan. Rimas dan melajukan kadar denyutan jantung.

Di sana-sini, kebatilan terserlah. Fitnah muncul dgn gayanya yg tersendiri. Dipertahankan habis-habisan.

Muncul golongan-golongan 'pembela' Islam, walhal mereka adalah kuncu-kuncu syaitan.

Ramai pula pengikutnya, kebanyakannya berlatar belakangkan Univ hebat di dunia.

Mereka cerdik di atas scroll ijazah, tetapi dungu dalam memahami ugama.

Ketika org lain sibuk mencipta fesyen pakaian terbaru, mereka ajak org lain jangan pakai seluar dalam! Lebih teruk dari kumpulan beruk-beruk dalam filem Planet Of The Apes.

Lagi memeningkan, golongan penghuni kedai-kedai kopi. Secawan kopi dan sehelai suratkhabar yg dibaca mengambil masa berjam-jam. Bercakap tentang Islam, Malaikat pun 'pening' nak catat.

Cara kehidupan mereka adalah mudah. Ada benda, ada habuan, beres!

Walau sebatang rokok.

Walau sehelai kain pelikat.

Hatta, sebungkus nasi berlaukkan ikan termenung pun sudah memadai untuk mereka muncul menjadi hero-hero tua yg akan memberikan sokongan, tenaga dan pemikiran untuk meragukan masyarakat terhadap Islam.

Kitab mereka adalah suratkhabar. Apa kata akhbar, itu lah berita benar. jangan disanggah-sanggah. Sama salahnya seperti menyanggahi kekuatan dan ketulinan Hadith Mutawatir!

Dpd hujung rambut sampai hujung kaki mereka, mereka telah dijajah.

Oleh pemimpin korup dan penipu.

Oleh golongan intelektual yg telah melacurkan ilmu-ilmu mereka.

Maka, hadapi mereka dgn ilmu. Nasihatkan mereka supaya memahami Islam yg tulin.

Kalau mereka berlagak dan cakap banyak, lawan mereka habis-habisan, di gelanggang mana pun.

Itulah jihad namanya. Pahala dan ganjarannya adalah Syurga.



Maksud: "Dan supaya Ia menyeksa orang-orang Munafiq - lelaki dan perempuan, dan orang-orang Musyrik - lelaki dan perempuan, yg menyangka terhadap ALLAH dgn sangkaan yg buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya bala' bencana yg dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) ALLAH murkai mereka dan mela'natkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
AL-FATH: 6

23 February 2010

Mahasiswa Nikah Koboi : Bergelumang Dosa Zina

KUALA LUMPUR: Pasangan yang menyedari pernikahan mereka dilakukan secara koboi atau nikah sindiket oleh jurunikah tanpa tauliah, perlu menerima hakikat bahawa hubungan kelamin dilakukan mereka adalah zina berikutan ijab kabul itu tidak sah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata terdapat lima Rukun Nikah yang bermula dengan wali sah sama ada ayah kandung atau sah taraf, datuk atau adik beradik seibu dan sebapa.


Beliau berkata, rukun lain adalah dua saksi dengan syarat tertentu, pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta ijab kabul.


“Kalau lima rukun itu tiada, bermakna pernikahan itu tidak sah, manakala bagi anak tidak sah taraf iaitu lahir kurang enam bulan daripada akad nikah ibu bapanya, perlu diwalikan wali hakim yang mendapat tauliah daripada Sultan. “Jurunikah mesti wali sebenar dan kebiasaannya jurunikah menjadi wakil kepada bapa dan dia hendaklah diiktiraf dan didaftarkan, misalnya di Selangor, berdaftar dan ditauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


“Jika tidak bertauliah, seseorang itu tidak boleh menjadi jurunikah dan kalau disedari dinikahkan secara koboi atau nikah sindiket, bermakna hubungan kelamin dilakukan pasangan itu adalah zina dan mereka sepatutnya segera bertaubat,” katanya. Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata siasatan terperinci sedang dilakukan pihaknya termasuk mendapatkan maklumat daripada Pejabat Agama Daerah Gombak, berikutan cerita sebenar masih samar.


Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, pernikahan pasangan terbabit tidak sah kerana tidak memenuhi rukun nikah dan dinikahkan jurunikah tidak bertauliah.

“Kita akan mengambil tindakan berasaskan beberapa faktor tetapi setakat ini, siasatan terperinci sedang dilakukan dan meminta sumber membantu dengan menghubungi Jais,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, keghairahan mahu menikmati hidup sebagai suami isteri selepas bertemu kekasih ketika sama-sama menuntut di menara gading, namun pada masa sama tidak mahu perbuatan itu diketahui ibu bapa mendorong segelintir pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ternama di pinggir ibu negara, terjerumus dengan amalan pernikahan dalam dorm (asrama). Amalan di kalangan mahasiswa terbabit nyata meragukan apabila upacara pernikahan pasangan pengantin terbabit hanya disempurnakan sesama rakan sekuliah selaku kadi, wali dan saksi - tidak ubah seperti pernikahan koboi.


Seperti pasangan normal, kumpulan terbabit mempunyai kadi yang menikahkan pasangan berkenaan secara berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebelum diperakui sebagai sah oleh saksi. Cuma yang berbeza ia dilakukan pada waktu malam dan semua yang hadir hanya rakan sekuliah.

Sumber: Harian Metro, Ahad, 21/2/10

My Comments...

Sebagai seorang Muslim, kita merasakan kesedihan yang amat sangat kerana saudara se-Muslim kita telah melakukan perbuatan yang melulu tanpa terlebih dahulu merujuk pada yang pakar dan memastikan samada perbuatan yang hendak dilakukannya sah disisi syara' atau tidak. Dengan hanya melakukannya sekali sahaja, dia seebenarnya telah menggelapkan masa depannya, dan mencemarkan nama baik keluarga mereka, sekaligus memalukan nama Islam sebagai sebuah agama yang menjaga kesucian umatnya.

Pasangan tersebut sememangnya mahu menjalankan Nikah agar dapat mengelakkan zina yang terkutuk, tetapi sayangnya, mereka mengambil jalan mudah (baca:short cut) tanpa berfikir panjang semasak mungkin dengan mengambil pandangan bahawa tanpa mendapatkan izin bapa juga, nikah itu boleh menjadi sah dengan mendapatkan wali hakim. Permasalahannya timbul apabila 'orang agama' yang mereka rujuk itu menafsirkan makna wali itu tanpa berdasarkan nas syara' iaitu "sesiapa sahaja boleh mnjadi wali, asalkan dia merupakan seorang lelaku yang baligh". Si pasangan pula melihat hal ini sebagai jalan keluar kepada masalah pergelutan dengan keluarga yang menghalang mereka untuk berkahwin sebagaimana kebanyakan ibu bapa yang berharap anak mereka menyelesaikan digree terlebih dahulu sebelum membina masjid. Inilah yang menyebabkan mereka mengambil 'rakan sekuliyah' mereka sebagai wali kerana si ustad telah mengajarkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi wali hakim!

Persoalannya, apakah benar kenyataan yang sedemikian rupa?

Terlalu banyak hadis yang menegaskan tentang keharaman nikah tanpa wali:-

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra:
لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْل

"tidak sah nikah kecuali dengan adanya WALI."

sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam ad-Daruquthni dari sahabat Abu Hurairah RA:
لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَإِنَّ الزَّانِيَةَ هِيَ الَّتِى تُزَوِّجُ نَفْسَهَا

"Tidak boleh pula wanita menikahkan dirinya sendiri dan sesungguhnya, hanya PEZINA-lah yang MENIKAHKAN DIRINYA SENDIRI."

hadits shahih yang diriwayatkan Imam Tirmidzi dari ' Aisyah RA. sebagai berikut:

“ايما إمرأة نكحت بغير إذن وليها فنكاحها باطل فنكاحها باطل فنكاحها باطل”
Artinya: “Wanita yang menikah tanpa izin walinya maka pernikahannya bathil, pernikahannya bathil, pernikahannya bathil.”

Wali terbahagi kepada dua, wali nasab dan wali hakim. Bagi kita yang berpegang pada mazhab Syafi'e, kta pasti meyakini bahawa selama mana bapa si wanita masih hidup, selagi itulah dia yang berhak untuk menjadi walinya. namun, di dalam masalah nikah koboi ini, kita akan memfoukuskan permasalahan kepada makna 'wali hakim'. Jadi, apakah sebenarnya yang Islam maksudkan sebagai wali hakim? Apakah Islam membenarkan kita melantik sesiapa sahaja untuk menjadi wali hakim???

Di dalam beberapa buah hadits dijelaskan tentang wali hakim yang dapat menggantikan kedudukan wali nasab apabila wali nasab tidak ada atau wali nasab enggan mengahwinkan perempuan yang ada dibawah perwaliannya, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :

"Maka apabila (wali nasab) enggan SULTAN-lah yang menjadi wali bagi yang tidak mempunyai wali" (HR. Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad dari Aisyah). Dalam Hadis lain Rasulullah SAW bersabda

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ . وَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ (أَخْرَجَهُ الطَّبَرَانِيُّ)

"Tidak ada pernikahan kecuali dengan wali, PEMIMPIN adalah wali bagi siapa yang tak memiliki wali" (HR. Thabrani)


Yang dimaksud dengan kata "Sulthan" adalah penjawat tertinggi didalam sesebuah negara. Kerana itulah, penulis kitab Subulu as Salam berkata : "Yang dimaksud dengan sultan adalah mereka yang mempunyai kekuasaan, baik ia zalim mahupun adil kerana hadits-hadits yang memerintahkan mentaati sulthan bersifat umum, mencakup sultan yang adil mahupun yang zalim" (Subulu as Salam III : 118).

Penulis ‘Ianatu al Thalibin mengatakan : Tidak dihalang "Imam Akbar (kepala negara) menjadi wali kerana kefasikannya, sesuai dengan pendapat yang sahih" (‘Ianatu al Thalibin III : 305). Adapun penulis kitab An Nikahu wa al Qadhaya al Muta’aliqah bihi berpendapat bahawa yang dimaksud dengan sultan disini ialah imam akbar (kepala negara) atau hakim atau siapa saja yang diberikan kekuasaan oleh keduanya menjadi wali ketika tidak ada wali khusus/wali nasab (An Nikahu wa al Qadhaya al Muta’aliqah bihi : 508).

Maka, orang yang dilantik oleh pemerintah adalah wali hakim bagi orang yang tidak mempunyai wali dan orang yang tidak dilantik oleh pemerintah tidak berhak sekali-kali menjadi wali hakim!

Sumber rujukan : sahabat2 dan buku2

20 February 2010

Riadhah + BBQ @ Ulu Yam jom = )

Salam.

Sahabat sekelian, esok (Ahad / 21-2-2010) free x? Kalau xde pape program or free time petang, ingat nak buat BBQ + beriadhah sket kat ulu yam.

Sape2 berminat nak join sila sms saya ye. 017-3530 470 (Hariz). Baru nak kumpul brape ramai nak join. Kalau ramai yang ok, kira on. InsyaAllah. = )

Hariz BPPS

18 February 2010

PEPIAS dan Politik

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam perjuangan…

Merujuk kepada beberapa kenyataan yang dilontarkan oleh sahabat-sahabat berkaitan kecenderungan PEPIAS kepada parti politik ataupun individu yang terlibat dengan politik; Sehubungan itu, saya rasa bertanggungjawab untuk membetulkan beberapa fakta yang mungkin disalahertikan oleh teman-teman yang prihatin terhadap pergerakan PEPIAS mutakhir ini.

Pertama sekali, saya mengakui bahawa PEPIAS telah terlibat dengan beberapa pertemuan bersama tokoh-tokoh politik negara tidak kira di sebelah barisan nasional mahupun pakatan rakyat. Namun demikian, tidak bermakna sama sekali bahawa PEPIAS telah terjerumus ke lembah politik ataupun pergerakannya terbatas kerana ditentukan oleh acuan politik. Kebanyakkan pertemuan yang diadakan adalah berdasarkan jemputan dan undangan yang diberikan ke atas PEPIAS. PEPIAS bertanggungjawab untuk memenuhi jemputan dan membawa suara mewakili kelompok pelajar Islam dan juga gerakan belia khususnya di negeri Selangor. Istilah non partisan perlu diperbetulkan. Memang benar PEPIAS tidak boleh terlibat dengan politik kepartian ataupun dipolitikkan, tetapi ini tidak bermakna PEPIAS tidak bertangungjawab kepada politik.

PEPIAS merasakan perlunya ada kepedulian untuk memastikan pihak berwajib yang menentukan dan menggubal dasar negara dan negeri ini memperolehi sumber maklumat yang wajar demi kemaslahatan ummah. Sebagai contohnya, ada beberapa isu berkaitan pendidikan dan kebajikan berjaya dilontarkan kepada pihak tertinggi negeri. Bayangkan dalam peluang dan ruang yang diberikan untuk berdialog bersama pimpinan tertinggi negeri, tidak ada satu pun lontaran yang dikemukakan oleh wakil-wakil pelajar berkataitan isu pendidikan dan kebajikan yang bersifat kenegerian melainkan lontaran daripada wakil PEPIAS. Oleh hal yang demikian, itu sudah semestinya menjadi tanggungjawab kami untuk menggerakkan arah orang politik dan bukan orang politik yang mengARAHkan kami.

Di dalam menyemarakkan kerja-kerja da’wah, mekanisma perlu dipelbagaikan bagi merealisasikan visi dan misinya. Tidak dapat dinafikan, sumbangan dan kerjasama daripada mana-mana pihak secara individu ataupun agensi diperlukan. Ini termasuklah golongan politik, akademik, korporat, pegawai kerajaan, swasta, penghulu, guru dan sebagainya. Namun demikian, ini tidak beerti prinsip kita tergadai kerana memperoleh bantuan daripada mereka. Kebijaksanaan perlu sentiasa memandu dihadapan.

Berkenaan artikel yang di majukan di dalam blog rasmi PEPIAS, saya berpendapat, usaha mengembeleng budaya keilmuan ini usah dikekang. Selagi mana hujah yang diberikan sarat dengan kepertanggungjawaban dan dapat meningkatkan tahap keprihatinan kepada pendidikan dan isu semasa perlu disokong. Usah terlalu jumud dengan andaian sendiri atau bersifat tertutup dengan aliran yang bukan menjadi kebiasaan kita. PEPIAS masih lagi mengalu-alukan sumbangan yang dapat meningkatkan tahap keintelektualan selagi mana ianya membina, bertanggungjawab dan tidak membelakangi syariah.

Di sini juga saya ingin menyatakan, tindakan yang diambil PEPIAS kebelakangan ini bukanlah untuk mengejar kemasyhuran atau mencari publisiti murahan. Kami masih lagi istiqomah berpendirian untuk berada di atas landasan untuk mendaulatkan Islam. Walaupun jasad kami kecil, namun jiwa kami tetap besar untuk menjadi jurubicara ummah. Selagi mana ada ruang yang boleh kami tembus, selagi itu kudrat kami akan digerakkan. Kalau bukan kerana perjuangan, masakan kami berdiri di sini. Semarak Kesatuan Pelajar Islam. Wassalam…

Generasi Penerus Harapan Umat

ZAFRULLAH ARIS

SETIAUSAHA AGUNG

PERSATUAN PELAJAR ISLAM SELANGOR DARUL EHSAN (PEPIAS)

17 February 2010

Pengerusi Perhubungan Cawangan Yang Baru

Pengerusi Perhubungan Cawangan Yang Terkini selepas Muktamar :-


CAWANGAN GOMBAK
AHMAD FAWWAZ B AHMAD SHUKRI
019-6074700


CAWANGAN BANGI
MUHAMMAD AFIQ B RAMLEE
019-4496172


CAWANGAN AMPANG
MUSTAFA KAMALUDDIN B MASRUPI
017-3395740


CAWANGAN KUALA LANGAT
MUHAMMAD MUSLIM B HASHIM
017-3525958


CAWANGAN SHAH ALAM
MUHAMMAD 'ARIFF B SELAMAT
013-3942687


CAWANGAN PANDAN
(masih menunggu keputusan semasa muktamar nanti )

Harga Kemenangan

Saban hari kita memburu kemenangan
Meniti sebuah jalan perjuangan
Bercerita soal taqwa dan iman
Membina segala macam kekuatan
Mencipta segala bentuk kehebatan

Kemenangan sesuatu yang dicari bukan dinanti
Ia mendatangi setelah ia didatangi
Jika ada yang menang akan ada yang kalah
Ia tidak abadi dalam dunia yang bakal musnah
Kerana ia kekal dalam alam yang menanti
Bagi mereka yang mencari


Jika kita yang miliki kemenangan
Untuk apa ditakuti kegagalan?
Untuk apa dirisaukan kekalahan?
Bahkan kita mengharapkan akan turunnya bantuan
Berupa sebuah kemenangan
Bererti ia milik Pemilik alam maya
Ia milik Yang Memiliki Kekuasaan

Harganya luar biasa
Kerana nilainya tidak terbanding
Usaha kita hari ini belum tentu
Menjamin kemenangan hari esok
Kerana ia milikNya.


Dipetik dari satu petikan nukilan oleh seorang penulis

SYUKUR - Bahagian 1 (Kisah Pak Tua)

Oleh:
Kamarul Azami bin Mohd Zaini (KAMZ)



Apabila disebutkan ‘syukur’, ‘bersyukurlah’, pasti akan terbit dari lidah seseorang manusia yang mengakui Islam itu ucapan ‘Alhamdulillah’. Sejauhmanakah perkataan itu menjadi amalan kehidupan seorang Muslim? Adakah setiap hari, setiap masa atau setiap saat?

Pernah suatu ketika berbicara seorang pemuda dengan seorang Pak Tua yang kuat makannya, tinggi percakapannya serta tepat segala janjinya. Pada awal pertemuan si pemuda dengan Pak Tua, kerapkali dia melihat Pak Tua ini sangat kuat makan. Setiap yang dihidangkan pasti dihabiskan. Tuturnya pula ibarat menyatakan bahawa dia tahu lebih banyak perkara dan dia melebihi pengalamannya dari orang lain. Namun, disedari si pemuda bahawa pada setiap tutur kata Pak Tua ini akan dimulai dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Tidak pernah terlupa Pak Tua akan perkataan itu. Selepas bersama pemuda itu beberapa ketika dengan Pak Tua, maka timbullah tanda tanya pemuda itu kepada Pak Tua.

“Wahai Pak Tua, kenapa begitu mudah lidah Pak Tua menyebut ‘Alhamdulillah’? Belum pun Pak Tua menjamah apa-apa makanan pun, pak tua dah sebut ‘Alhamdulillah’, belum pun Pak Tua menaiki kenderaan atau sampai ke mana-mana Pak Tua sebut ‘Alhamdulillah’, kenapa?” tanya pemuda itu keliru.

“Wahai anak muda, pernahkah kamu bersyukur apabila perutmu merasai kelaparan?” tanya Pak Tua itu spontan.

“Bagaimana perasaan mu wahai anak muda, jika dijamu makanan yang amat sedap tetapi dalam keadaanmu yang kekenyangan? Adakah kamu akan menjamah makanan itu? Sesungguhnya, ‘Alhamdulillah’ku adalah kerana bersyukur kerana dikurniakan rasa lapar dan dapat berjalan juga merasai menaiki kenderaan dengan kakiku.” Jawab Pak Tua itu ringkas.

Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”


--- Sumbangan artikel dari http://kamarulazami.blogspot.com. Penulis adalah seorang Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management juga Setiausaha Kewangan ABIM Selangor.

15 February 2010

Alamak...pepias kalah futsal dengan warga emas ke...huhu

Pada 27 (Rabu) Januari 2010, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan perlawanan persahabatan futsal di Sports Planet Ampang. Pasukan yang turut hadir adalah Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS). Tujuan utama futsal ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi perhubungan silaturrahim antara organisasi disamping menjaga kesihatan dikalangan ahli-ahli.Pada perlawanan tersebut, ABIM telah berjaya mengalahkan PKPIM sebanyak (9 - 4). Manakala perlawanan seterusnya dengan PEPIAS, ABIM berjaya menjaringkan 7 gol berbalas 3 gol (7 -3). Pemain yang mewakili ABIM adalah Mohd Raimi Ab. Rahim (SUA ABIM), Akmal Hisham (Exco Pembangunan Sosial), Mohd Firdaus Hamsin (Staf ABIM Pusat), Mohamad Nasir Ismail (Staf ABIM Pusat), Saiful Islam (Staf WADAH Pusat) dan Mohd Faridh (Pelajar Praktikal ABIM Pusat). Manakala Rashdan Abu Hasan (Staf ABIM Pusat) telah bertindak sebagai pengadil bagi kesemua perlawanan.

Oit2. Ni ape kes kalah dengan team warga emas ni? huhuhu. jangan maraaa aaa~

13 February 2010

Parti Valentine - Just 4 Pepias

Salam sahabat sekalian,

Sempena hari Valentine yang diraikan tanggal 14 Februari setiap tahun, dan pada tahun ini ia jatuh esok hari maka kita juga akan mengadakan keraian hari terbabit memandangkan tiada apa yang akan kita lakukan bagi mencegah maksiat yang akan bertambah sempena hari bersejarah ini.
Bagi meraikan Hari Valentine esok, disebabkan tidak ada satu respon pun dari ahli mahu pun sahabat Pepias pada ajakan untuk Ops Valentine bagi mencegah maksiat dan mendekati muda-mudi di sekitar Kuala Lumpur, maka saya mengambil inisiatif buat satu parti esok malam di mana kita akan berkumpul di tempat dan masa berikut bagi menjamu selera dan bertepuk tangan melihat sahabat lain memadu asmara dan sewaktu dengannya:

Tarikh: 14 Februari
Hari : Ahad
Masa : 8 malam hingga 1 pagi
Tempat: Bukit Bintang dan KLCC
Bayaran: Boleh bawa makanan dari rumah atau kumpul duit untuk beli makanan ramai2.

Sekian. Majulah maksiat dengan pelepakan da'ie. Wassalam.

Takbir! (laungkanlah 10 kali atau 100 kali sampai sakit tekak dengan harapan laungan ini akan mampu mengubah gaya hidup ummah ke arah lebih baik) = )

12 February 2010

BEKERJALAH KAMU



Orang-orang bijak Yunani mengubati orang yang ditimpa keresahan, kesuntukan, dan penyakit psikologi lainnya dengan memaksa mereka bekerja di ladang dan kebun. Tidak berapa lama kemudian, pesakitnya punkembali sihat dan tenang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud;

"...makan berjalanlah kamu ke seluruh penjuru bumi." (Al-Mulk: 15)

"Dan katakanlah: 'Bekerjalah kamu sekalian..." (At-Taubah: 105)

Orang-orang yang bekerja dengan menggunakan tangannya sendiri adalah satu kelompok manusia yang lebih bahagia, tidak dibebani dan tenang sekiranya dibandingkan yang lain. Cuba perhatikan para pekerja itu, mereka memiliki fikiran yang bebas dan fizikal yang kuat dikeranakan aktiviti, pekerjaan, dan latihan yang mereka lakukan.

"Dan aku berlindung kepada-Mu (Ya Allah) dari kelemahan dan kemalasan." (Hadith)

KEPADA-NYA AKU BERTAWAKKAL

Diantara perkara-perkara penting yang harus dilakukan oleh seseorang hamba agar memperolehi kebahagiaan adalah menyandarkan diri kepada Tuhan, tawakkal dan merasa cukup dengan perlindungan, penjagaan dan pengawasan-Nya atas dirinya. Firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"...apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)." (Maryam: 65)

"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah s.w.t yang telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) dan Dialah yang melindungi orang-orang yang soleh." (Al-A'raf: 196)

"Ketahuilah, bahawa wali-wali Allah s.w.t itu tidak ada ketakutan bagi mereka dan mereka tidak pernah bersedih hati." (Yunus: 62)


Petikan dari buku La Tahzan, buku Motivasi Islami yang terlaris dan terhangat di pasaran tulisan oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni.

---sumbangan ehsan dari http://artikelkamz.blogspot.com---

11 February 2010

Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?

Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

gegaran isu politik Malaysia

Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro dan lain-lain.

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)

Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.

Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).

RINGKASAN SYARAT-SYARAT

Qazf mempunyai beberapa syarat :-

1) Syarat kepada penuduh :

  • Beraqal
  • Sudah baligh

2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf

  • Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3) Syarat orang yang dituduh

  • Beraqal
  • Baligh
  • Islam
  • Merdeka diri
  • BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Malik berkata :

قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،

Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes AL-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)

Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.

Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.

Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini.

Mungkin si pendakwa dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun Allah maha mengathui siapa yang benar dan salah, hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh, sama ada pendakwa atau tertuduh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.

Namun ingat, bukan tugas kita untuk mempercayai selagi syarat-syarat yang disebut di atas tidak dipenuhi. Apa jua keputusan mahkamah, itu keputusan mahkamah dan selaku orang yang tidak terlibat, kita tidak dipaksa atau terpaksa untuk mempercayai atau menolak.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Jun 2008

DIHIGHLIGHT KEMBALI ARTIKEL DALAM INI DISEBABKAN KEHNAGATAN ISU INI DI KETIKA INI. ( ulang siar pada4 Feb 2010)

07 February 2010

Ingatan bagi pelupa: Kehormatan penghalang manusia berbuat kejahatan



KITA tidak boleh takabbur dan mencari nama, tetapi kita tidak dilarang berusaha mencari kehormatan dengan memperbaiki budi sendiri. Gila hormat tidak boleh. Tetapi menjadi orang yang terhormat, haruslah menjadi tujuan hidup.

Lantaran jasa baik dan budi yang tinggi, kita harus beroleh kehormatan daripada sesama manusia. Kehormatan serta pandangan orang kepada kita dapat mendorong hati berusaha membuat yang lebih indah dan bagus.

Bagaimanapun, apabila kita melangkah dan berhasil, akan ada saja orang yang dengki. Ada yang sayang dan tidak kurang membenci. Orang yang benci itu, kerana mengakui kemuliaan dan kehormatan yang kita peroleh serta berusaha menghilangkan rasa hormat itu.

Oleh itu, digalakkan untuk sentiasa berusaha meningkatkan budi pekerti tinggi. Kehalusan dan ketinggian budi pekerti akan membuat lebih ramai orang sayang, begitu juga yang bakal membenci kerana iri hati.

Pepatah Arab berbunyi:

“Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Jika tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Kerana orang yang terhormat itu, kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat.”

Lantaran menjaga kehormatan dan serangan yang bertubi-tubi timbullah perjuangan sengit, mempertahankan kehormatan sambil menjaga budi pekerti. Perjuangan itu sulit dan hebat, tetapi jika tidak diteruskan, kita akan menyesal kerana bahagia akan terasa dalam perjuangan tadi.

Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka

04 February 2010

Trip to Ganu- 28-31 Januari 2010



Perjalanan ke Terengganu memakan masa selama 8 jam namun semangat dan keterujaan seramai 9 orang ahli PEPIAS yang diketuai oleh Sdr Presiden mengatasi segalanya. Perjalanan yang dijadualkan akan bertolak pada 27hb namun dianjak ke 6 pagi hari berikutnya atas sebab-sebab yang tidak perlu anda tahu. Berbekalkan dua buah kereta jenama sama telah merentasi Lebuhraya Karak sehinggalah ke Lebuhraya Pantai Timur.



Tepat jam 1.00 petang, rombongan PEPIAS telah tiba ke Universiti Malaysia Terengganu. Ini merupakan kali kedua penulis menjejak kaki ke Negeri Minyak Malaysia. Namun, tujuan kali ini lebih jelas dengan matlamat yang jitu iaitu untuk sama-sama menjayakan PERKAMPUNGAN MENARA GADING TERENGGANU 2010 (PMGanu 2010) KALI PERTAMA. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam dengan disertai oleh seramai 106 peserta dan hampir 50 orang komiti yang mojoritinya dari UDM dan beberapa institut pendidikan yang berdekatan. PEPIAS dijemput bagi sama-sama membantu dari segi pengalaman dan idea untuk menjayakan PMGanu ini. Mungkin inilah dikatakan tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu... Rezeki dan rahmat Tuhan ini tidak boleh dipersiakan.



Kesemua rombongan PEPIAS disana telah dilantik menjadi fasilitator bersama-sama dengan sahabat perjuangan KEPITAR dan PKPIM. Sdr Muzakkir pula telah menjadi PC Mass bersama-sama adik-adik PMGanu. Sdr Shafezan pula menjadi moderator khas untuk sesi forum. Sdr Syukor pula telah menjadi trademark disana dengan gelaran 'Besar Punya' serta tukang cerita Dreamstory. Kebolehan dan kemampuan serta bakat yang ada hasil dari program-program PEPIAS telah berjaya membantu kami dalam melaksanakan tugas masing-masing.


Namun harus dipuji kepada komiti di sana yang begitu cekap bekerja dan cepat belajar sesuatu. Tenaga mereka sepanjang 3 hari 2 malam amat luarbiasa. Sesuatu yang perlu dipelajari oleh ahli PEPIAS. Ilmu yang dimiliki oleh setiap individu komiti disana amat berbeza dengan apa yang dapat kita lihat dalam persatuan kita. Perlunya penulis rasa ada anjakan paradigma yang optimum dalam diri kita semua.


Demikianlah serba sedikit catatan mengenai perjalanan rombongan PEPIAS ke PMGanu2010. Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang PMGanu 2010 amat menarik sekali. Bagi penulis, aktiviti di tepi pantai dengan bermain Bom, Pintu Gerbang dan Bina Menara amat 'best' sekali yang mungkin jarang dilakukan oleh PEPIAS seumpama begini ( Selangor mana ada pantai ).
Dapatlah disini penulis membuat perbandingan antara 2 PMG yang disertai oleh penulis selaku Pengarah dan selaku PC&Fasi. Perbandingan inidividu ini biarlah mengisi dalam poket penulis. Jika ingin tahu, silalah berjumpa dengan penulis. Cuma penulis disini belajar banyak perkara iaitu bahasa ganu, budaya jemaah di sana dan sebagainya. Perkara-perkara inilah menjadi cabaran utama kami dalam mengendalikan Mass dan LDK. Namun ia bisa diatasi atas pertolongan sahabat-sahabat Ganu disana.




Akhir sekali, kami dari PEPIAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua komiti dan urusetia PMGanu terutama Sdr Pengarah, Ubaidullah dan Sdri Timbalan, Ainun yang sudi menjemput kami untuk bersama dalam keluarga PMGanu. Terima kasih atas layanan anda semua yang tidak jemu-jemu dengan karenah kami. Harap maaf sekiranya kehadiran kami ini merosakkan program kalian. Namun satu je niat kami hanyalah kerana Allah Taala. Semoga niat yang baik ini dapat mengekalkan hubungan kita semua. Sekiranya ada program lagi, janganlah lupa untuk menjemput kami. Terima kasih juga atas perkongsian ilmu dan pengalaman kita semua. Walaupun hanya 3 hari 2 malam sahaja kita sempat bertemu empat mata namun ukhwah yang terjalin ini perlu diteruskan sampai bila-bila.


(rumah Sdr Razif)

Setelah tamat PMGanu, rombongan PEPIAS telah pergi bersiar-siar di sekitar Terengganu dengan mengamati angin pantai. Tidak sah ke Ganu jika tidak ke Losong. Walaupun banyak kedai sudah ditutup namun bonet kereta tetap penuh dengan keropok losong. Sebelum itu, kami telah singgah di rumah Sdr Razif dengan dihidangkan laksa Ganu. Malam itu, kami juga bergerak ke rumah Sdr Presiden untuk tidur disana sebelum bergerak pulang ke esokan harinya. Tepat jam 5 petang hari ahad kami tiba di Kg Changkat setelah mengambil masa selama 7 jam perjalanan.

Ahli rombongan PEPIAS - Sdr Zulhelmi, Sdr. Syukor, Sdr Shafezan, Sdr Muzakkir ( K ), Sdr. Helmi, Sdr Razif, Sdri. Izzati, Sdri Afiqah, Sdri Nad

Lepas ni, PMG mana kita nak terjah?

Sekian,

03 February 2010

Artikel Usroh PEPIAS ; 3 Februari 2010

ARTIKEL USROH PEPIAS

Tarikh : 3 Februari 2010

Tafsirul Al-Quran

Surah AlMaidah ; 54

Tafsir Surah Al Maidah Ayat 54 :

Tajuk penting dalam ayat ini

  1. jangan bertukar agama dari agama Islam kepada agama bukan Islam
  2. Allah khabarkan berita yang belum berlaku
  3. orang beriman sesama mereka bergaul dengan lemah lembut
  4. orang beriman sesama orang kafir bergaul dengan keras dan tegas

wahai orang-orang yang beriman ...

  1. dalam ayat ini Allah Taala ingin menceritakan kepada manusia tentang kehebatan kekuasaanNya (K)
  2. wahai orang-orang yang membenarkan Allah dan RasulNya dan mengaku dengan apa yang dibawa datang oleh Nabi Muhammad (T)

sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah ...

  1. sesiapa di antara kamu yang lari daripada tanggungjawab menolong agama Allah dan menegakkan syariatNya (K)
  2. sesiapa yang lari daripada kebenaran kepada kebatilan (K)
  3. mereka yang lari daripada agama Islam dan masuk agama kafir (T)
  4. agama kafir itu samada masuk agama Yahudi, agama Nasrani atau apa sahaja agama kufur, maka kemasukannya itu tidak sedikitpun memberi mudharat kepada Allah (T)

dari agamanya ...

  1. orang yang berpaling tadah dari agama Islam kepada agama kafir dinamakan orang yang murtad
  2. ayat ini ialah ayat syarat maka jawapannya ialah ayat seterusnya (Q)
  3. ayat ini adalah antara ayat yang menunjukkan kemukjizatan Nabi Muhammad, yang mana Allah Taala memberitahu kepada Nabi Muhammad peristiwa ghaib yang tidak berlaku lagi tetapi akan berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad beberapa ketika (Q, T)
  4. begitu juga pemberitahuan awal bahawa orang-orang yang beriman yang akan menggantikan orang-orang yang murtad itu tidak akan menukar agama, tidak akan murtad (T)
  5. peristiwa ghaib itu ialah peristiwa orang-orang Islam menjadi murtad beramai-ramai pada awal-awal zaman pemerintahan khalifah Islam pertama Abu Bakar (Q)
  6. orang-orang Islam menjadi murtad melainkan tiga masjid sahaja, iaitu masjid Madinah, masjid Mekah dan masjid Jawathi (Q)
  7. orang-orang Islam yang murtad itu terbahagi kepada dua puak (Q)
    1. golongan pertama ialah mereka yang menolak syariat kesemuanya sekali dan keluar dari Islam secara keseluruhannya (Q)
    2. golongan kedua pula golongan yang tidak mengaku kefadhuan zakat tetapi masih beriman kepada kefardhuan-kefardhuan yang lain (Q)
      1. golongan ini berkata kami mahu sembahyang, kami mahu berpuasa tetapi kami tidak mahu membayar zakat (Q)
      2. Abu Bakar telah memerintahkan diperangi kedua-dua mereka sama rata (Q)
      3. Abu Bakar telah menghantar tentera yang diketuai oleh Khalid Ibnu Al Walid memerangi kedua-dua golongan ini dan menawan mereka (Q)

maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum ...

  1. iaitu Allah akan gantikan orang yang murtad dengan orang lain (J)
  2. orang lain itu ialah orang yang beriman, orang yang tidak menukar, tidak mengubah dan tidak murtad (T)
  3. Allah akan gantikan dengan orang yang lebih baik, dengan orang yang lebih keras ketahanannya dan lebih teguh perjalanannya (K) sebagaimana firman Allah
    1. Surah Muhammad Ayat 38 (K)
    2. Surah Ibrahim Ayat 19-20 (K)

yang Allah kasihkan mereka ...

mereka pula bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman ...

  1. berkatalah Ibnu Abbas, lemah lembutnya orang-orang yang beriman sesama mereka seperti pergaulan lemah lembut seorang ayah terhadap anaknya (Q)

yang bersikap keras, tegas dan gagah terhadap orang-orang yang kafir ...

  1. beginilah sifat orang-orang yang beriman, pada suatu masa mereka menjadi orang yang lemah lembut, tetapi pada masa yang lain mereka menjadi keras dan tegas (K)
  2. ini juga adalah sifat Rasulullah, pada suatu masa suka bersenda gurau bersama orang beriman lain, tetapi pada masa yang lain sangat keras dengan musuh-musuh baginda (K)
  3. Ibnu Abbas berkata, keras dan tegasnya pergaulan orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang kafir seperti keras tegas pergaulan singa dengan buruannya (Q)
    1. Surah Al Fath Ayat 29 (Q)

dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela ...

  1. mereka tidak takut kepada sesiapapun dalam membela zat Allah (T)
  2. jangan jadi seperti orang-orang yang munafik yang takutkan celaan orang-orang yang kafir (J)
  3. orang munafik takut perkara yang muncul lagi (Q)
  4. tidak mengalihkan orang-orang yang beriman daripada mentaati Allah kerana celaan dan cemuhan orang (K)
  5. tidak mengalihkan mereka daripada menegakkan hudud-hududNya (K)
  6. tidak mengalihkan mereka daripada memerangi orang-orang yang kafir (K)
  7. tidak mengalihkan mereka daripada amar makruf dan nahi mungkar (K)
  8. semuanya tidak menegahkan mereka orang yang menegah dan tidak mengalihkan orang yang mengalih (K)
  9. dari Abu Zar ada berkata, kekasihku Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah mewasiatkan aku dengan tujuh wasiat
    1. mengasihi orang miskin dan mendekati mereka
    2. melihat orang yang di bawah ku dan jangan melihat orang yang di atasku
    3. menghubungkan silaturahim walaupun orang memalingkannya
    4. tidak meminta-minta kepada selain Allah sedikitpun
    5. berkata benar walaupun pahit
    6. tidak takut kepada celaan orang kerana menegakkan kehendak Allah tidak kira siapakah orang yang mencela
    7. membanyakkan sebut la haula wala quwwata illa billah

  1. dalam Musnad Imam Ahmad, dari Abu Said Al Khudri, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ada bersabda, jangan sekali-kali kerana takutkan manusia kamu takut untuk berkata benar, jika kamu melihat sesuatu atau kamu menyaksikan sesuatu maka berkatalah benar, kerana berkata benar itu tidak akan mendekatkan tempoh masa yang telah ditetapkan dan tidak akan menjauhkan rezeki yang telah ditetapkan (K)
  2. dalam Musnad Ahmad lagi, dari Abu Said Al Khudri, Rasulullah ada bersabda : jangan kamu sampai menghinakan diri kelak kerana kamu melihat sesuatu perkara yang patut dikatakan tetapi kamu tidak berkata kerana di akhirat nanti akan dikatakan kepadanya, apakah yang menghalang kamu daripada berkata begini dan begini, maka dia menjawab, aku tidak berkata kerana takutkan orang, lalu Allah berkata, sepatutnya Akulah yang patut kamu takutkan (K)
  3. ayat ini adalah sebagai dalil menegaskan kebenaran dan kesahihan perlantikan khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali kerana mereka berempat telah berjihad bersama Rasulullah, kemudian memerangi golongan murtad selepas kewafatan baginda (Q)
  4. sudah diketahui umum, mereka yang bersifat dengan empat sifat di atas adalah wali-wali Allah (Q)
  5. ayat ini juga umum meletakkan kelebihan dan kemuliaan kepada mereka yang berjuang menentang orang-orang kafir sehinggalah hari kiamat (Q)

yang demikian itulah limpah kurnia Allah ...

  1. orang yang beramal dengan empat sifat di atas barulah mendapat limpah kurnia Allah (K)
    1. bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman
    2. bersikap keras, tegas dan gagah terhadap orang-orang kafir
    3. berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah
    4. tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela

yang diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya ...

  1. sesiapa yang bersifat dengan empat sifat di atas, itu tandanya Allah Taala telah memberikan limpah kurniaNya kepadanya dan Allah telah memberikan hidayah taufiqNya kepadanya (K)

dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya ...

  1. maha luas limpah kurnia bermakna maha banyak limpah kurniaNya (J)

lagi Maha meliputi pengetahuanNya

  1. Allah maha tahu siapakah yang layak menerima limpah kurniaNya yang maha luas itu (J)
  2. Allah maha mengetahui apakah perkara baik untuk umat manusia (Q)
  3. Allah maha tahu di manakah tempat manfaatnya dan di manakah tempat mudharatnya (T)

Hadith 40

Hadith 35 ; Cara Hidup Bermasyarakat

Oleh Sdra

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

Pengajaran hadis:

(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.

(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.

(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.

(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada, namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.

Sirah

Tokoh-tokoh Harakah dan Pendakwah ; Imam Hassan Al-Banna

Oleh Sdra

"...Kupersembahkan jiwa ini ke hadrat Allah dan Ia pula yang akan menyelamatkannya. Inilah perjanjian antara Allah dan seorang hamba-Nya, yang kucatat di sini, dengan guruku sebagai saksi. Apa pun tak bisa mempengaruhinya, kecuali nurani. Siapa pun tak bisa menebusnya, kecuali Tuhan. Hanya mereka yang memenuhi janjinya kepada Allah, berhak menerima imbalannya."

Inilah tekad dan keghairahan jihad seorang pejuang Islam dan pengasas gerakan Islam terkenal, Imam Hassan al-Banna. As-syahid yang gugur pada 12 Februari 1949, menyatakan tekad tersebut sewaktu masih menuntut di pusat pengajian tinggi Darul Ulum, Kaherah.

Janji As-syahid yang dibuat semasa masih berusia lewat belasan tahun dikotakan dalam perjalanan hidupnya sehinggalah beliau kembali ke pangkuan Allah (SWT).

Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada 0ktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Beliau berkelulusan Universiti al-Azhar dalam jurusan agama dan banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna berkelulusan tinggi, beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam Mahmudiyyah. Masa selebihnya beliau gunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan. Malah beliau juga adalah pengarang beberapa kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam.

Ketokohan, keilmuan dan keperibadian tinggi Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi pula oleh anak sulungnya, Hassan al-Banna yang kemudian menjadi pemimpin dan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin yang dihormati serta merubah sejarah. Melalui kepimpinan dan didikan Hassan al-Banna, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan semula Islam abad ini.

Sifat kepimpinan pemimpin agung ini terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

Pada usia 16 tahun, beliau ke kota Kaherah untuk melanjutkan pelajaran di Darul Ulum. Di sana beliau didedahkan dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Yang dilihatnya ialah parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular semuanya terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam.

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Al-Imam Hassan al-Banna menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun dan baru mendapat ijazah dari Darul Ulum, serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di bandar Ismailiyyah.

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusu kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.

Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila ia turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di. Ikhwan Muslimin kemudian diharamkan pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna masih dibebaskan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zuhur 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau dikatakan telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

Jumlah Pengunjung