19 August 2010
Koreksi Suku Pertama Ramadhan
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
Al-Baqarah : 183
Harus difahami bersama bahawa Ramadhan ini merupakan satu madrasah untuk mendidik kita supaya beroleh keputusan akhir yang digariskan oleh Allah iaitu Taqwa. Diri kita umpama bahan mentah yang masuk ke dalam kilang ramadhan untuk menghasilkan produk yang dinamakan taqwa. Ramadhan juga ibarat tempoh mengecas iman supaya dapat istiqamah dalam amalan hingga ramadhan yang mendatang.
Untuk itu janganlah semata-mata memperbanyakkan amalan khusus tetapi mengenepikan tujuan asal ramadhan iaitu taqwa. Bukan sekadar khatam tetapi lebih penting adalah tadabbur. Andai pelajaran kita lebih memberi kesan untuk meningkatkan taqwa, maka luangkan lah masa untuk pelajaran. Andai kuliyyah lebih meningkatkan taqwa berbanding solat sunat, maka luangkanlah masa untuk kuliyyah.
Namun pernyataan diatas tetap tidak mengenepikan hakikat bahawa junjungan mulia kita Rasullullah SAW memperbanyakkan amalan seperti sedekah dan i'tikaf dalam bulan ramadhan. Sekadar memperingatkan akan tujuan sebenar Ramadhan.
Peringatan buat diri dan sahabat-sahabat sekalian supaya tidak mencemari ibadah ramadhan ini dengan perbuatan yang merugikan ganjaran puasa terutama dalam keadaan yang tidak sedar. Sebagai contoh melazimi perbuatan membuat rondaan di bazar ramadhan yang penuh percampuran tidak terkawal dengan golongan bukan muhrim yang juga tidak menutup aurat dengan baik. Lamanya di bazar terkadang sampai lalai dalam menunaikan solat fardhu. Ini diburukkan lagi dengan pembaziran akibat terlalu banyak membeli juadah mengikut nafsu.
Jangan sampaii puasa kita seperti yang disebutkan oleh junjungan mulia Rasullullah SAW bahawa hanya mendapat haus dan dahaga. Dalam sesi yang lain pula baginda mengaminkan doa Jibril yang mendoakan celaka bagi mereka yang mensia-siakan bulan ramadhan tanpa berusaha mendapatkan keampunan Allah.
Moga madrasah ramadhan menjadi medan mengecas diri kita agar perjalanan jemaah ini akan didokong oleh pekerja-pekerja dakwah yang penuh bertenaga. Selamat beriftar buat seluruh cawangan yang bakal menganjurkan ifar jamaie. Juga buat seluruh ummat yang tetap optimis terhadap gerakan ini.
Ramadhan Kareem
Membimbing dgn Ilmu & Akhlak
16 August 2010
Pelikkah Tanpa Rokok???
“BERHENTILAH, tak ada faedahnya menghisap rokok...” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, dalam satu kempen antimerokok yang pernah dirasmikannya.
Bilangan tempat yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok juga bertambah. Kebanyakan aktiviti kini diharamkan sama sekali daripada memasukkan elemen rokok. Malah, kotak rokok pun sudah diletakkan secara terang-terangan akan keburukan rokok.
Terbaru, sebuah dokumen yang menggemparkan dunia, Pig 05049, turut secara tidak langsung mengingatkan perokok, terutama perokok Muslim agar mengelakkan rokok lantaran kandungan bahan babi yang digunakan untuk membuat rokok! Begitulah ingatan demi ingatan, amaran demi amaran, secara lembut ataupun tegas. Harapannya ialah bilangan perokok akan berkurang dan yang sudah merokok akan berhenti merokok. Dalam jangka panjang nescaya negara lebih makmur tanpa cengkaman rokok.
Namun, hakikatnya tidak pula begitu. Amalan merokok masih menjadi kebiasaan. Pendek kata apa saja aktiviti manusia, maka akan adalah rokok. Dilakukan oleh sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan darjat, bebas tanpa perlu takut-takut, tanpa perlu difikirkan akibatnya. Seolah-olah semua tegahan dan peringatan yang ada itu untuk perhatian makhluk lain.
Tidak keterlaluan dikatakan, ada pemimpin yang selamba menghisap rokok ketika mempengerusikan majlis dan seorang doktor yang merokok, tetapi tidak segan silu menasihati pesakitnya akan keburukan merokok. Begitu juga bapa yang meminta anaknya ke kedai untuk membeli rokok atau merokok di depan anak. Begitu juga abang fasilitator yang selamba berjalan sambil menghisap rokok tanpda disedari diintip oleh adik-adik kumpulannya. Pak Imam yang selalu mengimamkan jemaah disurau/masjid dengan membacakan ayat-ayat peringatan dalam Al-Quran dengan selamba menghisap rokok di depan masjid/surau.Sikap mereka ini secara tidak langsung menyemai tabiat merokok kepada masyarakat.
Perbuatan merokok sebenarnya telah membunuh etika kehidupan bermasyarakat. Apabila masyarakat tidak lagi meletakkan rasa peduli, hormat dan prihatin, kasih sayang maka tiada lagi keindahan hidup bermasyarakat.
Berapa ramai yang tersentuh dengan gambar penyakit yang dipaparkan di kotak rokok? Berapa ramai yang malu menghisap rokok di depan tamu? Berapa ramai yang malu meletakkan rokok di poket baju dan berapa ramai yang malu menghisap rokok ketika memandu? Masalahnya ialah terlalu ramai yang membuat peraturan sendiri mengenepikan hukum bermasyarakat. Maka pemikiran yang mengatakan ‘ini ruang kami, ini masa kami, ini hak kami dan ini dunia kami’ akan kekal mengongkong minda perokok sekali gus menidakkan hak orang lain.
Daripada perspektif lain, rokok dilabelkan sebagai simbol kekayaan, kelakian, kekuasaan, ketamadunan dan segala macam kehebatan kehidupan. Ia adalah komoditi yang menguntungkan (daripada cukai dan kutipan perdagangan), keperluan utama kehidupan bersosial, sumber inspirasi dan kesegaran (ketika memandu dan memerah otak).
Rokok adalah lambang kemodenan masyarakat. Ia tersimpul rapi dengan peradaban daripada peringkat pentadbiran, politik, hinggalah peringkat bawahan, malah anak-anak kecil yang masih merangkak juga perlahan-lahan dibesarkan dengan dunia rokok! Justeru, betulkah tabiat merokok telah menurun? Cuba kita lihat di restoran mamak, tapak pembinaan, tandas di hospital, warung dan tempat yang dianggap zon tidak merokok. Tidak hairan lah juga kadar statistik perempuan merokok hampir setaraf dengan lelaki.!!!
Sejauh mana larangan ‘kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang membeli rokok’ benar-benar berlaku di kalangan peruncit? Benarkah rokok tidak mampu lagi dibeli kerana harganya mahal?
Pastikah pengetahuan tinggi mengenai keburukan merokok akan mencerminkan tindakan tidak merokok? Betulkah inisiatif ‘quit smoking’ akan mengekalkan seseorang untuk terus berhenti merokok? Kemampuan industri rokok untuk melengkapi setiap ruangan kehidupan dan minda masyarakat dengan jelas membuktikan advokasi ‘merokoklah’ oleh syarikat tembakau amat berjaya. Dengan pendekatannya yang amat strategik, dengan prasarana yang serba lengkap dan jaringan yang sungguh meluas, fenomena merokok nampaknya tidak akan ada kesudahan. Ia akan terus mencorakkan kehidupan. Malah penggiat antimerokok turut tertipu, terkulai dengan modus operandi licik mereka.
Sedarlah bahawa isu merokok bukan sesuatu yang seronok untuk diperkatakan. Jauh sekali untuk dipersendakan. Ia adalah kata dua yang meminta jawapan jujur dan tindakan tulus daripada mereka yang merasakan sebahagian kemelut ini. Jawab dan bertindaklah demi anak-anak yang akan meneruskan pembangunan generasi ini.
Pergunakanlah bulan puasa ini untuk mentarbiahkan diri kita agar dapat berlatih ke arah Zero Smoking. InsyaAllah dengan iltizam yang tinggi tanpa perlu banyak berdebat 'aku susah nak berhenti, kau tak paham jiwa perokok dan sebagainya, pasti akan kita pertemu jalan untuk menjauhinya. Setiap hari peringatan diberikan anggaplah ia sebagai tanda kasih sayang insan kepada insan yang lain. Janganlah melenting tetapi biarkanlah ia menjadi pendorong kepada kita untuk merubahnya. Shift your paradigm! Bulan Ramadhan ialah madrasah tarbiah buat umah Islam. gunakanlah sebaik mungkin. jangan lepaskannya!!!
15 August 2010
Bittaufeq wan Najah
Semua daripada kita mengimpikan kejayaan yang gemilang. Tapi tinggal satu persoalan untuk dijawab. Bagaimana kita menggapainya? Kejayaan bermula dengan idea lalu menguasai fikiran dan memupuk keinginan supaya kejayaan menjadi kenyataan. Jika kita lihat biografi hidup tokoh-tokoh yang berjaya, nescaya semua daripada mereka mempunyai idea asas yang akhirnya menolak mereka untuk mencapai kejayaan. Mereka semuanya sama dengan kita memiliki anggota badan yang sempurna dan masa 24 jam sehari semalam. Cuma mereka memiliki dua perkara:
1. Keazaman yang kuat untuk berjaya
2. Meninggalkan segala perkara yang tidak membantu untuk mencapai kejayaan
Beberapa contoh dalam sejarah.
1. Zaid bin Thabit diikitiraf oleh Rasulullah saw sebagai orang yang paling pakar dalam urusan ilmu Faraidh (harta pusaka). Kisahnya bermula pada usia 13 tahun. Dia ingin menyertai Nabi dan para sahabat lain ke medan Jihad. Ketika Rasulullah saw melihatnya, baginda menyuruhnya untuk pulang kerana kurang umur untuk menjadi tentera perang. Zaid pulang ke rumah sambil menangis teresak-esak. Ibunya tahu sebab dia menangis lalu berkata: Wahai anakku, nanti bila engkau cukup umur, sudah tentu Rasulullah akan membenarkan kau. Sekarang aku akan menghantarmu belajar ilmu-ilmu sebagai bekelanmu nanti.
2. Muhamad Al Fateh seorang penakluk yang hebat. Beliau mula melakar sejarah hanya dengan kata-kata gurunya tatkala berumur 10 tahun. Hadis Rasulullah saw yang berbunyi “Costantinopel akan dibuka, sebaik-baik panglima tentera adalah yang membukanya, sebaik-baik tentera adalah tentera itu” menjadi aspirasi beliau untuk sebuah kejayaan. Gurunya sering bertanya pada beliau “Kenapa bukan engkau yang menjadi orang ini wahai Muhammad?” Muhammad Al-fateh langsung mempersiapkan diri untuk misi agung ini. Beliau sering berlatih menunggang kuda ke dalam lautan hingga air laut menenggelami kudanya ke paras leher. Sedikit demi sedikit, beliau semakin hampir dengan kubu kukuh tentera Kristian Costantinopel. Dia menjerit dengan suara yang kuat “Aku akan menjadi orang itu” seolah-olah menyahut seruan Nabi Muhammad saw. Dia mula belajar tentang ilmu pengurusan, pemerintahan tentera dan seni peperangan. Dia berjaya menguasai hampir 6 jenis bahasa pengantar yang berbeza-beza. Bagi dirinya, matlamat sudah berada di depan mata. Pada usia 21 tahun, kota Costantinopel berjaya dibuka oleh beliau dan tenteranya.
3. Imam Bukhari pada usia 12 tahun ternampak satu visi….Dia melihat dirinya seolah-olah berjalan di belakang Rasulullah saw. Setiap kali Nabi memijak kaki ke tanah, Imam Bukhari cepat-cepat memijak tanah yang baru dipijak oleh Nabi saw. Beliau bingkas tersedar dari mimpi itu dan bergegas berjumpa dengan gurunya untuk bertanya perihal mimpi itu. Gurunya menerangkan: ” Jika salah seorang daripada kamu dapat mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah saw yang Shahih dan mengasingkannya daripada hadis-hadis Dhaif (lemah) dan Maudhu’ (direka-reka), nescaya ia seperti berjalan mengikut jalan Nabi saw yang tercinta”. Bermula daripada detik itu, Imam Bukhari menjadi antara perawi hadis Rasulullah saw yang terulung. Diriwayatkan dia telah mengumpul 7000 hadis berdasarkan metodologinya. Jarak pengembaraanya untuk mencari hadis-hadis yang Sahih dikatakan sama dengan 2 kali lingkungan lilitan bumi ini. Beliau telah berjumpa hampir 4000 ulama perawi hadis yang Sahih sepanjang kembara ilmunya. Pernah suatu ketika di kota Baghdad yang terkenal dengan ketinggian peradaban ilmunya, sekelompok ulama hadis ingin menguji kehebatan dan penguasaan Imam Bukhari dalam ilmu Hadis. Sebanyak 100 buah hadis yang telah ditunggang-langgangkan sanad dan matannya, diajukan kepada Imam Bukhari untuk disusun semula seperti yang asal. Tanpa ragu-ragu Imam Bukhari meneliti sanad dan matan hadis-hadis tersebut dan berjaya menyusunnya kembali tanpa sedikit kesalahan pun. Para ulama tersebut mengkagumi ketokohan Imam Bukhari dan kemampuan anak muda itu.
Ini adalah beberapa cerita kejayaan mereka yang terdahulu. Sudah sampai masanya untuk kita pula mencipta kisah tersendiri untuk tatapan generasi yang akan datang. Bila anda mahu mulakan kisah dan cerita anda? Tidakkah anda mahu dikenang sebagai seorang yang memiliki keazaman dan daya juang yang kental.
Bittaufeq wan najah kepada semua mahasiswa/mahasiswi di KUIS. Padamu harapan umat dan agama.
12 August 2010
PEPIAS PRIHATIN kembali lagi...
Merujuk kepada perkara di atas, adalah dimaklumkan bahawa Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menganjurkan Program Ihya’ Ramadhan ( PEPIAS PRIHATIN 2010 ). Program ini akan digerakkan oleh 200 aktivis yang merupakan ahli PEPIAS ke rumah golongan sasaran sekitar Negeri Selangor. Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM17000 untuk menyalurkan bantuan ke rumah-rumah yang terlibat. Maklumat ringkas berkenaan program adalah seperti berikut :
Tempat : 3 kawasan sasaran sekitar Sabak Bernam
Tarikh : 26-29 Ogos 2010 ( Khamis - Ahad )
Sasaran : Golongan asnaf , Anak Yatim. Hospital
11 August 2010
MUHASABAH RAMADHAN
10 August 2010
Ramadhan Di Gaza March For Freedom
Sukacita saya memaklumkan kepada para sahabat-sahabat yang mungkin tidak perasan
atau terlepas pandang, satu misi kemanusiaan ke Gaza iaitu Ramadhan Di Gaza
March For Freedom seramai 45 orang sedang berada di sempadan Rafah-Gaza.
Sehingga mesej ini ditulis mereka telahpun mendapat jaminan untuk masuk ke Gaza
esok (10 Ogos 2010) dan bakal berada di sana pada 1st Ramadhan untuk menghantar
bantuan serta menubuhkan hospital kanak - kanak di Gaza. Misi ini adalah anjuran
MAPIM (Majlis Perundingan Persatuan2 Islam Malaysia) dan antara individu yang
turut berada di dalam misi antaranya ialah:
1 - Azmi Abd Hamid - Presiden TERAS, Setiausaha Agung MAPIM merangkap ketua misi
2 - YB Zuraida Kamaruddin - MP Ampang
3 - YB Zulkifli Nordin - MP Kulim-Bandar Baharu
4 - Mustapa Mansor - Aktivis RELAWAN. Turut berada di atas Mavi Marmara sewaktu
kejadian flotilla
5 - Ashwad Ismail - Astro Awani. Beliau juga turut berada di atas Mavi Marmara
6 - Nizal Mohammad - Ex-presenter/ producer TV3. Untuk misi ini beliau adalah
correspondent Radio24.
Maklumat lanjut di laman web ini http://marchforfree dom.org
Harapan sidang redaksi marchforfreedom.org kepada sahabat-sahabat adalah untuk
menyebarkan maklumat berkenaan program ini kepada ahli keluarga, sahabat, rakan
sekerja serta teman kuliah dan usrah anda berkenaan misi ini. Sekiranya anda
terlibat dengan komuniti atau masjid, harap dapat diadakan solat hajat bagi
mendoakan keselamatan dan keberkatan peserta misi dan sekiranya anda mempunyai
blog, pihak kami sedang cuba untuk meletakkan banner/badge di dalam website
tersebut. Anda boleh letakkan di website/ blog anda sebagai tanda sokongan dan
tulislah, raikan bersama netters lain berkenaan program ini. Semoga usaha kita
seorang sedikit ini tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T. Terima kasih yang tidak
terhingga dan salam perjuangan















