31 January 2009

Terima Kasih

Assalamualaikum saudara saudaraku sekalian. Terima kasih di atas komen komen anda. Saya akan terus menulis semoga komen anda akan membantu saya membuat keputusan yang baik dalam memacu PEPIAS agar ia terus relevan kepada Umat. Terima Kasih

26 January 2009

Nampakkah kau ku tersenyum? (^_^)

Assalamualaikum buat seluruh ahli keluarga PEPIAS. Ku utus kuntuman senyum manis bak gula, moga terubat wajah masam mencuka. Senyumlah. Sesungguhnya sedekah ini yang paling mudah. Sambutlah salam perkenalan kali pertama dari saya, Mohd Zulhelmi Abdullah, moga dekat antara kita. Berilah ruang kepada saya disuatu sudut di hati anda. Harapannya berputiklah rasa kasih sayang antara kita.

Panjang sekali jalan dakwah yang telah kita lalui bersama. Panjangnya menyebab letih dan sesat. Terlupa dimana jalan kita yang asas. Namun kita terus berjalan. Program program sekolah tetap kita penuhi tetapi hati semakin sepi. Jalan asas yang kita cari tidak jua kita temui. Akal buntu hati kecewa. Tidak sedikit air mata yang mengalir dan tidak sedikit hati yang tercalar. Kita tetap bertemu dalam usrah usrah dan mass gathering, tapi riak wajah tawar.Ramai yang terasa lantas membawa diri. Umat rugi lagi.

Hampir dua bulan saya mencari identiti, maklumlah orang yang tidak pernah menjadi pemimpin. Kerana ramainya ahli ahli mengharap, saya mesti kuat. Badan lemah, langkah longlai, air mata bercucuran. Tetap saya mencari senior senior yang sudi memberi pandangan. Jutaan Terima kasih kepada semua senior yang memberi termasuk di dalam blog ini. Anda sungguh menampakkan saya jalan demi jalan. terima kasih kerana masih prihatin! Tidak kurang juga ahli yang memberi semangat dan sudi berkongsi inspirasi. Harap terus membantu bersama. Andalah kekuatan saya! Jangan tinggalkan saya. Tetapi tidak lupa, sudah tentu Allah yang teragung!

Akhirnya saya temui. Suatu jalan yang telah lama kita lupakan. Itulah jalan yang dirindu oleh semua dan telah lama hilang antara kita. Itulah jalan persaudaraan!

Sesungguhnya PEPIAS sebuah keluarga. Sebuah keluarga yang besar penuh dengan kasih sayang. Anda adalah abang, kakak dan adik kepada yang lain. Saya adalah abang kepada adik adik PEPIAS. Ramainya mencapai ratusan orang. Argh.. pening kepala melayan karenah semua. Biasalah beradik ramai pelbagai ragam. Ada yang baran, ada yang bendul, ada yang perahsia. Tapi tetap kita satu keluarga. Ada yang ceria riang, ada yang senyap tenang, ada yang berlidah tajam. Tetap kita satu keluarga. Ada yang manja, ada yang mengada, ada yang mengadu domba. Masih kita satu keluarga! Jadi jangan risau bila bergaduh. Nampakkah kau ku tersenyum? (^_^)

Apa pandangan PEPIAS kepada masyarakat sekeliling?

PEPIAS memandang rahmat Islam untuk setiap orang. Bila melihat seorang ibu tua diberanda seorang diri, sepi, maka dia bukanlah orang lain. Dia ibu kita! Bila melihat budak budak muda liar berkeliaran diwaktu malam tanpa arah tujuan, maka dia bukanlah orang lain. Dia adik adik kita! Cuma mungkin mereka terabai. Mungkin jua mereka terlalai. Sanggupkah kita membiarkan ibu kita terbiar? Sukakah kita melihat maruah adik perempuan kita tergadai?

Fitrahnya manusia hidup bertuhan. Jiwa masyarakat hari ini kosong minta diisi. Mereka mencari cari tetapi di kelab kelab malam dan di jalan jalan pada waktu malam. Kerana sangka mereka itulah yang mampu merubat hati. Mereka meraba raba mencari pihak yang sudi menyambut dan sudi mengajak tetapi malangnya kita yang menggelar diri dai adalah orang yang punya persepsi. Kita tentukan siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang patut masuk neraka. Kita memilih mad'u kita. Umat rugi lagi. Tetapi lebih malang lagi umat kerana dai nya adalah seperti kita! Nampakkah kau ku tersenyum? (^_^)

Kita harus pergi ke celah celah lorong kota, di tepi tepi tong sampah, di kawasan penuh debu dan di kawasan penuh lumpur. Kerana di situ terdapat permata permata yang menunggu untuk dikutip. Kenalkah anda Saidina Umar AlKhattab? Fahamilah! Jangan melabel orang dan jangan memukul rata bahawa semua orang sama. Kita bukan penghukum tetapi pengajak. PEPIAS berkeinginan mendorong setiap umat manusia termasuk diri kita sendiri untuk menarik keluar cahaya yang berkilauan dalam diri. Kita semua punya cahaya yang berlainan warna. Betul caranya, maka bersinarlah pula cahaya itu kepada orang lain. Tiap warna punya fungsi. Bukakankah pelangi itu indah?

Maafkan saya kerana lambat bertindak untuk menulis. Maafkan saya adik beradikku. Maafkan saya Abang abang dan kakak kakakku. Maafkan saya pimpinan kecintaanku kerana anda telah banyak terkorban kerana keadaan. Kerana ia telah membuka ruang perpecahan dan permusuhan. Jasa akan diungkit dan dendam akan tersemat. Harap belum terlambat. Saya serahkan pada anda. Kita ada Allah! kita yang lupakannya. Nampakkah kau ku tersenyum? (^_^)

18 January 2009

Melihat Kepada Keperluan dan Keutamaan

Salam Perjuangan


Baik sekali pilihan bahasa ungkapan dan istilah yang di ketengahkan fikrah imayu itu. Pada kali ini, mungkin tertarik untuk ana lebih membincangkan isu berbangkit yang menampakkan kelesuan PEPIAS hari ini.


Baru 2 bulan lebih, belum pun sampai usia 3 bulan, PEPIAS telah menampakkan kelesuan yang amat membimbangkan. Perjalanan PEPIAS nampaknya tiada aturan serta perjalanan kepimpinan pudar dan tiada hala tujuan pergerakan. Apakah puncanya agaknya? Ana cuma melontarkan pandangan dan ana sudah bersedia untuk idea atau pandangan ini *ditong sampahkan. Namun, tidak sesiapa menyedari atau berjaya menyelami masalah ini. Mereka seperti buta, tuli dan bisu serta cacat anggota dalam mendepani keadaan ini. Benarlah sabda Nabi bahawa, diakhir zaman ini umat Islam adalah ibarat buih yang bertaburan dipantai, ia hilang begitu sahaja.


Budaya Kebutaan dalam PEPIAS
PEPIAS telah mula buta kerana tidak melihat dengan mata hati. Buta bukan bermakna tidak nampak jalan, tetapi tidak mampu menilai setiap permasalahan, isu dan perkara berbangkit dengan mata hati yang bersih. Keindahan mata yang Allah ciptakan terus menampakkan sesuatu perkara yang hanya dipandang dengan mata dan nilainya dapat dikira. Peranan PEPIAS dalam masyarakat hanya dinilai dengan apa yang ada dengan PEPIAS secara fizikal sehinggakan setiap apa yang dilakukan perlukan sesuatu nilai pencapaian. Apabila mata kita mula ditutup dengan material, maka selagi ia tidak dipenuhi maka, tidak ada kerja yang akan dilakukan sehinggalah ia dipenuhi. Matlamat kita menentukan bagaimana cara kita bekerja. Niat menentukan untuk apa kita bekerja.


Budaya Ketulian dalam PEPIAS
Tidak mendengar nasihat. Pandangan ditolak mentah sedangkan seorang pemimpin perlu diberikan nasihat dan atas nasihat itulah mereka membuat keputusan. Tetapi hari ini, budaya mendengar dengan baik ini tidak lagi diutamakan. 'Pandangan aku paling baik, pandangan korang salah'. Apa yang berlaku sebenarnya? Apabila seorang pemimpin tidak diberikan 'WALA'' sebetulnya oleh pimpinan yang lain kenapa? Kerana idea itu boleh ditong sampahkan sahaja. Apabila seorang pemimpin hanya mendengar mulutnya sahaja yang berkata-kata, maka sedarlah kita bahawa, pemimpin itu hanya mengutamakan dirinya berbanding orang dibawahnya. Ingatlah, pemimpin bukan ketua tetapi hamba Allah yang diberikan amanah. Gagal pemimpin mendengar nasihat dari orang bawahannya, maka akan pincanglah organisasi. Pada masa yang sama, gagal orang bawah untuk mengutamakan kata-kata dan amanah pemimpinnya, kesannya juga pada organisasinya. Kenangkanlah apa yang berlaku di UHUD, bukan salah yang memimpin, tetapi tulinya mereka yang dipimpin.


Budaya Kebisuan dalam PEPIAS
Apabila datang ke mesyuarat kita memilih untuk diam kerana kalau kita bercakap maka orang akan suruh kita buat. Kenapa gagal? Kerana, apabila keputusan dibuat oleh ketua, pengikut perlu berikannya alternatif tindakan dan siapa yang mampu lakukannya. Apabila tersalah keputusan yang dibuat, salahnya kepada pengikut yang gagal memberikan alternatif kepada ketuanya. Adakah pengikut tidak akan bersama ketuanya apabila keputusan dibuat? Tidak jawapannya. Kerana tanggungannya adalah bersama. Bercakap untuk kebenaran adalah lebih utama dari bercakap untuk menang. Bercakap untuk keputusan yang tepat lebih utama dari bercakap untuk betul. Bercakap untuk agama mu (ISLAM) wahai adik-adik ku lebih utama dari bercakap untuk kepentingan peribadi.


Budaya Cacat Anggota dalam PEPIAS
Sekiranya datang orang yang cacat penglihatannya, telinganya dan percakapannya. Adakah dia tidak sempurna? Benar, mereka tidak sempurna disisi manusia tetapi tidak Allah. Malangnya adakah kita semua mendapat penilaian yang tetapat disisi Allah. Adakah dengan berdiam diri amalan kita diangkat? Adakah dengan tidak mendengar amalan kita diterima? Adakah dengan tidak berkata apa-apa kita akan selamat dari neraka-NYA? Cacat anggota inilah punca kegagalan kita berfungsi. Bayangkan, Apabila kita ada kepala dan otak di atas tubuh kita, tetapi tangan, kaki dan seluruh anggota lain tidak mampu dikawalnya, adakah ia dinamakan Manusia? Inilah organisasi kita, ada ketua tidak diberikan 'WALA' maka pincanglah jalannya. Si ketua nak menuju ke tempat lain tetapi kaki yang berjalan membawa kita semua ke tempat lain. Susahkan?


Bila kita tinggalkan dunia, semua mereka akan bercakap dan membongkarkan rahsia, adakah kalian rasa, rahsia di dalam hati itu dapat disimpan selamanya? Allah Maha Mengetahui... Fikirkan dan TUNE-lah diri kita

13 January 2009

Menerobos, merungkai, menjernihkan

Menerobos
1)Menyelinap ke dalam suatu kawasan yang kusut, masai, dan penuh cabaran dan masalah yang bakal mendatang.
2)Mungkin perkataan merempuh lebih tepat daripada menyelinap; memandangkan menerobos adalah lebih agresif dan gagah bunyinya daripada menyelinap, yang halus dan berhati-hati bunyinya.
3)Pokoknya, menerobos adalah suatu tujahan kuat dengan pelbagai liku dan ancaman yang bakal menggugat si Penerobos.
4)Menerobos juga mengungkapkan suatu lapisan yang tepu, tebal dan liat; amat sukar untuk masuk ke dalam lapisan itu; mungkin kerana terlalu lama di situ, atau sudah terlalu selesa dengan keadaan itu.

Merungkai
1)Kekusutan dan simpulan-simpulan yang berselirat dibuka satu-persatu; dan dicari punca kekusutan itu, menjadi sesuatu yang mudah dan kemas.
2)Biasanya, keselerakan itu berpunca daripada punca tali yang tidak tahu punca. Lantas, membawa keseluruhan ekor-ekornya turut sama terlingkar.
3)Membuka sesuatu simpulan ini perlukan sokongan dan dokongan; dan mungkin juga suatu galakan dan kekuatan; kerana biasanya, sesuatu yang telah lama kusut, sudah ketat simpulannya, amat sukar untuk dirungkai. Dibimbangi, akan semakin kusut.
4)Tambahan pula, ada kekusutan yang ada tepung di atasnya; kalau ditarik secara kasar, berselerak tepungnya; semakin tercalit dan comot keseluruhan kawasan rumah. Namun, tidak pula boleh dibuat secara lembut; Lagi tidak akan merungkai sebarang kekusutan. Lebih baik comot, dari kusut.
5)Nasihat orang tua, untuk menyelesaikan kekusutan, jangan pula ditambah kekusutan yang lain. Lagi satu, lebih baik lambat, dari terus tidak datang (it's better late than never).Maknanya, pilih yang mana lebih baik; atau antara dua perkara buruk, pilih mana yang paling kurang buruk.

Menjernihkan
1)Kalau dibicarakan pasal air di sungai, adanya kocakan, keruhlah air itu; Lantas tidak nampak segala yang tersembunyi di dasar sungai; bukan sahaja yang tersembunyi, yang ada jelas di atas dasar sungai pun tidak kelihatan.
2)Dan kalau kocakan berlaku secara berterusan, tak mustahil, apa yang ada di dasar sungai, mahupun yang tersembunyi akan hilang terus ditelan pasir, dan kalau hidupan, akan mati dan yang boleh lari, sudah lama melarikan diri mereka.
3)Tempat yang indah yang boleh didiami, keruh; dikeruhkan pengganggu yang sebenarnya punya pilihan; Sama ada menjernihkan, atau mengkeruhkan.
4)Ternyata, bila pilihan telah dibuat, kesannya, bukan sahaja kepada pengganggu, tetapi kepada seluruh komuniti sungai.
5)Rungkaian suatu kekeruhan ini juga merupakan keindahan kebijaksanaan yang berhikmah; terpancar dari tindakan, tutur kata, dan keberanian untuk memberi manfaat kepada orang lain lebih daripada diri sendiri.


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1)Setiap komuniti harus sedia menerobos, merungkai dan seterusnya menjernihkan kembali apa yang keruh, apa yang liat, dan apa yang buruk.
2)Mungkin sukar bertindak secara berseorangan; lantas, kita harus guna pengkalan untuk rungkai segala kekusutan bersama-sama, sebelum kita pulang semula ke lapangan.
3)Bertindak secara berhikmah dan bertanggung-jawab tidak sekompleks sains roket, namun, ia memang berat; jika melakukannya dengan emosi.



Selamatkan keluarga kita...
Fikrah Imayu

05 January 2009

AWAL MUHARAM vs TAHUN BARU

Oleh: Kamarul Azami b. Mohd Zaini
Perunding Utama Latihan dan Motivasi, IQ Class Management Consultancy
(7 Januari 2008 – PTPL Ampang)

Kedatangan tahun baru merupakan sesuatu yang ditunggu dan diharapkan oleh ramai orang kebanyakan. Ia dianggap sebagai satu hari perayaan yang besar yang secara umumnya disambut dengan pelbagai kemeriahan diserata tempat seluruh dunia. Termasuklah negara kita yang tercinta Malaysia, sambutan tahun baru disambut dengan kemeriahan bunga api dan serba sedikit perayaan dengan pelbagai rancangan televisyen dan di pentas-pentas terbuka. Tidak lama sebelum tibanya sambutan tahun baru, ummat Islam di Malaysia juga menyambut satu lagi sambutan tahun baru Hijrah. Jika soalan dilemparkan kepada masyarakat Islam, berapa tahunkah sambutan pada tahun ini pastinya mereka akan tersipu malu keran tidak mengetahui tentangnya. Apa yang mereka tahu, apabila tiba Awal Muharam, maka bolehlah bercuti.

Awal Muharam

Awal Muharam atau juga dikenali sebagai Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan satu peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Sambutan ini bertujuan untuk memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 522 Masihi. Sejarah yang mahsyur ini pasti terpahat dalam pemikiran kita sebagai ummat Islam. Bagaimana pengorbanan dan perjuangan baginda bersama sahabat-sahabat menelusuri pelbagai rintangan dan halangan demi untuk memastikan keselamatan iman dan mengangkat darjat manusia kepada tahap yang seadilnya. Pelbagai perjuangan dan kisah yang dapat kita singkap sehinggakan lahir catatan semangatnya dalam lagu yang diingati seluruh umat Islam di Malaysia iaitu lagu Maal Hijrah. Kalendar Hijrah mula diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab ketika beliau menjadi Khalifah lebih kurang pada 638 Masihi. Penggunaan kalendar Hijrah ini adalah bertujuan untuk mengenang dan menghargai pembentukan satu masyarakat dan tamadun Islam yang merdeka dari segi sosial, politik dan ekonominya.

Tahun Baru

Tahun Baru pertama kali dirayakan pada tanggal 1 Januari 45 SM. Tidak lama setelah Julius Caesar dinobatkan sebagai kaisar Roma, ia memutuskan untuk mengganti penanggalan tradisional Romawi yang telah diciptakan sejak abad ketujuh SM. Dalam menyusun kalender baru ini, Julius Caesar dibantu oleh Sosigenes, seorang ahli astronomi dari Iskandariyah, yang menyarankan agar penanggalan baru itu dibuat dengan mengikuti revolusi matahari, sebagaimana yang dilakukan orang-orang Mesir. Satu tahun dalam penanggalan baru itu dihitung sebanyak 365 seperempat hari dan Caesar menambahkan 67 hari pada tahun 45 SM sehingga tahun 46 SM dimulai pada 1 Januari. Caesar juga memerintahkan agar setiap empat tahun, satu hari ditambahkan kepada bulan Februari, yang secara teoritis bisa menghindari penyimpangan dalam kalender baru ini. Tidak lama sebelum Caesar terbunuh di tahun 44 SM, dia mengubah nama bulan Quintilis dengan namanya, yaitu Julius atau Juli. Kemudian, nama bulan Sextilis diganti dengan nama pengganti Julius Caesar, Kaisar Augustus, menjadi bulan Agustus.

Ummat Islam tidak sepatutnya menyambut kedatangan tahun baru ini sebagai satu budaya. Lihat sahaja apa yang berlaku pada sambutan tahun baru yang lalu, pelbagai keadaan yang merosakkan remaja kita berlaku. Ia bukan keadaan yang patut kita banggakan, tetapi ditangisi dan difikirkan penyelesaiannya. Kita sepatutnya menyambut sesuatu kedatangan tahun baru itu dengan melihat kembali sejarah dan bagaimana semangat, perjuangan dan kehebatan itu dapat dikembalikan pada hari ini. Jadi, secara tidak langsung, kita dapat lakukan semakan terhadap diri kita, yang mana sejarah sambutan yang patut kita utamakan? Awal Muharam atau Tahun Baru?

Azam Tahun Baru

Sejak dahulu lagi, dari kecil sehinggalah dewasa, manusia akan ditanya setiap kali datangnya tahun baru, apa azam tahun ini? Setiap tahun azam ini akan berubah melihat kepada keperluan individu masing-masing. Azam atau cita-cita ini adalah sangat dituntut oleh Islam. Mereka yang tiada cita-cita adalah ibarat mereka yang tiada masa hadapan. Sehinggakan Islam sendiri bercerita tentang apa yang tidak kita ketahui, tetapi mesti kita cita-citakan iaitu SYURGA. Kepentingan azam dan cita-cita ini tidak dapat disangkalkan lagi.

Malangnya, setiap kali azam disusun, maka ia hanya akan terus menjadi cita-cita yang tidak kesampaian. Apabila ada cita-cita, ia akan dilupakan dan terus hilang dari ingatan. Bagaimana kita mengukur keberjayaan cita-cita kita ini? Kenapa manusia boleh melupakan cita-citanya? Inilah yang menjadi tanda tanya dan pastinya, kita sendiri tidak pernah bertanyakan soalan ini kepada diri kita sendiri.
Menurut pandangan perunding-perunding latihan dalam IQ Class Management, cita-cita ini perlu didasari dengan 4 keperluan yang peru dijadikan keutamaan.

1. Cita-cita itu mestilah yang boleh dicapai.

Ramai yang menganggap, cita-cita adalah percuma. Ia adalah benar. Tetapi apabila ia tidak dicapai, maka ia akan menjadi satu angan-angan dan ia adalah suatu pembaziran. Angan-angan adalah keinginan yang tidak hadir bersamanya sebarang usaha. Allah hanya menilai sesuatu hasil kerja berdasarkan usaha yang dilakukan bukan hasil yag diperolehinya.

2. Cita-cita itu mestilah suatu impian jauh ke hadapan.

Pandangan perlu jauh merentasi sempadan diri kita. Jika cita-cita hanya berada dihadapan mata, maka ia akan mempercepatkan penamatan kerja dan usaha kita terhadap pencapaian untuk diri kita. Di sinilah dapat kita lihat, manusia akan cepat berpuashati dan lahirlah masyarakat ‘OK lah tu’.

3. Cita-cita perlu ditempuh dengan pelbagai halangan.

Cita-cita yang dicapai dengan tidak ditempuhi sebarang ujian atau halangan adalah ujian yang tidak mempunyai nilai yang tinggi buat diri kita. Kita menjadi kaya kerana kekayaan ibu bapa kita, pastinya kitalah yang akan menghabiskan harta itu untuk kepentingan kita. Akhirnya, cita-cita itu akan pergi dan berlalu begitu sahaja.

4. Cita-cita akan datang dan tercapai apabila berlaku anjakan paradigma.

Anjakan paradigma merupakan satu perubahan yang kita lakukan untuk melihat masa depan dengan lebih optimis dan positif. Inilah semagat dan keperluan untuk kita ummat Islam menyambut Awal Muharam. Mengambil semangat dan cita-cita besar ummat Islam terdahulu untuk disambung kita pada hari ini. Maka cita-cita ini perlu disulamkan dengan keinginan untuk berjuang dan berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Maka inilah semangat HIJRAH yang perlu kita tonjolkan.

Memperlihatkan kedatangan Awal Muharam ini dengan serangan musuh Islam terhadap ummat Islam di Palestin, maka kita sebagai ummat Islam yang prihatin haruslah bersama-sama untuk:

(1) Menanamkan kecintaaan dan kasih sayang kepada agama yang merupakan nikmat yang paling besar dalam kehidupan;
(2) Membangunkan wihdatul fikri (kesatuan fikiran) di kalangan ummah demi mempertahankan kemurnian Islam;
(3) Menjadikan institusi rasmi agama sebagai tempat rujukan umat Islam demi mengelak daripada terpengaruh dengan pandangan yang songsang; dan
(4) Memantapkan pendidikan Islam di kalangan ummah dengan tasawwur Islam yang jelas.

Kekuatan aqidah dan keyakinan seseorang diukur pada saat krisis dan susah. Inilah yang telah ditonjol dan diteladankan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Namun pada hari ini, kebanyakan orang hanya ingin bersama apabila datang kesenangan dan lari bertempiaran apabila ditimpa kesusahan.

“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah dia hari ini jika sama dengan semalam dan celakalah dia apa bila hari ini lebih buruk dari sekarang.”

Inilah masanya untuk kita sama-sama bermuhasabah. Adakah kita mengambil semangat pengorbanan Baginda Rasulullah s.a.w sebagai cerminan diri kita atau keseronokan sambutan tahun baru sebagai sebahagian dari budaya dan agenda utama setiap tahun. Setiap saat masa kita bertambah, maka semakin kuranglah hayat hidup kita di dunia. Beringatlah dan TUNE-kan diri kita.

emel: kamyghebat@yahoo.com
blog: http://kamarulazami.blogspot.com

IQ Class Management
emal: iqclassmanagement@yahoo.com
blog: http://iqclassmanagement.blogspot.com

02 January 2009

Selamat Tahun Baru

Semoga kemeriahan tahun baru ini memberikan banyak semangat dan cita-cita baru untuk dikembang dan dipugarkan dalam hati kita semua.



1. Tingkatkan ilmu pengetahuan sebanyak-banyak.
Ilmu perlu dalam usaha kita untuk mejadi yang lebih baik dan terbaik. Banyakkan terlibat dan kumpulan perbincangan ilmu (diskusi), majlis ilmu, ceramah dan kelas-kelas serta membaca bacaan yang berfaedah yang mampu untuk membina minda kita.



2. Dekatkan diri kepada Allah
Percaya dan yakinlah kita bahawa tiada yang lebih berkuasa dari Allah s.w.t. Setiap kejayaan datangnya dari Allah. Usaha kita? Sekelumit sahaja sebenarnya. Tidaklah besar kesannya terhadap usaha tetapi yang penting keredhaan, kerana yang akan kekal kita nanti bukan di dunia tetapi di akhirat.



3. Perbaiki kehidupan kita
Kita sering bercakap dan mengingatkan tentang motivasi, jatidiri, ubah diri dan sebagainya. tetapi jarang sekali kita buat untuk diri kita atau kita yang berusaha mengubahnya dulu. Jadi, bila bercakap, telinga kita paling dekat dengan mulut kita, sepatutnya kita dulu yang mengubahnya.

01 January 2009

Sekitar Kampus: Program PMG

PMG di Berita Harian <-- klik di sini

Sekitar Kampus: Program PMG

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

Pelajar lepasan SPM bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus

SEMUA mengakui teruja untuk mengikuti program Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor (Pepias), apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa dan guru bertujuan mengisi waktu cuti selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas didedahkan dengan beberapa slot program di Kolej Ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang perasaan itu semakin meningkat dan bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan baru ditimba.


Bekas Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Panglima Garang, Azmir Jais, berkata program PMG adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri dan mempunyai kelainan berbanding kegiatan lain yang pernah disertainya.


“Tiga hari berada di sini memberi impak positif dalam hidup saya terutama selepas saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian yang mana pengisiannya mendedahkan peserta mengenai budaya ilmu dan berfikiran positif.

“Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana mempelajari ilmu agama khususnya kepentingan solat,” katanya.

Sementara itu, Nor Hafiffy Suraya Shafie yang pertama kali mengikuti perkampungan seperti itu melahirkan perasaan

gembira dan berterima kasih kepada guru beliau, Radin Mohd Imadudin Radin Abdul Halim kerana membuka peluang dirinya dan rakan menyelami corak hidup di alam kampus menerusi aktiviti seumpama itu.

“Pengalaman dalam PMG tidak pernah saya dapati dari mana-mana program sebelum ini apatah lagi fasilitator Pepias yang berpengetahuan luas dalam membantu kami mengenal alam kampus.

“Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja diterapkan dengan ajaran Islam malah turut melakukan kegiatan riadah seperti mandi sungai dan meredah hutan,” katanya.

Radin, berkata PMG banyak memberi pengalaman serta pengajaran berguna sehingga beliau berjaya melangkah ke alam kerjaya dan berjaya menarik pelajar sekolah itu menyertai program berkenaan.

“Saya yakin dengan PMG dan menggalakkan pelajar menyertainya kerana ia memberikan pengalaman berguna khususnya nilai hidup bermasyarakat yang turut didedahkan dalam program ini.

“PMG adalah satu program berteraskan ilmu dan mempunyai wadah tinggi dalam melahirkan generasi berminda kritis dan holistik,” katanya.

Presiden Pepias, Mohd Zulhelmi Abdullah, berkata program di UPM itu adalah alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka setelah menduduki SPM dan ingin merasai suasana kampus iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus.

“PMG kali ini dijayakan dengan sokongan 26 fasilitator dan 47 urus setia yang terdiri daripada mahasiswa enam institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang.

“Antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Universiti Sains Islam Malaysia, Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dan Nilai, Kolej Cybermatic dan Kolej PTPL Ampang,” katanya.

Katanya lagi, antara objektif program itu adalah untuk mendedahkan peserta persediaan awal menghadapi alam kampus, membina perancangan dan kekuatan di dalam hidup serta menekankan tujuan hidup, belajar dan cara bermasyarakat.

Seramai 100 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada lepasan SPM mengikuti program selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember lalu. Program kesembilan itu dirasmikan bekas Presiden Pepias, Mohd Fadzli Arsad.

Jumlah Pengunjung