08 September 2008

Segenggam tabah

Bertali arus, dugaan tiba
Menakung sebak air mata
Namun tak pernah setitik
Gugur berderai di pipi

**
Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedar
rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan diperjalanan
Kau ubat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar (dan menderita)

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum dibibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air dihulu
Mungkinkah jernih dimuara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya.


(inteam)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Lagu ini adalah rintihan hati yang cukup unik, yang pada saya mempunyai nilai kepada pejuang-pejuang. Jalan yang kita pilih sebagai satu persada untuk dakwah dan tarbiah ini menjadikan kita sebagai seorang yang tabah dan mempunyai jati diri dalam konteks melayari bahtera kehidupan. Itu pun, sekiranya kita mengikuti penuh proses pentarbiyahan dan ranjau duri yang datang dengan kebenaran dan kesabaran. (Al-Asr) Kalau tidak, kita hanyalah membuang masa.

Soalnya, berapa ramai yang pernah berada dalam persada ini yang tidak membuang masa? Yang ini, perlukan proses muhasabah diri yang serius. Cabaran sebenarnya bermula setelah keluar dari kelompok kawan-kawan satu persada dan berada dalam masyarakat. Malah, inilah sebenarnya lapangan yang harus diterokai dengan bersendirian. Berdikarilah kita sepanjang hayat kita. Lantaran itu, pemilihan jalan untuk menegakkan syiar Islam terpulang kepada Ilmu, dan iltizam yang telah terbina sepanjang dalam persada PEPIAS ini. (kerana jalan ini yang kita pilih)

Lantaran, perjuangan diteruskan jua. PAtah kaki, bertongkat sayap. PAtah sayap, bertongkat paruh. Namun, perjuangan harus diteruskan. Ini adalah matlamat kehidupan. Dengan penuh ketabahan, kita yang punya fikrah yang sama, meneruskan agenda ini dengan Allah sebagai tempat mengadu, tempat kita memohon kekuatan. Di landasan ini juga, SAhabat fid Dunya Wal Akhirat akan terpacul bila kita kesakitan, bila kita kelemasan, bila kita kelalaian... Di sinilah tempat kita melihat yang mana manusia, yang mana insan. Kita sudah tidak mampu bersandarkan kepada kenangan lalu. Kata orang, jalan harus ke depan; bukan kebelakang. Sekadar menoleh kebelakang hanya untuk memastikan sudah jauh kita berjalan!

Segenggam tabah dipertahankan, buat motivasi untuk terus ke depan. Lontarkan senyuman kepada yang lain. Daie kan seharusnya melihatkan kemanisan dalam perjuangan. Generasi muda juga akan menguntum senyum dan punya harapan menggunung. Di sini saya bermula, dan saya percaya bukan di sini juga saya akhirnya. PEPIAS adalah suatu persada yang saya pilih pada waktu itu. Kini, saya meneruskan agenda suci dan murni dengan memlilih persada yang sealiran dan fikrah yang sama. Kepada yang muda, ini jugalah yang akan saya sampaikan. segenggam tabah harus dipertahankan; Kata orang tua, genggam bara api, biar jadi abu. Biar melecur tangan. Biar apa kata orang. Yang pasti, kita lakukan tugas kita dengan penuh kesungguhan dan istiqamah pula terhadapnya.

Biar keruh dihulu... Harapannya, kita akan bertemu jernih di muara.


Salam
Fikrah Imayu

1 comment:

tokz said...

teringat masa muda2 dulu selalu menasyidkan lagu keluarga bahagia & teman sejati di program2 sambil berpelukan sesama fasi (yg sama jantina jer). terasa ukhuwah mengalir dalam darah kami..

tarbiyah adalah satu proses yg panjang. justeru komitmen kita menghadiri usrah, tamrin dan majlis ilmu selalu dituntut bagi memastikan proses pemahaman dapat ditanam sebaiknya. yg suka ponteng2tu yg selalunya akan tercicir...

selalu diperkatakan bahawa pepias mahu melahirkan benih2 yg subur yang akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai daie walau dimanapun ia dicampakkan. Justeru proses pengukuhan ukhuwah dan kefahaman perlu ditekankan setiap masa agar benih2 ini tidak alpa dan leka apabila berada di lapangan masing2..

Jumlah Pengunjung